Isnin, Disember 19, 2011

KUBU GAJAH 'KUBU' KEMBOJA

Awal petang semalam saya berusaha mencari rakan untuk bersama melakukan tinjauan ke Kubu Gajah, Selangor. Namun majoriti mereka sibuk dan tidak menjawab panggilan telefon saya.

"Bro, nanti saya hubungi adik saya, Bob," ujar kru 666, Razali Harun.

Jam 4.15 petang, Razali menelefon saya kembali.

"Bob sekarang berada di Sungai Buloh, saya sudah maklumkan dia, dia tunggu bro pada jam 5 petang dekat masjid besar," ujar Razali.

Bertahun saya ingin meninjau Kampung Kubu Gajah, penempatan begitu sinonim dengan warga pelarian Kemboja.

Hampir setiap kali terserempak pengemis warga sama, saya dimaklumkan mereka menetap di kampung itu.

Baca di sini dan di sini.


Saya kemudian memandu ke Sungai Buloh dan bertemu Bob atau nama sebenarnya Mohd Azhar@Abdul Hadi Harun, 26 tahun.

Bob memandu bagi memudahkan saya merakamkan gambar dalam perjalana ke lokasi.


"Pencawang elektrik itu, boleh dianggap sempadan di antara Paya Jaras dan Kubu Gajah. Selepas pencawang, abang akan nampak majoriti rumah warga Kemboja," jelas Bob.


Sebaik melintasi pencawang, kami membelok ke kanan. Spontan saya terlihat kanak-kanak menaiki basikal dan duduk di tepi jalan tanpa tar.


Selepas merakamkan gambar mereka, Bob memandu kereta ke arah Jalan Kubu Gajah 23. Sebaik kenderaan bergerak, saya terfikir, tidakkah Akta Pengangkutan Jalan 1987 diaplikasikan di kawasan itu?

Sebebas kanak-kanak di atas berbasikal, begitu juga majoriti pengguna jalanraya bebas menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar. 

Berikutan tidak gemar membuat dakwaan tanpa bukti justeru banyak gambar saya rekodkan untuk tatapan semua pembaca setia blog ini.


Hairan, bagaimanakah ibu bapa tergamak membiarkan anak mereka bermaharajalela menunggang motosikal tanpa lesen dan topi keledar.


Untuk rekod, kini penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ, berkuasa mengambil tindakan terhadap pengguna jalanraya melanggar undang-undang di SEMUA jenis jalan di negara kita, sila klik di sini

Andai pembaca mempunyai kenalan di JPJ, sila sebarkan maklumat ini.

"Abang tengok itu," kata Bob.


Berikutan permintaan saya, Bob kemudian memberhentikan kereta di tepi jalan, pantas saya turun dan bergerak ke arah gerai didirikan di tepi jalan.

"Itu perut (usus) lembu, kita cuci bersih dan masukkan daging di dalam, sausage," kata peniaga wanita.


Selain sausage itu, saya berpeluang merekodkan gambar beberapa jenis lagi makanan lain dijual oleh peniaga Kemboja terbabit, antaranya ikan haruan salai.


Ingin benar saya bertanyakan status lesen perniagaan mereka tetapi perasaan tiba-tiba bertukar sayu sebaik terlihat gadis cilik berniaga di gerai sebelah.

Saya dimaklumkan Kampung Kubu Gajah berada di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam, MBSA.

"Satu ikat sayur, ada satu ringgit dan ada lima puluh sen," tuturnya petah berbahasa  Melayu.


"Ini sayur apa?," soal saya.


"Teratai, banyak dalam tasik," balasnya.

Menurut Siti Nora Sulaiman, 8 tahun, dia hanya menuntut di sekolah agama, tidak di sekolah kebangsaan. Pada musim cuti sekolah Nora membantu ibu dan ayah menjual sayur.

"Ayah dengan emak keluar mencari sayur, saya berniaga di sini dari pagi sampai petang," tambahnya.


"Berapa ringgit sayur sudah dijual sejak pagi?," spontan saya mengajukan soalan.

"Lima ringgit, orang beli sikit," jawabnya.

