Ahad, Januari 27, 2013

SAYA DARIPADA TM ... ATAU SAYA AGEN DILANTIK OLEH TM?


Kira-kira jam 6 petang, pintu rumah diketuk bertalu. Pintu dibuka oleh anak saya dan dia kedengaran bercakap dengan seseorang. Saya kemudian terlihat kelibat gadis berseluar hitam dan bertudung di muka pintu.

"Saya daripada TM (Telekom Malaysia)," katanya.

Gadis berwajah manis itu, berusia 22 tahun dan bekas penuntut  Kolej Segi, Kuala Lumpur.

"Adakah awak sudah memaklumkan pengawal keselamatan di pintu masuk sebelum naik turun, mengetuk rumah penduduk di apartmen ini?," soal saya.

"Tidak," balasnya ringkas.

"Ada baiknya, awak pergi dahulu ke pos pengawal dan perkenalkan diri sebelum mengetuk rumah penduduk," kata saya.

"Saya masuk ikut pintu hadapan," balasnya.

"Ok tetapi untuk bekerja di sini, tolong maklumkan kepada pengawal keselamatan. Memasuki kawasan perumahan ini dan memaklumkan pengawal keselamatan untuk awak berkunjung ke setiap unit rumah di sini, adalah dua perkara berbeza," jelas saya secara tenang.

Dia kemudian beredar.

Spontan saya terfikir, adakah TM memang mengarahkan kakitangannya bertugas di hari cuti hujung minggu biarpun jam menunjukkan 6 petang.

Beberapa minit kemudian, saya kemudian menemui 2 pengawal keselamatan bertugas di pintu keluar masuk ke apartmen.

"Saya nampak dua gadis masuk tetapi ingatkan mereka ingin pergi ke rumah saudara-mara," kata pengawal.

"Saya meminta dia melaporkan diri di pos pengawal, adakah dia datang ke sini?," tanya saya lagi.

"Tidak," balas mereka.

Sejam kemudian,  mereka berdua masih lagi tidak keluar dari kawasan apartmen. Saya menunggu bersama 4 pengawal keselamatan sambil duduk berborak. Kira-kira jam 7.15 malam, kami terlihat kelibat seorang daripada kakitangan TM terbabit dan mendekatinya.


"Daripada mana?," soal saya sambil diperhatikan oleh pengawal keselamatan bertugas.

"TM," balasnya.

Dia menghulurkan tag nama kepada saya.


Dia dinasihatkan agar melaporkan diri terlebih dahulu sebelum memasuki dan menjalankan tugas di kawasan perumahan berpagar.

"Maaf, saya tidak tahu. Saya sedang mencari rakan saya, dihubungi tetapi tidak dapat," ujarnya.

Dia kemudian melangkah keluar pada jam 7.23 malam.


Kurang 10 minit, gadis pertama saya temui kelihatan sedang menaiki tangga blok apartmen berhampiran. Tanpa berlengah dia dipanggil oleh pengawal keselamatan.

"Awak daripada TM?," soal saya.

"A'ah," katanya.

"Tujuan datang ke sini?," tanya saya lagi.


"Untuk check line internet, kalau ada masalah," balasnya.

"Bukankah sepatutnya TM tahu siapakah pelanggan mereka di kawasan ini?," tanya saya lagi.

Dia gadis petah berkata-kata biarpun kelihatan sedikit gabrah. Katanya dia memasuki kawasan apartmen pada kira-kira jam 5 petang.

"Tidak juga, kekadang customer tidak menelefon balik, tidak memberikan feedback kepada Telekom sebab mereka semua buzy. Sebab itu TM menghantar kami untuk check balik, takut kalau ada problem, masalah," katanya.

Gadis itu berkomunikasi secara beradap tanpa meninggikan suara. Dia mengepit fail mengandungi beberapa borang.

"Tadi masa awak datang ke rumah, saya hanya meminta awak pergi sebentar, berjumpa dengan pengawal keselamatan, maklumkan kehadiran awak, itu sahaja," komen saya.

"Sebab saya mencari kawan saya," celahnya.

Tidak saya duga, dia mengambil masa lebih sejam untuk mencari rakan sekerjanya sedangkan mereka berdua mempunyai telefon mudah alih.

