Sabtu, Februari 28, 2009

Tulisan Buruk

Pelajar Sekolah Kebangsaan Sea Park, Petaling Jaya, Selangor berusia 8 tahun pulang ke rumah dalam keadaan keliru.

Bertemu ibu, dia bertanya …

“Kita dilarang merosakkan harta sekolah kan ibu?,” tanyanya.

“Ya,” jawab ibu.

“Tapi kenapa cikgu koyakkan sehelai buku latihan saya? Buku tu ibu beli. Sebab buku tu bukan harta sekolah, cikgu boleh koyak ya? Cikgu kata tulisan saya buruk, sebab itu dia koyak,” tanya pelajar itu kembali.

Mencari penjelasan, ibu pelajar menemui guru terbabit.

“Cikgu, anak saya jadi fobia nak buat homework, katanya kalau tulisan buruk, cikgu koyakkan buku?,” tanya ibu itu.

“Maaf ya puan, memang saya koyak. Itu cara saya mengajar, saya nak dia jadi pandai,” jawab cikgu.

Wajarkah kaedah mengajar cikgu terbabit?

Khamis, Februari 26, 2009

Hampir Muntah

Semalam 360 memaparkan kisah warga Bangladesh merempat di bawah jambatan berhampiran Stesyen LRT Damai, Jalan Dato’ Keramat, Kuala Lumpur. Lebih 500 warga terbabit mendakwa ditipu ejen, kini menganggur, hidup tanpa makanan dan bekalan air bersih selama lebih 7 bulan.

Menjijikkan, mereka terpaksa mandi dan menggosok gigi menggunakan air paip bocor bertakung di lantai kemudian dikitar semula. Saya hampir muntah sewaktu membuat liputan, mujur dapat ditahan.

Jam 12 malam tadi, Jabatan Imigresen Putrajaya menyerbu penempatan haram itu dan menahan lebih 170 warga Bangladesh.

360 bukan bertujuan membela pekerja warga asing teraniaya cuma mengelakkan Malaysia kelihatan negara mengabaikan hak asasi manusia di mata dunia.

Rabu, Februari 25, 2009

Main Kayu Tiga

“Kita dah intip banyak kali, bila suami dia kerja malam, isteri akan ‘seludup’ lelaki lain masuk ke rumah. Pukul 3 pagi, baru lelaki tu keluar. Ini, kes main kayu tiga, tak puas dengan suami dan isteri dia orang kut?,” kata pengawal keselamatan di satu kawasan perumahan.

Terbaru, mengikut kajian syarikat farmaseutikal Pfizer Malaysia, 73 peratus wanita dan 62 peratus lelaki tidak puas di ranjang berikutan majoriti mereka lebih mengutamakan kerjaya dan kehidupan keluarga.

Wanita meletakkan kegiatan seks pada tahap 14 daripada 17 senarai keutamaan hidup mereka.

Seks tidak penting bagi wanita?

Selasa, Februari 24, 2009

Peristiwa Terpencil

8 hari koma, pelajar tingkatan 4 dikatakan terbabit kes perebutan teman wanita dibelasah 24 remaja lain meninggal dunia 2 hari lalu. Hemat saya, majoriti remaja tidak mampu berfikir panjang sebelum bertindak. Mereka hanya ingin menyelesaikan masalah timbul mengikut cara tersendiri.

Rakan Facebook dari Brunei mencatatkan kejadian hampir sama berlaku di negaranya baru-baru ini. Dia bertanya, adakah saya berasa bimbang?

Saya nyatakan kejadian itu, peristiwa terpencil, bukan berlaku setiap hari. Apapun Kementerian Pendidikan dan polis harus meneliti kes terbabit dan melaksanakan tindakan sewajarnya agar tidak berulang pada masa akan datang.

