Sabtu, November 13, 2010

Kenapa Sebilangan Lelaki Memerhati Tumit Perempuan? (Rated PG13)

Tiada bahan untuk ditulis? Kekurangan masa? Kekeringan idea? Tidak ramai pelawat lalu berputus asa untuk mencoretkan tampalan terbaru? Bosan kerana pelawat tidak meninggalkan komen? Aliran traffic blog rendah?

Hemat saya, semua masalah itu boleh ditangani jika kaedah tepat diimplementasikan.

Pertama, kita harus menulis berhubung isu atau pun kejadian 'dekat' dengan hati manusia. Contohnya, jika blogger wanita menulis berhubung gincu bibir sekalipun, InsyaAllah tampalan terbabit berupaya menarik perhatian pembaca sekaligus mendorong mereka melontarkan pandangan di ruang komen.

"I jarang pakai lipstick", "Tak suka  kalau lipstick jenis cepat patah", "Ada one day tu tanpa saya sedari, bibir anak perempuan saya disapu gincu setebal tebalnya, merah, mungkin dia tengok saya pakai gincu sebelum tu dan nak mencuba sendiri" dan "Aku tak suka tengok perempuan bergincu gelap", antara komen berkebarangkalian dilontarkan.

Kedua, blogger juga harus prihatin, observant untuk memacu fikiran mencari idea. Catatan blogger lelaki berhubung tumit wanita 'merekah', cracked heel, contohnya  mungkin  mampu menyentuh hati semua. 

Hakikat perlu diterima, sebilangan wanita langsung tidak ambil pusing berhubung keadaan tumit kaki mereka, dibiarkan merekah dan tidak berusaha untuk mengubatinya. Walhal tumit gadis bujang sering menjadi perhatian segelintir lelaki tanpa mereka sedari.

"Kalau nak tahu samada gadis tu berdara lagi atau pun tidak, kau tengok tumit dia. Andai nampak masih merah dan licin, ok lagi lah tu"

Saya pernah mendengar kenyataan sebegitu dilontarkan kenalan lelaki. Benar atau tidak 'teori' itu, tidak penting, pokoknya tumit gadis diperhatikan. Keadaan tumit tidak terjaga sekaligus menggambarkan kecuaian gadis menjaga penampilan atau mereka sememangnya spesis pemalas.

Ketiga, kekurangan masa? Tampalan blog kini boleh ditulis di pelbagai lokasi, bukan semestinya di rumah. Telefon bimbit dilengkapi kemudahan internet membenarkan blog dikemas kini di mana sahaja. Bak kata pepatah Inggeris, when there is a will, there is a way. Namun, jika kita kurang daya usaha, tidak bijak mengagihkan masa dan cenderung mencari seribu satu alasan kononnya kesuntukan waktu, pastinya blog kita akan berkulat.

Keempat, saya perhatikan beberapa blog dilayari sebelum ini kelihatan kurang menarik berikutan penggunaan ejaan ringkas ala tulisan sistem pesanan ringkas, SMS.

Semalam saya menegur cara penulisan anak saya, Muhamad Afif Faiq. Di beberapa tampalan blognya sebelum ini dia menggunakan ejaan SMS. Barangkali dia terikut ikut dengan kaedah penulisan sebegitu tetapi saya yakin amalan terbabit masih mampu diubah kerana usianya baru mencecah 12 tahun. Dia bak buluh, jika dilentur sejak awal, InsyaAllah sukar patah di kemudian hari dalam bidang penulisan.

Hemat saya, pelik benar jika amalan sama dipraktikkan khususnya pelajar institusi pengajian tinggi. Adakah tugasan kuliah mereka ditulis menggunakan format sama? Tentunya tidak. Jika saya menjadi pensyarah, tugasan terbabit saya lontarkan ke tong sampah.

Harus difahami, antara tujuan utama kita menulis blog, berkongsi pengalaman dan pengetahuan bersama pembaca, majoriti tidak dikenali secara peribadi. Bukan semua selesa membaca blog ditulis sama seperti ejaan SMS.