Saya menghulurkan sepuluh ringgit tanpa mengambil sayur dijual oleh Nora. Simpati melihat usaha gigih peniaga comel puas duduk dan berdiri di tepi jalan.


"Saya hanya pergi sekolah agama. Pagi, ayah menghantar ke sekolah naik motosikal, bila balik waktu petang, singgah ambil adik di tadika dan berjalan kaki pulang ke rumah sebab ayah keluar mencari sayur. Saya ada dua adik lelaki berumur 3 dan 5 tahun," jelas Nora.

Saya dimaklumkan, jika ayah berstatus warganegara Malaysia dan ibu hanya pemiliki passport Kemboja, anak mereka masih berpeluang bersekolah di negara ini. Jika ayah bukan warganegara, anak tidak layak menuntut di sekolah kebangsaan justeru mereka dihantar ke sekolah agama sebagai alternatif. 

"Datang ke sini hendak ambil gambar apa?," soal Nora.

Saya kemudian mengusiknya.
"Abang itu hendak kahwin tetapi tidak apa perempuan hendak dengan dia, datang sini untuk mengambil gambar gadis Kemboja," kata saya merujuk kepada Bob.

"Kahwin sahaja dengan perempuan gemuk," balasnya spontan.

"Kenapa perempuan gemuk?," soal saya.


"Perempuan gemuk, perempuan juga tetapi orang lelaki jarang hendak berkahwin dengan dia," jawabnya selamba.


Tercuit hari saya mendengar jawaban Nora memandangkan usianya masih mentah tetapi mulutnya petah bercakap.

Saya melihat Bob tenang merakamkan gambar.

"Bob! Jom minum, saya belanja," saya mempelawa rakan sudah berpunya itu.

"Kalau hendak kawankan boleh, minum sekali? Maaf, tidak boleh masuk," balasnya perlahan.

Saya percaya selera Bob hilang selepas melihat kebersihan diabaikan oleh pengusaha gerai menjual makanan berhampiran lokasi kami berdiri.


"Itu tanah siapa?"

Soalan itu saya kemukakan kepada lelaki Kemboja menghampiri kami. Barangkali dia berasa hairan memerhatikan saya dan Bob sibuk merakamkan gambar di kawasan sekitar.

"Orang Melayu punya," jawabnya ringkas.


Lihat keadaan deretan kedai didirikan berhampiran kawasan berpagar itu.


"Abang tinggal di rumah sewa?," tanya saya.

"Rumah sendiri tetapi sewa tanah orang Melayu, bayar seratus ringgit sebulan," katanya.

Tambahnya, dianggarkan terdapat lebih seribu rumah warga Kemboja di Kampung Kubu Gajah. Secara kasar, jika setiap rumah dihuni lima orang, lebih 5 ribu warga negara sama menetap di situ.

Menurut sejarah, ribuan warga Kemboja melarikan diri ke Malaysia sewaktu zaman pemerintahan zalim Pol Pot, Perdana Menteri Kemboja di antara tahun 1975 dan 1979. Untuk rekod, dianggarkan lebih 3 juta rakyat negara itu terkorban sewaktu era pemerintahannya.

Baca fakta berhubung kekejaman Pol Pot di sini.

"Dulu memang ramai orang kosong (pelarian tanpa dokumen perjalanan sah) di sini tetapi sekarang berita di televisyen kata banyak kilang dibuka di Kemboja. Jadi mereka sudah ramai balik," kata Dara Abdullah.

Dara, 48 tahun, ibu 3 anak berusia di antara 4 dan 25 tahun, berkahwin dengan lelaki tempatan, kakitangan kerajaan, saya temui di gerai berhampiran.


"Saya anak Malaysia bukan Kemboja!," celah anak bongsunya.

"Betul, dia dilahirkan di Hospital Selayang. Orang Kemboja kalau tidak ada kad pengenalan susah sebab bersalin secara normal di hospital kerajaan kena bayar RM1,000, kalau operation RM3,000. Hendak pergi ke hospital swasta, bayaran lagi mahal, normal, RM3,000 dan kalau operation, lebih kurang RM6,000," jelas Dara.