Ahad, Februari 22, 2009

Blog Kurang Ajar

Pengirim email menghantarkan alamat berikut kepada saya.

http://id-top.blogspot.com/

Saya berharap kandungan blog ini TIDAK mewakili pandangan lebih 270 juta rakyat Indonesia.

Apatah lagi lebih 2 juta rakyat mereka bermaustautin, bekerja secara sah dan haram serta menjadi penjenayah di negara kita.

Jumaat, Februari 20, 2009

Enggan Berkongsi

Ini rentetan post ‘Kahwin Lagi’.

Rumusannya, majoriti wanita enggan dimadu dan kerap mendesak diceraikan jika suami mengambil keputusan berpoligami.

“Tak nak berkongsi kasih dan cinta dengan wanita lain!,” antara alasan mereka.

Sukar dan seksa benarkah ‘perkongsian’ itu jika berlaku?

Pelajar UITM Lendu Melaka

Tinjauan 360

Masa Depan Kelam

Air Kitar Semula

Di Bawah Jambatan

Tidur Bergelimpangan

5.30 pagi tadi saya meninjau kawasan bawah jambatan berhampiran Stesyen LRT Damai, Jalan Dato’ Keramat, Kuala Lumpur.

Terkejut, lebih 500 warga Bangladesh tidur bergelimpangan di lantai simen, tebing Sg. Kelang. Titisan air paip bocor, bekalan air mereka. Air dicedok dari lopak kecil di lantai digunakan untuk menggosok gigi dan mandi. Air itu kemudian dikitar semula digunakan semua. Mereka hanya makan sekali sehari, nasi kosong bercampur kuah kari.

Difahamkan, warga terbabit, mangsa penipuan ejen Bangladesh dan Malaysia. Setiap mereka membayar antara 10 dan 12 ribu ringgit untuk masuk ke negara kita.

“Sekarang kita kerja tadak, wang tadak, makan tadak, rumah tadak. Jumpa itu Bangladesh Embassy, dia orang halau sama kita. Kalau kerja tadak, kasi hantar kita orang balik, sana Bangladesh boleh hidup tapi tanam padi, tanam sayur,” jelas Shahin Babu Ali Shagar, 30 tahun.

Jika dipandang dek warga luar negara, Malaysia pasti dicop tidak mengambil kira hak asasi manusia.

Paparan terperinci, saksikan 360 siaran 25 Februari, jam 9 malam.

Khamis, Februari 19, 2009

Kahwin Lagi

Teman dari Johor Bahru, bergelar Datuk, 45 tahun, beristeri dan dikurniakan 4 anak. Beliau berjaya dalam bidang perniagaan diceburi sejak berusia 30 tahun, kini jutawan. Keluarga bahagia dijaga sempurna, hidup mewah dan dilayan bagai menatang minyak penuh. Bagaimanapun beliau tidak bongkak dalam pergaulan malah pemurah membantu golongan susah.

“Aku nak kahwin lagi satu. Bakal isteri aku lebih muda, aku suka dia. Bukan sebab nafsu tetapi aku takut terbabit dengan zina. Cuma tak tahu BAGAIMANA nak bagi tahu isteri supaya semuanya baik,” ujar beliau.

Dari raut wajah beliau, saya pasti keputusan itu muktamad. Sebagai sahabat saya merestui hasrat itu.

Beliau harus berkata ...

"Sayang, Abang sebenarnya ... "

Selasa, Februari 17, 2009

Dia Ah Hu Chai

Tahun 1972 saya tinggal di lombong bijih timah, di Kundang, Selangor mengikut ayah bekerja. Di lombong itu tiada kanak-kanak lain kecuali anak Cina bernama Ah Hu Chai seusia saya, 5 tahun.

Bagaimanapun ketika saya ke kelas Tadika di Rawang, Ah Hu Chai tidak bersekolah. Lombong seluas saujana mata memandang itu, halaman rumah, tempat dia bermain berseorangan. Ibu kanak-kanak tanpa bapa itu bekerja sebagai tukang masak di kongsi pekerja lombong.

