Ahad, Ogos 31, 2008

Berpayungkan Jalur Gemilang

Hari ini selama lebih 4 jam saya berada di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebelum ini dikenali sebagai Padang Kelab Selangor.

“Dulu bila malam ramai bapok lepak kat sekitar kelab tu, sekarang ni dia orang dah berpindah lokasi,” kata rakan mengimbas fakta lalu.

Semasa mengendalikan siaran secara langsung bersama rakan setugas semperna Hari Kemerdekaan negara ke 51 saya sempat ‘mencuri’ masa merakamkan gambar di sekitar lokasi. Saya rakamkan gambar anak kecil berdiri berpayungkan Jalur Gemilang manakala si ibu sibuk mengibarkan bendera sambil menyaksikan persembahan di Jalan Raja berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

“Semoga hidupnya sentiasa dipayungi nikmat kemerdekaan,” detak hati.

Antara takrifan kemerdekaan, kita tinggal di negara berdaulat, a sovereign country.

“Sorry Sir, you can’t simply fly to Kosovo without any visa”

Masih segar di ingatan antara kenyataan awal pegawai lapangan terbang memberhentikan perjalanan saya di Viena lama dulu sewaktu dalam perjalanan ke Kosovo, negara tidak berdaulat.

“It’s not a sovereign country. Anyone is free to fly in and out,” hujah saya.

“So, please check again with your superiors,” pinta saya.

15 minit kemudian saya dibenarkan menaiki pesawat ke Pristina. Setibanya di ibu negara Kosovo itu, konsulat Malaysia bertugas memberikan peringatan tegas.

“Be very careful. Di sini sebelum naik kereta, kena check under carriage. Ada kes bila masuk dalam kenderaan, kereta meletup, pemandu dan penumpang melambung tinggi sebelum jatuh kepala berkecai sebab ada orang letak bom kat bawah kereta”

Kosovo hanya didiami 2 kaum utama, Serbia dan Albania. Bagaimanapun negara mereka tidak aman. Negara mereka kucar-kacir, pernah terbabit dalam peperangan kaum. Banyak rumah terbakar akibat dibom. Banyak mass grave ditemui selepas perang berakhir. Banyak mayat tanpa identiti ditanam dalam kubur besar. Sehingga kini kemerdekan masih bukan milik Kosovo.

“Macamana cara nak kenal mana satu rumah Serb, mana satu rumah Albanian?,” sambung beliau menguji minda saya.

“Tak tahu”

“Serbs, rumah tak siap, pagar mesti naik dulu. Albanians rumah tak ada pagar,” jelasnya.

Kenyataan jelas menggambarkan, hidup rakyat Kosovo sentiasa diintai ancaman, ancaman membabitkan nyawa akibat perbalahan kaum berbeza agama, Islam dan Kristian.

Kehidupan mereka pasti jauh aman jika tinggal di Malaysia, berpayungkan Jalur Gemilang. Negara pelbilang kaum kekadang rakyat bercakaran akibat perbezaan kepercayaan politik tetapi masih mengamalkan perpaduan sebagai teras kejayaan.

Sabtu, Ogos 30, 2008

Merdeka?

Apa erti merdeka?

Antara jawaban biasa kita dengar ..

“Terlepas dari belenggu penjajah”

Dalam tempoh lebih 446 tahun negara kita pernah dijajah. Dijajah Portugis, Belanda, British, Jepun.

“Masa zaman Jepun, takut sangat. Orang kampung lari masuk dalam hutan sehelai sepinggang. Anak dara semua kena sorok, kalau tidak, Jepun larikan. Beras tak ada sebab orang kampung tak boleh nak tanam padi. Semua makan ubi kayu. Jepun ganas. Tangkap orang lelaki, paksa minum air sabun, lepas tu pijak perut. Keluar balik air sabun tu,” kata arwah opah.

“Siksanya,” komen saya.

Tahun 1945, tidak melihat alternatif lain, Amerika Syarikat menjatuhkan bom atom pertama meranapkan Nagasaki dan Hiroshima. Jepun menyerah kalah. Sewaktu pemerintahan British, negara kita dijajah secara ‘pecah dan perintah’. Orang Melayu di kampung, Cina di bandar dan India di estet. Menyedari hakikat negara perlu bebas, pelbagai pihak menuntut kemerdekaan. Perlembagaan digubal, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke London bersama rombongan.

31 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di Dataran Merdeka, simbol berakhirnya era penjajah di negara kita.

Kini kita sama-sama menikmati kemajuan negara selepas 51 tahun merdeka. Mercu tanda, Bangunan Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Litar Formula Satu menjadi kebanggaan kita bersama. Majoriti dibina menggunakan kudrat pekerja dari negara merdeka, Indonesia.

Pada masa sama kebanyakan daripada kita bangga menjulang nama pemain bola sepak, Chirstiano Ronaldo dari Portugal, membeli susu produk Belanda dan shopping di Harrods serta ria memiliki kereta keluaran Jepun.

Paling pasti, kita tidak merdeka dari aspek jenayah. Semalam pada jam 5.30 pagi, 4 warga Indonesia berusia antara 28 dan 48 tahun ditembak mati di Kajang, Selangor. Mereka terbabit dalam kes pecah rumah mewah. Semuanya dilaporkan ditembak tepat di kepala.

“Sebelum ditembak, pukul 3.30 pagi penjenayah tu sempat rompak rumah ahli perniagaan Cina. Dia tinggal seorang di rumah. ‘Geng Tong Gas’ tu pecah pintu belakang rumah dia. Kemudian gunakan tong gas pecahkan pintu bilik. Cina tu dia orang ikat tangan dan acukan pisau dapur kat leher dia. Penjenayah tu larikan jam tangan, laptop, duit dan barang lain. Masa kat tempat kejadian Cina tu cakap ‘Itu saya punya tali pinggang!’. Tali pinggang tu dia nampak kat pinggang mayat,” kata jurukamera.

“Berapa kes dia orang terbabit?,” soal saya.

“Sembilan belas,” jawabnya.

“Padan muka! Kalau ikut hati biar polis tembak semua warga asing terbabit dalam jenayah berat ni. Kalau ditangkap, didakwa, buang duit bagi dia orang makan dalam penjara dan buang masa mahkamah,” detak hati saya.

Saya mengecam tindakan penjenayah dari negara merdeka, merompak masyarakat di negara merdeka saya sayangi ini.

Kepada semua pembaca, Selamat menyambut hari kemerdekaan ke 51!

Saya bersama rakan, Ally Iskandar, Nurafenda serta Fetri akan bersiaran langsung dari Dataran Merdeka, esok antara jam 8 dan 10 pagi. Selamat menonton.

506

Kebelakangan ini pelbagai ugutan saya terima. Dalam bentuk berbeza. Tapi itu lumrah kerjaya. Tidak semua orang gemar dengan apa kita lakukan dalam hidup sepertimana tidak semua orang benci. Jadi lupakan saja, itu tidak penting.

Apa saya ingin kongsikan bersama anda dalam entry kali ini lebih penting.

Dalam kehidupan, kita seringkali dicabar. Dalam bentuk berbeza. Apabila dicabar, secara lumrah kita marah. Kita hamburkan kata-kata kadangkala tidak mampu dijangka. Tetapi berhati-hatilah kerana perkataan kita keluarkan boleh bertukar UGUTAN kepada pihak kita marahi.

Jangan sesekali mengeluarkan kata-kata berbentuk ancaman terhadap NYAWA dan HARTA BENDA.

Contohnya ..

“Aku bunuh engkau!”, “aku patah kan tangan engkau!”, “aku bakar rumah engkau!”, “aku pecahkan kereta engkau”

Jika anda ungkapkan, pihak satu lagi berhak membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan sekaligus membenarkan anda direman (dimasukkan ke dalam lock up) maksimum 14 hari.

Jadi berhati-hati bila melemparkan perkataan kepada mereka tidak kita sukai, gemari atau benci. Dalam undang-undang ‘ignorance of the law is not an excuse’.

Jumaat, Ogos 29, 2008

Post Mortem

Bayangkan, anda di bilik mayat, ahli keluarga meninggal dunia akibat serangan asma sewaktu tiba di hospital.

Ini kata doktor ..

“I want to do a post mortem, whatever it takes”

Doktor itu pula warga asing dari India, langsung tidak memahami budaya tempatan apatah lagi selok belok tuntutan agama Islam.Pada masa sama semua ahli keluarga berada dalam keadaan tertekan. Tetapi ada berbisik ..

“Arwah meninggal sebab asma. Tak boleh ke kalau tak payah post mortem? Bukan apa, siksa mayat”

Pasti kemudian ada di kalangan ahli keluarga bertanya ..

“Boleh ke?”

Jika kematian tidak membabitkan perlakuan jenayah, masih ramai menganggap doktor memiliki kata putus muktamad samada mayat perlu dibedah atau tidak. Sedangkan tanggapan itu tidak benar. Waris atau keluarga boleh menjadi antara penentu tindakan. Caranya? Biar saya jelaskan kepada anda semua.

Pergi ke balai polis terdekat dan buat satu laporan bertulis. Nyatakan dalam laporan itu, si mati meninggal akibat asma. Antara ayat perlu dicatat ..

‘Pihak keluarga bertaggungjawab sepenuhnya jika timbul sebarang persoalan berhubung kematian itu di masa akan datang’

Pihak polis mengkategorikan kes di bawah SDR, ‘sudden death report’ atau mati mengejut sekaligus pegawai penyiasat, IO dilantik. IO akan bertemu pihak hospital atau lebih spesifik doktor dan memaklumkan bedah siasat tidak perlu dilakukan. Maksudnya, keputusan itu hak polis bukan hak doktor. Sekaligus keluarga dibenarkan membawa pulang jenazah tanpa sebarang masalah.



Tiub Getah Warna Merah

Setakat ini tiada peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan berhubung waktu operasi kafe siber, CC di seluruh negara.

“Tengah bincang,” komen diutarakan.

Maka berduyun-duyun pengusaha CC mengambil kesempatan menangguk di air keruh. Jika sehari ada 25 jam, CC akan dibuka 25 jam. Itu maksudnya.

“Tak payah risau la. Budak-budak tu bukan buat apa pun kat CC tu. Habis kuat main game. Letih main dia orang belajar komputer la tu,” tanggapan ibu tinggal di flat kos rendah di Taman Sentosa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Saya amat yakin ibu itu langsung tidak menyedari secara terperinci perkhidmatan ditawarkan majoriti CC. Barangkali dia tidak punyai masa untuk mengambil tahu ‘games’ boleh ‘dipelajari’ anaknya di premis terletak berhampiran rumahnya. Maklumlah, dia sibuk menguruskan rumahtangga bersesuaian jawatannya sebagai suri rumah. Suami pula sibuk bekerja mencari rezeki menampung perbelanjaan harian keluarga.

“Jom la. Best oooo,” bisik anak kepada rakan hampir sebaya, 8 tahun.

