Jumaat, Ogos 17, 2012

ORANG DALAM GELAP DI KOTA BHARU

"Beberapa hari sebelum Hari  Raya Aidilfitri, memang ramai orang berada di kawasan berhampiran Masjid Muhammadi, kalau Mazidul hendak tengok, kita boleh pergi," ujar Roslan Razak.

Kali terakhir saya bertemu Roslan, 24 tahun lalu sewaktu bersama menuntut di Kolej Pengajian Persediaan, Seksyen 17, Shaah Alam, Selangor.

Malam tadi kami bersama menjamu selera di gerai menjual mi udang di Badang, Kota Bharu. Saya pernah berkunjung ke gerai itu beberapa tahun lalu dan gambar berikut dirakamkan.


Sahabat saya, Ustaz Zaharuddin Zainal kemudian memandu dari Pasir Mas untuk bersama kami di gerai sama.


Selesai menjamu selera, kami bergerak ke lokasi dicadangkan oleh Roslan. Sebaik tiba saya dan rakan berjalan menuju ke arah sekumpulan lelaki, perempuan dan kanak-kanak duduk dan tidur di kaki lima di hadapan hotel. 


Anak kecil mereka tidur di atas simen, berselimutkan kain nipis.


"Siapakah mereka ini?," soal saya kepada Roslan.

"Majoriti dari Thailand dan sebilangan warga tempatan. Mereka menunggu orang untuk memberikan sumbangan zakat. Pada malam Hari Raya, satu round about di kawasan ini penuh," balasnya.

Setelah merakamkan gambar,  kami beredar.

Sebaik kumpulan kedua kami dekati, terdengar jeritan maki hamun oleh wanita saya rakamkan sebelum itu. Dia bak kerasukan.

Kenderaan dipandu oleh Roslan diparkir kurang 100 meter dari lokasi kumpulan pertama duduk.


"Saya mengayuh beca di siang hari dan duduk di sini bersama isteri sekadar bersembang bersama rakan," ujar lelaki berkopiah.

Jam tangan saya menunjukkan pukul 12.41 pagi.

Aneh benar bersembang di dalam gelap di tepi jalan pada waktu itu. Saya merekodkan visual mereka menggunakan night vision mode.


"Tengok, itu mesti dari Thailand, mereka melarikan diri," kata Roslan.


Beberapa minit kami berada di situ, beberapa kumpulan lain menghilangkan diri di celah bangunan berhampiran.

Remaja mengayuh basikal di bawah kelihatan tenang membawa anak kecil.  


Gambar di atas, dirakamkan oleh Ustaz Zaharuddin pada jam 12.48 pagi.

"Memang ada van membawa sebilangan mereka ke sini," jelas Roslan.

Menurut lelaki di bawah, dia mempunyai 2 anak perempuan kini menetap di Kuala Lumpur. Akibat kesesakan wang, dia dan isteri berada di lokasi itu.


"Lazimnya sebilangan orang kaya datang ke sini dan menghulurkan wang zakat kepada mereka," celah Roslan.

Saya berasa sedikit hairan namun barangkali itu antara kaedah pembayaran zakat di Kota Bharu.

Kira-kira jam 1.10 pagi, saya dan Roslan mengucapkan selamat tinggal kepada Ustaz Zaharudin sebelum bergerak ke hotel. Kurang 2 minit memandu Roslan memberhentikan kenderaan dipandunya.

"Tayar kanan hadapan rasanya macam tidak ada angin," katanya.


Jangkaan Roslan, tepat.


"Penutup angin tayar hadapan ini telah dibuka, belakang pun telah dilonggarkan," celah Roslan.


Penutup angin tayar belakang kemudian diketatkan.

Pada jam 1.13 pagi, saya berasa sedikit sesal kerana rakan saya terpaksa berhadapan situasi sukar sebegitu. Ustaz Zaharuddin memandu seiringan kami kemudian memberhentikan kenderaannya di kawasan berhampiran.

Tiga minit kemudian kereta Unit Peronda Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu berkebetulan lalu di jalan sama, berhenti.


"Biar saya bawa tayar ke stesyen minyak terdekat, untuk dipam," ujar Kopral Hassan Yunus.

Dia kemudian membantu menanggalkan tayar pancit.


Sarjan Halim Hamzah turut membantu menanggalkan tayar biarpun saya tahu itu bukan tugas mereka sebagai anggota peronda. Dia pernah bertugas selama 10 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Johor.

Saya perhatikan peluh memercik di dahi mereka.

Peluh, lambang keikhlasan mereka membantu orang ramai.

"Kopral bercuti Hari Raya ke?," soal saya.