Tengahari, pulang dari Tadika, saya pasti mencari Ah Hu Chai, dia juga mencari saya. Kami menangkap anak berudu bersama, makan buah ceri dan senduduk, mengumpul bunga lalang dan mencuri rokok ‘Rough Rider’ lebihan pekerja lombong ditinggalkan di atas pangkin. Kami gembira biarpun tanpa ‘Play Station’. Hampir senja, kami mengejutkan apek tua kencing di tempayan besar di tepi kongsi. Air kencing dikumpul ketika itu dibuat menyiram sayur-sayuran. Disergah apek tua, kami menangis bersama.

Dua tahun kemudian, saya pulang ke kampung di Tanjung Malim, Perak menyambung pelajaran ke darjah satu. Ah Hu Chai tidak bernasib baik, dia dikatakan dijual ibu kepada orang lain akibat kemiskinan.

Apapun dia, kawan baik pertama saya.

Kawan baik anda masih ada? Biar semua orang tahu ...

Perigi Mencari Timba

Lelaki dan perempuan punyai keinginan hampir sama, berbeza cuma jantina.

“Kau jangan buat hal Tijah, kalau pekenan sekalipun dengan Manan anak Haji Dollah tu, biarlah dia mengurat kau, jangan terbalik pula. Melanggar adat pula nanti, perigi cari timba, malu kita sekeluarga,” nasihat orang dulu-dulu.

Di zaman moden ini, mungkin wajarkah jika dibiarkan ''perigi mencari timba'?

Apa salahnya? Fikirkan.

Isnin, Februari 16, 2009

Saiz Payu Dara

Wanita warga China, Zhao mengambil keputusan mendedahkan dada sambil memukul gong di luar hospital didakwa gagal membesarkan payu daranya.

Dulu, pelajar warga Indonesia, 22 tahun menuntut di Belanda meninggal dunia sebaik payu daranya disuntik colagen, cecair dikatakan mampu membesarkan perhiasan wanita itu kemudian bertukar menjadi racun di dalam darahnya. Saya membuat liputan kes terbabit di Jakarta.

Mengapa sebilangan wanita tidak berpuas hati berhubung saiz payu dara mereka sehingga sanggup mengaibkan diri dan menyabung nyawa?

Tidak bersyukur dengan kurniaan Tuhan?

Ahad, Februari 15, 2009

Lena Di Bukit Bintang

Berkasih di Valentine's Day

Kekasih Ku Pengkid ( Velantine's Day )

Berani Tidak Bertempat

Semalam kawasan berhampiran Lot 10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur dibanjiri masyarakat pelbilang kaum. Majoriti remaja, Melayu, ahli kumpulan tarian shuffle, tetronic dan hip hop.

“Jangan ambik gambar saya!,” remaja mulut berbau arak memberi amaran.

Dia berjalan terhoyong-hayang.

“Tak ambil gambar awak pun,” jelas saya.

Tidak berpuas hati, dia mendekati saya sekaligus menghamburkan kata kesat lahir dari pemikiran tidak stabil.

“Saya ni penakut, dah tua pulak tu, janganlah marah, cemas saya ni. Tapi awak jangan cabar saya, takut kalau saya jadi berani, nanti susah awak,” saya mengusiknya.

Sebelum beredar, dia sempat membaling aiskrim Conneto ke arah saya tetapi tersasar.

Hairan, usia setahun jagung, ingin menjolok sarang tebuan. Berani kerana dipengaruhi alkohol. Berkeinginan menjadi hero tetapi tersalah tempat. Itulah antara kerenah remaja kita.

