Itu antara komen saya dengari sewaktu berkunjung ke Pasar Kota Jembal, Kota Bharu, Kelantan. Dilaporkan, kompleks terbabit dibina dengan kos RM3.25 juta dan menempatkan lebih 400 peniaga tempatan. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Nik Mohd Amar Abdullah, pasar sama juga dianggap satu daripada tarikan pelancong di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Kompleks terbabit dirasmikan oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat pada Mei 2012.
Berikut antara gambar saya rakamkan di lokasi, semalam.
Majoriti peniaga amat peramah tatkala menawarkan pelbagai barangan jualan termasuk beraneka juadah.
"Saya dimaklumkan, pasar ini hanya dibuka pada hari Jumaat. Jadi, kalau selain hari Jumaat, berniaga di mana?," soal saya kepada peniaga.
"Di tempat lain," jawabnya, ringkas.
"Bukankah lebih mudah jika peniaga menjual barangan secara tetap di sini dan tidak perlu berpindah randah?," tanya saya lagi.
Kebanyakan peniaga enggan menjawab soalan itu. Barangkali mereka khuatir andai respon dicetak oleh media utama. Walhal saya blogger, bukan wartawan Utusan Malaysia atau New Straits Times.
Tatkala berdiri di tengah pasar sambil memerhatikan peniaga, saya terfikir, apakah rasionalnya pihak pengurusan menghadkan operasi pasar bernilai lebih RM3 juta hanya sehari seminggu? Itu pun di antara jam 7 pagi dan 12 tengah hari. Hemat saya, ratusan peniaga, pasti berasa selesa sekiranya mereka diberikan peluang meraih rezeki setiap hari di lokasi sama.
Tidak perlu menjadi nomad.
Barangkali soalan itu mampu dijawab oleh wakil kerajaan negeri atau wakil rakyat. Mungkin juga wakil rakyat tidak langsung mengetahui beberapa fakta tidak didedahkan kepada beliau selama ini.
Lelaki Kemboja, berusia 28 tahun, saya temui meminta sedekah di pasar ini. Kakinya cacat dan dia fasih bercakap dalam loghat Kelantan. Kata anak sulung daripada empat beradik terbabit, kini menyewa rumah di Kota Bharu, dia mula mengemis di pasar ini sejak 2 tahun lalu.
"Bagaimanakah awak datang ke sini?," soal saya.
"Kawan Melayu hantar, saya berikan dia upah," balasnya.
Menarik.
Dia tidak memiliki dokumen perjalanan sah tetapi meraih pendapatan kira-kira RM100 dalam tempoh kurang 5 jam menadah mangkuk, meraih simpati. Wang disumbangkan oleh warga bermurah hati dimasukkan ke dalam beg disandang.
Berapakah pula pendapatan wanita penjual sayur? Lelaki penjual cincin? Wanita tua menjual makanan di pasar sama?
Jelas, tiada pemantauan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan. Menyedari gambarnya dirakamkan, dia beredar.
Kegiatan mengemis, berleluasa di Kota Bharu terutama di sepanjang bulan Ramadan, klik di sini.
Pada Ogos 2012, saya membongkar sindiket pengemis warga asing di Paya Jaras, Selangor.
Klik di sini.
Lebih mengejutkan lagi, di Kompleks Pasar Kota Jembal, terdapat 2 peniaga menawarkan cakera optik cetak rompak. Belum pun sempat bertanyakan harga bahan tontotan terlarang itu, seorang daripada peniaga didapati telah menghilangkan diri.
Namun lensa kamera saya sempat merakamkan gambar lelaki berniaga DVD cetak rompak di pintu masuk utama kompleks dirasmikan oleh Datuk Nik Aziz terbabit.
Kalau Tok Guru tahu, mesti beliau akan marah. Masakan pihak pengurusan pasar meluluskan lesen untuk perniagaan melanggar undang-undang itu.
Sungguh beruntung pelancong dalam negara dan warga asing. Jika berkunjung ke pasar terbabit, berpeluang membeli DVD cetak rompak dan melihat pengemis warga asing memperdayakan rakyat tempatan.
pasar ini terletak tak jaun dari rumah nik aziz..rumahnya terletak belakang pasar tu je..hanya beberapa ratus meter je
BalasPadamcd cetak rompak kat sini pun berleluasa.
BalasPadamruginya. mengapa tidak dibuka setiap hari seperti pasar Siti Khadijah? Kompleks tu cantik...sayang jika kosong. Ditakuti mat gian akan berkerumun jika tiada orang berniaga di situ.
BalasPadamKalo pergi mana mana pasar malam dekat area kota bharu mesti jumpa pengemis spt tu. Rasanya mcm sindiket. Mohon siasat
BalasPadam