Kafe siber kini pada dasarnya menawarkan khidmat pelanggan melayari internet sebagai asas perniagaan. Maksudnya, anak terbabit tanpa kawalan mampu melayari laman web secara bebas termasuk laman web lucah akibat sikap majoriti pengusaha tidak ambil kisah, asalkan untung. Justeru ramai pelajar berpakaian seragam sekolah kerap dilihat menjadikan CC sebagai ‘meeting point’. Ada merokok, bertemu teman lelaki atau wanita maupun sekadar melepak mengabiskan waktu terluang.

Sebelum ini caj dikenakan lebih mahal, purata RM5 sejam. Kini kadar perkhidmatan murah.

“Saya simpan duit belanja mak bagi tiap-tiap hari. Kat sekolah tak makan sangat. Sejam kat CC baru seringgit,” antara komen pelajar.

Kebanyakan daripada CC kini beroperasi 24 jam sehari. Tiada pihak mampu menghalang kerana ketiadaan peruntukan undang-undang. Pengusaha CC tersengeh gembira tanpa memikirkan kesan tindakan mereka kepada anak bangsa.

“Kita tak paksa orang datang. Kalau dah datang, takkan nak halau kut. Budak sekolah masuk kita bagi warning, jangan masuk laman web lucah. Tapi kalau dah 24 jam, siapa larat nak monitor. Saya pekerja aje, bukan taukeh,” kata pekerja Melayu berusia 18 tahun saya temui.

Lebih menyedihkan ramai pengunjung, kecil atau remaja datang ke CC hanya sekadar bermain pelbagai softwares disediakan pihak pengusaha. Aktiviti jelas menjurus ke arah pembaziran wang dan masa.

“Kalau nak main game tembak-tembak, nak jadi ‘kuat’ boleh beli program, siap ada 'shield' lagi. Harga sampai dua ratus ringgit pun ada,” antara kenyataan remaja saya temubual.

Masyarakat tidak menolak kemudahan maklumat di hujung jari jika tidak disalahgunakan. Cuma kita bimbang jika anak kita mencerap informasi tidak bersesuaian. Sehingga kini hakikatnya tiada pihak mampu memantau aktivit pengunjung CC secara terperinci berikutan bilangan CC seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Kanak-kanak dan remaja sekarang jauh lebih bijak dalam penggunaan komputer. Mereka menimba ilmu daripada kenalan dan rakan, jarang merujuk golongan lebih dewasa. Contohnya, rata-rata mereka mahir mengenai ‘You Tube’. Tidak mustahil jika mereka turut melayari ‘Red Tube’. Siapa mampu melarang?

Jangan suatu hari nanti, jika ibu atau bapa bertanya kepada anak ..

“Apa Red Tube tu Man?”

Man menjawab ..

“Alah, tiub getah warna merah!”

Khamis, Ogos 28, 2008

Jangan Dicipta

Barangkali tidak silap jika saya catatkan di sini, sebahagian warga asing berhijrah ke negara kita samada secara sah atau sebaliknya gagal mengerti adat orang bertandang. Mereka bukan sahaja tidak menghormati tradisi tempatan malah terbabit dalam kegiatan jenayah terlampau.

“Helo! Cuma nak bagi tahu, ada dua penjenayah kena tembak mati dekat stesyen komuter Serendah. Polis tengah kepung lagi 4 orang sekarang ni,” kata pemanggil.

Jam tangan saya menunjukkan jam 5.53 minit pagi, 26 Ogos lalu.

“Indonesia?,” soal saya.

“Ya,” katanya jelas melalui telefon bimbit.

Lalu saya menghubungi jurukamera memaklumkan kes terbabit sebelum ke studio mengacarakan Malaysia Hari Ini pagi sama.

Dua ditembak mati, warga Indonesia dipercayai ahli Geng Mastika, kumpulan terbabit dalam 6 kes pecah rumah di Lembah Klang dan Negeri Sembilan. Tiga warga tempatan termasuk wanita berusia antara 20 dan 30 tahun bersubahat dalam kes sama turut ditahan polis.

25 Ogos lalu, dalam satu sidang akhbar, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin memaklumkan polis menahan 10 lelaki warga Afrika dipercayai memerangkap wanita tempatan sebagai kurier pengedaran dadah antarabangsa.

“Untuk rekod, 60 rakyat Malaysia, 50% wanita menjadi mangsa sindiket dan majoriti daripada mereka penuntut institusi pengajian tinggi,” tambah beliau.

Ingin saya kongsikan fakta, penjenayah di negara kita bukan hanya berasal dari Indonesia dan Afrika malah pelbagai bangsa dunia. Warga Vietnam, Mnymar, Bangladesh tidak terkecuali.

Pandangan saya, kes jenayah seperti curi, samun dan rompak berlaku kerana desakan keinginan sesetengah manusia untuk hidup lebih senang berbanding sebelumnya secara segera. Tetapi tindakan itu tidak semestinya membuahkan hasil. Majoriti daripada penjenayah terbabit ditangkap atau ditembak mati. Nyawa jelas menjadi galang ganti. Maksudnya, ‘high risk, high profit’.

Bagaimanapun jika kita lihat, jenayah berlaku sekiranya wujud ruang dan peluang.

“Aku pergi bank, masukkan duit collection dulu!,” jerit pengurus stesyen minyak kepada anak buahnya.

Saya menganggap perbuatan itu tidak bijak. Tanpa disedari dia mengujudkan ruang penjenayah mendengar kenyataannya, sekaligus peluang dia disamun tercipta. Terburuk, dia mungkin kehilangan nyawa akibat tindakan sama.

Secara peribadi, saya berasa amat gembira apabila Perdana Menteri mengistiharkan 23 Ogos, Hari Mencegah Jenayah setiap tahun. Hari kita semua mengingatkan diri dan keluarga, jangan cipta ruang dan peluang mengundang jenayah berlaku.

Rabu, Ogos 27, 2008

Ikut Orang Tua

Lambakan klip video lucah remaja kini tidak mampu ditangani lagi. Sehinggakan gambar bogel anak gadis dan bujang Melayu boleh dicapai secara mudah dan ditonton di banyak laman web.

Majoriti daripada visual terbabit dirakamkan sendiri. Gejala rakaman video lucah turut menular di kalangan pelajar sekolah, berpasangan maupun secara berkumpulan. Apakah tujuan sebenar mereka? Sekadar mengejar keseronokan? Atau mereka golongan tidak mengetahui kesan perbuatan itu kepada diri sendiri dan keluarga?

“Dia orang belajar daripada orang tua buat benda sama kut,” komen rakan secara sinis.

Memang negara pernah digemparkan dengan beberapa kes sebegitu sebelum ini. Tetapi dengarnya itu hanya koleksi peribadi kemudian diberitakan ‘terlepas’ ke tangan pihak tidak bertanggungjawab. Edaran secara meluas pastinya menjatuhkan maruah dan menjejaslan kerjaya pihak terbabit.

“Fasal hand phone dah banyak ada kamera la tu,” komen rakan seorang lagi.

Bagaimanapun saya pasti bukan itu tujuan sebenar telefon bimbit dilengkapi kamera antara 1.3 dan 5 mega pixels dipasarkan.

“Alah bro, orang kita kan ke kreatif? Kereta CC 1.3 boleh diubah suai menjadi kereta lebih kuat CC nya, jadi kereta turbo, berlambak. Ini kan pula kamera dah sedia ada, guna kan aje la. Bukan susah sangat, tekan butang rakam, sumbat dalam memory card banyak gig, jadi lah klip video,” sambung rakan.

“Betul juga,” balas saya ringkas.

Teringat kes lelaki lebih tua menggunakan khidmat ‘jurukamera’ muda tidak bertauliah merakamkan ‘aksi’ nya bersama pasangan jauh lebih muda di Felda baru-baru ini.

Manakala pada masa sama dilaporkan ada pasangan bercinta sengaja merakamkan aksi lucah mereka kemudian disebarkan sebaik hubungan retak.

Jelas, ada teknologi disalahguna kemudian membawa padah kepada golongan pencipta sendiri.

Hairan ..

Selasa, Ogos 26, 2008

Kisah Negara Sireh

Semalam kali pertama saya bertemu rakan baru pulang dari Yangon, Mynmar. Saya bawakan topi 360 dan 999 sebagai cenderahati. Dia kelihatan gembira. Semasa minum bersama, saya tanyakan beberapa soalan berhubung negara di bawah pemerintahan junta tentera terbabit.

“Setakat ini 300 rakyat Malaysia bekerja di Mynmar. Sekarang ni 299 sebab saya balik bercuti. Gaji orang sana murah. Engineer tempatan RM700. Bank hanya tempat simpan dan keluar duit, tak bagi loan, so kalau nak beli kereta kena cash. Harga petrol mahal gila, RM9 se liter,” katanya.

“Motosikal orang tak guna?”

“Motosikal tentera dan polis sahaja pakai. Pelik tau, askar dia ada umur 15 tahun. Pakai senjata M16. Bagi gula-gula, dia buat apa saja,” dia tertawa.

Saya tersenyum mendengar gurauannya. Menurut rakan itu, penduduk Mynmar, 57 juta. Tiga puluh peratus Islam.

“Masa taufan Nargis, 4 Mei macamana?”

“Huh! Tingkap rumah pecah, air masuk dalam rumah macam bomba siram. Mati dalam 200 ribu orang. Kebanyakan mati tu orang susah di Dataran Irrawady, pesawah padi. Rumah dia orang dibuat dari buluh dianyam. Lima hari lepas tu baru siaran TV ada balik. Mak kat kampung kata silap-silap kenduri arwah dah. Sepuluh hari kemudian baru boleh call out. Internet kafe macam beli tiket bas balik raya, seorang boleh guna 15 minit aje, ya la orang ramai kan,” ujarnya.

“Bekalan air?”

“Masa tu air dalam bekas botol mineral 1.5 liter harga RM15. Lima hari saya tak mandi. Tapi nasib baik cuaca kat Mynmar tak panas macam kat sini”

“Siapa pemerintah?”

“General Than Shwe. Dia lah general, dia lah king dan dia juga presiden. Siapa tak undi dia masa pilihantaya 18 Mei tu, waktu dia lawan Aung Sang Shukyi, dia masukkan dalam lock up. Biasa lah pemerintahan tentera bukan demokrasi. Rakyat ramai buta huruf, baca tulisan Mynmar tak tahu, tulisan rumi apa lagi. Kena tipu hidup hidup dek general. Rumah dia kepala paip emas tau”

“Ya ke?,” saya terkejut.

“Tapi ada lah juga ok. Perabot jati murah. Kalau di Indonesia kita beli 14 ribu, sana baru 3 ribu. Makan murah. Kalau nasi briani, RM3. Teh ‘O’ free, sayur free,” jelas rakan berusia 35 tahun itu.

“Hand phone murah?”

Dia kemudian menggamit warga Mynmar, pelayan tempat kami minum. Pelayan itu mengambil calculator, menekan beberapa nombor dan kemudian meletakkan calculator di atas meja sambil tersenyum.

RM6944.

“Apa tu?,” soal saya.