Tidak salah menunjukkan kemahiran menari tetapi lakukan secara profesional, bukan terkinja-kinja di khalayak ramai menjadi tontonan masyarakat tempatan dan luar negara. Jelak melihat remaja Melayu seawal usia 15 tahun berpelukan dengan teman wanita tanpa segan silu. Difahamkan, sebilangan remaja berkumpul di kawasan sama, ketagihan arak murah.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur harus bertindak tegas memastikan kegiatan ratusan remaja terbabit tidak mencemarkan imej bandaraya.

Sabtu, Februari 14, 2009

Suka Apa?

Ramai suka makan, saya pun sama.

Sejak kecil gemar juadah ikan kembung digoreng garing dicecah campuran kicap, bawang merah dihiris halus dan cili padi. Petai dan ikan sepat masin, kombinasi hidangan sukar ditolak. Sayur kesukaan saya, baby carrot dimakan mentah bersama dressing Thousand Island. Kalau di kampung, salad dicecah sambal belacan juga menyelerakan.

Anda suka makan apa?

Motif Sebenar?

Saya sempat menonton program realiti One In A Million di TV8 malam tadi. Penyanyi New Boys, Tomok, artis kelahiran Akademi Fantasia, Amelia dan Mentor, Pija antara peserta layak sebagai Top 12.

Hairan, biarpun sudah cukup dikenali, mereka kelihatan berkeinginan tinggi menjadi juara program realiti terbabit.

Motif sebenar, meraih ilmu mempertingkatkan kualiti persembahan atau memburu hadiah lumayan sejuta ringgit?

Jumaat, Februari 13, 2009

Belasah Peragut

Kejadian ragut antara kes jenayah harta benda berlaku setiap hari di negara kita. Dalam sebilangan kes, mangsa wanita mati atau mengalami kecederaan parah. Majoriti suspek kes ragut berjaya memboloskan diri memperolehi hasil tidak seberapa tetapi nyata menyusahkan mangsa.

Jika suspek ditahan orang ramai, kerap mereka dibelasah, majoriti hingga separuh mati. Wajarkan tindakan itu? Menghukum suspek tanpa dibicarakan.

Tahniah Datuk

Hingga Akhir Nanti, Andai Aku Pergi Dulu, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Setahun Sudah Berlalu, Nota Terakhir antara lagu dendangan kumpulan ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1969 dan popular setahun kemudian, Alleycats.

Vokalis, Loganathan Arumugam meninggal dunia pada 4 Jun 2007 akibat kanser. Manakala vokalis utama, David Arumugam masih terus menghiburkan peminat sejak 40 tahun lalu.

Semalam David dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun hari keputeraan ke-78 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Turut menerima darjah sama, Khatijah Ibrahim.

Tahniah Datuk David dan Datuk Khatijah atas perjuangan seni hiburan anda berdua selama ini.

Khamis, Februari 12, 2009

Asma Ghani AF

“Bang, apa khabar?,” katanya sambil menghulurkan tangan bersalaman.

“Baik,” balas saya.

“Tak kenal ke? Mas lah, Mas AF,” katanya.

“Ok”

Saya tidak pernah bertemu Asma Ghani, 28 tahun, Mas, peserta program realiti itu. Hanya sekadar menyaksikan persembahannya di kaca televisyen. Secara peribadi, dia kelihatan peramah dan beradap orangnya.

Terkejut, Khamis lalu, dia dilapor menimbulkan kekecohan di Balai Polis Ampang Jaya, Selangor. Mas kemudian dimasukkan ke wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur selama 6 hari. Dia dikatakan mengalami tekanan emosi berikutan masalah percintaan dan kerjaya. Kini dia pulang ke kampung halamannya di Tawau, Sabah.

Bukan mudah menjadi artis, itu kesimpulan saya. Banyak cabaran terpaksa dilalui. Penghijrahan ke bandaraya tidak semestinya menjamin kesempurnaan hidup. Hanya sebilangan dapat mengharungi, selebihnya tidak.

