Tengahari tadi rakan, Musa Abdullah menjemput saya dari hotel untuk ke Hulu Kinta, Perak.
"Jomlah bawa saya ambil gambar kampung orang asli di Perak ni," itu permintaan saya.
Kira-kira 20 kilometer memandu, kami tiba di Kampung Chadak, Tambun. Kurang 15 minit berada di kawasan sekitar, kami didatangi Tok Batin kampung terbabit, Anjang Alang, 44 tahun, seusia dengan saya.
"Biasa tengok dalam TV, ini baru jumpa orangnya," ujar Anjang sambil menghulurkan tangan bersalaman.
Anjang lulusan perakaunan Institut Perdagangan Sri Ayu di Slim River, Perak. Ayah kepada 8 anak dan datuk kepada 4 cucu.
Rakannya juga dari suku kaum Temiar, Serin Anjang kemudian mencelah.
"Di sini ada empat kampung, lebih 2000 penduduk, kami semua berada di bawah Parlimen Tambun, bahagian Barisan Nasional tak pernah kalah," katanya.
"Kami tahu awak selalu tengok orang 'kebus' kena bunuh tetapi kalau boleh penduduk nak minta tolong kes lain, kalau boleh dipanjangkan hajat kami kepada orang atasan," kata Anjang.
Untuk rekod, 'kebus' bermaksud mati dalam bahasa Temiar.
"Apa hajatnya?," soal saya ringkas.
"Jambatan di jalan masuk ke kampung kami hanya boleh menampung berat 5 tan, sedangkan kami memerlukan lori lebih berat daripada itu untuk mengangkut keluar hasil hutan. Sekarang ada 800 hektar ladang kelapa sawit di sini. Dah 10 tahun kami mohon, belum dapat lagi jambatan tu," balasnya.
"Kalau lori berat lalu nanti jalan kampung rosak pula," ujar saya.
"Ish! Encik Mazidul jangan risau, jalan kampung dah diturap tiga kali, tahan," balasnya.
Sebelum dibawa bertemu penduduk kampung lain, saya rakamkan gambar bersama Anjang, Serin dan rakan lain.
"Ini surau kampung kami, 95% penduduk beragama Islam," jelas Anjang.
Pada ketika itu semakin ramai penduduk kampung mengelilingi saya.
"Hello bro!," tegur Along Alang.
Saya tersenyum.
"Macam orang putih lah awak ni. Sekali tengok macam artis pun ada," balas saya.
"Macam ahli kumpulan Jelmol," ujarnya sambil tersenyum.
Kumpulan Jelmol dianggotai pemuda berketurunan asli terkenal dengan lagu rindu ku tiada berteman.
Majoriti penduduk dilaporkan bekerja di ladang kelapa sawit tetapi sebilangan masih mencari rezeki di dalam hutan.
"Kami cari rotan manau, selayang dan mantang. Kalau rotan manau, 6 kaki, harganya di antara 3 dan 4 ringgit sebatang," jelas Zainal Alis, 52 tahun.
Saya kongsikan bersama mereka pengalaman bercampur-gaul bersama orang asli suku kaum Semai di Slim River sewa, mereka asyik mendengarnya.
"Masa umur 6 tahun, saya duduk satu kampung dengan orang asli. Rumah arwah opah di atas, rumah orang asli di bawah. Bila time tak sekolah, saya pergi memanah ikan, menjala ikan, melastik burung punai dengan kawan-kawan, semua orang asli," jelas saya.
Tiada siapa bersuara.
"Anak saya sekarang, belajar berenang di swimming pool. Bila dah pandai sikit, dia cakap, ayah! Dah boleh terapung dah!. Saya masa kecil, macam orang asli juga, dicampak ke sungai terus terapung, berenang dan menyelam sekali," sambung saya lagi.
Mereka akhirnya tertawa.
"Saya kena balik dulu sebab nak pergi menembak dengan polis pukul 2 petang. Terima kasih semua," ujar saya.
"Terima kasih," kata mereka.
Mazidum, maaf tersilap komen, komen di atas sepatutnya patut duduk kat bawah ini!
BalasPadamLagu 'Rinduku Tiada Berteman' tu lagu wajib karaoke bro!
BalasPadamsaya pernah jalankan program belajar komputer percuma di sini... dibuat di dewan betul2 di hujung kampung ni...sambutan memang menggalakkan...
BalasPadamsmti
BalasPadam