Jumaat, Ogos 15, 2008

Jalannya bongkok ..

[ Pic: Pagar 'koyak' ]

Saya, wartawan 360, Harris dan jurukamera, Nong tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Lumpur, Kuantan, Pahang pada jam 10.30 pagi semalam.

“Kat mana bangunan sekolah baru under construction tu?,” soal saya kepada Harris.

“Tu bang, kat sana,” katanya.

Lalu kami bertiga melangkah menuju kawasan ditunjuk Harris. Berjalan seiring bersama bagai tiga bujang lapok jika diperhatikan dari jauh. Bagaimanapun kami tidak menyanyikan lagu ..

“Pok! Pok! Pok! Bujang lapok, ada mancis tak ada rokok ..”

Tiada kegembiraan terpancar di wajah Harris dan Nong, tiada senyuman diukirkan. Tiada jenaka dicetuskan. Mereka kelihatan lebih serius berbanding biasa. Semakin hampir ke tapak pembinaan itu, semakin terasa debaran teramat di dada. Di tangan Nong, kamera Panasonic DVX 102A berlensa Leica. Di leher saya tergantung kamera Canon G9.

“Tu ada pekerja Indonesia, pergi lah interview dia,” pinta saya kepada Harris.

Harris melangkah menuju terus ke rumah kongsi bersama Nong. Saya berhenti seketika lalu merakamkan gambar lubang terdalam dikorek berjarak kira-kira 3 meter dari pagar sekolah. Tetapi saya dapat merasakan ada sesuatu berbeza. Bulu roma saya meremang secara tiba-tiba. Jantung mula berdegup kencang. Saya hairan, cuaca terang benderang, setiap klik! kamera merakamkan gambar gelap bagaikan kekurangan cahaya.

Aiks! Tak set ke auto ke kamera ni? Tanya hati kepada diri sendiri. Pantas saya membelek kamera. Setting masih pada ‘auto’, tiada sebarang perubahan. Saya rakamkan beberapa gambar lain. Gambar cerucuk besi, lopak air dan longgokan tanah. Ada gambar gelap, ada gambar terang.

Tanpa berlengah saya berjalan pantas menuju ke kongsi berhampiran, waktu itu Harris mula menemubual pekerja binaan, Khatijah Sultani, 37 tahun berasal dari Jawa Timur, Indonesia.

“Saya mula kerja sini sejak lima bulan lalu. Lepas korek tanah tu, cuck besi, saya selalu dengar suara macam budak tengah sekolah pukul dua, tiga pagi. Tapi ada juga bunyi nangis nangis, dekat pagar sekolah ‘koyak’ tu. Ada lima enam orang, macam tu lah,” jelasnya.

“Lepas tu apa jadi?,” soal Harris.

“Lepas tu pelajar perempuan sekolah ni mula jerit jerit jadi gila (histeria), baring baring tepi pagar lima enam orang,” jawabnya tenang.

Jarak dari kongsi ke bangunan sekolah saya anggarkan hanya 15 meter.

“Takut?,” soal Harris lagi.

“Takut. Tapi biasanya lepas sembahyang subuh saya keluar dari rumah ni. Berdiri di luar. Barangkali memang ada makhuk halus ganggu,” responnya.

Kami kemudian menamatkan temubual dan mengucapkan terima kasih kepada Khatijah sebelum kembali semula ke tapak pembinaan berhampiran sekolah.

“Nong, sebab apa gambar saya ambil ni sekejap gelap, sekejap terang?,” soal saya kehairanan.

“Saya pun sama lah bang. Kamera ni selalunya kalau cuaca terang macam ni guna filter 1/64 aje. Ni nampak gelap, tapi kamera ni tak minta turunkan filter jadi 1/8 supaya jadi terang. Mata saya ni pedih gila. Bila pejam lama sikit, buka, saya nampak asap ni,” ujarnya.

Terus terang, ketika itu hati saya semakin berdebar. Mungkin setiap gerak geri kami diperhatikan entiti di kawasan sama.

“Dua kamera kita ni rosak kut,” balas saya untuk menenangkan jiwa buat seketika.

Harris mendengar perbincangan kami, khusyuk. Saya tahu dia juga hairan dan mindanya dihantui pelbagai persoalan tanpa jawaban.

“Engkau orang berdua jangan buat hal kena rasuk pula kat sini, aku sepak nanti!,” saya bergurau dalam tegas.

Harris menoleh ke arah saya.