Andai Wanita Berpoligami

Lelaki Islam dibenarkan berkahwin lebih daripada satu, berpoligami. Ramai didakwa tidak mampu berlaku adil dari aspek keperluan fizikal dan batin isteri dan anak-anak. Tidak kurang lelaki berpoligami sekadar bertujuan melampiaskan nafsu serakah menikmati ‘daging muda’. Namun, tidak dinafikan sebilangan mereka adil, bertanggungjawab dan bahagia.

Terfikir, jika wanita dibenarkan berpoligami, apa terjadi?

Tidak tercapai dek akal jika isteri megah berkata ...

"I dah bosan dengan laki pertama, anak pun dah ramai dengan dia. Sepatutnya malam ni balik rumah dia, tapi malas. Laki ke dua pula dah tua, tak bertenaga, dulu singa, sekarang tikus tak bergigi. Ni tengah fikir nak bermalam dengan laki ke tiga atau ke empat. Dulu mula-mula ikut rotation, satu, dua, tiga, empat. Sekarang ni dah haru biru"

Rabu, Februari 11, 2009

Ketelusan Wajah

Semalam saya bertemu Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail di pejabat beliau. Saya rakamkan komen berhubung dakwaan kes berlakunya pembunuhan kejam haiwan, anjing dan kucing di Pusat Kurungan Haiwan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Setapak, Selangor.

“To tell you the truth, I am not being defensive. Saya boleh line up kan semua 16 pekerja tu. Kalau you boleh identify which one pekerja buat kerja tidak betul tu, saya akan ambil disiplinary action against them. Nama, alamat you kita takkan expose. Tapi you kena buat official report. Saya tak marah, malah berterima kasih kerana you all sanggup datang ke sini buat aduan,” ujar beliau kepada dua saksi kejadian kami bawa bersama menemui beliau.

Saya melihat ketelusan pada wajah beliau.

Kucing didakwa dilemaskan di dalam bekas takungan air kemudian dibelasah sehingga mati sekiranya masih bernyawa. Manakala leher anjing dijerut patah.

Susulan paparan siaran 360 4 Februari lalu boleh anda saksikan malam ini pada jam 9 malam di TV3.

Isnin, Februari 09, 2009

Selamatkah Malaysia?

Kajian dijalankan berhubung sejauhmana selamatnya tinggal di 60 negara di dunia termasuk Malaysia. Kedudukan pertama, paling tidak selamat, 60 paling selamat.

Jangkaan anda, negara kita berada di tangga ke berapa?

a) 5 b) 15 c) 25 d) 50 e) 60

Jawabannya akan saya catatkan di ruangan komen post ini selepas rancangan Malaysia Hari Ini esok.

Cuba jawab dulu.

Ahad, Februari 08, 2009

Jimat Masa Dan Kos

“Bang! Jangan lupa tulis dalam blog, saya single tau. Manalah tau ada awek baca blog lu nak contact gua,” ujar wartawan RTM, Alonk sewaktu gambar dirakamkan jam 2.30 pagi tadi di lokasi kejadian ahli ‘Geng Aboy’ ditembak mati.

“Uh! Sejak bila blog ni jadi ruangan Kembang Setaman?,” bisik hati saya.

Dari kiri, Apip TV3, Apip RTM, Khairi RTM, Alonk RTM.

Jam 1.30 pagi tadi, 4 penjenayah berusia antara 22 dab 33 tahun, 3 warga Indonesia ditembak mati di Pulau Meranti, Sepang, Selangor. Mereka dilapor terbabit dalam kes samun bersenjata sekaligus mencederakan mangsa biarpun tidak melawan.

5 Januari lalu, polis menembak mati 3 penjenayah Indonesia, ‘Geng Ronau’ di Kajang, Selangor.

Kemudian 4 lagi penjenayah warga negara sama, ‘Geng Anga’ kojol bergelimpangan ditembak di Bangi, Selangor.