“Harga SIM card kat Mynmar. Cuma ada satu operator sahaja, Mynma Post and Telecomunication. ‘Mynma’ memang tak ada ‘r’,” jawab rakan jurutera itu.

“Tapi kalau hand phone tinggal kat kedai makan 2 minggu pun tak apa. Tak kan ada siapa ambil atau mencuri. Jenayah hampir sifar. Orang sana kuat agama. Lepas tu kalau kita baru berdiri nak melintas jalan, kereta semua dah berhenti. So, kalau tak nak melintas lagi pun, kena melintas juga lah,” sambungnya sambil memakai topi 360.

“Hiburan macamana?”

“Disko tak ada. Karaoke ada. Panggung wayang dia ok juga tapi bau sireh. Dia orang kan suka makan sireh. Cerita kegemaran, filem Korea”

Saya menganggukkan kepala.

“Kat sana satelit dish dia besar besar. Panggil MRTV, kira macam Astro la kat sini. Saya selalu tengok 360 pukul 7.30 malam sebab perbezaan waktu,” ulasnya.

“Oh! Boleh tengok 360?,” soal saya mendapatkan kepastian.

“Boleh!,” katanya.

Sabtu, Ogos 23, 2008

Pengkid

Siaran 360 pada 27 Ogos bakal memaparkan kisah kerenah pembantu rumah. Manakala pada 3 September akan datang, saya bercadang merungkai gejala pengkid, golongan perempuan menjiwai watak dan perlakuan lelaki.

“Saya bercinta lapan tahun, berkahwin lapan tahun. Tiga tahun lepas bercerai officially. Isteri saya di ciluk dek pengkid. Pengkid tu assistant bekas bini saya di ofis. Sekarang dia orang tinggal bersama dengan dua anak lelaki saya. Selalu teringat, macamana la pengkid tu nak bawa anak saya pergi sembahyang jumaat?,” antara keluhan penonton menghubungi saya melalui SMS, Man.

Tambahnya lagi ..

“Bekas bini saya tu pakai tudung, sembahyang tak tinggal bang. Dia bukan jenis keluar rumah tak tentu arah. Pengkid ‘boyfriend’ dia tu muda daripada dia dua tahun”

Pengkid cukup dikenali di negara kita. Sekilas pandang ..

“Pengkid la tu,” antara komen majoriti kita.

Begitu mudah mengenali mereka. Pengkid tidak berbaju kurung, tidak bersolek dan jauh sekali memakai kasut bertumit tinggi, pastinya. Memakai seluar slack atau jeans, berkemeja menjadi pilihan. Malah ramai keluar menampilkan diri di khalayak ramai berseluar pendek dan menggenakan t-shirt sukan.

Komen Prof. Dr Fadzil Che Din, Pengarah Institut Sosial Malaysia sewaktu saya hubungi ..

“Mereka ni secara biological pun bermasalah, jiwa celaru. Kalau dah lama sangat, lima belas, dua puluh tahun hidup stail lelaki maka perlakuan itu akan jadi sebati”

“Pengkid ni kira hebat la. Contohnya, kalau kita lelaki baru teringat nak belikan jambangan bunga untuk bini, pengkid tu dah bagi awal berbanding kita,” keluh Man.

Setakat ini tiada langkah diambil membendung gejala pengkid. Mak nyah atau bapok berbeza. Mereka boleh ditahan jika berpakaian tidak senonoh apatah lagi jika mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik seperti berlaku di Bachok, Kelantan tempoh hari. Lelaki berpakaian perempuan, itu isunya.

Tetapi bagaimana pula golongan pengkid? Perempuan berpakaian lelaki bebas ke mana sahaja tanpa kekangan akbat ketiadaan provision of law.

Jumaat, Ogos 22, 2008

Gay

Apa sudah jadi dengan lelaki? Khususnya lelaki bergelar ‘gay’.

Jika dirujuk kamus, gay bermaksud ‘joy’ atau kegembiraan. Tetapi gay saya maksudkan, lelaki ‘suka’ kepada lelaki. Dulu, tiada syak wasangka timbul melihat lelaki memegang tangan atau memeluk lelaki lain. Mereka barangkali teman rapat justeru perlakuan itu tidak dianggap janggal pada mata masyarakat. Kini, jika perbuatan sama disaksikan maka akan terpancul soalan spontan dalam minda majoriti daripada kita.

“Gay ke apa dia orang tu?”

Di barat, golongan gay menuntut hak berkahwin sesama mereka. Permintaan itu kemudian ditunaikan biarpun ada golongan membantah. Jadi tidak hairan jika ramai antara kita pernah melihat pasangan gay, lelaki dan lelaki berkahwin di gereja melalui televisyen atau wayang. Terlintas di fikiran saya, jika pasangan berkahwin lelaki dan perempuan, paderi membuat pengumuman ..

“Now I pronounce you man and wife, so you may kiss your bride”

Cup! Cup! mereka berciuman mengikut amalan masyarakat barat. Tetapi jika pasangan gay ..

“Now I pronounce you man and what?”

He! He! Mereka hanya sekadar mengukirkan senyuman dan berpegangan tangan.

Di Malaysia biarpun tiada tuntutan perkahwinan seumpama itu dibuat setakat ini, gejala gay dipercayai semakin menular terutama di kalangan masyarakat bandar.

“Puh! Kelab gay tu memang hebat. Orang biasa ada, golongan elit ada, artis ada, selebriti pun ada,” ujar kawan.

Kelab dimaksudkan itu bukan di Los Angeles, bukan juga di London tetapi di Kuala Lumpur.

Jangan tersilap, bukan semua gay itu lelaki lembut. Sebahagian mereka kelihatan normal seperti lelaki biasa. Tiada beza dari aspek fizikal malah ramai bertubuh sasa dan terjaga. Majoriti daripada mereka bekerjaya. Cuma keinginan dalaman dan dorongan nafsu menjadi faktor pembeza.

‘Spa dipercayai dijadikan sarang kegiatan maksiat gay diserbu’, petikan daripada laporan akhbar tempatan masih segara dalam ingatan saya biarpun semakin berusia.

Spa dijadikan premis golongan gay memuaskan nafsu. Pelanggan gay, pemberi ‘khidmat’ juga gay. Jadi pasti bukan sahaja servis facial, pedicure, manicure ditawarkan malah lebih daripada itu. Spa dilihat sebagai tempat selesa pasangan gay memadu kasih memuaskan nafsu. Berselindung di sebalik spa, kegiatan mereka sukar dihidu pihak berkuasa. Ide bijak tetapi ternyata gagal disempurnakan.

Mungkin ramai memandang jijik terhadap kegiatan berlaku tambahan pula apabila membabitkan hubungan seksual. Hakikatnya, ia berlaku. Bukan dulu tetapi kini biarpun tidak terjadi di hadapan mata sendiri. Jika diperah otak sekali pun, majoriti masyarakat tidak mampu memahami sebab musabab kejadian.

Bagaimana lelaki mampu jatuh cinta kepada lelaki lain? Sehingga dijadikan ‘soul mate’? Timbul persoalan, adakah wanita kini terlalu membosankan dan tidak mampu memenuhi tuntutan lelaki?

Khamis, Ogos 21, 2008

Kerja Aku

Kampung Kayu Ara, Petaling Jaya, Selangor penempatan warga Indonesia cukup dikenali. Dulu sebahagian besar mereka tinggal secara setinggan. Kini tanah mereka dirikan rumah tidak saya ketahui statusnya. Mungkin sudah menjadi milik mereka.

Saya rakamkan gambar ini di kampung sama. Tong sampah itu terletak di belakang rumah penjual barangan lusuh di tepi jalan utama.

Dapatkah anda kenal pasti keunikan gambar ini?

“Selalu menyelongkar tong sampah kerja aku, apa dah jadi dengan manusia ni?”

Mungkin itulah kata sang kuching jika dia mampu berkata kata ..

Ayam?

[ Ayam Serama ]

Pelacuran dilaporkan profesion tertua di dunia. Di negara barat pelacur digelar ‘whore’ atau ‘pros’.

Manakala di negara kita pelacur seringali dipanggil ‘ayam’. Ayam muda, ayam tua.

“Ceh! Ayam tua semua bersidai tu. Tak guna, hampeh. Dua puluh ringgit pun tak ada siapa selera”

Antara komen biasa didengari, sedangkan ayam tua, haiwan sebenar masih lagi berguna dibuat rendang walaupun terpaksa direbus dalam tempoh waktu lebih panjang. Masih enak dagingnya biarpun agak liat bila digigit.

Jadi mengapa pelacur dirujuk sebagai ‘ayam’.

Itu persoalannya ..

Sesiapa ada jawaban?

Rabu, Ogos 20, 2008

Koloni

[ Kononnya pelajar kolej .. ]

Warga berkulit hitam, lebih senang digelar ‘black’. Majoriti mereka berasal dari Afrika. Kini kelibat mereka boleh dilihat di pelbagai lokasi. Di bandaraya atau di kawasan perumahan. Majoriti mereka mendiami flat kos rendah, tinggal menyewa bersama masyarakat tempatan. Masyarakat kita pada hakikatnya sudah lama menghormati ‘orang luar’ tanpa mengira warna kulit, bangsa maupun ugama. Tetapi kehadiran black di negara ini kini mula kurang disenangi terutama mereka berjantina lelaki.

“Dia orang ni bau badan dia kuat sangat. Lepas tu kalau tengok perempuan, mesti macam nak telan. Tenung atas bawah. Tak berani nak naik lif sama dengan dia orang, takut,” keluh wanita saya temui di Kepong, Selangor.

“We feel insulted, the ladies always ran away whenever they see us,” komen lelaki black.

Saya fikir, wanita atau gadis tempatan bukan lari tetapi muak dan mual melihat perangai maupun perlakuan lelaki black. Lirik mata mereka kerap dianggap gangguan seksual. Tindakan segelintir mereka sesungguhnya menjijikkan.

“Baik baik lah kalau berselisih dengan dia orang especially bila ramai. Suka sangat meraba. Kalau dia tegur, kita tak jawab, mula lah dia ikut kita,” satu lagi komen berbentuk aduan dilontarkan kepada saya.

Malah bukan itu sahaja, terbaru akhbar melaporkan mengenai kewujudan ‘Mini Afrika’ di Ampang, Selangor. Masyarakat sekeliling merungut, pengunjung premis majoriti black diapor seringkali mabuk dan berbuat bising sekaligus mengganggu ketenteraman awam. Restoran milik siapa? Dilapor didaftarkan atas nama wanita warga tempatan, isteri black. Jika benar maklumat itu, maksudnya restoran terbabit beroperasi secara sah dan sama sekali tidak bercanggah dengan undang undang.

Jika kita analisa menggunakan logik akal, sebelum ini perkara sama sudah lama berlaku dan berlarutan. Warga asing antaranya dari Bangladesh dan Indonesia kita sedari atau tidak sentiasa mengintai peluang mengahwini wanita tempatan. ‘Lesen’ sebagai suami sekaligus membuka ruang mereka berniaga di negara kita secara sah. Modus operandi diketahui umum. Akhirnya, kawasan perniagaan tertentu dimonopoli mereka, kesannya peniaga tempatan terpinggir.

