Isnin, Januari 23, 2012

PENJENAYAH DITUMPASKAN 4 TEMBAKAN (KES TEBUSAN)

Jam 11.03 pagi tadi, saya menerima maklumat berhubung kes tebusan disalurkan sumber amat boleh dipercayai. 

Pantas saya menghubungi blogger Ondscene.

"Aku di TV3," ujarnya.

Jam 11.40 pagi, kami berdua tiba di lokasi kejadian dan saya percaya kami wartawan paling awal muncul di situ. 


Pantas kami mula merakamkan gambar dan visual.


Waktu itu orang ramai telah mula berkumpul di sekitar rumah nombor 52, Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru, Kuala Lumpur.


Ketika pegawai dan anggota polis mundar-mandir di hadapan pintu rumah, saya bergerak ke belakang untuk merakamkan gambar dan mendapatkan informasi tepat berhubung kejadian menggemparkan itu.

"Ikut jalan ini dan masuk ikut pintu di belakang," ujar penghuni rumah bersebelahan.

Berikut laluan saya gunakan.


Perlahan saya menyusup masuk ke ruang di celah 2 rumah berkembar terbabit.


Beberapa anggota polis kelihatan bersiap sedia mengawasi pergerakan penjenayah bersembunyi di dalam sebuah daripada 3 bilik tidur di rumah terbabit.


Melalui ruang tingkap terbuka, saya merekodkan pergerakan pegawai dan anggota polis sedang berkomunikasi bersama penjenayah bertindak agresif.


Saya percaya pembaca tidak akan dapat melihat gambar di atas di disiarkan oleh berita syarikat televisyen malam ini atau dipaparkan dek akhar tempatan pagi esok.

Jam 12.25 tengahari, jelas kedengaran polis berbual bersama penjenayah dipercayai menggunakan bahasa Bajau.

Sesekali terdengar bunyi tangisan dan jeritan mangsa tebusan itu.

Dalam melaporkan berita di blog ini, saya tidak gemar berkongsi informasi tidak pasti lalu saya bergerak menggunakan laluan di  tepi dinding.

"Tadi semasa lelaki itu masuk ke rumah, anak saya dan rakan dia sempat melarikan diri. Lelaki itu kemudian mencapai pisau dan mengacukan senjata terbabit kepada nenek berdiri di hadapan rumah. Nenek itu jatuh pengsan sekejap," ujar Norizan Sutirah.


Norizan, 40 tahun berasal dari Aceh, Indonesia, sedang berdiri di tepi rumah ketika saya temui secara tidak sengaja.


Dia kemudian menunjukkan kepada saya gambar mangsa berusia 10  tahun di skrin telefon bimbitnya.


"Kami panggil dia (mangsa) Fifi (gambar tengah). Nama dia Fifi Ramadani, ayah dia Syafruddin," kata anak Norizan, Nurul Nabila.


"Badan lelaki itu besar ke?," soal saya kepaa Nurul.

"Kecil, kurus sahaja," balasnya.


"Dia orang tadi main di hadapan rumah itu 6 orang, bila lelaki itu meluru masuk, mereka semua cabut. Mangsa baru keluar dari bilik air tidak sempat keluar," celah Norizan.

Mangsa, anak sulung daripada 2 beradik. Adik bongsunya juga berjaya menyelamatkan diri.


Saya kagum melihat reaksi Nurul, dia langsung tidak kelihatan takut biarpun menempuh peristiwa mendebarkan.

Bangunan Menara Berkembar Petronas tersergam indah tidak langsung menarik perhatian orang ramai. Kemana sahaja saya melangkah, terdengar kebimbingan diluahkan orang ramai. Mereka khuatir jika mangsa dicederakan oleh penjenayah dilaporkan berada di bawah pengaruh dadah dipercayai jenis syabu itu.


Kakitangan ambulan dari Hospital Kuala Lumpur, HKL, serta anggota Jabatan Pertahanan Awam telah bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan.


Bilangan pegawai dan anggot polis semakin bertambah dan lokasi kejadian dibanjiri penduduk datang dari kawasan sekitar. Wartawan dan jurugambar mewakili pelbagai syarikat media cetak dan elektronik juga berada berhampiran rumah mangsa masih dikurung.


Jam 1 tengahari, saya rakamkan gambar ibu mangsa dalam kesedihan dan gusar berhubung keselamatan anak sulungnya.


Saya difahamkan, penjenayah berusia 35 tahun, berasal dari Sabah itu sentiasa mengacukan pisau ke arah tubuh mangsa kerdil itu.