Jika dilihat kebelakangan ini, penjenayah ditembak mati, tidak ditahan secara hidup. Tindakan terbabit pastikan menjimatkan masa perbicaraan penjenayah di mahkamah sekaligus menjimatkan kos makan minum mereka dalam tahanan.

Bagus!

Sabtu, Februari 07, 2009

Nasi Bungkus Gratis

Diberitakan seorang daripada 9 ditahan merusuh di Kuala Kangsar, Perak semalam, warga Indonesia.

Mungkin dia mencari nasi bungkus percuma.

Sewaktu berada di Kota Jakarta, Indonesia 6 tahun lalu saya dimaklumkan wartawan membuat liputan jenayah dari stesyen TV, Indosiar …

“Pak Mazidul, kami di sini kalau ngak puas hati, demo saja”

“Ramai sertai demo?,” soal saya.

“Of course Pak. Bas dibawa masuk ke desa, panggil orang, berikan mereka gratis (percuma) baju, head bands, banners, sedikit wang dan nasi bungkus, mereka turut saja,” jelasnya.

Hangit Menusuk Hidung

Pagi tadi krew 360 ke Pusat Kurungan Haiwan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, DBKL di Setapak.

Terperanjat, lebih 150 pencinta haiwan berkumpul di kawasan sama membantah secara aman pembunuhan haiwan secara kejam didakwa dilakukan kontraktor dilantik DBKL sepertimana dipaparkan 360 dalam siaran 4 Februari 2009. Saksikan melalui tv3.com.my. Anjing didakwa dijerut leher manakala kucing dibenamkan ke dalam air dan dibelasah sehingga mati bukan dibunuh menggunakan kaedah suntikan.

Kurang 100 meter dari pusat terbabit, bangkai anjing dan kucing dimasukkan ke dalam lubang digali tanpa dikambus. Bau hangit menusuk hidung. Lebih memeranjatkan di kawasan itu terpacak papan tanda DBKL, ‘Dilarang membuang sampah, denda RM2000’.

Semua berada di lokasi mahu kegiatan di pusat terbabit dipantau lebih teliti pihak DBKL.

Bahan liputan bakal disiarkan 360 pada 11 Februari akan datang.

Sama Bangsa

Bekas Menteri Besar Perak, Datu Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan niat menyaman Sultan Azlan Shah, sebaliknya mendakwa laporan terbabit fitnah media UMNO dan Barisan Nasional.

Dalam satu sidang akhbar Karpal Singh dirakamkan stesyen TV semalam, Nizar dilapor akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak di Mahkamah Tinggi Ipoh kerana mendakwa Tuanku bertindak melampaui bidang kuasa baginda mengisytiharkan kerajaan pakatan pembangkang tidak sah.

Jika benar Nizar tidak berhasrat mengambil tindakan undang undang, elok benarlah. Nizar dan Tuanku berbangsa sama, Melayu.

Jumaat, Februari 06, 2009

Derhaka Berbaloi?

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mewakili Pakatan Rakyat diberitakan membuat keputusan menyaman Sultan Perak di Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh, menamakan Sultan Azlan Shah, defendan pertama manakala Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, YAB Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, defendan ke dua kerana didakwa melanggar perlembagaan negeri Perak.

Jika diimbau sejarah, Hang Jebat derhaka kepada Sultan Melaka akibat kecewa menyangka kekandanya Hang Tuah mati dihukum Sultan.

Berbalaoikah penderhakaan Nizar terhadap Sultannya?

Ingkar Titah Sultan?

Saya dilahirkan di Kampung Sungai Bill, Tanjung Malim, PERAK. Justeru kemelut politik berlaku di negeri kelahiran menarik perhatian saya.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diberitakan enggan melepaskan jawatan Menteri Besar, MB Perak, bercanggah sekaligus mengingkari titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

“Saya dengan rendah hati mohon derhaka dengan berkata kepada baginda ’patik sebagai MB dan pemimpin kerajaan, mohon tidak letak jawatan’,” ujar Nizar dalam sidang media.