Buktinya, lihat saja beberapa kawasan dilabel sebagai ‘Mini Jakarta’, ‘Mini Mynmar’ dan ‘Mini Kemboja’. Berbeza pada nama tetapi senario tetap sama. Peniaga tempatan bertukar status, asing di negara sendiri. Lebih dahsyat, lihat sahaja Pasar Borong Selayang, Selangor.

“Saya terlanggar bakul sayur, memang tak sengaja sebab dietakkan di tepi jalan bukan tempat berniaga. Lelaki Mynmar tu datang ke tingkap kereta dan ugut saya dengan pisau pemotong daging,” antara komen wanita tempatan dicatatkan dalam laporan akhbar baru baru ini.

Tanyalah pihak berkuasa, komen mereka tetap konsisten ..

“Kita jalankan operasi secara berterusan. Sukar memberkas mereka (warga asing tanpa dokumen) kerana pasar terbabit terletak antara sempadan dua negeri, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bila kita cuba tahan mereka akan melarikan diri ke sebelah satu lagi”

Saya secara peribadi lama bosan membaca atau mendengar komen sama diungkapkan berulangkali. Mengapa tidak dilaksanakan operasi bersepadu, benar benar ‘bersepadu’. Maksudnya, gabungkan Pasukan Polis Di Raja Malaysia, RELA dan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan dari kedua negeri dalam jumlah ramai, dua ratus dianggarkan lebih daripada mencukupi. Lalu diatur strategi kemas mengepung pasar terbabit pada waktu puncak, serbu dan tangkap kesemua peniaga pendatang haram. Lakukan berulangkali. Saya pasti ‘taring’ mereka pasti patah. Jika tidak mereka akan terus gah bermaharaja lela memandang lekeh masyarakat tempatan dan pihak berkuasa negara ini.

Mereka itu bagai lebah. Membina koloni tanpa disedari. Berkoloni membuatkan mereka lebih ‘kuat’ lalu seringkali melanggar undang undang.

Berbalik kepada warga black. Damansara Damai, Ampang dan Kepong di Selangor serta Bukit Bintang, Kuala Lumpur dikenalpasti dijadikan ‘kampung’ mereka. Mereka juga bagai lebah, sedang membina koloni.

Persoalannya, adakah kita redha dengan perkembangan terbaru ini?

Selasa, Ogos 19, 2008

Kerenah Pembantu Rumah

Suami isteri bekerja, anak ramai sekaligus khidmat pembantu rumah menjadi kemestian.

“Risau betul la, maid aku tu muda sangat, baru 18 tahun. Keluar bilik air selalu berkemban, dia buat macam kat rumah dia di Indonesia kut. Ish! Silap silap laki aku disambarnya. Kalau ambil maid tu, kang banyak penyakit pula. Elok elok dia jaga kita, kita pula kena jaga dia”

Antara rungutan biasa kita dengar.

“Maid aku tu lagi ‘special’. Dia cakap, dia tak nak gosok baju sebab tak tahu nak guna iron. Tak nak basuh baju sebab tak pandai nak guna washing machine. Boleh dia cakap kata aku, bayar dia separuh gaji dah la, cukup”

“Mula mula tu dia ok, kemudian bila dah enam bulan kerja start buat perangai. Jantan mana entah di bawanya masuk ke rumah. Siap ‘guna’ bilik aku lagi. Anak dia tinggal kat living room menangis. Sakit hati betul. Ni maid baru tak tahu lagi perangai macamana”

Malangnya majikan sebegitu. Mengeluarkan wang ribuan ringgit dan kemudian terpaksa berhadapan dengan pelbagai ‘pekej’ pembantu rumah. Gadis maupun wanita warga tempatan diketahui lebih selesa bekerja di kilang atau di gedung membeli belah. Pulangan lebih lumayan dan tidak terkongkong dengan aktiviti di rumah.

Perlukah pembantu rumah atau tidak?

Isnin, Ogos 18, 2008

Huh! Hilang?

[ Orbs ]

“Lepas mahgrib kita pergi balik ke tapak pembinaan belakang sekolah tu, ambil gambar masa gelap,” ujar saya kepada wartawan 360, Harris dan jurukamera, Nong.

Mereka bersetuju.

Tepat jam 7.40 dari gerai tempat minum kami menaiki kereta menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang.

“Terus jer ke tempat tu. Ambil gambar kejap kita blah,” kata saya.

Tanpa berlengah kami bertiga keluar dari kereta. Saya mengambil gambar menggunakan kamera digital secepat mungkin. Hari bertambah gelap, hati bertambah gusar.

“Puh! Banyak,” kata saya kepada mereka.

Ribuan Orbs saya rakamkan di bahagian atas bumbung sekolah dan di hutan berhampiran. Sesetengah besar, sesetengah kecil. Nong sibuk merakamkan visual kawasan berhampiran pagar sekolah. Hampir sepuluh minit di lokasi, Harris bersuara.

“Nampak tak?,” tanya Harris.

“Jom bang, blah,” ajak Nong sambil tergesa-gesa masuk ke kereta.

“Kejap ya, nak ambil gambar sikit lagi,” balas saya.

Klik! Klik!

Saya melangkah ke kereta. Mereka berdua senyap dan kelihatan gugup. Nong terus memandu, deras.

“Engkau nampak tak apa aku nampak tadi Ris? Rasanya aku rekod, dapat gambar tu on camera,” bisik Nong kepada Harris.

“Nampak,” balas Harris ringkas.

“Memang aku dapat rakam, benda tu stay kejap, dua tiga saat lepas tu hilang,” kata Nong lebih yakin.

Harris duduk di belakang melihat semula visual dirakamkan jurukamera 360 itu.

“Benda tu macam intai kita tadi,” komen Harris.

Saya kemudian melihat visual mereka maksudkan. Satu objek putih berbentuk bujur, bukan orbs di sebalik dinding zing berhampiran pagar sekolah kelihatan jelas kemudian menghilang sekelip mata.

Apakah objek itu?

Sama sama kita saksikan dalam 360 minggu ini.

Mawar Merah

Berikan wanita sekuntum mawar merah, mereka akan berasa gembira. Apatah lagi jika mereka dihulurkan sejambangan bunga jenis sama, majoriti mereka melonjak ceria. Bunga, seringkali dihadiahkan lelaki kepada wanita pada pelbagai hari istimewa. Ulang tahun kelahiran, ulang tahun perkahwinan atau semasa hari teruna cuba memikat hati si dara.

“Dapat mana bunga kering tu?,” tanya saya.

“Itu boyfriend I bagi. Lepas layu, I keringkan la. Boleh simpan,” jawab rakan.

Berikan sekuntum mau pun sejambangan mawar merah kepada lelaki. Diterima dengan senyuman tetapi mungkin kemudiannya akan dilemparkan ke tong sampah.

Mengapa ya?

Ahad, Ogos 17, 2008

Dari Kerana Mata

“Mazidul, come over to my clinic la, I nak check mata you. You tu kencing manis, nanti banyak problem. Bukan nak caj you pun, free”

Antara kenyataan Profesor Dr Muhaya Hj Mohamad ketika kami bertemu selepas sesi temubual rancangan Malaysia Hari Ini, MHI.

Bukan sekali beliau membuat permintaan itu, setiap kali bertemu.

Alasan saya ..

“Alah! Dr lain. Muka manis, mata kena cantik. Mata saya ni siapa lah nak tengok ..”

Akhirnya ini cadangan saya kepada beliau ..

“Macam ni lah, macamana kalau Dr hantar satu atikel kepada saya, nanti saya postkan dalam blog, jadi semua orang boleh baca”

Beliau kini berkhidmat di Prince Court Medical Centre, bersetuju.

Saya kongsikan maklumat berbentuk soal jawab bersama semua pembaca blog ini ..

Apakah cara untuk pesakit rabun untuk berhenti memakai cermin mata?

Cara cara untuk mengelakkan memakai cermin mata ialah dengan memakai kanta lekap, melakukan pembedahan laser refraktif pada kornea, dan penggantian kanta didalam mata semasa pembedahan katarak.

Apakah keberkesanan cara cara disebutkan?

Kanta lekap boleh digunakan tetapi ia tidak kekal dan harus ditukar setiap hari. Pembedahan refraktif adalah kekal dan membetulkan kerabunan dengan segera. Penggantian kanta didalam mata adalah kekal tetapi ia melibatkan pembedahan mata.

Apakah cabaran doktor mata masa kini untuk mengatasi masalah pesakit berumur melebihi 40 tahun enggan memakai cermin mata untuk membaca?

Kini terdapat pelbagai kaedah menggunakan pembedahan refraktif pada kornea dapat membetulkan presbiopia. Kaedah lain ialah melakukan pembedahan katarak dan menggantikan dengan kanta multifokal

Boleh kah seseorang yang menjalani katarak memilih untuk tidak memakai cermin mata walau pun untuk membaca?

Ia boleh dilakukan jika kanta multifokal dimasukkan kedalam mata. Teknik ini memerlukan kepakaran tinggi.

Adakah semua orang sesuai untuk implant kanta multifocal?

Tidak. Ia tidak sesuai untuk pesakit mempunyai astigmatisma yang tinggi. Walau bagaimana pun jika astigmatisma ini dapat dirawat dengan kaedah lasik kanta multifokal sesuai untuk dimasukan kedalam mata.

Jika seseorang itu mempunyai kehendak terlalu tinggi kanta ini tidak sesuai kerana keupayaannya untuk memberi penglihatan baik tidak dapat menyamai kanta ciptaan Allah swt.

Kanta multifokal yang dimasukkan kedalam mata. Ia stabil dan kekal didalam mata.

Sabtu, Ogos 16, 2008

TC Tetap Tak Berubah ..


Teluk Cempedak, TC masih tidak berubah. 17 tahun lampau saya berada di Kuantan, Pahang. Senario sama saya saksikan. Tetapi mungkin pasangan suami isteri ..

Jumaat, Ogos 15, 2008

Menjerit lagi

[ Pic: Jeritan dari Surau ]

Arghhh! Arghhhhh! Arghhhhhhh!

Jelas kedengaran jeritan tanpa henti dari dalam surau di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Lumpur, Kuantan, Pahang. Kelihatan kelibat beberapa pelajar sekolah di celah tingkap cermin barangkali mengintai kami merakamkan gambar mereka.

“Huh! Macam paparazi pula rasanya,” saya mengusik Nong.

“Ai! Bukan ke selama ni pun kita macam paparazi juga?,” soalnya tersenyum.

“Jerit jerit lagi la bang,” ujar Harris perlahan.

Nong sibuk meneruskan rakaman visual gerak geri mereka di dalam surau biarpun tidak kelihatan jelas dari tepi pagar tempat kami berdiri. Tiada siapa memberikan maklumat kepada kami mengenai apa berlaku sepanjang dua hari liputan. Pihak sekolah mengambil pendekatan mendiamkan diri, itu kami faham mengapa. Setakat ini kami berjaya merakamkan kenyataan dari pelajar dan keluarga.

