Sabtu, Januari 26, 2013

HANTU GALAH MASIH BERMAHARAJALELA MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM KE-13

Biar saya ceritakan buat kesekian kalinya berhubung nasib kampung saya, Sungai Bil, Slim Village, PERAK untuk pengetahuan pembaca budiman. 

Kampung Sungai Bil terletak berhampiran pekan Slim Village, Perak di antara Tanjong Malim dan Slim River, pernah dilengkapi kemudahan telefon talian tetap sebelum ini dan kemudian perkhidmatan itu terhenti.

"Kabel telefon melintasi kampung lain selalu dicuri"

Itu alasan utama dikemukakan oleh TM. Alasan terbabit telah saya telan buat sekian lama sehingga ke hari ini. 


Lihat sahaja gambar di atas, satu daripada tiang telefon terbiar, diselaputi tumbuhan menjalar, kelihatan bak hantu galah. 

Ringkasnya, tiada pihak mengambil tahu berhubung masalah dihadapi oleh penduduk.

Berikutan ketiadaan kabel, sekaligus Kampung Sungai Bil juga tidak dibekalkan telefon awam.

"Dengarnya, syarikat Maxis membina pemancar untuk menyediakan kemudahan Wifi untuk penduduk kampung?," soal saya.

"Memang pemancar seperti tiang lampu itu ditegakkan tetapi kurang berfungsi. Selepas hujan dapat isyarat 3G, itupun hanya di sekitar pencawang sahaja, bukan di seluruh kampung. Pada masa sama pemancar itu dipercayai menganggu isyarat talian telefon mudah alih syarikat lain, akibatnya SMS tidak dapat dihantar," ujar penduduk saya hubungi.

Oh! Usah sesekali terkeliru.

Di Kampung Sungai Bil, kaedah pengguna telefon mudah alih untuk menghubungi dunia luar terlalu unik. Mereka terpaksa bergerak sambil mencari lokasi sesuai dengan isyarat mencukupi untuk bercakap atau menghantar pesanan ringkas.

Yang Berhormat manakah peduli? Ahli Parlimen apa lagi? Menteri Besar dan Menteri Kabinet? Mungkin mereka tidak mengetahui masalah ini.

"Abah kena turun dari rumah dan pergi berdiri berhampiran pokok rambutan di hadapan rumah kita untuk membuat panggilan menggunakan talian Celcom," ujar arwah ayah.

Bertahun sudah dia pergi meninggalkan kami sekeluarga namun keadaan masih tetap sama.

Pembaca setia blog ini pasti menyedari, pelbagai entri saya nukilkan di blog ini berhubung kedaifan kemudahan telekomunikasi di kampung saya.

Sila baca di sini, di sini dan di sini.

"Kalau hendak menggunakan telefon bimbit, kami terpaksa ke pekan Slim Village kerana di situ isyarat sangat jelas," kata penduduk lagi.

Slim Village terletak kira-kira 5 kilometer dari Kampung Sungai Bil.

Secara ringkas, kemudahan talian mudah alih dibekalkan oleh syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Digi dan Maxis tidak berpeluang dinikmati secara sepenuhnya oleh penduduk kampung dan juga semua pengunjung datang berkelah.

Dua minggu lalu, saya ke Menara Celcom di Jalan Semarak, Kuala Lumpur dan dimaklumkan setiap kakitangan Celcom diberikan telefon bimbit berjenama I-Phone 5 percuma. Itu rezeki mereka cuma malangnya pengendali syarikat telekomunikasi tertua di Malaysia  itu barangkali belum terbuka hati untuk melebarkan perkhidmatan ke kampung saya.

People are not really connected.


Jika sebilangan pembaca pernah berkunjung ke kampung saya, pasti berasa gusar dan sedih. Selepas bermandi-manda di sungai sejuk berair jernih, usah bermimpi untuk menyalin pakaian di tempat selesa. Pengunjung terpaksa berselindung di sebalik pokok besar atau di dalam semak jika ingin menukar pakaian kering selepas mandi sambil berkelah.

Tandas sedia ada pula boleh dianggap struktur hiasan zaman purba, terbiar usang tanpa bekalan air, kotor dan hancing. Sedangkan sungai mengalir berjarak kurang 10 meter dari tandas itu. 

Mungkin ramai berpendapat, ini isu remeh.

Sebenarnya tidak. 