Bagaimanapun, keputusan mutlak Sultan terbabit tidak boleh dicabar kerana dilakukan mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Maksudnya, Nizar tidak punyai pilihan lain kecuali akur titah Baginda.

Sehubungan itu semalam, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas perkenan Sultan mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak ke-11. Zamri akan mengangkat sumpah sebagai MB di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak pada jam 3.30 petang ini.

Ada komen?

RM5

Pelbagai kempen ‘beli barangan asli’ dilaksanakan pelbagai pihak, namun bahan optik cetak rompak, khusunya VCD berlambak dan mudah diperolehi di pasaran. DVD dijual secara terbuka bukan sahaja di pasar malam malah di gedung membeli belah ternama.

Pihak berkuasa sehingga kini dilihat gagal membanteras edaran bahan terbabit secara total di seluruh negara.

“Kita tengok movie sekali. Bawa 5 anak ke panggung wayang, kena belanja RM50 lebih. Itu belum campur air dan popcorn. Beli satu VCD cetak rompak baru RM5, balik rumah, tengok ramai ramai, jimat,” komen rakan.

Biarpun tidak menyokong, tindakan membeli bahan optik cetak rompak hakikatnya menguntungkan pengguna.

Khamis, Februari 05, 2009

Dahulu Dan Sekarang

Dahulu …

“Jangan keluar tengahari ni. Nanti kena sorok dek hantu tetek, baru kamu tahu. Tetek dia tu besar sangat, dikepitnya dekat celah tu, menangislah kamu, sampai esok pun tak akan boleh keluar!”

Tegur ibu enggan membenarkan anaknya berusia 6 tahun merayau keluar rumah.

Kini …

”Jangan keluar tengahari ni. Sharlinie tu dah lebih setahun hilang sampai sekarang polis tak jumpa lagi. Bahaya, nanti kamu kena culik dek orang jahat baru tau!”

Ujar ibu melarang anaknya berusia 9 tahun memohon ingin bermain di luar rumah.

Rabu, Februari 04, 2009

Dibunuh Zalim

Binatang peliharaan dibunuh zalim!

“Kebetulan saya ternampak pembunuhan kejam ke atas anjing dan kucing, anjing anjing tu dijerut lehernya sampai mati dan kucing kucing dilemaskan dalam tong berisi air dan sekiranya belum mati dia dibelasah sampai mati,” kenyataan responden, saksi kejadian.

Saya menghantar wartawan ke lokasi kejadian. Lelaki mengheret bangkai anjing dengan tali menjerut leher haiwan terbabit. Visual dirakam jurukamera 360, jam 8 pagi Jumaat lalu.

Pihak mana bertanggungjawab?

Saksikan 360 malam ini, jam 9 malam di TV3.

Selasa, Februari 03, 2009

Keluarga Besar Pelayar

Minggu lalu saya ke Bagan Lalang, Sepang, Selangor. Pantai dan air laut bersih menarik perhatian saya. Ramai pengunjung berkelah sambil bermandi manda bersama keluarga. Waktu malam mereka berkumpul membakar daging, ayam, ikan, udang dan sotong segar.

Kadar harga chalet dan hotel, antara RM80 dan R160 semalam.

Justeru, terlintas di fikiran. Kini hampir setahun kita berhubung di alam siber biarpun dipisahkan lokasi berbeza. Kekadang setiap kita melontarkan pandangan dan pendapat berlainan, kekadang sama. Apapun, kita bagai sudah menjadi keluarga. Keluarga besar pelayar blog ini.

Apa kata jika 7 Mac, Sabtu akan datang kita berkumpul di Bagan Lalang buat semalaman. Jika berminat sila hantarkan butiran diri, nama penuh dan nombor telefon bimbit ke mazidul360@yahoo.com.my untuk saya hubungi. Kemukakan juga cadangan bernas untuk melaksanakan hasrat ini.