“Habis, itu kalau kami dua orang kena rasuk, kalau abang kena, macamana?,” pantas Harris bersuara sambil tersenyum.

“Payah,” balas saya.

Kami kemudian mengambil keputusan meninggalkan tapak pembinaan itu secepat mungkin. Ketika itu jam di tangan saya menunjukkan pukul 11.45 pagi.

“Jom kita masuk kat hutan tu,” cadang Nong sambil menunjuk ke arah hutan dipenuhi pohon tinggi di belakang kongsi.

“Jangan buat gila. Jom blah,” ujar saya.

Berhampiran pintu sekolah kami temui, Idros Sulong, 39 tahun. Anak perempuannya, pelajar tingkatan dua didakwa diserang histeria 14 kali sebelum ini.

“Sebelum kena tu, jari dia jadi bengkok, masa tu dia sedar lagi. Lepas tu dia mula berjalan bongkok macam orang tua, senyap tak cakap apa. Tapi kalau kita halang dia berjalan, dia start mengamuk, suara jadi kasar, bukan suara dia,” sambil menggayakannya aksi anaknya.

“Pulihkan macamana?,” soal Harris.

“Kena bawa dia balik ke tapak pembinaan belakang sekolah tu la. Cakap elok elok, keluar la, dia ni pelajar, kena pergi sekolah. Kalau macam ni, macamana dia nak ke sekolah. Lepas tu dia akan pengsan sekejap, sapu muka dia baru sedar,” jelasnya.

Beberapa minit kemudian kenderaan pacuan empat roda berhenti berhampiran kami. Keluar lelaki berpakaian kemas bagai FBI caranya.

“Ni penolong pengarah pendidikan negeri,” kata pemandunya.

“Sorry. Kita tak benarkan reporter masuk,” kata pegawai pendidikan terbabit.

“Ish! Tak apa tuan, no problem. Saya sejak datang tadi pun tak ada minta nak masuk kawasan sekolah pun. Malas nak ganggu orang belajar. Tapi dia memang selalu macam tu, dah jadi adat. Kalau sekolah perlukan reporter, dia panggil tapi dalam kes macam ni dia tak bagi cover,” balas saya.

“Tolong! Jangan ambil gambar saya,” ujar beliau tegas.

Saya luahkan apa terlintas di fikiran melihat latahan beliau.

“Bagi tak bagi cover dalam compound sekolah, hak tuan. Ambil gambar ni, itu kerja kami,” balas saya.

Beliau dan kakitangannya melangkah masuk ke kenderaan lalu beredar meninggalkan sekolah terbabit.

“Tu la nasib baik saya tak ikut cakap guard sekolah tu. Dia kata Guru Besar cakap kalau saya nak jumpa dia di pejabat, ok. Katalah saya masuk jumpa dia tadi, puh! silap silap kena transfer pula dia, kesian,” ujar saya kepada penjual cendol berniaga di lokasi sama.

“Pelik sungguh,” balasnya ringkas.

Perkembangan terkini liputan krew 360 berhubung kes histeria di sekolah sama akan saya kongsikan bersama anda kemudian .. Siaran 360, 20 Ogos 2008.

6 ulasan:

  1. bRO, siaran 20 julai ke 20 ogos bro...kalau 20 julai dah lepas le..nak tgk jugak pasal histeria ni...

    BalasPadam
  2. encik mazidul, perasan tak encik tulis 20 Julai 2008 untuk siaran 360 nanti?? bukan dah lepas ke tu??

    BalasPadam
  3. keje wartawan ni mmg mncabar ek.nak dealing dgn manusia la,entiti la...

    BalasPadam
  4. Kamera tak function dengan betul?

    Hmmm, selain dari setting, medan magnet yang besar, perubahan cahaya mendadak juga boleh menyebabkan kecelaruan pada sistem.

    Guna kaedah manual dan tak perlu letak pada auto untuk mengatasinya. 102 especially kalau baru keluar dari aorcond and terus ke kawasan panas, ada kabus dalam lense. Tu yang nampak asap kabus tu...

    Apapun,benar kata bro;kenapa histeria serang sekolah melayu sahaja?

    BalasPadam
  5. Cik MAzidul sepatutnya siarkan gambar yg mempunyai masaalah tu dlam blog ni...sekurang2nya dapat kita tgk macamana & mungkin juga para paranormal bolih berkongsi pendapat dgn cik Mazidul.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.