"Sepatutnya, datang ke pondok pengawal dan maklumkan kami," celah pengawal keselamatan.

Perbualan kami, saya rekod menggunakan perakam suara berjenama Sony.

"Sorry," katanya.

"Kad nama ini sesiapapun boleh buat," kata saya.sebaik melihat tag nama terkopek di pegangnya.


"Memanglah, sebab saya belum hantar lagi ke pejabat untuk digam balik," balasnya spontan.

Dia kemudian melangkah keluar melalui pintu utama sambil tersenyum.


Beberapa minit kemudian, saya terlihat gadis sama berdiri di luar pagar, tidak jauh dari pintu  masuk bersama 3 individu, saya percayai rakan sekerjanya. Lalu saya berjalan ke arah mereka.

Tiba-tiba saya dihampiri, lelaki bertubuh agak tinggi ...

"Saya manager mereka," katanya.

"Tidak mengapa, jika begini kaedah dipraktikkan oleh TM, saya akan tuliskan di blog ...," balas saya.

"Kau berlagaklah!," jerkahnya.

Lalu dia beredar, berang.

Barangkali dia tidak mengetahui saya mula menulis blog sejak lebih 4 tahun lalu dan kini menggunakan TM Unifi,  membayar hampir RM150 sebulan untuk perkhidmatan internet ditawarkan.

"Bro, kalau tidak berpuas hati, mari ke sini, tidak perlu menjerit dan melarikan diri," kata saya.

Mungkin memang begitu tabiat  kakitangan TM, kenyataan itu terlintas di benak fikiran saya..

Pada masa sama, saya membayangkan, mereka datang ke lokasi menggunakan kenderaan TM tetapi ternyata telahan itu jauh meleset. Lelaki itu kemudian berjalan laju menuju ke arah kereta Proton Wira diparkir di bahu jalan sebelum anak buahnya memasuki kenderaan sama.


Selepas mereka beredar, saya meneliti kembali gambar dirakamkan.


Ops! Apakah hubungkait di antara TM dengan Appco Direct Sdn. Bhd?

Pantas sama menggunakan perkhidmatan Google untuk mencari jawaban.

Antara informasi saya temui, klik di sini dan di sini. Lebih menarik, cuba baca di sini dan di sini.

Apapun, saya hanya sekadar membaca, bukan menghakimi.

Kepada TM, mungkin lebih molek sekiranya, kakitangan Appco Direct Sdn Bhd diarahkan supaya mengikut peraturan sebelum petugas memasuki kawasan perumahan berpagar. Saya akur, bekerja untuk mencari rezeki tidak bersalahan dengan undang-undang tetapi harus dilaksanakan secara teratur agar tidak menimbulkan syak wasangkan di kalangan masyarakat.

Awal malam tadi, saya dihubungi individu berusia 39 tahun dan berkongsi pengalaman bertugas di syarikat terbabit.

"Saya masuk kerja pada jam 12.30 tengahari, siapkan semua dokumen untuk hari itu dan kemudian keluar makan sehingga jam 2 petang. Di antara jam 2 dan 4 petang, kami diajar dan dilatih mengenai cara untuk berkomunikasi dengan prospek. Pada jam 4 petang, kami keluar ke beberapa kawasan perumahan telah ditetapkan oleh majikan.

Kami diberitahu, hanya dibenarkan mengetuk rumah prospek di antara jam 4.30 petang dan 7.30 malam sahaja. Selepas jam 7.30 malam, penghuni boleh mengemukakan aduan jika mereka berasa terganggu berikutan kunjungan kami. Apa kami lakukan hanya mendapatkan application daripada orang ramai sahaja, tidak langsung membabitkan barangan jualan atau application fees dan setiap 3 bulan kami diberikan tugasan berbeza.

Ketika itu, saya melakukan tugasan untuk Maxis, kad kredit Standard Chatered, Domino's Pizza dan syarikat minyak BP. Apabila kami sampai di pintu rumah prospek, kami akan memanggil "Hello, saya daripada Maxis/Standard Chartered Bank (bergantung kepada tugasan)". Biasanya, penghuni rumah akan membuka pintu jika mendengar kami daripada syarikat besar dan kami memakai t-shirt Polo tertera lambang syarikat terbabit.

