Isnin, Oktober 17, 2011

ANAK DARA SEKARANG KUAT ENJOY?

Jam 6.45 petang semalam, secara kebetulan saya bertemu Kamariah Long, 77 tahun. 

"Mak cik asal dari mana?," soal saya.

"Kampung Kemin Beringin, Jelebu, Negeri Sembilan," jawabnya.


77 tahun bukan jangka waktu pendek. Hemat spontan saya, Kamariah pastinya telah melalui bermacam asam garam di sepanjang kehidupannya.

Lalu saya mengambil peluang bertanyakan pelbagai soalan kepadanya.

"Mak cik ada empat beradik. Masa Jepun masuk dahulu, mak cik sekolah darjah dua. Sempatlah juga belajar ABC dan alif ba ta, lepas itu ayah kata tidak payah sekolah lagi," terangnya.

Mendengar perbualan itu, anak Kamariah, Zaimah Abu, 42 tahun.


"Ramai anak dara sekarang tidak pandai memasak, apa sebabnya?," usik saya.

"Dia orang banyak enjoy dan emak ayah tidak berapa hendak kisah. Mak cik dahulu, umur 5 tahun emak mula mengajar masak, pakai dapur kayu," balasnya.

"Apa masakan pertama, mak cik pandai masak masa kecil?," soalan seterusnya saya lontarkan.

"Siput sedut masak lemak cili padi. Masa itu, hendak menyedut siput pun tidak berapa pandai," ujarnya.

Kamariah mendakwa berkahwin ketika berusia 16 tahun manakala suaminya 3 tahun lebih tua.

"Itupun mak cik lari ke rumah emak sauadara masa rombongan lelaki datang meminang, malu. Kahwin bukan dengan orang jauh, tiga pupu," jelasnya selamba.


Menemubual warga emas seperti Kamariah, satu keindahan tidak terkata. Sesungguhnya bukan mudah untuk menyingkap fakta berhubung kisah silam individu tidak pernah saya temui sebelum ini.

Sewaktu kami berbual, kru 666, Ishak Omar merakamkan gambar.

"Ayah mak cik kena bawa dek Jepun untuk membina landasan keretapi maut Siam-Burma," ujar Kamariah.

Baca sedikit maklumat berhubung pembinaan landasan itu di sini.

Jika tepat perkiraan saya, Kamariah dilahirkan pada tahun 1933 dan sewaktu Jepun menakluki Tanah Melayu pada tahun 1942, dia berusia 9 tahun.


"Ayah dahulu kerja mengukur tanah. Sejak Jepun membawa ayah, mak cik tidak pernah berjumpa dengan dia lagi," kata Kamariah.

Terima kasih kepada Puan Kamariah dan anaknya kerana sudi berkongsi cerita biarpun hanya seketika sahaja.

4 ulasan:

  1. SMTI... generasi sekarang generasi Y...sumer bersuap...

    BalasPadam
  2. dulu lain sekarang lain di sebabkan lain tulah budak2 sekarang jadi tak tentu arah...

    dulu ibu di rumah awasi anak2 sekarang dua2 bekerja anak2 org jaga. aplah diharap pada yang menjaga kerana yg penting adalah didikan.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.