"Dulu masa di Kemboja, agama apa?," soal saya.

"Buddha, kemudian bila datang ke Malaysia, saya masuk Islam. Di Kemboja ada dua agama sahaja, Islam dan Buddha, sekarang ini baru ada Kristian," balas Dara.


"Awak datang ke Malaysia menggunakan dokumen apa?," soal saya kepada lelaki berdiri di belakang Dara.

"Permit," katanya.

"Tidak baik menipu. Berapa bulan awak boleh tinggal di sini?," desak saya.

"Dua bulan kemudian kena keluar dari Malaysia, cop passport sebelum masuk balik," jawabnya.

"Awak keluar ke? Cuba cakap jujur sikit," soal saya.

Dia hanya tersenyum.

Majoriti warga asing bertandang ke negara kita menggunakan visa lawatan sosial, kononnya ke sini untuk melancong tetapi kemudian menetap di Malaysia melebihi tempoh masa ditetapkan, 2 bulan. Sekaligus mereka melanggar Akta Imigresen 1959/63. Ramai juga warga asing didapati menyalahgunakan permit kerja dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen. Contohnya, memasuki Malaysia menggunakan permit pekerja sektor perladangan kemudian mengeluh sukar, mereka melarikan diri dari majikan dan kemudian berkhidmat dalam sektor pilihan sendiri.


"Di Malaysia, kalau jumlah jualan bulanan kedai melebihi RM20,000 baru pemilik boleh menggunakan pekerja orang Kemboja," celah Dara.

Sebagai pemilik kedai, dia pastinya lebih arif berbanding saya berhubung hal itu. Menurut peniaga itu, premis terbabit disewa dengan harga RM600 sebulan.

"Bulan Julai lalu, ada operasi besar-besaran. Polis dan imigresen menyerbu kampung ini dan menangkap ramai orang kosong," jelas Dara lagi.

Sewaktu beredar, saya terlihat kawasan lapang di bawah pencawang elektrik dipenuhi pelbagai jenis tanaman. 

Terlintas persoalan di fikiran, sejak bila Tenaga Nasional Berhad, membenarkan ruang seperti itu diusahakan? Barangkali pegawai dan kakitangan syarikat korporat itu tidak menyedari kegiatan berlaku biar pun pokok tebu ditanam kelihatan hampir sama tinggi berbanding bumbung rumah berhampiran.


Firasat saya, andai tanah itu diusahakan orang tempatan, lazimnya sudah pasti tindakan lebih awal dilaksanakan  oleh pihak berkuasa. 
 


Lihat sahaja sebilangan peniaga goreng pisang dan nasi lemak warga tempatan beroperasi tanpa lesen perniagaan di tepi jalan, mereka disaman berulangkali oleh pihak berkuasa tempatan.

Kampung Kubu Gajah barangkali terlalu istimewa lalu tindakan penduduk tidak boleh dipertikaikan.  

Saya dan Bob kemudian meneruskan tinjauan biar pun matahari kelihatan sudah hampir tenggelam di ufuk langit.

"Di hujung itu sudah masuk kawasan Subang," jelas Bob sambil memandu.


Perlahan saya berjalan bersama Bob menuju ke arah deretan kedai dan bertemu peniaga, Aishah Ali, 47 tahun, juga warga Kemboja.


"Berapa lama sudah berniaga di sini?," soal saya.

"Lebih kurang lima bulan. Sewa kedai ini murah, sebulan 50 ringgit sahaja," balas ibu kepada 10 anak itu.

Menurutnya, sewa terbabit dibayar kepada MBSA dan tanpa diminta dia menunjukkan dokumen pendaftaran perniagaan (bukan lesen perniagaan kepada saya).


Hemat saya, pasti ramai peniaga Melayu bakal melakukan sujud syukur setiap hari jika mereka juga berpeluang membayar kadar sewaan premis perniagaan semurah itu.

RM50 sebulan.

Tidak salah membantu warga pelarian tetapi usah sampai kera di hutan disusukan, anak di riba mati kelaparan.