Pakar Psikiatri didatangkan ke lokasi didapati gagal memujuk penjenayah untuk menyerahkan senjata dan membebaskan mangsa.

Keadaan bilik sempit menyukarkan pihak polis bertindak kerana bimbang keselamatan mangsa terjejas.

"Tadi dia minta air mineral. Kita bagi, dia tolak sebab dia kata botol telah dibuka. Memang kita masukkan ubat tidur di dalam botol itu. Kali kedua kita suntikkan ubat sama ke dalam botol, itu pun dia tolak juga," bisik kakitangan ambulan berdiri di sebelah saya.

Menjelang jam 2 petang, tanpa bersarapan pagi, perut berasa lapar. Mujur ada penduduk di sekitar sudi membelikan saya air minuman.

Terima kasih.


Cuaca amat panas namun kes terbabit tetap menarik perhatian orang ramai.


Hampir jam 3 petang, nenek mangsa, Hasmah Abdul Hakim, 70 tahun, keluar dari rumah dipapah oleh jirannya.

Dia kelihatan amat sugul.


Hasmah duduk di kerusi berhampiran pagar sambil merenung ke arah ramai polis sedang berusaha menyelamatkan cucunya. Airmata warga emas itu kelihatan tidak berhenti mengalir, dia kemudian disabarkan oleh jirannya.


"Nenek, sabarlah. Sekejap lagi, InsyaAllah kes ini akan selesai. Bukan senang polis hendak menembak penjenayah itu tetapi saya amat yakin cucu nenek akan selamat," bisik saya kepadanya.

Namun Hasmah terus menangis teresak-esak.

Orang ramai berada di sekeliling bagaikan sedang menonton filem Ombak Rindu di skrin besar.

Perhatikan gelagat mereka.


"Saya ternampak lelaki itu tadi berjalan-jalan depan rumah, dia berbogel. Seluar dipegang dan hanya menutup bahagian depan saya. Dia datang dari pasar pagi, orang pukul dia. Tadi sebelum masuk ke dalam rumah itu, dia bertanya, sebab apa pukul saya?," kongsi wanita berdiri di sebelah pagar.

Semua berada di lokasi menunggu dengan penuh debaran.

Tiba-tiba tepat jam 4.09 petang, kedengaran 4 das tembakan dilepaskan oleh pasukan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. 

Keadaan menjadi kecoh.

Spontan saya merakamkan gambar mangsa berusia 10 tahun digegaskan ke ambulan.


Syukur, dia selamat selepas 6 jam menempuh peristiwa hitam, saya percaya bakal menghantui fikiran anak kecil itu.

Kurang dua minit kemudian, penjenayah memiliki rekod samun itu kemudian dibawa keluar dari rumah. Ketika itu dia dilaporkan masih bernyawa.


Penjenayah terbabit kemudian dilapor meninggal dunia pada kira-kira jam 5 petang di HKL.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman kemudian mengadakan sidang media ringkas memperjelaskan butiran kejadian.


ACP Zulkarnain bukan sahaja pegawai polis tetapi sahabat lama sejak beliau menjadi Ketua Polis Daerah Jasin, Melaka.


Apapun tahniah kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia kerana berjaya menangani situasi genting terbabit.

16 ulasan:

  1. syukur... budak tu tak apa-apa...
    sedih skrg ini, duduk di rumah pun macam tak selamat... :(
    tapi tahniah juga untuk pihak polis atas kerja mereka...

    BalasPadam
  2. Dalam tempoh 6 jam dgn pelbagai kaedah masih tidak melunturkan sifat keras hati si penjenayah, maka tembakan adalah 'sudden death' yg baik.

    Remaja pula berjaya diselamatkan tanpa kecederaan fizikal (mental sdh pasti!) adalah terbaik.

    BalasPadam
  3. Salam Bro Mazidul,

    Saya tempelkan cerita ini di fb saya..

    Sangat menarik, liputan yang lebih telus dengan pelbagai foto reaksi daripada sudut yang berbeza.

    Moralnya, penjenayah tegar yang mengancam nyawa patut dibunuh. Tidak mustahil dia mengulanginya jika terlepas.

    TAHNIAH POLIS MALAYSIA. Saya tabik 'spring' untuk anggota polis seluruh negara.

    BalasPadam
  4. Tahniah dan terima kasih kepada semua petugas: polis, ambulan, wartawan sebenar (especially bro Mazidul), dll. kerana menjalankan tugas yang cemerlang menjaga keselamatan dan keharmonian bersama.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.