Double Ke?

Pengedar Jenaka Ditahan

“Awak ditahan kerana mengedar jenaka!,” ujar penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berseloroh.

Penyampai radio Fly.Fm, Fabian, 39 tahun dengan tangan dikilas kebelakang hanya tersenyum.

Gambar mereka saya rakamkan pada jam 10 pagi tadi.

“Bayangkan pandu kereta seorang, boleh tersenyum sendiri bila dengar jokes Fabian. Kalau orang lain tengok kita mesti cakap, mesti tak betul orang ni,” jelas Kamal.

Botak, bertubuh gempal, peramah, Fabian, anak kelahiran Ipoh, Perak, dibesarkan di Lembah Klang. Celotehnya bersama penyampai lain boleh didengar melalui frekuensi 95.8 MHz.

“Mazidul dan Fabian macam double la,” usik Kamal.

Kami tersenyum.

Paling pasti, biarpun berbeza bangsa dan ugama, kami saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Isnin, Februari 02, 2009

Anak Menjadi Mangsa

Tabika Kemas Kuala Sg. Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang dikunci kali ke dua. Kesannya, pelajar terpaksa belajar di bawah terik matahari. Majoriti mereka anak golongan berpendapatan rendah, nelayan dan pekerja kilang.

Jika tindakan terbabit bermotifkan politik, hentikan. Usah jadikan pelajar cilik tidak faham maksud politik sebagai mangsa. Izinkan mereka menuntut ilmu dalam suasana selesa.

Ahad, Februari 01, 2009

Makan Duit Lendir

Majoriti pegawai perhubungan pelanggan, GRO di Lembah Klang berasal dari Kelantan. Kenyataan berhubung statistik terbabit disiarkan surat khabar tempatan sebelum ini.

GRO bekerja di pusat hiburan mampu meraih pendapatan antara 3 ribu dan 20 ribu ringgit sebulan, bergantung kepada ‘perkhidmatan’ ditawarkan. Tidak dapat dinafikan, sebilangan GRO rakus menjual diri memburu kemewahan hidup. Majoriti mereka, gadis kehilangan maruah di usia muda dan ibu tunggal, kelompok wanita mendakwa dikecewakan LELAKI bergelar suami.

Justeru, kebanyakan GRO membidas LELAKI, menjerumuskan mereka ke kancah maksiat.

“LELAKI bijak memujuk, meragut mahkota diri perempuan, kemudian menghilangkan diri. Suami pula tak boleh diharap. Bila dah ada anak, ada affair dengan betina lain lepas tu ceraikan kita jadi janda. Kalau kerja kilang, dapat seribu lebih sebulan, anak dua, bukan cukup menampung perbelanjaan di kota besar. Jadi GRO senang, bayaran lumayan”

Apapun, maklumat saya perolehi, kebanyakan GRO gemar ‘membela’ LELAKI. LELAKI pemandu, menghantar dan menjemput mereka dari tempat kerja pada waktu dinihari, LELAKI peneman tidur, LELAKI dibiayai pakaian, makanan dan minuman menggunakan wang gaji sendiri. Kelompok digelar ‘LELAKI makan duit lendir’.

GRO, mereka tidak serik dengan LELAKI.

Hairan.

Ikan Segar

Semasa berkunjung ke Pasar Ikan Bagan Lalang, Sepang, Selangor, saya tanyakan soalan …

“Macamana nak tahu ikan segar atau tidak?”

“Mata cantik, perut tak pecah, insang warna merah, badan ikan masih berlendir. Lagi satu tengok ada lalat tak? Lalat suka pada ikan segar. Tapi sekarang ni ada penjual letak pewarna pada insang, nak jadikan merah. Tapi bila kita picit, pewarna akan terkeluar,” kata peniaga memperkenalkan diri sebagai Kak Has.


Bukan semua pandai memilih ikan semasa ke pasar. Kan?