Ringkasnya, jika bahan dicatatkan di blog sukar difahami berikutan kekeliruan ejaan maka it defeats the purpose of blogging.

Jika amalam terbabit berterusan, usah berasa kecewa andai blog ditulis kurang menarik perhatian pembaca dan mereka enggan meninggalkan jejak berbentuk komen sekaligus mengurangkan aliran traffic ke blog kita. Justeru teknik penulisan seperti itu harus diubah.

Pembaca sekelian, usah tersalah anggap kerana saya tidak berniat mendakwa blog ini sempurna. Hakikatnya, saya juga dalam proses pembelajaran menukilkan pandangan. Contohnya, berulang kali, beberapa ejaan perkataan di tampalan sebelum ini diperbetulkan pembaca, terima kasih saya ucapkan atas tindakan mereka.

Jika pembaca mempunyai kaedah lain untuk dijadikan perangsang kepada blogger agar lebih rajin mengemas kini blog mereka, sila kongsikan. 

Panduan lain berhubung cara memperbaiki penulisan blog juga saya kira mampu diterima semua.

22 ulasan:

  1. Blog saya tidak ada apa-apa modal...melainkan penggunaan bahasa Malayunya sangat saya jaga.

    Sekiranya saya dapati sesuatu blog itu menggunakan bahasa Melayu yang 'rojak' dan sistem ejaan yang 'hancur'...itulah pertama kali dan terakhir saya menjengah.


    Syabas kepada blog Mazidul..

    BalasPadam
  2. Betul jugak.. Kadang-kadang kita sudah terbiasa dengan sms, jadi terikut-ikut dalam penulisan blog.

    BalasPadam
  3. Wah, nampak macam tutoriallah pula bunyinya ni. Setakat ini, blog aku boleh dikira sebagai bersih dari debu bahasa sms (kecuali bahasa ibunda milik mana-mana suku di Malaysia). Aku tahu dan sedar bahawa pembaca blog sentiasa mencari bahan2 yang ranum dan garing untuk ditatap dibaca, dan kurang benar membaca blog yang berlatarbelakangkan sastera bawah tanah. tidak mengapa, aku tetap teruskan juga, kerana aku tahu dan yakin benar bahawa bahasa kebangsaan kita adalah yang terbaik. sebabnya? kerana kita rakyat Malaysia. itulah hakikatnya paling nyata dan terpaling skema! ;)

    BalasPadam
  4. Tapi abang Mazidul kata mak saya kalau wanita yang bertumit tidak cantik selalunya mereka yang rajin di dapur dan selalu memakai kasut tumit tinggi. Betul atau tidak saya pun kurang pasti....

    Tampalan abang ni menyedarkan saya tentang sesuatu....

    Terima kasih banyak-banyak.....

    BalasPadam
  5. Salam BRO...

    saya berterimakasih kerana Sdr sering berkongsi banyak pandangan dan tips, sebab saya pun sama-sama belajar.

    Tumit wanita? ahh itu hanya andaian semata-mata. Tetapi menjaga tumit memang sangat penting. Bagi saya, tumit pun salah satu kecantikan, kerana mengindahkan lagi kaki bila memakai kasut yang terbuka di belakangnya.

    Tentang blog yang menggunakan ejaan ringkas bak sms, saya sendiri pernah BUAT ENTRI tentang perkara itu dan saya berhenti layari blog yg sebegitu krn banyak tak faham dari yg saya faham. Kesian kan?

    Benar, content blog tiada batas, asal saja tidak menghina orang, tidak sentuh sensitiviti, tidak guna bahasa kasar, pasti akan menarik ramai orang utk melayari..

    *Bolehkah saya tegur sesuatu?
    Kenapa kadangkala gambar2 dalam blog BRO, adakala kecik sangat? Pada ketika2 lain, elok saja, tetapi selalu saya perhati, sangat kecil tak puas tengok..:)

    BalasPadam
  6. saya pun cuba menulis satu entry satu hari at least..tapi selalunya tak jadi. kebanyakan entry dapat dibuat pada malam sabtu.
    hari2 lain blogwalking aje..
    ofis hanya untuk bekerja..
    handphone memang dah out of trend.