“Keluarga pelajar terkena histeria semua ni mungkin bimbang juga sebab dari awal Mei, masalah tak selesai,” kata saya kepada Harris.

Dia mendiamkan diri.

“Awak cari se orang budak, minta tolong dia pergi ke surau, kira berapa ramai kena histeria sekarang ni. Tengok apa berlaku dalam surau tu sekali,” pinta saya.

Pantas Harris bergerak mendapatkan bantuan. Lima minit kemudian 2 pelajar lelaki berjalan masuk ke sekolah biarpun majoriti daripada penuntut sudah berada di luar bersiap sedia untuk pulang pada jam 12 tengahari. Sepuluh minit kemudian pelajar sama melangkah keluar dengan senyuman dan tanpa berlengah terus menemui Harris sedang berdiri di bawah pokok di hadapan sekolah.

“Ada enam pelajar, empat cikgu dan empat bomoh perempuan,” lapor Harris kepada saya.

Sejak semalam pelbagai cerita saya dengar. Berikut antara kenyataan pelajar perempuan kami rakamkan.

“Ada bomoh, dia bunuh jin pakai keris lama. Masa nak keluar tadi dia bagi dua biji limau nipis. Ini ada minyak campur lada hitam sekali, dia suruh sapu kat badan bahagian sakit”

Ini pula kenyataan pelajar perempuan tingkatan dua kami temubual.

“Dia datang tengok saya. Tengok saya seorang. Besar sangat berdiri dekat saya”

“Siapa ‘dia’ tu?,” soal saya keliru.

“Rupa macam beruk. Dia pandang saya. Memang saya nampak. Tapi orang lain tak tahu la mungkin nampak benda berbeza. Bila dia pandang, badan saya jadi lemah, saya menjerit, jatuh pengsan,” sambungnya lagi.

Ada sebahagian pelajar sekolah sama mendakwa terlihat perempuan tua tidak berkepala di sekolah sama mengakibatkan mereka menjerit tidak keruan.

“Kat belakang tu dulu kalau mengikut cerita orang tua, tempat Jepun bunuh orang,” ujar pekerja kantin kami temui di luar sekolah.

Tengahari tadi kira-kira jam 12.15, kami sekali lagi dihampiri pengawal keselamatan bertugas.

“Tu ada bomoh dua orang dari Selangor dah balik naik kereta, jauh dia datang. Tapi dia cacat penglihatan,” katanya tanpa ditanya.

“Hari ni berapa orang kena histeria?,” soal saya.

“Maaf la saya tak tahu. Sebab saya duduk kat depan jer, tak pergi belakang pun” balasnya.

“Dah la encik, letih kena tipu ni tau,” kata saya.

Dia mungkin tidak menyedari, sewaktu merakamkan visual pelajar menjerit di surau, kami melihat dia berlegar legar di kawasan sama.

Jalannya bongkok ..

[ Pic: Pagar 'koyak' ]

Saya, wartawan 360, Harris dan jurukamera, Nong tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Lumpur, Kuantan, Pahang pada jam 10.30 pagi semalam.

“Kat mana bangunan sekolah baru under construction tu?,” soal saya kepada Harris.

“Tu bang, kat sana,” katanya.

Lalu kami bertiga melangkah menuju kawasan ditunjuk Harris. Berjalan seiring bersama bagai tiga bujang lapok jika diperhatikan dari jauh. Bagaimanapun kami tidak menyanyikan lagu ..

“Pok! Pok! Pok! Bujang lapok, ada mancis tak ada rokok ..”

Tiada kegembiraan terpancar di wajah Harris dan Nong, tiada senyuman diukirkan. Tiada jenaka dicetuskan. Mereka kelihatan lebih serius berbanding biasa. Semakin hampir ke tapak pembinaan itu, semakin terasa debaran teramat di dada. Di tangan Nong, kamera Panasonic DVX 102A berlensa Leica. Di leher saya tergantung kamera Canon G9.

“Tu ada pekerja Indonesia, pergi lah interview dia,” pinta saya kepada Harris.

Harris melangkah menuju terus ke rumah kongsi bersama Nong. Saya berhenti seketika lalu merakamkan gambar lubang terdalam dikorek berjarak kira-kira 3 meter dari pagar sekolah. Tetapi saya dapat merasakan ada sesuatu berbeza. Bulu roma saya meremang secara tiba-tiba. Jantung mula berdegup kencang. Saya hairan, cuaca terang benderang, setiap klik! kamera merakamkan gambar gelap bagaikan kekurangan cahaya.

Aiks! Tak set ke auto ke kamera ni? Tanya hati kepada diri sendiri. Pantas saya membelek kamera. Setting masih pada ‘auto’, tiada sebarang perubahan. Saya rakamkan beberapa gambar lain. Gambar cerucuk besi, lopak air dan longgokan tanah. Ada gambar gelap, ada gambar terang.

Tanpa berlengah saya berjalan pantas menuju ke kongsi berhampiran, waktu itu Harris mula menemubual pekerja binaan, Khatijah Sultani, 37 tahun berasal dari Jawa Timur, Indonesia.

“Saya mula kerja sini sejak lima bulan lalu. Lepas korek tanah tu, cuck besi, saya selalu dengar suara macam budak tengah sekolah pukul dua, tiga pagi. Tapi ada juga bunyi nangis nangis, dekat pagar sekolah ‘koyak’ tu. Ada lima enam orang, macam tu lah,” jelasnya.

“Lepas tu apa jadi?,” soal Harris.

“Lepas tu pelajar perempuan sekolah ni mula jerit jerit jadi gila (histeria), baring baring tepi pagar lima enam orang,” jawabnya tenang.

Jarak dari kongsi ke bangunan sekolah saya anggarkan hanya 15 meter.

“Takut?,” soal Harris lagi.

“Takut. Tapi biasanya lepas sembahyang subuh saya keluar dari rumah ni. Berdiri di luar. Barangkali memang ada makhuk halus ganggu,” responnya.

Kami kemudian menamatkan temubual dan mengucapkan terima kasih kepada Khatijah sebelum kembali semula ke tapak pembinaan berhampiran sekolah.

“Nong, sebab apa gambar saya ambil ni sekejap gelap, sekejap terang?,” soal saya kehairanan.

“Saya pun sama lah bang. Kamera ni selalunya kalau cuaca terang macam ni guna filter 1/64 aje. Ni nampak gelap, tapi kamera ni tak minta turunkan filter jadi 1/8 supaya jadi terang. Mata saya ni pedih gila. Bila pejam lama sikit, buka, saya nampak asap ni,” ujarnya.

Terus terang, ketika itu hati saya semakin berdebar. Mungkin setiap gerak geri kami diperhatikan entiti di kawasan sama.

“Dua kamera kita ni rosak kut,” balas saya untuk menenangkan jiwa buat seketika.

Harris mendengar perbincangan kami, khusyuk. Saya tahu dia juga hairan dan mindanya dihantui pelbagai persoalan tanpa jawaban.

“Engkau orang berdua jangan buat hal kena rasuk pula kat sini, aku sepak nanti!,” saya bergurau dalam tegas.

Harris menoleh ke arah saya.

“Habis, itu kalau kami dua orang kena rasuk, kalau abang kena, macamana?,” pantas Harris bersuara sambil tersenyum.

“Payah,” balas saya.

Kami kemudian mengambil keputusan meninggalkan tapak pembinaan itu secepat mungkin. Ketika itu jam di tangan saya menunjukkan pukul 11.45 pagi.

“Jom kita masuk kat hutan tu,” cadang Nong sambil menunjuk ke arah hutan dipenuhi pohon tinggi di belakang kongsi.

“Jangan buat gila. Jom blah,” ujar saya.

Berhampiran pintu sekolah kami temui, Idros Sulong, 39 tahun. Anak perempuannya, pelajar tingkatan dua didakwa diserang histeria 14 kali sebelum ini.

“Sebelum kena tu, jari dia jadi bengkok, masa tu dia sedar lagi. Lepas tu dia mula berjalan bongkok macam orang tua, senyap tak cakap apa. Tapi kalau kita halang dia berjalan, dia start mengamuk, suara jadi kasar, bukan suara dia,” sambil menggayakannya aksi anaknya.

“Pulihkan macamana?,” soal Harris.

“Kena bawa dia balik ke tapak pembinaan belakang sekolah tu la. Cakap elok elok, keluar la, dia ni pelajar, kena pergi sekolah. Kalau macam ni, macamana dia nak ke sekolah. Lepas tu dia akan pengsan sekejap, sapu muka dia baru sedar,” jelasnya.

Beberapa minit kemudian kenderaan pacuan empat roda berhenti berhampiran kami. Keluar lelaki berpakaian kemas bagai FBI caranya.

“Ni penolong pengarah pendidikan negeri,” kata pemandunya.

“Sorry. Kita tak benarkan reporter masuk,” kata pegawai pendidikan terbabit.

“Ish! Tak apa tuan, no problem. Saya sejak datang tadi pun tak ada minta nak masuk kawasan sekolah pun. Malas nak ganggu orang belajar. Tapi dia memang selalu macam tu, dah jadi adat. Kalau sekolah perlukan reporter, dia panggil tapi dalam kes macam ni dia tak bagi cover,” balas saya.

“Tolong! Jangan ambil gambar saya,” ujar beliau tegas.

Saya luahkan apa terlintas di fikiran melihat latahan beliau.

“Bagi tak bagi cover dalam compound sekolah, hak tuan. Ambil gambar ni, itu kerja kami,” balas saya.

Beliau dan kakitangannya melangkah masuk ke kenderaan lalu beredar meninggalkan sekolah terbabit.

“Tu la nasib baik saya tak ikut cakap guard sekolah tu. Dia kata Guru Besar cakap kalau saya nak jumpa dia di pejabat, ok. Katalah saya masuk jumpa dia tadi, puh! silap silap kena transfer pula dia, kesian,” ujar saya kepada penjual cendol berniaga di lokasi sama.

“Pelik sungguh,” balasnya ringkas.

Perkembangan terkini liputan krew 360 berhubung kes histeria di sekolah sama akan saya kongsikan bersama anda kemudian .. Siaran 360, 20 Ogos 2008.

Khamis, Ogos 14, 2008

On The Way?

‘On the way’.

Kita sering menggunakan phrasa itu. Kita khabarkan atau sekadar mengirimkannya melalui pesanan ringkas. ‘On the way’ kini diringkaskan kepada akronim, ‘otw’.

Bagaimanapun ‘otw’ bergantung kepada maksudnya. Jika kita di Kuala Lumpur, kawan di Seremban, 'otw' dia ertinya kira-kira 1 jam. Jika kawan di Melaka, ‘otw’ dia ertiya 2 jam. Jika dia di Johor ‘otw’ mungkin bermaksud 3 jam.

Malangnya ada antara kita kerap menyalahgunakan erti ‘otw’.

“Kat mana dah ni?,” kita tanya dia.

“Otw,” jawabnya.