Masalah kecil seperti itu menggambarkan status keberkesanan kepemimpinan di negeri Perak. Sebelum ini, wakil rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN mewakili Barisan Nasional, BN, kemudian jatuh ke tangan calon Pakatan Rakyat. Beliau menukarkan status menjadi ADUN bebas.

ADUN BN, PR dan bebas, tidak membawa erti setakat ini kerana prestasi mereka, lebih kurang sama.  

Untuk pengetahuan pembaca, Kampung Sungai Bil telah diwartakan sebagai satu daripada tempat rekreasi di negeri Perak. 

Hairan dan amat memalukan!

"Tandas sedang dibina semula sejak kira-kira lebih sebulan lalu. Lebih kurang 60% siap. Kekadang ada pekerja, kekadang tidak," ujar penduduk sama. 

Tandas selama ini lapok dan kotor secara tiba-tiba dibina semula? 

Sebelum ini saya menghubungi Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjung Malim dan dimaklumkan, kemudahan seperti tandas di Kampung Sungai Bil bukan di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan itu.

Jadi, siapakah sebenarnya membiayai kos pembinaan tandas itu? Sedangkan selama ini  tiada pihak ambil pusing? Adakah kerana Pilihan Raya Umum, PRU ke-13 bakal menjelang tiba? 

Sebelum memutuskan talian, saya sempat mengajukan soalan mampu dijangka jawabannya.

"Kedai mesin judi di Slim Village masih beroperasi?," tanya saya.

"Masih," balasnya ringkas.

Baca di sini dan di sini. 

Saya percaya, dalam PRU ke-13, penduduk Kampung Sungai Bil akan memilih wakil rakyat, berjiwa rakyat dan berupaya membantu mereka unutk mengecapi nikmat kemodenan.

Samada wakil rakyat BN atau bebas.

Mengapakah tidak wakil rakyat mewakili PR?

... kerana Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim secara terang-terangan berkata, manifesto BUKAN janji. Bermakna, manifesto bakal dibentangkan oleh PR menjelang PRU ke-13 kelak juga bukan janji.

Buktinya, masih ramai rakyat Selangor masih menagih bekalan air percuma seperti dimuatkan dalam manifesto PRU ke-12 pada tahun 2008. Manakala elaun ibu tunggal setakat ini hanya berbentuk impian semata-mata.

Rakyat terlopong kerana manifesto bukan janji justeru tidak perlu dipenuhi.

Correct me if I am wrong, please.

6 ulasan:

  1. SMTI: Manifesto bukan janji? Bih tu naper dicanang2 utk raih undi? dah menang buat senyapppp je..ishh..ishh.. "Kerbau dipegang pada tali.. Manusia dipegang pada janji.." :)

    BalasPadam
  2. Bro Mazidul,

    Kawan saya (di Selangor) komen ; "Dulu masa BN pegang Selangor, apa kita minta BN buat tak peduli. Bila dah terlepas, ada hal berbangkit sikit je berebut-rebut BN nak selesaikan dulu. Baguslah kalau gini!"

    Harap-harap Perak tak lah sampai begitu (hari tu tukar Kjaan Negeri sekejap sangat kot?).. :)

    BalasPadam
  3. isu ni klu MB PERAK tahu baru nk berkerja kot..tahniah bos..biar org tahu ckit,org bawah ni xbuat kerja..ni pun satu masalah jugak,adakah manifesto bukan janji so yg byk terpampang ditepi jalan PTPTN di mansuhkan,TOL dimansuhkan cuma wayang kulit je la ek..

    BalasPadam
  4. al hamdulillah..kampung nenek di pangsoon telah mempunyai kemudahan talian tel kalau tak silap sekitar tahun 2000 walaupun hujung negeri selangor..dan tidak ada laluan melainkan pendaki untuk menyeberangi ke pahang atau negeri sembilan...

    BalasPadam
  5. untuk mengelakkan kecurian, TM boleh pasang kabel fibre optic. Kalau dijual takde harga macam kabel kuprum

    BalasPadam
  6. Pencuri apa kira kabel fibre optic atau kabel tembaga. memang tak laku tapi TM rugi
    besar.

    Wakil rakyat ada dua adun dan parlimen. tak salah saya parlimen ialah BN ?

    Rasa saya ada salah infomasi. Penduduk kampung minta 2G/3G, Maxis datang selepas diarahkan oleh SKMM pasang WIFI.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.