Ahad, Mei 27, 2012

SILAT LINTAU DAN UFO?

"Guru saya, Enche Abd. Molok Idham berasal dari Pagar Ruyung, Minangkabau, Indonesia. Rumah guru saya masa dahulu di Changkat Larang Rezab lebih kurang 40 minit dari sini kalau menaiki kereta. Beliau meninggal dunia tahun 1988. Persatuan Panca Indra Seni Silat Lintau Malaysia didaftarkan pada 14 Januari 1976," ujar Zainudin Tah.


Zainudin, Yang Dipertua Persatuan Panca Indra Seni Silat Lintau Malaysia, dilahirkan pada tahun 1948 di Kuala Kurau, Perak.

Saya menemui beliau di Taman Koperasi Perpaduan, Tambun, Ipoh, Perak.


Sejak 15 tahun lalu, Zainudian telah melatih kira-kira 4,000 pesilat.

"Anak murid saya paling muda berusia 4 tahun dan paling tua, 70 tahun. Latihan dijalankan pada malam Sabtu, Ahad dan Isnin. Ssaya percaya, waris guru saya masih ada tetapi saya antara anak murid menuntut dengan beliau," celah beliau.


"Apakah antara keistimewaan silat Lintau?," soal saya spontan.

"Istimewa silat Lintau, gabungan 5 in1 bak kata orang putih. Dia ada ciri silat bunga. Kata orang tua, hendak melentur buluh biar dari rebungnya, kita panggil seni Pucuk Rebung. Kalau hedak mengajar pesilat, jika boleh biar dari usia muda. Kedua, Kucing Main Daun. Kalau kita tengok, apabila daun jatuh dari pokok, anak kucing lazimnya menyepak dan bermain terlebih dahulu sebelum menangkap daun. Ertinya, silat ini mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki untuk hidup, sedangkan kucing pun tahu menangkap daun jatuh. Ketiga, Seni Benang Kusut. Kita ini selalunya mempunyai pemikiran kusut. Kalau diikutkan sangat, ambil api, bakar sahaja. Namun jika kita sabar, benang kusut boleh kita leraikan dan boleh digunakan semula. Seni Helang Mengepak, memberikan contoh kepada anak kita supaya mereka berdikari tetapi jangan pandai pandai sendiri, kena mendengar nasihat emak, ayah dan guru. Bila anak helang mula hendak terbang, dia akan bertenggek di atas dahan. Emak dan ayah burung berkata, jangan terbang dahulu, kepak kamu belum kuat lagi, biarpun ikan sudah banyak menunggu di dalam sungai untuk kamu tangkap dan makan. Jadi, anak anak harus mendengar nasihat ibu dan ayah sebelum mengejar cita cita di hati. Keempat, seni Helang Terbang. Apabila kamu terbang, gunakanlah kemahiran itu untuk kami membuat keputusan terbaik diri kamu.  Akhir sekali  seni Bunga Teratai melambangkan kemurnian silat Lintau. Dalam apa hal sekalipun, usah mudah gabrah dan marah, biar kita lembut dan tenang, tenang seperti teratai kembang di air," jelas Zainudin.


Ayah kepada 9 anak itu mendakwa pernah melalui pengalaman ganjil dan tidak mampu dijelaskan dek akal.

"Dalam keadaan gelap gelita, sekitar jam 12.30 malam, saya ternampak seperti 'bulan' bersinar terang macam sport light. Orang putih kata? UFO? Agaknya, di bawah pokok kelapa. Terkejut. Dari situ, dia pergi berpusing-pusing di kawasan tanah lapang di sebelah rumah, dekat 20 minit sebelum menghilang. Saya sempat memanggil isteri untuk melihat kejadian itu. Kami pun tidak tahu apakah benda muncul itu," ujar Zainudin lagi.


"Bilakah kejadian itu berlaku?," tanya saya.

"Lebih kurang 10 tahun lalu," celah isteri Zainudin, Rosmaini Pahing, 50 tahun.


Zainudin juga mendakwa bertemu rantai tembaga lama sewaktu menangani masalah semut merah menggigit jurulatih dan anak murid beliau ketika berlatih di gelanggang. 