    BalasPadam
  7. wah...tips menarik untuk tarik perhatian blogger lain...

    pernah singgah blog saya tak? nak juga mintak komen agar boleh diperbaiki. terima kasih. :)

    BalasPadam
  8. setuju dengan point-point yang bro utarakan... :)

    BalasPadam
  9. Azieazah, terima kasih. Gambar akan diperbesarkan.

    Chili Padi, bakal wartawan kena jaga tumit sebaik mungkin. Nanti ke hulu ke hilir, ramai orang akan tengok tumit :)

    Gadis Bunga, of course pernah.

    BalasPadam
  10. Lelaki pun kena jaga TUMIT juga terutama yang melibatkan urusan buka stokin dan berada di depan khalayak umum.

    ".. hitam dan merekah.."

    rasanya jika cukup bilangan ambil wuduk 5 kali sehari dengan cara yang betul di tekan serta digosok-gosok tumit kaki kiri ke atas kaki dan ibu jari kanan dan sebaliknya sudah memadai....boleh kurangkan warna hitam ditumit.

    BalasPadam
  11. tulisan SMS tak apa lagi, tulisan jejemon tu yang payah.
    apa tu jejemon? yang ini

    HArY tUE SaYe Gi PavIlIon BeLI CasUt AllY mC BeaL dGn AbaNg SayaM wOo0...

    *Muntah*

    BalasPadam
  12. ramai yang kata, tulis blog sekadar terapi minda dan untuk diri sendiri. Atau sekadar melepas geram di hati..

    tidak kesah pasal trafic, pelawat atau komen

    semua hipokrit!!

    yang betulnya, dia juga sebenarnya minta dipuji....dalam hati berbunga harapan."agaknya siapalah yang baca blog aku ni"

    ..hehehehe.

    BalasPadam
  13. sangat setuju, gaya penulisan dalam blog sangat penting ! ;)

    BalasPadam
  14. Betul...betul..betul... tak ramai yang ambil kisah pada penjagaan kaki... mesti ramai yang setuju sekarang 50% gadis yang muka putih melepak tapi kaki legam dan kering.. itu sebabnya ramai lelaki yang pandang muka turun ke kaki..:)

    BalasPadam
  15. hehehe.....
    setakat ni tumit masih dalam keadaan ok......
    insyaALLAH akan dijaga dengan sebaiknya....

    terima kasih banyak2 sekalai lagi atas nasihat abang....

    BalasPadam
  16. setuju..tapi sesetengah penulis hanya menekan pada gaya penulisan yang menarik tapi dalam masa yang sama,mereka tidak menekankan mengenai penyampaian mesej yang berguna dalam penulisan.. Sepertimana yang dicatatkan dalam sejarah melayu,bagaimana penulisan memberikan kesan yang cukup mendalam kepada rakyat sehingga mampu membangkitkan semangat juang bagi membebaskan tanah melayu dari cengkaman penjajah.. Renung-renungkan dan selamat menulis..:D Tahniah abang..:-)

    BalasPadam
  17. hahaha (boleh tak gelak macam ni). Sayalah tu, tulis ejaan rojak. Dulu dekat universiti jawab exam tak boleh guna bahasa melayu.. Beberapa kali ada kesedaran nak betulkan penulisan blog, tapi hangat-hangat tahi ayam je. Kandungan blog pun, banyak merepek, bertambah beratlah untuk menulis dengan ejaan yang betul.

    ps: saya perlu berfikir lama dan berpatah balik untuk betulkan ejaan semasa menulis comment ini. He.. Ape-apepun, terima kasih untuk pesanan menarik tersebut.

    BalasPadam
  18. Saya pun selalu jugak cuba nak betulkan ejaan saya. Terima kasih kerana mengingatkan saya pasal hal ini. Blog saya pun tak berapa nak menarik kerana sibuk jer membaca blog orang... seronok betul baca baca blog nih..

    BalasPadam
  19. org lelakipun ada juga yg bertumit merekah... tp tak nampak sebab berstokin @ berkasut bertutup

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.