Beruntung benar wanita itu, biar pun berhijrah ke Malaysia sewaktu berstatus pelarian, setelah puluhan tahun bermastautin di bumi bertuah ini, dia mampu membesarkan kesemua anaknya.

"Sepuluh anak saya ada MyKad," ujar Aishah.


Aishah kelihatan amat berbangga menunjukkan kepada saya MyKad dua daripada anaknya, tidak seperti sebilangan kita, kekadang tidak berkisah biar pun bertahun kehilangan kad pengenalan. Malahan segelintir rakyat Malaysia terpaksa diperingatkan oleh Jabatan Pendafataran Negara untuk mengambil MyKad tidak dituntut.

Lihat gambar kedai lain disewa oleh warga Kemboja sebaris kedai Aishah. Premis kelihatan tidak tersusun, barangan bersepah dan kotor tetapi adakah penguatkuasa MBSA kisah?


Beranikah mereka menguatkuasakan peraturan di 'kubu' Kemboja ini?


Berhadapan deretan kedai itu, tanah lapang kelihatan sedang giat dibangunkan.


Saya kemudian terlihat lelaki Kemboja di tapak pembinaan rumah di kiri laluan masuk ke kawasan lapang.


"Rumah siapa di belakang itu?," soal saya.

"Mak cik," jawabnya.

Saya cuba bertanyakan beberapa soalan lain tetapi kecewa kerana mendapati dia tidak fasih berbahasa Melayu.


Teruja saya melihat saiz rumah bakal diperbesarkan itu dan sekaligus terfikir, ramai rakyat Malaysia tidak mampu mendirikan tempat tinggal sebesar itu. 

"Ambil gambar! Ambil gambar!" 

Saya terdengar teriakan itu.


Lalu saya tunaikan permintaan puluhan anak kecil sedang bermain rounders di padang berhampiran dan mereka semua kelihatan gembira.

"Mari tengok gambar," pelawa saya.


Beberapa saat kemudian, saya telah dikelilingi lebih ramai kanak-kanak lain.


"Siapa pergi sekolah?," tanya saya kepada mereka.

Majoriti mereka mengangkat tangan sebelum saya terdengar kenyataan agak mengejutkan dilontarkan oleh seorang daripada kanak-kanak di hadapan saya.

"Dia tidak pergi ke sekolah sebab emak dan ayah dia kosong"

Spontan saya melihat anak kecil dimaksudkan.


"Awak pandai membaca?," tanya saya keapda gadis itu.

Dia menggelengkan kepala dan wajahnya kelihatan sayu.


"Kalau dia tidak tahu membaca, awak semua sebagai kawan kena ajar dia, boleh?," kata saya.

"Boleeeeeeeeh!," teriak rakan gadis berusia 10 tahun itu.

Saya kemudian dimaklumkan oleh Bob, gadis itu menemuinya.

"Tadi budak itu cakap, pandai pandai kawan kata dia tidak mahu ke sekolah. Sebenarnya dia hendak belajar tetapi ayah dan emak dia barangkali tidak memiliki dokumen untuk melayakkan dia bersekolah," jelas Bob.

Jika benar dakwaan rakan gadis itu, hak asasi kanak-kanak untuk mendapat pendidikan tidak dipatuhi.

Itu fakta.


Kanak-kanak kekadang nakal dan perkataan terkeluar dari mulut mereka tidak mampu dijangka.

"Itu anak Bangladesh, emak dia Kemboja!," usik mereka.

Pantas Ismail Abdullah, 8 tahun menolak rakannya dengan ganas.


Pantas saya menenangkan keadaan.

"Jangan bergaduh, awak semua kawan," ujar saya.

"Ayah dan emak saya ada IC lah," celah Ismail.

Saya kemudian meminta kanak-kanak itu menjadi penterjemah.

"Tanya dia, berapa lama dia sudah tinggal di sini?," pinta saya.


Mereka kemudian bercakap dalam bahasa Kemboja.

"Tiga tahun," kata gadis berbaju merah.


Gadis berusia 12 tahun itu kedengaran petah berkata-kata.

"Tolong tanyakan, dia kerja apa?," ujar saya.

