Ahad, April 06, 2014

MEMBUAT LAPORAN POLIS BERHUBUNG KES SIBER MEMBEBANKAN

Tahun lalu, saya membuat satu laporan polis berhubung ugutan untuk 'meletupkan muka' saya, dicatatkan di satu daripada laman sosial terkemuka di Malaysia.

Dalam kes itu, saya berstatus 'mangsa' dan individu itu barangkali hanya sekadar pejuang papan kekunci. 

Beberapa hari selepas laporan dibuat, Pegawai Penyiasat, IO, menghubungi saya dan meminta komputer riba diserahkan untuk tujuan siasatan. Bayangkan, saya hanya memiliki satu sahaja komputer riba, bukan dua, bukan tiga. Komputer sama juga saya gunakan untuk menyimpan pelbagai dokumen juga melangsaikan tugasan kewartawanan serta untuk mengemaskini blog.



 Berikutan masalah itu, saya terpaksa menarik kembali laporan polis itu. 

Untuk membantu pihak polis, saya telah menyerahkan kepada IO, butiran dalam bentuk cetakan, berhubung identiti pencatat komen berbaur ugutan, termasuk gambar dan komen dicatatkannya.

Menyerahkan komputer riba kepada polis, barangkali satu prosedur siasatan. Di pihak pengadu, satu bebanan. Tanpa komputer riba itu, pelbagai urusan dunia siber bakal terganggu. 

Mari kita teliti satu kes jelas.

Terkini, individu menggunakan nama 'Syed Saifullah'  mencatatkan status kononnya pesawat dinaiki oleh Perdana Menteri dan isteri terhempas. Berita berupa fitnah itu disebarkan sesuka hati.

Klik di sini.

Sehingga kini, masih tiada kedengaran tindakan tegas terhadap Syed atau individu pemegang akaun facebook terbabit.

Mengapa?

Polis memerlukan laporan dibuat untuk memulakan siasatan. 

"Bukan tidak mahu membuat laporan polis, nanti laptop kita kena sita dek polis. Susahlah hendak membuat kerja," ujar rakan, pengendali blog terkemuka.

Itu hakikat.

Berikutan itu, sebilangan mungkin berasa serik.

Jika situasi itu berterusan, saya pasti, majoriti orang awam berasa keberatan untuk membuat laporan polis. Sekaligus, pejuang papan kekunci terus tersenyum dan bermaharajalela.

3 ulasan:

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.