Jumaat, Ogos 26, 2011

'Raya Bapa Merdeka' - Dokumentari Terbitan Mazidul Akmal Sidik

4 hari lagi umat Islam di Malaysia akan menyambut hari lebaran.

Hari Raya, bukan sahaja hari untuk bergembira malah hari untuk kita semua bermaaf-maafan. Hari membuka ruang untuk kita berjumpa majoriti sanak saudara dan rakan taulan.

Kepada pembaca bakal pulang ke kampung halaman samada jauh dan dekat berhati-hati memandu di jalan raya. Jika tidak memandu sekalipun, peringatkan kepada pemandu agar lebih cermat mengendalikan kenderaaan.

Sejak 2 bulan lalu, saya memperuntukkan banyak masa, melakukan penyelidikan di Arkib Negara Malaysia di Kuala Lumpur.

Membelek akhbar tahun 1957, bukan kerja mudah. Terkasar sedikit, material menyimpan pelbagai khazanah sejarah terkoyak. Kita tidak mahu kejadian itu berlaku.

Berbulan tempohnya, saya membaca bahan dicatatkan dalam bahasa Melayu dan tulisan jawi. Namun tidak sedetikpun saya pernah berasa bosan sejak diamanahkan oleh pihak majikan untuk menerbitkan dokumentari berjodol 'Raya Bapa Merdeka'.

Lazimnya, menjelang bulan Ogos, pihak media elektronik dan cetak memaparkan kisah perjuangan bekas Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meraih kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Justeru, mendengar dan melihat gambar Tunku melaungkan perkataan keramat 'Merdeka' sudah menjadi kebiasaan.


Namun dokumentari berdurasi 30 minit bakal disiarkan pada 31 Ogos 2011, jam 1 tengah hari memiliki keunikan tersendiri.

Paparan terbabit mendedahkan fakta berhubung rutin Tunku pada bulan Ramadhan dan ketika beliau menyambut Hari Raya Aidil Fitri pada tahun 1957. Untuk rekod, Hari Raya Aidil Fitri pada tahun terbabit jatuh pada 1 Mei, bersamaan 1 Syawal 1376 Hijrah. Tunku waktu itu menyandang jawatan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri pertama kira-kira 3 bulan kemudian.

Di samping berkongsi beberapa fakta sebelum siaran, di tampalan ini, saya muatkan gambar, sebilangan barangkali tidak pernah dilihat oleh pembaca. 

Sewaktu menemubual bekas pengasuh anak Tunku, Salmiah Md Isa, 60 tahun, saya dimaklumkan, Bapa Kemerdekaan itu gemar makan sambal, tidak kira pagi, petang mahupun malam.
 

Al-Marhum juga diakui sentiasa sopan dan bersikap lemah lembut setiap kali berbicara dengan sesiapa sahaja.

Itu fakta.


Kejadian di sebalik tabir pembikinan dokumentari ini juga tidak kurang menarik. Bekas kediaman rasmi Tunku, Residensi di Kuala Lumpur dilengkapi sistem penghawa dingin lama sekaligus tidak menghasilkan hawa sejuk. Kain baju Melayu nipis saya pakai, basah akibat berpeluh.

Mujur kipas saya terjumpa kecil di lokasi sama digunakan untuk mengeringkan pakaian sebelum rakaman diteruskan.


Sambil duduk saya berpeluang menghayati pelbagai kisah menarik dikongsikan oleh Salmiah dalam loghat Kedah.


Berikut gambar bilik tidur serta koleksi pakaian dan kasut Al-marhum dirakamkan di Residensi. Tanpa kebenaran bertulis, pengunjung tidak dilarang merekodkan gambar di lokasi terbabit.


Kru bertugas juga tidak melepaskan peluang keemasan itu untuk mengabadikan gambar di ruang makan Residensi.


Pada hari sama, 10 Julai lalu, saya ke Jinjang, Kuala Lumpur, bertemu bekas pemandu peribadi Tunku, R. Kalimuthoo, kini menetap di rumah anaknya.

Sebaik tiba di kawasan perumahan itu, saya disambut anak Kalimuthoo, Bala.


Ayahnya, Kalimuthoo kini dalam keadaan terlalu uzur, pernah berkhidmat lebih 40 tahun sebagai pemandu bekas Perdana Menteri Malaysia terbabit.

Sedih saya melihat keadaan Kalimuthoo sewaktu kali pertama bersua muka dengan beliau. Tangannya mengeletar tanpa henti dan ingatannya pudar namun semangatnya untuk berkongsi kisah silam tetap terserlah.


Sepatutnya waktu rakaman dijangkakan kurang 30 minit sahaja tetapi saya berada di rumah mereka lebih 90 minit.

Terlalu sukar untuk beliau memberikan respon kepada majoriti soalan saya ajukan. Peristiwa diabadikan lipatan sejarah, sukar dirungkaikan namun saya tetap mencuba biarpun terpaksa bertanyakan soalan sama berulang kali sebelum dijawab.


Beliau kini berusia 86 tahun, hanya menerima bayaran pencen RM480 sebulan. Berikutan itu saya telah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur agar beliau dibantu untuk hidup lebih selesa.

Maklumat terkini saya perolehi, pegawai JKM dilaporkan telah berkunjung ke rumah terbabit sebelum ini namun beliau dan keluarga tiada di rumah. Saya masih berharap, usaha JKM untuk membantu Kalimuthoo diteruskan dengan kaedah proaktif. Masakan individu pernah berkhidmat kepada Tunku tanpa kesetiaan berbelah bahagi tidak mampu dijengok sekali lagi sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.