Gadis sama kemudian mengajukan soalan itu dalam bahasa ibunda mereka.

"Jual kain dan baju di pasar malam," jelasnya.

Status pekerjaan lelaki itu terjawab dan saya berasa puas hati.

Dari awal saya melangkah ke kawasan lapang terbabit, mata saya terpaku memerhatikan rumah dua tingkat tersergam indah di tepi padang.


"Itu rumah orang Kemboja juga ke?," soal saya.

"Ya," balas mereka serentak.

Ternyata sebilangan warga Kemboja kini hidup mewah di Kubu Gajah.


"Tuan rumah itu tidak pakai kereta tetapi dia ada tiga motosikal dan dua anak. Kalau pergi beraya di ruamh dia, kami hanya dapat 30 atau 40 sen seorang," kata mereka.

Saya tersenyum, kanak-kanak selalunya bercakap jujur dari hati.


"Siapa nama dia?," tanya saya spontan sebaik terlihat kelibat remaja di atas.

"Hanafi Ashaari!," teriak mereka.

"Dia penyanyi k-pop (Korean pop) ke?," usik saya.

"Bukan! Dia Justin Beiber! K-pop itu apa?," gurau mereka.


Hanafi tersipu-sipu malu. Tidak disangka, di kalangan kanak-kanak berketurunan Kemboja terbabit, Justin Beiber lebih terkenal berbanding penyanyi k-pop.

Pendirian saya, perlaksaan undang-undang tidak seharusnya memilih bulu.

Pada masa sama, pihak kerajaan khususnya pihak berkuasa wajar memantau kegiatan warga Kemboja di Kampung Kubu Gajah, penempatan diwujudkan lebih 30 tahun lalu itu secara konsisten. Membantu warga pelarian itu satu usaha murni tetapi pemerintah harus sedar, sebilangan mereka kini hidup mewah dan berupaya membantu rakyat senegara.

29 ulasan:

  1. Pembantu saya lari maybe ke Kampung Dalek Kelang ....betul ke Dalek...dah tak ingat .Situ pun maybe juga kubu kemboja sebab lepas saya bg cuti hari raya terus dia lari tinggalkan passport dan duit semua ....

    BalasPadam
  2. Inilah Negaraku. Catatan dan perkongsian yang menarik.

    Isteri saya orang Sarawak, anak-anak saya nak balik Sarawak (kampung) pun kena tunjuk kad pengenalan dan boleh duduk sana dalam tempoh terhad saja (3 bulan kot) kat sana (termasuk anak yang lahir kat sarawak), lepas tu kena keluar balik.

    Menurut kata pegawai yang jaga pintu masuk kat sana kena buat kad pengenalan kat sana baru boleh bebas keluar masuk. Mesti ada huruf "K". Kalau masuk sama dengan ibu mereka tak apa, maksudnya masa beratur kat kaunter tu mesti sama dengan ibu mereka.

    BalasPadam
  3. salam Mazidul. Semalam, hampir2 waktu yg sama anda ke sana, Kjee lalu di jalan besar Sungai Buluh. Baru balik dari rumah baru kami di sungai pelang. tergerak jugak hati nak ke kubu gajah sebab ada orang cerita itu kubu orang kemboja tetapi tak pergi pulak. kalau pergi semalam, agaknya dapat jumpa awak. lama kita tak jumpa kan.

    BalasPadam
  4. betul lah tu kera di hutan di susukan
    anak di rumah mati kelaparan

    tapi selalu nya kera mmg pandai ambil peluang dan ambil kesempatan..

    anak pula manja dan mengharap semua nya di suap..

    siapa yang bersalah?

    ( kesian kat anak yg betul2 kelaparan dan benci sgt dgn kera yg hanya tahu ambil kesempatan!! )

    BalasPadam
  5. Salam bang! Saya simpati dengan anak-anak ni. Tak kisahlah ibu-bapa mereka bukan warga negara, tapi education rights wajib diberikan kepada mereka. Ini anak-anak yang ingin belajar dan bersekolah sementara anak-anak negara ramai lagi yang lebih suka berpeleseran dan tidak berminat ke sekolah. Lebih sayu saya tengok yang berumur 8 tahun sudah pandai bekerja menjual sayur. Anak-anak kita?..