Agar rakan tidak menyalahgunakan ‘otw’ itu, saya kongsikan dengan anda petua menguji ‘otw’ sebenar. Begini ..

Tanya kawan itu ..

“Awak dah sampai mana ni?”

“Otw,” balasnya.

“Betul?,” tanya untuk kepastian.

“Betul la!,” responnya.

“Ok, you tolong bunyikan hon kereta, I nak dengar ..”

Ha! Ha! Ha!

Kekadang ada kawan kantoi ..

“Eh! I ada kat umah lagi la, baru nak keluar ni,” barangkali balasnya.

“Kat umah ya? Kalau betul pergi bilik air, tolong flush kan toilet, I nak dengar,” pinta begitu.

Ha! Ha! Ha!

Ada kawan kantoi sekali lagi.

“Eh! Actually, I baru nak balik rumah ni. Tadi makan kat gerai depan rumah. Sorry la. Jap lagi I bertolak,” barangkali ujarnya.

Balas ..

“Lain kali cakap jer betul-betul. Nanti bila jumpa, I akan ajar you erti ‘otw’ ok”

Selasa, Ogos 12, 2008

Nak Terkencing Ya?

Cakap saja ‘public speaking’ atau pengucapan awam, ramai berpeluh di dahi. Kita berasa tidak selesa, jarang berminat melakukannya kecuali terpaksa.

“Tak tahu lah, bila berdiri depan orang ramai jer, ide hilang, tekak kering jadi macam tersekat. Nak muntah pun ada. Debaran tu jangan cakap lah. Dup! Dap! Dup! Dap! Lepas tu mesti terasa badan menggigil, menggelatar semacam. Eh! Terasa apa, memang badan menggigil pun!”

Antara komen biasa kita dengar.

Mengapa?

“Bila kita di depan, orang pandang. Rasa macam orang scan setiap inci badan kita. Terasa canggung sesangat, kekok. Mula la cakap pun tersangkut sangkut, lidah terseliuh. Rasa macam nak terkencing pun ada!”

Bukan itu sahaja malah ada antara kita langsung tidak mampu berkata apa. Sekadar berdiri di depan khalayak umpama patung, kaku. Ada menggaru kepala berulang kali sedangkan kepala tidak gatal. Ada bermain rambut biarpun rambut bukan ikal mayang.

Mengapa?

“Payah betul, aku tak tahu nak letak tangan kat mana, kalau nak gerak, nak gerak tangan tu macamana. Nak fikir apa nak cakap satu, nak fikir fasal tangan satu lagi”

Masalah sering dihadapi majoriti daripada kita ..

Mengapa?

Wanita Itu

Saya kerap terpegun melihat wanita. Agenda kehidupan mereka jauh berbeza berbanding lelaki. Majoriti daripada mereka mempunyai tanggungjawab besar. Sebelum suami membuka mata pada awal pagi, kebanyakan wanita berada dalam keadaan bersiap sedia.

“Bang, bangun dah subuh,” kata wanita itu.

“Oh! Dah subuh rupanya,” jawab suami sambil menggeliat menghabiskan sisa-sisa lena.

Sedangkan wanita itu siap sudah menunaikan solatnya. Sebaik selesai melipat telekung dan sejadah kedengaran anak kecilnya bersuara sambil berdiri di muka pintu.

“Mak, pensil semalam mana?”

“Bila pagi barulah nak mencari pensil,” sedikit rungut wanita itu.

Tetapi jika pensil tidak ditemui wanita itu tetap bersabar membantu mencari. Di dalam bilik, di bawah katil atau di belakang sofa. Sehingga pensil itu ditemui.

“Boleh tolong gosok baju abang?,” pinta suami.

“Kan semalam dah gosok dah baju,” balas wanita itu.

“Entah, rasa malas nak pakai baju tu, nak pakai baju ni,” ujar suami.

Biarpun dihatinya mungkin sedikit mengeluh, wanita itu tidak membantah. Baju ingin dipakai suami digosok dan kemudian diserahkan ke tangan lelaki ketua keluarganya.

“Ehem!,” terdengar suami bersuara.

Maka wanita itu selaku isteri bingkas ke dapur menyiapkan secawan kopi biar pun dia sendiri tidak berkesempatan untuk minum.

“Tie ni dah pakai semalam, ada tie lain tak?,” satu lagi tuntutan harus dipenuhi.

Berjalan ke almari, wanita itu secara sabar mencari tali leher suami pada masa sama memastikan kain baju berlipat tidak berselerak.

“Nah bang,” kata wanita itu lembut.

“Mak, semalam cikgu kata kena bawa duit lima ringgit, nak beli buku latihan,” ujar anak.

Sebelum ayah sempat berkata, beg duit wanita itu sedia di tangannya.

“Nah,” katanya.

“Mak, tuala mana?,” anak kedua bersuara dari dalam bilik mandi.

Tanpa berlengah wanita itu mencapai tuala. Bukan sekadar itu, jika anak masih kecil dia akan mengelapkan tubuhnya biar kering sebelum berbaju.

“Ada nampak kunci kereta abang tak?,” soal suami.

Ke hulu ke hilir wanita itu mencari. Di dalam laci, di kawasan berhampiran seluar semalam dipakai suami, di atas almari. Pergerakan wanita itu pantas sedangkan suami hanya berdiri, mata sekadar menjeling kawasan sekeliling.

Justeru, tidak salah bagi suami, sebelum keluar dari rumah bersama isteri untuk ke tempat kerja masing-masing pada pagi sama setiap hari, ucapkan penghargaan kepada wanita itu.

“Terima kasih kerana menjadi wanita itu dalam hidup ku”

Ahad, Ogos 10, 2008

Histeria

Serangan histeria semakin menjadi-jadi. Setakat ini 10 sekolah antaranya di Cheras, Kuala Lumpur, Kuantan, Pahang dan Subang Jaya, Selangor huru-hara. Pelajar tanpa mengira jantina, jatuh pengsan, meracau, menjerit malah mencederakan diri sendiri. Kalau dulu mangsa hanya perempuan, kini lelaki tidak terkecuali.

Apa sebenarnya terjadi?

Pakar psikologi mendakwa kejadian akibat gangguan psikologi dan melarang pelajar mendapatkan khidmat rawatan bomoh. Manakala pengamal perubatan tradisional dan Islam berkata, pelajar terbabit dirasuk makhluk halus. Pakar psikologi terbabit bukan calang-calang orang, begitu juga pengalamal perubatan Islam terbabit.

Setakat ini tiada siapa dapat mengekang kejadian histeria secara total. Tenang buat seketika dan kemudian berulang kembali. Kesannya, pelajar terpaksa diberi cuti dan berpindah sekolah.

Ada pihak mendakwa, ‘pagar’ sekolah sudah luput tarikhnya. Ada juga mendakwa sekolah terbabit dikongsi bersama makhluk halus. Kegiatan murid selama ini menganggu mereka dan mereka bertindak balas ‘menyerang’. Justeru, masyarakat berada dalam keadaan keliru.

Apa sebenarnya terjadi?

Jom Bantu Afni ..

Saya tertarik dengan masalah dikemukakan pembaca blog ini, Afni. Anda boleh membaca sebahagian daripada komen nya melalui cbox. Diringkaskan, ada pelajar di bawa jagaan Afni dikatakan mabuk dan menghisap rokok di hostel bawah pemantauannya.

Sebagai wartawan saya tidak hairan dengan masalah dikemukakan. Pelajar sekolah sebelum ini dilaporkan terbabit dalam pelbagai gejala sosial lain. Ponteng sekolah, terbabit dengan seks bebas, malah terjerumus dalam kegiatan gengsterism.

Saya teringat kata-kata pakar motivasi kenalan saya.

“Remaja ni majoriti bersikap rebelious. Jika ditegur suka melawan, membantah demi menegakkan kepercayaan dia orang. Remaja banyak persoalan belum terjawab dalam minda, justeru mereka gemar mencuba pelbagai perkara tanpa berfikir panjang.

Afni di Pahang memerlukan bantuan kita semua. Dia mempunyai masa terhad membuat keputusan sehingga minggu depan. Adakah pelajar terbabit perlu dibuang dari hostel? Atau mereka harus dinasihatkan atas perlakuan mereka?

Fikirkan juga dilema dihadapi Afni, sebelum ini menurutnya sekiranya pelajar ditegur atau dihukum ada keluarga datang marah dan mengamuk malah teman lelaki pelajar wanita turut memberinya amaran.

Lontarkan pandangan anda, tuliskan di bahagian COMMENTS semoga boleh dikongsi semua ..

Jumaat, Ogos 08, 2008

Pakai Tangan Jer!

[ Pic: Baharudin Awang dan saya, 17 tahun .. ]

Tahun 1985 saya menjejakkan kaki ke Lembah Klang, Shah Alam, Selangor. Ketika itu berusia 17 tahun. Masih muda, bertenaga.

“Jom la masuk,” ajak rakan seusia.

Kami merayau di ‘Bandar Gagak’, Kelang. Kelang waktu itu cukup terkenal kerana menjadi tumpuan ribuan burung gagak. Ada sekadar berterbangan, ada makan sampah, ada berbuat bising.

“Tak nak la, segan,” balas saya.

Beria-ia benar rakan mengajak saya masuk ke restoran makanan segera, Kentucky Fried Chicken, KFC. Hemat saya, antara cawangan terawal dibuka di Malaysia.

“Tak apa, aku order kan. Engkau duduk jer,” ujarnya.

Akhirnya saya menurut permintaan berulang itu. Melangkah masuk ke restoran dipenuhi pelanggan, tua, muda, remaja dan kanak-kanak bergaya. Duduk di kerusi premis berhawa dingin itu, mata saya liar memerhatikan gerak-geri pelanggan di sekeliling. Makan, di tangan mereka, garpu dan pisau. Pisau memotong ketulan ayam kemudian disuap menggunakan garpu ke mulut. Manakala di kaunter rakan saya dilayan sempurna.

“Two dinner plate please,” jelas dia membuat pesanan.

“Two dinner plates!,” jerit pekerja kaunter kepada kakitangan hanya nampak kepala sibuk bekerja di dapur.

Itu senario biasa di premis makanan segera, 23 tahun lalu. Stail cukup kebaratan. Jika makan ayam menggunakan tangan atau berbahasa Melayu ketika membuat pesanan makanan maupun minuman, pasti ada pelanggan lain menjeling. Janggal benar perlakuan itu, menurut pandangan mereka.

“Apasal engkau segan sangat?,” soal rakan sambil meletakkkan tray makanan di atas meja.

“Tak ada apa. Aku selalu makan kat gerai, cakap Melayu jer. Kat sini kena cakap orang putih,” balas saya.

“Ala, kan kita tengah belajar orang putih,” jelasnya yakin.

Ketika itu kami bersama menuntut di Kolej Pengajian Persediaan, KPP, belajar bahasa Inggeris, TOEFL sebagai persediaan sebelum terbang ke luar negara.

