Sabtu, Ogos 18, 2012

UNTUNG TAUKEH PREMIS JUDI DI SLIM VILLAGE (KERANA SYAWAL DATANG LAGI)

Tiga puluh lapan tahun lalu, ketika tinggal di kampung, saya tidak mampu membayangkan bagaimanakah suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri di bandaraya.

Di kampung, biarpun tanpa bekalan elektrik, sambutan hari lebaran tetap meriah.

Sehari sebelum 1 Syawal, penduduk kampung khusunya kaum lelaki sibuk mencari buluh lemang dan daun pisang di hutan. Semua ahli keluarga berada dalam keadaan ceria, menunggu sanak saudara pulang dari bandaraya.

Kini, majoriti kita tidak lagi perlu memasak lemang di halaman belakang rumah, beli sahaja beberapa batang di gerai pinggir jalan, hanya RM10 sebatang. Mata tidak pedih, waktu tidak terbuang, ahli keluarga serta tetamu tetap kenyang.

Jika kurang bernasib baik, lemang dibeli terlebih masin atau beras pulut mentah di dalam, tong sampahkan sahaja dan beli lain daripada penjual lemang berbeza.

Mesti ada lemang terbaik di luar sana.

Sewaktu saya kecil, tiada budaya memnghulurkan duit raya kepada setiap anak kecil datang bertandang.
Mereka hanya berkunjung untuk makan kuih muih dihidangkan dek tuan rumah. Selepas bersalaman memohon ampun dan maaf, mereka kemudian bergerak ke rumah lain. Duit raya hanya diberikan oleh saudara terdekat, bapa saudara, ibu saudara, datuk dan juga nenek.

Pada tahun 1974, duit raya RM5 dianggap terlalu banyak. Lazimnya hanya 20 dan 50 sen diberikan kepada kanak-kanak. Wang dikumpul digunakan untuk membeli air oren di dalam botol tidak lut sinar, bunga api, mercun, daun terup bersaiz kecil dan getah bulat untuk dijadikan mainan. Jika berkebetulan, hari lebaran semusim dengan permainan guli, maka guli pasti lebih laku di kedai runcit.

Tersenyum taukeh kedai kerana bisnes menjadi.

Kini pekan Slim Village, Perak, lokasi saya membeli guli berwarna-warni puluhan tahun dahulu sudah jauh berubah. Bisnes mesin judi lebih menjadi, mendapat sambutan penduduk tempatan dan Orang Asli.

Biarpun Iman masjid, Ketua Kampung di kawasan sekitar pekan serta bekas pegawai polis menyuarakan ketidakpuasan hati, bagi taukeh judi, persetankan suara mereka.

Mengapakah harus komplen itu didengari? Mereka bukan Ketua Polis Daerah, OCPD atau Ketua Polis Balai. Sedangkan setelah diserbu berulang kali, premis judi masih teguh berdiri. Operasi dijalankan oleh pegawai dan anggota pasukan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Ibu Pejabat Polis Kontingen Perak, juga nampaknya tidak berkesan.

Wakil rakyat terkini, barangkali tidak akan bertanding lagi justeru mengapakah dia harus ambil peduli?

Untung taukeh judi, musim raya menjelma kembali. Poket kembung anak muda dan orang tua bakal kosong akibat wang diserahkan di kedai judi di Slim Village. Kelak habis semua duit hasil jualan petai dan getah beku.

Sebilangan pekerja kilang kereta nasional di Tanjung Malim dilaporkan turut serta memeriahkan suasana di premis sama. Hujung bulan, selepas Hari Raya, bersama mencangkung makan mi segera. Duit gaji diterima awal, tiada tinggal baki akibat bahana judi.

Pintu premis judi ditutup rapat manakala pergerakan keluar masuk pelanggan dipantau menggunakan CCTV. Khabarnya hanya mereka dikenali dibenarkan masuk untuk berjudi.

Hebat!

Siapakah tuan empunya premis? Dengarnya bukan Cina tempatan. Orang luar mencari ruang dan peluang, meraih rezeki secara mudah sekaligus menjahanamkan kehidupan sosial anak muda tempatan.

Kalau berpeluang, teringin benar saya menjemput OCPD Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim menziarahi premis judi di pagi Aidilfitri. Kalau benar kegiatan itu bercanggah dengan Akta Rumah Judi Terbuka 1953, pasti beliau dengan kadar segera mengarahkan anak buahnya memberhentikan operasi premis 'kebal' itu.

Dahulu, hanya ada permainan tikam tikam menwarkan hadiah bernilai murah. Pastinya mereka berusia sekitar 40 an, masih ingat peristiwa itu. Perjudian kecil kecilan.

Kini perjudian online menawarkan habuan puluhan ribu ringgit jika pelanggan ditakdirkan menang. Jika tewas, pulang sahaja ke rumah, tanggalkan baju Melayu dan tidur diulit mimpi ngeri.

Sekali lagi, kepada pihak polis berkaitan, saya memohon, tolong tutup kedai judi di pekan lokasi saya membeli guli, lebih 30 tahun lalu.

Selamat Hari Raya kepada semua pembaca blog ini tanpa mengira di mana anda berada.

posted from Bloggeroid

3 ulasan:

  1. 1. Apabila serbuan dibuat Pantau talian internet untuk mendapatkan IP address sambungan server dengan itu polis lagi mudah untuk menjejak sambungan internet yang menggunakan server judi.

    2. Batalkan perkhidmatan internet kepada nama pemunya bagi internet tersebut, dan halang selama setahun untuk membuka akaun internet, biasanya pembekal perkhidmatan TMnet.

    kalau setakat rampasan komputer dan modem mereka mampu beroperasi dengan cepat paling lama 3 hari, sebab untung paling kurang 4k satu hari, 4k x 30 = 120k

    3. Rampasan harta pemunya tempat judi tersebut, buat macam kes dadah.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.