Berikut perakuan bertulis ditandatangani oleh Tunku berhubung jasa Kalimuthoo kepada beliau sewaktu hidup.


Jika sumbangan Kalimuthoo secara tulus dan jelas diakui oleh Tunku, masakan tiada pihak bertanggungjawab terbuka hati untuk menjenguk bekas pemandu itu sewaktu beliau uzur dan hidup serba kekurangan. 

Di akhir pertemuan, hati saya berasa amat tersentuh melihat Kalimuthoo melaungkan 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!, biarpun beliau kelihatan sukar untuk mengangkat tangan kanannya, tangan suatu ketika dahulu digunakan untuk memutar stering kenderaan dinaiki oleh Bapa Kemerdekaan.


Di dalam dokumentari sama, saya kongsikan juga hasil temubual bersama anak angkat Tunku, Datin Syarifah Maheran Syed Kassim, Pangarah Bahagian Arkib Negarawan, Ihsan Hassan, Pengerusi Masjid Jamek Alam Shah, Kuala Lumpur  Hj. Ridzwan Idris dan bekas pegawai kanan Polis, Datuk Sri JJ Raj. Mereka semua bercerita berhubung sambutan Hari Raya Tunku pada tahun 1957.


'Jadi pada masa itu orang cukup meriah, bila sebelum Tunku datang (ke Masjid Alam Shah) semua keluar, kat padang ini lah keluar. Budak-budak cukup meriah betullah, semua hendak merasa bersalaman dengan Tunku Abdul Rahman. Dia pun seronok,senyumlah. Semuanya dibawa masuk oleh pengerusi Tuan Imam, Tuan Hj Abdul Wahab - Hj. Ridzwan Idris'


'Almarhum juga telah sempat bersama-sama dengan rakyat Persekutuan Tanah Melayu untuk meraikan Hari Raya Aidil Fitri selama 9 hari di mana Almarhum telah berangkat ke London pada tengah hari 9 hari bulan Mei  1957 - Ihsan Hassn' 


'Tunku made it very clear. Citizenship one saja. Either you are a citizen of Malaysia or citizen lain country, tak boleh ada dua, you cannot be citizen of Malaysia dan juga citizen of Britain, India ke China ke apa. Tunku made it very clear.  Ini hal mustahaklah. Citizenshipship if you want only Malaysia - Datuk Seri JJ Raj'


'Macam malam raya, buat kuih, Mak Engku hendak buat kuih, dia buat sendiri, tak nak beli di luar. Kuih-kuih dia buat tradisional punya kuih lah, yang mana Tunku suka - Datin Sharifah Maheran Syed Kassim'

Jika pembaca sudi menonton dokumentari Raya Bapa Merdeka pada 31 Ogos, jam 1 tengah hari, InsyaAllah, pelbagai maklumat istimewa berhubung Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bakal saya kongsikan bersama semua.

Kepada pembaca beragama Islam, selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin serta selamat bercuti panjang.

9 ulasan:

  1. smti...x sabar nak tgu dokumentari tuh...mesti la saya sudi..abg sudi berkongsi cerita, saya sudi membacanya... :)

    BalasPadam
  2. setiap kali baca pasal pemandu TAR... terasa naik bulu roma..rasanya dia adalah antara yang paling rapat dgn TAR

    BalasPadam
  3. sangat menarik jika suka pada sejarah..saya akan tunggu ia bersiaran.

    BalasPadam
  4. minal aidil walfaizin...

    maaf zahir & batin...

    menunggu siaran seterusnya...

    BalasPadam
  5. smti...
    Insyaallah...saya akan meluangkan masa untuk menunggu siaran tu bro...tahniah..

    BalasPadam
  6. Sungguh BESAR jasa Bapa Kemerdekaan.

    Sungguh BESAR jasa Kalimuthoo kepada Bapa Kemerdekaan.

    Amat berharap pihak JKM berBESAR hati menjejaki semula Kalimuthoo dan berikan apa yg selayaknya, biarpun tidak seBESAR mana buat insan yg tidak berpangkat BESAR tersebut namun ketaatannya kepada insan BESAR yang menyumbang kepada keMERDEKAan negara kita amatlah BESAR ertinya kepada Kalimuthoo.

    Saya & biras dah janji masak Nasi briyani utk mkn tengahari & spagetti utk mkn pagi sekaligus di awal pagi di rmh Mak Mertua - Dpt le ngadap TV jam 1 tengahari tu.

    BalasPadam
  7. smti..

    tak sabar nak tengok dokumentari ini.. syabas cik Mazidul n team.. :)

    BalasPadam
  8. Salam Tuan Mazidul,
    Saya guru sejarah di SMK Keratong Pahang. Bagaimana saya ingin mendapatkan salinan dokumentari arahan tuan ini?

    BalasPadam
  9. Salam Cikgu Hang Tuah.

    Setiap dokumanteri diterbitkan oleh Primeworks Studios, hak cipta terpelihara justeru untuk mendapatkan salinan paparan terbabit, cikgu harus menghubungi TV3 menggunakan nombor 03 772 66 333 dan berhubung dengan Bahagian Arkib, jika ingin mendapatkan salinan.

    Tanyakan kakitangan bahagian itu, kaedah untuk mendapatkan salinan dan nyatakan sekali tujuan penggunaan bahan arkib itu.

    Terima kasih.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.