Apabila penghuni membuka pintu, kami memberitahu tujuan dan menekankan, kami bukan daripada syarikat jualan langsung," katanya.

"Dalam kes TM Unifi ini, apakah tujuan sebenar petugas mengikut pandangan awak?," soal saya.

"Untuk menambahkan bilangan pelanggan. Appco Direct Sdn Bhd dilantik sebagai agen jualan produk dan petugas cuba mendapatkan pelanggan untuk TM. Petugas berkunjung ke rumah prospek dan menerangkan kepada mereka informasi berhubung produk," balasnya.

"Bagaimanakah kaedah pengiraan komisyen?," tanya saya lagi.

"Sewaktu melakukan kerja untuk Maxis, saya diberikan RM25 untuk setiap application approved,  syarikat mendapat RM75. Kini, saya tidak faham mengapakah tugasan itu dikaitkan dengan 'fraud', klik di sini, sedangkan kami tidak pernah menipu prospek," balasnya.

Apapun, saya tidak menuduh kegiatan terbabit membabitkan penipuan tetapi kaedah  mendapatkan pelanggan itu tidak kena pada waktunya. Lagipun, tidak salah jika petugas terbabit memaklumkan kepada pengawal keselamatan sebelum mengetuk dari pintu ke pintu rumah prospek di hari hujung minggu.

Kepada pengurus lelaki menjerkah saya, dengan ini janji ditunaikan. Usah pula cuba menakutkan penduduk atau prospek di kawasan lain andai mereka cuba menyingkap fakta sebenar.

Ops! Seperkara lagi, tolog gunakan ayat ...

"Hello, saya wakil agen dilantik oleh TM ..."

Itu fakta dan usah cuba mengelirukan prospek.



15 ulasan:

  1. sales agent... komisen 150% ikut pakej yg customer amik

    BalasPadam
  2. dedahan ini terbaik sahabat, mungkin selepas ini ramai yang tidak tertipu dengan mereka.

    Terima kasih info yang terbaik ini....

    http://matkilaupenang.blogspot.com/

    BalasPadam
  3. staf atau agen TM yang sah mesti pakai baju TM bila keje.kalau tak pakai tu, baik jangan layan.

    BalasPadam
  4. yg pastinya..yg mnjadi kuli utk buat kerja ni semua adalah bangsa Melayu,..tokeynya siapa?

    BalasPadam
  5. Ikutlah saluran yang betul... masuk kawasan perumahan macam tu kena beritahu pengawal dahulu ... mereka ini mungkin betul ... tapi bagaimana kalau org yg macam ini juga tetapi menipu atau mencuri ?... maklumkan pengawal keselamatan itu penting... dan Pengawal keselamatan jangan duduk dalam post saja kena keluar tanya org yang mencurigakan...

    BalasPadam
  6. ini adalah pendedahan yang terbaru yang lain dari yang lain iaitu agen tm. harap tm mengambil berat perkara2 seperti ini, takut ada orang yang menyamar jadi orang tm untuk membuat perkara2 tidak baik seperti merompak rumah

    http://buasirotak.blogspot.com/

    BalasPadam
  7. Salam, cuma berkongsi pengalaman... Saya lebih suka dengan kontraktor TM di Kemaman tempat saya tinggal. Dimana diorang bercakap dengan lemah lembut yg paling mungkin... Diorang memperkenalkan diri mereka dengan cara yang teratur dan bagi saya professional. Seperti menunjukkan kad nama, dan no.rujukkan bagi mereka yang berasa was - was dengan mereka. "Salam, saya jeffri, daripada kontraktor TM. Saya mendapat laporan encik mempunyai kerosakkan Internet. Apakah ia masih berlaku lagi?". Sangat manis. Namun saya ucapkan terima kasih pada beliau. Berbeza dengan kontraktor Syarikat Air Trg yang saya rasakan kualiti perkhidmatan diorang sangat mengecewakan.

    BalasPadam
  8. SMTI- Ni Scam ni Bro, tidak ada kena mengena dengan warga TM dan sewaktu dengannya. Sila buat laporan Polis.

    BalasPadam
  9. Salam bang..