"Tidak, saya orang tempatan, biarlah rakan lain bercuti," ujar ayah kepada 6 anak itu.

Wow! Saya berasa tidak ubah seperti menonton  iklan Hari Raya tajaan syarikat ternama sedang ditayangkan di layar dunia.

Hati saya tersentuh melihat pengorbanan mereka sekaligus saya mendoakan semoga Allah terus memelihara keselamatan mereka berdua.

Setelah tayar ditanggalkan, Kopral Hassan bergerak ke stesyen minyak dan kembali semula kira-kira 15 minit kemudian dengan tayar dipam.


Tayar siap dipasang kembali pada jam 1.44 pagi.

Terima kasih kepada Sarjan Halim, Kopral Hassan dan rakam Roslan sudi berhenti dan meminjamkan peralatan menanggalkan tayar.


Selamat Hari Raya kepada mereka dan semua pembaca blog ini.

14 ulasan:

  1. Tak pelik pun cara pembayaran zakat tu. Syarat sah bayar zakat adalah niat dan bagi kepada orang yang berhak. Cuma bila ada pihak berkuasa yang agihkan, itu mudahkan pembayar itu sendiri.

    BalasPadam
  2. Duduk dalam gelap itu pelik.

    Kota Bharu banyak lokasi bercahaya. Masjid berhapiran penuh lampu.

    BalasPadam
  3. Wow, dah masuk blog, COOL! Hahaha... 24 tahun tak jumpa sekali macam-macam pengalaman dirempuhi untuk satu malam. Kira "qadha" ke apa, hehehe... Anyway, good to see you in person at last. Keep in touch Maz!
    - ROSLAN

    BalasPadam
  4. itu memang pelik.

    apapun, selamat hari raya bro mazidul. maaf zahir batin atas silap dan salah yang lepas.

    BalasPadam
  5. Polis yg baik memang masih ramai di malaysia ni, puak yg tak sedar diri je yg selalu kutuk polis

    BalasPadam
  6. Mgkin ada rasa malu.. Tu sbb diorg dduk dlm gelap.. Allahua'lam

    BalasPadam
  7. Selamat hari raya Aidil Fitri, mohon maaf zahir dan batin dari kakcik buat Sdr Mazidul sekeluarga. :)

    BalasPadam
  8. Bangga dengan sikap baik budi angota PDRM sekarang... mereka sudi dan ikhlas memberikan pertolongan biarpun bukanlah tugas mereka..
    mungkin inilah penambahbaikan PDRM ... dan Salam AidilFitri buat Sdr Mazidul juga.. juga semua pembaca blog Mazidul ini

    http://kurasakukata.blogspot.com/

    BalasPadam
  9. Saya tak kisah tentang cara pembayaran zakat tu, cuma betul ke orang2 tersebut golongan yang berhak atau saja berlakon. Maklum la pengemis sekarang nie pun mampu mendapat ribuan ringgit sebulan dan tinggal di rumah besar hasil dari kerja mengemis mereka.

    BalasPadam
  10. SMTI..hati tersentuh melihat anggota keselamatan yang terpaksa berkorban..bukan mereka sahaja yang berkorban, keluarga mereka turut berkorban..rasa gembira meraikan lebaran bersama keluarga..moga rahmat ALLAH sentiasa bersama mereka...

    BalasPadam
  11. Selamat Hari Raya juga Mazidul. Mungkin lain kali dapat berjumpa. Hehehe.

    BalasPadam
  12. jasa dan perngorbanan PDRM tidak ternilai harganya...apa2 pun..Selamat Hari Raya Bro Mazidul....

    BalasPadam
  13. ana bersetuju dengan komen izni hafiz abdul rashid. bukannya nak mempertikaikan cara pembayaran zakat dgn bagi duit direct kepada org2 yg tunggu kat tepi jalan gelap tu, tapi org yang layak menerima zakat adalah org dari golongan asnaf. adakah mereka itu benar2 golongan asnaf? atau mungkin menyamar dan berlakon seperti mana yang dah banyak bro mazidul dedahkan dalam blog ini.

    http://buasirotak.blogspot.com/

    BalasPadam
  14. Kalau di Pulau Pinang tempat yg akan menjadi tumpuan adalah Tanah Perkuburan Jalan Perak. Pada hari raya pertama kawasan kubur dibanjiri oleh ramai org yg meminta sedekah.Bukan sahaja melayu malah bangsa lain juga ada yg turut serta.Dan yg paling pelik apabila sesetengah dari mereka berpakaian yg kemas tapi masih meminta sedekah.Waallahualam

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.