    BalasPadam
  6. SMTI

    Satu catatan yang menarik...

    Sayu pulak tengok kanak-kanak kat situ..

    BalasPadam
  7. Mazidul.. aku suka entry ko yang ini.. bukan sebab dekat dengan tempat aku tapi cerita diaorang tak pernah aku tau...

    Terimakasih....

    BalasPadam
  8. Terima kasih kepada semua sudi membaca entri ini.

    Saya mengambil masa hampir 3 jam untuk melakukan tinjauan dan lebih 8 jam untuk menulis dan memuatnaikkan semua gambar di sini.

    KZ, cuti sebulan, masa banyak hendak berjalan-jalan :)

    Tidak ramai berminat untuk menyingkap fakta di lokasi terbabit.

    BalasPadam
  9. Harap-harap pihak yang berwajib buka mata dengan pendedahan yang mantap dari En.Mazidul ini.

    BalasPadam
  10. Jemput pula ke Kampung Kubu Gajah 16, saya ada buat madrasah untuk anak2 ni di sana :)

    Tak kiralah, dari manapun mereka, siapapun mereka, asalkan mereka telah lahir di dunia ini, hidup, bernafas, maka, hendaklah kita membantu mana yg termampu. Apalagi anak2 yg masih bersih itu..

    BalasPadam
  11. kt trg pun ade penempatan warga kemboja, d bukit berangan mukim sg nerus klu x silap saya..dh kaya raya dia org. rumah tersergam sorg2.

    BalasPadam
  12. Rsanya majoriti bdk2 adalah anak murid saya...

    BalasPadam
  13. bukan org kemboja shj... bangsa pendatang yg lain pun sama... saya hairan mcm mana mereka bole bina rumah besar-besar & cantik-cantik sampai jd satu perkampungan... sedangkan saya sendiri masa nak buat rumah dulu punya la susah nak dapatkan 'kelulusan membina'... banyak betul undang2 yg perlu dipatuhi... mana dgn sumber kewangan lagi... mmg ikat perut sampai skrg membayar hutang pinjaman rumah... tapi diorg senang je... pihak berkuasa tempatan mmg tak ambil tindakan sebab tiada laporan dari penduduk setempat... huh...

    BalasPadam
  14. salam bro,
    kalo nk tgk pasar dorg datanglah waktu pagi hari isnin dan hari jumaat..ktorg panggil pasar kemboja..
    dorang jual pakaian dlm harga borong.
    ramai peniaga datang situ sebab murah.makanan dorg pon byk jual kt situ.kat situ bukan orang kemboja je ade.bangla.indon.pakistan.sume ade..
    mungkin ada perkara menarik yg boleh share nnt :)

    BalasPadam
  15. Sebenarnya warga kemboja islam patut dibantu tetapi mereka perlu la mengikut adat dan budaya kita. mereka serumpun dengan kita... saya lebih takut warga indon, myammmar dan negro berbanding warga kemboja ni...

    mereka datang ke negara kita kerana ditindas berbanding dengan bangsa lain yang datang ke malaysia menjadi penjenayah.

    cuma menjadi kekesalan kita adalah sikap pilih bulu pihak berkuasa tempatan jika kita ingin berniaga.

    ada juga pendatang asing yang menguasai bisnes dengan cara yang salah seperti mengugut..contohnya ada seorang kawan saya menjalan kerja sampingan memotong rumput dikawasan sekitar putrajaya. namun beliau telah diugut oleh mat mat bangla supaya jangan masuk akwasan mereka. disebabkan tidak mahu memanjangkan isu kawan saya mengalah..sedih rasanya kita terpaksa mengalah dengan warga asing ni....

    tolong bukak mata wahai orang orang yang berkenaan.