Sila baca kenyataan Zainudin berhubung kejadian terbabit dan kelebihan kain rentung di sini.

"Bagaimanakah rupa rantai itu?," soal saya.

"Itu, saya pakai di dalam gambar. Saya tanya kepada isteri pada waktu menggali gelanggang itu, mengapakah kamu tanam rantai Tuah ini? Sebelum itu, saya membela beruk, kami namakan Tuah. Saya pun membaling rantai itu kepada isteri. Ini bukan rantai Tuah bang, kata isteri," balas Zainudin.


Rantai itu dikatakan kelihatan seperti tasbih.

"Mengapakah biarpun sudah berusia, masih berminat mengajar silat Lintau?," soalan saya ajukan.

"Tujuan kita supaya kesenian ini tidak pupus dek zaman di bumi Malaysia. Kita hendak generasi baru mengenali seni Silat Lintau ini. Selagi generasi itu masih hidup, mereka mewarisi silat ini dan terus membuka gelanggang. Silat Lintau, terbahagi kepada seni pencak dan silat. Seni, kelembutan, kehalusan dan kepantasan sesuatu pergerakan. Pencak untuk bertempur, sewaktu berhadapan musuh. Silat itu memastikan pergerakan langkah itu jangan sumbang," jelas beliau.


Malam semalam saya diberikan peluang untuk merakamkan gambar aksi pesilat sewaktu berlatih di gelanggang di sebelah rumah Zainudin.


Untuk rekod, Zainudin juga bergelar 'Ayahanda' di kalangan ahli Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah, PEKIDA.

"Kekadang sebilangan mendakwa ahli PEKIDA tetapi bekerja menjaga pusat hiburan ...," kata saya.

"Ya, terdapat laporan ahli PEKIDA menjaga pusat hiburan, pusat judi dan urut. Makan di kedai  tidak berbayar. Inilah antara telatah orang muda bukan datang dari dunia persilatan dan mendakwa anak buah saya, orang gelar, 'Din Besi'. Silat sebenarnya menanamkan disiplin ketat di kalangan anak muda sekaligus menjadikan mereka tidak riak dan membanggakan diri. Jika ahli PEKIDA mengamalkan konsep amal makruf nahi mungkar, kejadian itu semua tidak berlaku. Saya rasa terkilan apabila sebilangan mereka mendakwa ahli PEKIDA 'memetik' nama saya sebagai ayahanda. Bagi mereka tidak mengenali, nama saya menjadi buruk. Beberapa kali pihak berkuasa memanggil saya untuk memberikan keterangan di samping mengenali saya tetapi saya tidak ada masalah. Kalau benar ahli PEKIDA terbabit dalam kegiatan jenayah, negara kita mempunyai pihak berkuasa, sila laporkan kepada polis. Anak anak 'Din Besi' tidak begitu," kata beliau. 

Zainudin bersyukur dengan anugerah Allah kepada dirinya dan keluarga..

"Saya tidak kisah kalau tiada duit sekalipun kerana Allah memberikan kesihatan kepada saya. Kalau kita ada dua tiga puluh ribu sekalipun tetapi tidak sihat, tiada gunanya," terang beliau.

Anak Zainudin, Mohd Hakim. 19 tahun, kini menjadi pewaris dan jurulatih silat Lintau. Melalui pengamatan saya, dia anak muda beradap dan bersikap merendah diri seperti ayahnya.


"Kain Sentung sebenarnya membantu kita mempertahankan diri sewaktu tidak bersenjata," ujar Zainudin.

"Kalau sekali libas dan terkena muka, mahu pecah atau digunakan untuk mencekik musuh," sampuk Hakim.


Antara senjata tempur lain digunakan oleh pesilat Lintau, keris, kayu, lembing, kerambit dan parang.

Menurut Zainudin, untuk menguasai silat Lintau, pesilat perlu menuntut ilmu kira-kira 10 tahun.


Pada musim cuti sekolah, Hakim lazimnya dijemput ke rumah mengadakan kenduri kahwin untuk mempersembahkan silat seni Lintau di hadapan mempelai diraikan.


Terima kasih kepada Zainudin kerana sudi ditemubual.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.