“Bukan fasal bahasa tu. Pasal penggunaannya. Takkan semata-mata sebab restoran ini francais syarikat antarabangsa, pekerja dan pelanggan kena guna bahasa Inggeris kut?”

Rakan saya terdiam seketika.

“Cakap jer la bahasa Melayu. Ada masalah ke? Bukannya kalau guna bahasa Melayu, ketulan ayam tu tiba-tiba bercantum jadi ayam dan melompat balik, kan?,” saya mengusiknya.

Dia tersenyum. Sebelum menjamah makanan saya melangkah ke tandas di bahagian belakang kaunter.

“Nak ke mana?,” tanya rakan, tanggan mencapai pisau dan garpu.

“Nak basuh tangan”

Waktu itu sinki membasuh tangan tidak disediakan di majoriti restoran makanan segera.

Duduk semula, saya makan sambil mata tertumpu memandang pelanggan duduk di meja sebelah. Terkial-kial tangan lelaki tua datang bersama keluarga anaknya. Jelas benar, dia tidak selesa makan ketulan ayam menggunakan pisau dan garpu. Tetapi terpaksa kerana mengikut norma ketika itu biarpun sukar dia mengawal memastikan ketulan ayam tetap dipinggan, tidak terpelanting ke udara.

“Aku pun nak basuh tangan juga lah,” bisik rakan.

Mungkin dia enggan membiarkan saya kelihatan janggal berseorangan. Janggal kerana makan ketulan ayam tanpa pisau dan garpu. Kini, setiap kali berkunjung ke restoran makanan segara, penggunaan bahasa Melayu pilihan saya.

Moto KFC, ‘sehingga menjilat jari’, jelas secara tidak langsung merestui tindakan awal saya sewaktu masih remaja. Mungkin mereka juga sudah menyedari kejanggalan berlaku sekian lama.

Meraka sedar, bagaimana ‘menjilat jari’ jika makan menggunakan pisau dan garpu?

He! He!

Khamis, Ogos 07, 2008

Tolong Jawab Boleh?

Kepada pembaca terlepas menonton siaran 360 malam Rabu, 6 Ogos lalu, silakan melayari www.tv3.com.my, pilih ‘watch episode’ dan klik ‘360’. Paparan kisah ‘Ah long I’.

Saya baru tengok. Pelik bila menonton diri sendiri di skrin laptop. Di hujung rancangan saya nyatakan, penonton boleh menghubungi krew 360 di talian 019 2345 360 melalui SMS sahaja. Maka beratus SMS diterima. Pelbagai persoalan diajukan.

Antaranya ..

‘Awak cakap ah long tak baik. Habis kalau orang susah mana mau cari wang? Bank susah mau kasi pinjam’

‘Melayu boleh la hidup senang. Bukan Melayu hidup susah. Mau berniaga modal 100,000 siapa mau bagi? Bank boleh kasi pinjam 100,000 dalam masa 10 minit?’

Ada pihak ingin saya melatah dan menjawab dengan emosi. Tetapi dia tersilap, pengalaman menjadikan saya lebih bertenang.

“Bangsa lain semua susah”

Satu lagi SMS dihantarnya, disusuli lebih 10 SMS lain daripada pengirim sama.

Akhir sekali begini bunyi SMS nya ..

‘Apa pasal you tak boleh jawab??’

Kalau anda jadi saya, apa anda nak jawab?

Rabu, Ogos 06, 2008

Bukan hebat, hairan ..

Wanita berperawakan lelaki. Berambut pendek, sering memakai kameja dan slack antara deskripsi golongan pengkid.

“Macamana pengkid boleh dapat girlfriend lawa, cun?,” tanya saya kepada Lin, 19 tahun.

Teman-teman memanggilnya Leman.

“Biasalah. Pengkid lebih memahami perasaan perempuan sebab dia orang pun perempuan. Pandai jaga hati, perasaan girlfriend,” ujarnya.

“Tapi saya dengar pengkid cemburu gila, sanggup bergaduh, bertumbuk sebab perempuan. Sampai sanggup potong pergelangan tangan bila kecewa?”

“Itu lah cinta nama nya,” respon Lin.

“Cinta sesama perempuan?”

Dia terdiam sebelum menjawab.

“At least tak macam lelaki. Habis manis sepah dibuang, lagi teruk!”

“Kemana akhirnya cinta sesama perempuan ni?,” soal saya.

Lin terdiam sekali lagi.

“Sampai tua bersama pun tak apa. Kalau kahwin dengan lelaki pun belum tentu bahagia. Lelaki sekarang ni ramai tak senonoh, perangai buruk. Ada bini dipukul, kahwin kejap lepas tu cerai. Macam kahwin tu main-main. Akhirnya perempuan jadi janda,” keluhnya.

“Bukan semua lelaki”

“Awak memang bengkung breast yer?,” tanya saya.

“Ish! Mana ada!,” pantas Lin menafikan.

Dadanya tidak seperti perempuan lain, kelihatan ‘flat’.

“Awak suka kat perempuan?”

“Mana ada!,” balasnya.

Saya terus mendesak.

“Ada boyfriend?”

“Tak ada,” jawabnya.

“Alah! Dengan saya pun nak menipu. Macam lah saya tak tahu. Malam tadi awak bergaduh dengan siapa? Amy? ”

“Eh! Mana abang tahu ni?,” soalnya.

“Awak tumbuk siapa sampai bengkak tangan tu?”

Pantas Lin menyorokkan tangan kanannya.

“Dia buat hal. Tak balik rumah dekat seminggu. Walhal selama ni saya jaga dia elok. Sewa rumah saya bayar. Makan minum saya tanggung. Mana dia nak pergi saya bawa. Apa dia nak saya bagi. Dah seminggu dia tak balik rumah. Bila call katanya duduk rumah kawan. Malam tadi saya naik moto cari dia. Abang tau dia melepak kat mana?”

“Kat mana?”

“Ampang” katanya.

“Dia ada boyfriend ke?,” soal saya.

“Boyfriend apa, pengkid juga lah. Itu saya hayun muka budak tu, ada kan girlfriend saya nak di ciluknya, sial!,” ujarnya berterus-terang.

Dia kemudian terdiam seketika.

“Hebat abang ni, affair saya dengan Amy pun tahu?”

“Ish! Bukan hebat, hairan,” balas saya.

Selasa, Ogos 05, 2008

Seperti Yang Lain

“Macamana nak eja nama you?,” soal saya kepadanya.

“F, A, K, H, R, U, L .. Razi Ibrahim,” ujar penyanyi dari Brunei itu.

Saya mencatatkannya di atas kertas. Pagi tadi kali pertama saya, Ally Iskandar dan Wardina menemubual artis dari negara Brunei. Fakhrul, 28 tahun muncul dalam Program Malaysia Hari ini, MHI pada jam 8.45 pagi bersama rakan artis se negaranya, Sri Nazrina Johari.

“Dia kat Brunei macam abang juga hos kan rancangan talk show pagi,” celah pegawai perhubungan awam bersamanya.

“Oh! Tiap-tiap hari ke?,” soal saya kepada Fakhrul.

“Ya, tapi hos nya ramai, satu bulan saya buat 6 kali lah. Program ‘Rampai Pagi’, siaran antara jam 7 dan 10 pagi termasuk hujung minggu,” balas anak kelahiran Bandar Seri Begawan itu.

Sri kemudian mendendangkan lagu ‘Walau hanya illusi’ di pentas MHI. Sedap suaranya. Ayah beliau juga penyanyi cukup dikenali di Brunei, Johari HO.

“Lagu boleh laku tu,” kata Ally sewaktu kami sama-sama duduk di set setelah mendengar suara Sri.

“Album ‘Seperti yang lain’ ni ada 12 lagu, 4 penyanyi, setiap orang nyanyi 3 lagu. Saya, Sri, Fairuzneezan dan Faiz. Ada 10 lagu ciptaan Julfekar, 2 lagi ciptaan manager kami Hans Anwar,” jelas Fakhrul.

Selepas siaran kami bergambar bersama. Saya meminta kesemuanya menggayakan ‘shot terbang’, mereka bersetuju.

[ Pic: Ally, wardina, Fakhrul, Sri dan Mazidul ]

Terima kasih kepada Jakel Trading kerana sudi menaja pakaian saya bermula hari ini. Tidak lupa sekalung penghargaan kepada Ms. Fransisca Razak ( Melayu ) dari Image Management TV3 atas daya usaha dicurahkan. Biar pun jalan congested semasa fitting dilakukan, dia tetap sampai ke lokasi ..

Isnin, Ogos 04, 2008

Anjing dan bayang-bayang?

Saya tertarik dengan komen Jebat dalam cbox meminta disiasat kegiatan bisnes mesin prepaid dan mesin air. Lalu mendorong saya menulis artikel ini.

Diharap saudara Jebat jangan tersinggung, ini catatan pengalaman dan peristiwa.

Majoriti orang Melayu tertarik dengan pelbagai skim ‘cepat kaya’. Skim memiliki satu tujuan, ‘pemangsa’ meraih keuntungan, menajdi kaya raya manakala orang ramai, ‘mangsa’ menjadi papa kedana. Tiada tujuan selain daripada itu.

Mungkin ramai masih ingat skim cepat kaya, Pak Man Telo. Ketika itu berduyun-duyun orang Melayu melabur wang ringgit mereka. Biarpun tidak faham asal-susul skim terbabit, mereka tetap melabur. Pulangan dijanjikan mengaburkan mata, menjadikan majoriti tamak haloba. Cerita mulut ke mulut heboh satu negara, semua indah, tidak menyentuh mengenai sengsara. Justeru, majoriti ‘pelabur’ mengeluarkan wang simpanan lalu ‘dilaburkan’.

“Huh! Saya pergi tempat dia orang beroperasi kat Ipoh, duit letak dalam guni aje, punya la banyak!,” antara komen pernah saya dengar.

Kesudahan cerita, wang ‘dilaburkan’ akhirnya lebur begitu sahaja. Jika ada mendakwa meraih keuntungan, hanya sebahagian kecil sahaja.

Kemudian muncul pula skim pelaburan di internet menggunakan pelbagai nama. Modus operandi mudah. Laburkan sedikit wang, kemudian dijanjikan pulangan lumayan. Berduyun-duyun lagi orang kita terbabit tanpa usul periksa. Kebanyakan skim berunsur piramid. Maksudnya, peserta bertanggungjawab mencari beberapa rakan lain untuk melabur bersama.

“Engkau lagi mudah Dul. Orang kenal, engkau ajak mesti ramai nak masuk punya,” antara godaan rakan ingin menjahanamkan hidup saya.

Nasib lah, saya tidak terlalu cepat termakan kata-kata manis rakan sendiri. Saya belajar daripada sejarah dan mengingati sejarah itu seperti juga saya mengingati 1511, tahun Portugis menakluki Melaka.

Teringat peristiwa di sebuah pusat membeli-belah, saya disapa anak muda.

“Bang, saya nak minta tolong. Baru-baru ni keluarga saya melabur dalam satu skim guna internet ni. Setiap ahli keluarga invested sepuluh ribu ringgit. Kami ada 6 orang, jadi 60 ribu ringgit. Sekarang akaun syarikat tu dah kena bekukan dek Bank Negara. Nak buat camana yer?,” tanya nya.