    BalasPadam
  16. Salam... Bro Mazidul... Terima kasih sebab siarkan artikel berkaitan warga Kemboja... Pertama sekali eXception nak beritahu kat abang Mazidul bahawa kemewahan mereka di sini bukanlah disebabkan mereka mencuri atau merompak harta orang lain... Tetapi kerana mereka RAJIN... Tak seperti orang melayu hanya tahu dok menadah... Mereka berniaga di pasar-pasar malam jual pakaian ada yang mengambil upah membina rumah... Maka tak hairanlah mereka boleh mewah... tak seperti orang melayu... Pantang nampak orang lain mewah, dicemuh dan dijaja satu kampung kononnya orang itu dapat tender juta-juta dari kerajaan hasil dari merasuah orang dalam... Tetapi orang melayu masih kekal mcm tu, sebab kita tak kenal erti susah... Sebab generasi selepas merdeka tak alami situasi perang... sebab semua makan dan pakai kita semua cukup... Soal perniagaan tidak berlesen itu adalah kerana kealpaan MBSA... Mungkin juga kerana banyak sangat birokrasi hingga nak mohon lesen perniagaan sangat sukar... Mereka terpaksa merempat di Malaysia... Oleh kerana tidak boleh membeli tanah, maka terpaksa menyewa di atas tanah milik orang. Bukan menceroboh tanah orang. Tetapi yang sedihnya ramai rakyat Kemboja selepas era kejatuhan Rejim Polpot, masuk ke Malaysia secara haram mengganggu perniagaan mereka yang sudah berada di sini sejak pergolakan lagi.

    Jika abang Mazidul ingin menemubual dengan orang Kemboja di Paya Jaras, saya boleh bawa abang menemui saudara sebelah isteri saya di sana... Selain di Paya Jaras, di Pekan, Pahang juga ada perkampungan Kemboja... Iaitu di Kg Sekukuh dan Pulau Keladi...

    BalasPadam
  17. Yes!!! Mereka rajin kerja kalau tak kenal memang tak tahu dan mereka sangat berjimat cermat, percayalah kalau nampak mereka macam mewah je,cuba jenguk time lunch or dinner diorang,makanan yang sangat mudah dan ringkas.anak2 nya pula bukan dmanjakan kecil2 lg dah d ajar untuk berdikari.senang cerita bukan senang nak senang dan bukannya susah kalau nak susah...

    BalasPadam
  18. bgus gak entri abg ni ye,sy mmg nk tau tntng sjarah warga kemboja yg brada di malaysia...sbb aweks sy keturunan kemboja,tp dia x pnah tau pn tntng negara dia 2,sbb dia celik2 je dh ada kat malaysia

    BalasPadam
  19. kehidupan mereka sungguh thaif dan anak anak mereka seperti tiada masa depan. Kenapa mereka tidak diberi peluang untuk belajar atas dasar kemanusiaan. saya banyak meneroka beberapa blog tentang masyarakat islam kemboja khususnya yang berada di kemboja. kehidupan mereka cukup miskin. terima kasih atas pendedahan ini.

    BalasPadam
  20. Anak2 kemboja juga ada yg berjaya dalam akedemik. Malah ada yg berkerja di badan2 kerajaan. Org kemboja lebih suka kerja sendiri. Mereka saling bantu saudara mara yg baru datang. Mereka juga suka memberi kerja kepada kaum mereka sendiri. Contohnya jika seorang peniaga kain baju hela atau baju kurung. Dia akan upah orang2 dia juga buat. Mereka ambil upah murah tapi kuantiti banyak. Sebab mereka tak tamak.
    Dulu saya x faham dgn cara hidup mereka tapi bila duduk dekat dengan mereka baru tahu. Mereka suka tolong saudara mara kawan2 dn sesama peniaga. Mereka kurang sikap pendengki iri hati. Tapi kelemahan mereka kurang pergaulan dgn masyarakat tempatan. Bagi mereka masa dan peluang itu duit.
    Saya mula aktif dgn aktiviti kemasyarakatan di sini. Mereka ada kumpulan2. Yg kanak2 akan sekolah bg yg boleh, remaja kerja kilang, dewasa berniaga dn yang tua banyak mencari ilmu agama balik.
    Bagi saya apa pun status kita yang penting usaha Jgn mengharap simpati org lain.