    Saya ingin berkongsi pengalaman saya mengenai hal ini. Saya pernah melalui pengalaman ni 2 kali di waktu yang berasingan. Diorg ckp dari wakil TM sendiri. Yang pertama kali datang seorang wanita melayu. Yang keduanya seorang lelaki berbangsa Cina dan kedua-duanya datang pada waktu malam selepas jam 9, yang agak menghairankan, kenapa datang jam sebegitu.

    Wanita itu memulakan percakapan dengan menyatakan yang mereka hendak check line internet di kawasan rumah saya di Taman connaught yang dikatakan mempunyai masalah. Selepas mendengar tujuannya disitu, terus wanita tersebut mempromosikan pakej unifi yang ditawarkan selama 10-15 minit. Tanpa menanyakan saya jika saya berminat atau bersetuju untuk melanggan unifi, wanita terbabit terus meminta copy IC saya untuk membuat pendaftaran. Saya agak pelik disitu dan menanyakan suami saya tentang hal ini. Saya hanya memberitahu wanita terbabit bahawa saya perlu bincang dengan suami saya jika kami berminat untuk mendaftar unifi. Pada mulanya, dia masih ingin mencuba untuk mendaftarkan saya tetapi melihatkan suami saya yang tidak selesa dgn kehadirannya, dia meninggalkan contact number dan dia juga mengambil nombor saya dan menyatakan yang dia akan menghubungi saya esok harinya jika saya masih berminat untuk melanggan. Tapi sehingga ke hari ini, tiada panggilan dari wanita tersebut.

    Selang beberapa hari kemudian, setengah jam selepas saya dan suami pulang dari kerja, pintu rumah kami diketuk selepas jam 9 malam. Bila suami saya buka pintu, seorang lelaki berbangsa Cina mengenalkan diri beliau sebagai wakil TM dengan menyatakan yang line internet di kawasan rumah saya mengalami kerosakan. Suami saya berang tapi dgn nada yg baik memberitahu lelaki tersebut supaya beredar.

    Saya tidak pasti jika mereka betul-betul dari TM atau hanya dari agen. Tetapi selepas pendedahan abg mazidul, saya percaya mereka ini hanyalah agen.

    BalasPadam
  10. kecoh nau mazidul ni...diorg dpt msk slh spe?slh guard la...guard yg x jaga kawasan dgn btol...hadoiii

    BalasPadam
  11. Tadi saya berseorangan di rumah. Sebelum itu saya dah mengintai rumah jiran dan nampak kelibat salesman dgn tag TM. Kebetulan kereta diletak di seberang jalan, jadi rumah kelihatan kosong. Sliding door, grill dan gate tertutup rapat tapi tidak berkunci.

    Saya mendiamkan diri bill loceng ditekan. Sebab saya bukannya ataupun berhasrat untuk menjadi pelanggan TM. Dengan beraninya mereka membuka pagar, masuk dan mula memanggil2 dari porch. Lepas tu mereka medekati pintu/grill. Saya dah ready, kalau ada yang berani buka grill/sliding door tu memang akan benjol sebab lastik dan guli anak dah tersedia di tangan. Nasib baik dia selit je iklan kat celah grill. Ada nama En. Qawiem dan no Tel 0176531648, claim sebagai Authorised Dealer. Carian di Internet menghasilkan:
    -Qawiem (TM Authorised Dealer)
    -Idea Success Solution Enterprise (Menara TM,KL)
    -agent.tminternetfaster@yahoo. com
    -017-6531648 SMS/Call (09AM-11PM)

    BalasPadam
  12. macam2 cara nk hidup di kota penuh derita wang ni tp yang penting JANGAN MENIPU. hehehe

    BalasPadam
  13. Mereka sebenarnya adalah Authorised Reseller yang sah dilantik oleh pihak TM untuk melakukan produk sales TM cuma cara tak taktik mereka memasarkan produk TM tidak dipantau sepenuhnya oleh pihak TM.. Mereka boleh memasar dan menjual produk TM.. TETAPI jika pelanggan ragu2 dan sangsi dengan cara mereka, pelanggan boleh terus ker TMpoint berdekatan bagi mendapatkan info lanjut produk2 yang ditawarkan..

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.