Saya jawab ..

“Entah la, saya tak pernah melabur macam tu”

Hati saya berkata, kalau betul jadi kaya raya mesti jumpa saya pun mungkin tak menegur kut!

“Engkau reporter, memang la engkau tahu fasal golongan menipu orang ni,” komen rakan sendiri.

“Bukan masalah reporter ke tak. Aku reporter pun baca suratkhabar, tengok TV, baca komen orang ramai dalam internet. Kalau tak, macamana nak tahu mengenai sindiket menipu orang ni. Lagipun aku tak ada duit banyak nak dilabur dan ditabur secara tak pasti. Jangan lah senang-senang, orang call kata nak jumpa, pergi jumpa. Bila dah jumpa kena ayat sikit, terpedaya. Boleh bagi orang duit, swipe card credit senang-senang. Semuanya sebab dia orang bagi tahu, kita boleh jadi kaya,” balas saya.

Sejak 3 tahun lalu muncul pula skim menjual kad prabayar telefon bimbit. Ceritanya lebih menarik. Ini antara pengalaman rakan, saya kongsikan bersama anda semua.

“Katanya dia one of the main distributers prepaid card syarikat telekomunikasi terkemuka ni. Pada awalnya teragak-agak juga. So, aku test order 10 ribu ringgit dulu. Dia hantar memang ok. Kad prabayar RM10 nilai 10 ribu delivered kat ofis aku. Satu kad aku untung 15 sen,” kata rakan berusia awal 30 puluhan itu.

“Lepas tu bisnes ok, semua berjalan lancar. Aku order dia hantar. Dua tahun aku buat. Ada waktu aku order sehari sampai RM500,000. Dia delivered. No problem at all,” sambungnya lagi.

Ketika itu rakan saya bergelar jutawan muda. Tetapi saya masih menjadi rakannya. Dia tidak sombong dan bongkak. Sebelumnya dia memiliki Proton Wira, waktu itu memandu BMW 7 Series. Ada pengawal peribadi dan sentiasa diiring rakan bisnes.

“Elok-elok bro,” itu pesanan saya setiap kali bertemu dengannya.

Berulangkali saya ungkapkan pesanan sama. Bukan hasad melihat rakan kaya-raya tetapi bimbang, duit diguna memesan kad prabayar bernilai ratusan kadangkala jutaan ringgit itu sebahagiannya dikutip daripada orang ramai bersetuju menyertai skim sama dari seluruh negara.

Akhirnya, tidak berapa lama, mimpi ngeri menjadi kenyataan.

“Dah berapa hari aku call dia tak berjawab. Cari kat rumah tak ada. Pening aku ni,” ujar rakan sama.

Apa tidaknya, rakan itu dilapor memasukkan wang berjumlah 34 juta dalam akaun ‘dia’. ‘Dia’ menghilang tanpa khabar berita. Sehingga kini tiada kad prabayar dihantar, wang jutaan ringgit lesap begitu sahaja. Kini rakan itu belajar, penipu berada di mana-mana sahaja. Tanpa dijangka dia menjadi mangsa, kini peningnya masih ada kerana terpaksa memberi penjelasan kepada rakan kongsi, apa jadi dengan wang mereka?

Rumusannya, belajar lah daripada kesilapan. Jika boleh bukan kesilapan kita sendiri. Jangan terlalu mudah termakan janji manis. Jangan terlalu seronok menyerahkan wang kepada pihak tidak dikenali hanya kerana tamak ingin menjadi kaya.

Ingat pepatah Melayu, bagai anjing dan bayang-bayang. Nampak tulang dalam bayangan air, tulang digonggong dilepaskan. Akhirnya tulang hilang jatuh entah ke mana. Melopong begitu sahaja.


Sungai Bill




Boleh Tolong Tak?

Salam ..

Hari ini Isnin, saya bercuti. Mungkin anda di pejabat, bekerja. Sekiranya anda ‘ditangkap’ bos kerana melakukan ‘kerja’ membaca blog ini, kirim salam saya kepada bos, samada lelaki atau wanita.

Beritahu beliau ..

“Bos, I baca blog ni sebab Mazidul minta tolong. Dia tanya macamana nak membanteras kegiatan ah long?”

Kalau bos terdiam dan gagal menjawab, katakan kepada beliau ..

“Sorry bos. Tak apa. Mazidul cakap sebenarnya ramai lagi bos lain memang tak ada ide atau formula mengekang kegiatan ah long ni”

Kemudian, gerakkan mouse dan tutup blog ini. Buat kerja.

Hemat saya, ada banyak pihak memiliki kuasa tetapi mereka juga gagal membanteras kegiatan ah long. Isu ah long berulangkali dibincangkan di Parlimen tetapi menghairankan, setakat ini kegiatan ‘ceti moden’ itu masih berleluasa dan bertambah dahsyat.

Ada orang kata ..

“Siapa suruh pinjam duit ah long?”

Saya jawab ..

“Kegiatan ah long memberi pinjam wang itu haram. Premis awal dah salah dan bertentangan dengan undang-undang. Stop kan kegiatan ah long secara total, jadi orang pun tak boleh nak pinjam”

Ada orang lain kata ..

“Dah pinjam duit ah long bayar lah”

Saya kata ..

“Ya lah. Hapuskan punca dulu. Punca nya jelas, ah long ‘dibenarkan’ bermaharaja lela. Iklan bersepah merata. Poster, banting, kain rentang sebesar alam di tampal, digantung di pokok, di papan tanda, di kotak elektrik TNB, di tanda jalan. So, orang tengah kesempitan duit of course terpikat, lalu meminjam. Kalau orang senang, tak nak nya dia meminjam duit ah long. Nak jerat tengkuk sendiri buat apa? Bunga gila tinggi. Mesti sangkut nak bayar. Kalau tak bulan ni, bulan akan datang. Itu lumrah. Ada orang pinjam duit saya 3 ribu 2 tahun lalu, sampai sekarang tak bayar sesen sedangkan saya bukan ah long pun. Hujahnya sama, stop kan kegiatan ah long maka berhentilah orang meminjam”

Ada orang lain, selain orang tadi berkata ..

“Padan muka, siapa suruh pinjam duit ah long!”

Saya kata ..

“Tak ada siapa nak susahkan diri. Tapi bila dah susah, susah lah. Ah long jadi alternatif, macam orang mengantuk disorong bantal, lepas pinjam duit ah long, dia lena. Kemudiannya dikejutkan mimpi ngeri. Tak tahu kedepan ni entah-entah awak susah. Bila susah, kawan lari, saudara buat tak kenal. Silap-silap awak pun pinjam duit ah long. Jadi, kita kena stop kan kegiatan ah long ni”

Kemudian saya berhenti berhujah. Terfikir, andai berbuih mulut sekalipun berbicara isu ah long, mungkin sia-sia. Barangkali saya tidak punyai cukup ilmu bagi membantu orang ramai mengekang kegiatan ah long.

Tuhan maha agung. Saya tahu niat saya baik.

Lalu terlintas di fikiran, blog ini ‘hit’ nya melebihi 32,000 ( jika bacaan meter itu benar dan tepat ), justeru amat janggal jika tiada seorang pun pembaca mempunyai ide ‘brilliant’ mampu dikongsi bertujuan menghapuskan kegiatan ah long secara total di negara kita cintai ini.

Saya dedikasikan 2 siaran 360 pada 6 dan 13 Ogos khas membincangkan sejauhmana kritikal masalah akibat kegiatan ah long dan cara terbaik memberhentikan aktiviti lintah darat itu.

Jika selalu, anda sekadar membaca blog ini sekali lalu, kali ini saya memohon mendapatkan pandangan anda semua. Hantar ‘komen’ (bukan hanya melontarkan ide di cbox) kepada saya berhubung isu ah long. Itu pinta saya. Moga boleh membantu saya melaksanakan tugasan .. sekaligus membantu masyarakat kita.

Boleh tolong tak?

Ops! Jika bos anda bijak dan ada ide, mohon beliau melayari blog saya dan menghantarkan komen.

Sampaikan pesanan saya ..

“Bos, Mazidul cakap terima kasih!”

Ahad, Ogos 03, 2008

Melompat!

“Masa tu ambil gambar di Tanjung Malim, kedai Cina. Bila nak ambil gambar aje awak nak melompat!,” itu kata emak saya setiap kali kami menatap gambar ini.

Saya hanya tersenyum.

Pasti abah dan emak gembira dengan kehadiran saya sebagai anak sulung mereka 41 tahun lalu. Pada mulanya mereka menamakan saya, Mazidul Al-Akmal bin Sidik. Kemudian nama itu diringkaskan kepada Mazidulakmal sahaja.

Saya balik ke kampung semalam, sempat merakamkan kembali gambar lama tergantung di dinding. Biarlah diabadikan dalam bentuk digital, lebih mudah disimpan dan lebih tahan lama.

Kepada pembaca berkesempatan membelek gambar lama keluarga, ada baiknya mengambil tindakan sama. Gambar lama ayah, emak, adik-beradik elok dirakam semula atau diimbas kembali. Biar pun gambar hitam putih namun kenangan tersirat dan tersurat tidak dapat diganti sekiranya musnah ditelan dek zaman.

Teringin benar saya satu hari nanti bersembang bersama cucu dan berkata ..

“Ini gambar tok masa umur 3 bulan ..”

Balik India

“Nampak tak tu? Pondok telefon paling lama, sejak tahun enam puluh. Tak lama lagi kena roboh, dah tak ada lagi”

Ujar rakan sekampung sewaktu saya minum pagi di pekan kecil, Slim Village, Perak. Tanpa berlengah saya rakamkan gambar pondok terbabit buat kenang-kenangan di masa akan datang. Jika usia pondok itu hampir mencecah 58 tahun, kedai mamak, tempat saya minum lebih lama kewujudannya.

“Tahun Jepun mari, ini kedai sudah ada,” kata pemilik Restoran Hamid, Habib Hamid.

Habib, 45 tahun dan dikurniakan 5 anak, seorang sahaja lelaki. Pada tahun 1942, ayahnya berasal dari India membuka perniagaaan. Ketika itu hanya ada dua kedai mamak di pekan kecil tempat saya bersekolah rendah bermula tahun 1974.

“Bib, sebab apa mamak datang Malaysia, buka restoran tapi bila kahwin mesti balik India, kahwin dengan perempuan sana?,” soal saya.

“Mesti kahwin India punya perempuan. Kalau tidak nanti putus hubungan, tak boleh balik India,” jawabnya.

“Mahal tak kahwin di India?”

“Mahal juga, lima belas ribu, kita sini punya wang,” jelasnya lagi.

"Memang macam tu la engkau Bib, lahir sini, cari makan sini, kahwin balik India. Datang balik, buat anak kat sini. Memamg macam tu kut rasmi mamak," sampuk lelaki Melayu sedang minum teh tarik.

Ramai pelanggan tertawa.