    BalasPadam
  21. Apa pun status diri kita yg penting usaha. Bukan menagih simpati mengharap org beri...orang kemboja kurang ada sikap dengki iri hati. Bagi mereka nak senang cari sendiri. Kaya miskin orang x peduli.

    BalasPadam

  22. Kebanyakan pelarian Melayu Cham yang tinggal di seluruh tanah semenanjung ini memang sangat sukar pada mulanya, kerana mereka mesti teruskan kehidupan di negara baru dengan berbekalkan hanya dengan tulang empat kerat saja, tidak boleh membaca dan menulis serta tiada apa-apa sijil pelajaran untuk berkhidmat dalam bidang swasta, oleh itu semua pelarian Melayu Cham ini terlibat secara langsung dalam bidang perladangan serta pembangunan sebagai buruh kasar dan tiada apa-apa lagi bantuan dari kerajaan Malaysia hingga hari ini, walau bagaimanapun jasa baik kerajaan Malaysia yang memberikan peluang untuk mereka hidup buat kali kedua ini adalah sangat bernilai bagi masyarakat Melayu cham yang bermastautin di tanah semenanjung ini.

    Hanya dengan berbekalkan akal yang pendek dan tulang empat kerat, masyarakat Melayu Cham telah berjaya menyesuaikan diri hidup bersama dengan rakyat Malaysia yang berbilang kaum seperti Cina, India Melayu dan lain-lain. Kejayaan mereka adalah dalam bidang perniagaan khususnya, dalam ugama Islam juga telah mengalakan umatnya untuk berniaga dan kenyataan itu memang benarnya dan berniaga itu adalah sunah nabi kita juga.

    Seperti saudara Mazidul telah buat liputan di Kg Kubu Gajah itu sebenarnya hanyalah gambaran dari luaran saja dan tujuan tinjauan ini juga adalah semata-mata hanya menkeritik pihak penguat kuasa yang terlibat dan sekali gus boleh menimbulkan rasa kebencian masyarakat tempatan Melayu terhadap masyarakat Melayu Cham, perkara ini adalah sangat bercangah sama sekali dengan rancangan asal pihak kerajaan untuk memakmurkan negara Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk. Sekiranya sesiapa yang cuba menimbulkan kebencian dalam perkauman yang akhirnya boleh nenimbulkan rusuhan kaum terutamanya sesama Islam, individu tersebut memang patut di hukum mengikut akta undang-undang Malaysia yang telah tersedia ada untuk pesalah tersebut. Malah dalam ugama Islam juga boleh dikaitkan sama sekali dengan golongan "Orang Munafik"

    Untuk membina satu masyarakat yang hidup aman dan damai adalah amat sukar sekali jika hendak dibandingkan dengan menimbulkan huru hara dalam masyarakat, oleh itu kita sebagai bangsa melayu harus berfikiran positif, jika tidak mampu memberi sumbangan kearah usaha kedamaian dalam masyarakat, sepatutnya kita mesti sokong sepenuhnya untuk berusaha kearah kebaikan itu.

    Kebolehan saudara Mazidul membuat liputan adalah sangat mengkagumkan, tetapi mesti fahami arah tujuan sebenar sama ada atas berniat kebaikan atau sebaliknya. Seluruh rakyat Malaysia hari ini telah mengenali saudara mazidul memang terkenal dengan kehandalan nya membuat pelbagai liputan dalam Rancangan 999 dan 360. Memang hebat sekali. Alangkah baiknya jika saudara Mazidul gunakan kebolehan saudara ke arah sumber pencarian rezeki tanpa menimbulkan buruk sangka dan fitnah pada masyarakat adalah sangat di hargai dan peminat setia saudara pasti akan bersama saudara hingga hari ini termasuk kanak-kanak sekali.

    Saya mohon maaf sekiranya coretan ini boleh menguris perasaan saudara/saudari, saya hanya meluahkan perkara yang saya rasa wajib untuk bersuara terhadap sesuatu perkara yang baik atau buruk demi kebaikan kehidupan hamba Allah.

    Sekian, Wassalam.

    Kerajaan Kubur tidak perlukan kerakyatan I/C Biru/Merah untuk menetap di perut bumi.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.