Selasa, Jun 30, 2009

Perempuan Dilarang Membaca Post Ini

Saya tunaikan permintaan Ariyon176 dan Astroroy.

Premis komen saya, bukan SEMUA wanita pencen awal menjaga badan, hanya sebahagian besar mereka dan komen tercatat di bawah TIDAK ditujukan secara spesifik kepada isteri sesiapa.

Perhatikan, majoriti perempuan Malaysia sewaktu bergelar anak dara begitu prihatin berhubung kecantikan diri. Mereka berusaha memastikan pinggang ramping, perut kempis, punggung tidak terlalu berlemak dan dada kelihatan montok. Malangnya, usaha terbabit seringkali dihentikan sejurus kelahiran anak pertama.

Jika ditanya, pelbagai alasan mereka kemukakan. Kekurangan masa kerana bekerja, suami tidak mampu membiayai kos penjagaan tubuh badan dan sibuk menguruskan hal rumahtangga. Kesemuanya alasan berbentuk klise.

Adakah alasan itu diterima lelaki secara terbuka? Mungkin, tetapi tidak semua lelaki. Majoriti mereka ingin melihat tubuh isteri kelihatan terjaga. Mungkin tidak berharap pinggang isteri seramping pinggang kerengga kerana suami faham, isteri bukan anak dara. Mungkin tidak menjangka perut isteri sekempis perut supermodel kerana isteri sudah bergelar ibu. Mungkin suami tidak mengimpikan punggung dan dada isteri seperti milik artis barat kerana jarang isteri berpeluang ke gimnasium mahupun ke pusat kecantikan. Bagaimanpun cukup jika sedap mata suami memandang. Bukan begitu?

Saya kagum melihat wanita di Bali, Indonesia. Biarpun bergelar isteri, tubuh mereka kelihatan terjaga, barangkali kerana khasiat jamu dan terpaksa berhadapan pelancong setiap hari, mereka ingin kelihatan cantik. Sebahagian wanita di Kosovo tidak kurang hebat penampilan mereka, mungin kerana ‘negara’ dilanda peperangan sebelum ini, makanan kurang, maka sukar menjadi gemuk. Apapun, itu semua telahan sahaja.

Jika suami menegur isteri kerana ‘allignment’ tubuh lari, tersilap kaedah, buruk padahnya. Kata isteri, itu soal terlalu sensitif dan sekaligus mereka kerap mempersoalkan bagaimana kalau tubuh suami juga sama?

Mereka ‘tembak’ kita balik.

* 30 Jun 2009, Jitra, Kedah-Lelaki putus cuping telinga digigit anak tiri di bawah pengaruh dadah semasa cuba menghalang isteri ditikam anak berusia 27 tahun itu. Suspek mengunyah dan kemudian menelan telinga ayahnya.

* Kalau ada Skype, boleh hubungi saya :)

* 158 kes Selsema babi disahkan setakat ini. Teruk, kan?

Rezeki Raja Mati

Ketibaan saya di Pasar Malam SS2, Petaling Jaya, Selangor semalam disambut dendangan lagu Michael Jackson, MJ. Lebih 8 gerai menjual cakera optik cetak rompak, kesemuanya memainkan lagu Raja Pop terbabit. Antara lagu jelas berkumandang di ruang udara pasar malam, ‘Man in the mirror’. Setiap CD compilation MJ dijual secara terbuka pada harga RM5 sahaja. Jika CD asli, harganya pasti mencecah RM40.

Peliknya, sebelum kematian MJ, saya tidak pernah mendengar lagu lagenda terbabit dimainkan di pasar malam sama. Peniaga terbabit diakui bijak, mereka peka perkembangan isu semasa. Apabila MJ meninggal dunia, pasti ramai ingin mengabadikan koleksi lagu lagenda itu dalam simpanan lalu peniaga memasarkannya.

Saya juga kagum melihat keberanian peniaga sama, gerai menjual CD cetak rompak mereka terletak kurang 100 meter dari Balai Polis Sea Park.

Mungkin mereka melihat balai itu tidak lebih daripada bangunan simen bercat biru dan putih sahaja.

* 30 Julai, Kuantan, Pahang-Lelaki berusia 78 tahun mati sewaktu berada di bilik sewa pondan berusia 31 tahun.

Isnin, Jun 29, 2009

Pondan Berkrim

Akhbar Harian Metro hari ini melaporkan sebilangan lelaki lembut menggunakan krim putih mengandungi hormon progesterone dan testosterone bertujuan menukar bentuk badan mereka kepada wanita dalam tempoh 24 jam. Krim tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dijual pada harga RM800 itu dikata mampu menumbuhkan payudara dan memontokkan tubuh badan.

Krim sama dilapor mengakibatkan ketidakstabilan emosi, meningkatkan sel darah merah, menyebabkan kemandulan, meransang kanser payudara dan alat sulit. Bagaimanapun, lelaki lembut sanggup berhadapan risiko terbabit demi kepuasan diri.

Pagi tadi saya menghubungi kenalan lelaki lembut, berikut perbualan kami.

“Kalau nak buat payudara harga lebih kurang 3 ribu ringgit. Bedah tukar alat sulit kosnya di antara 10 dan 15 ribu, buat di Thailand dan Singapura. Klinik di Thailand dah buat lebih lama berbanding di Singapura, dia orang compete dari segi harga," katanya.

“Lepas bedah alat sulit, boleh mengandung ke?,” usik saya.

“Tak ada lah bang,” balasnya bersuara garau.

“Habis tu untuk apa dia orang buat?,” soal saya.

Dia terdiam.

Sukarnya mengubah kejadian Allah namun hasilnya masih tidak sempurna. Manakala, sebilangan wanita dianugerahkan tubuh montok dan menggiurkan secara azali, jarang menjaganya selepas berumahtangga.

Hakim Vs Peguam

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman 10 sebatan kepada pesalah, Muhammad Syafiq Abd Wahab, 20 tahun, di premis mahkamah 15 Julai ini atas kesalahan merompak. Zainal memutuskan akan melaksanakan sendiri hukuman sebat mengikut Seksyen 293(1) Kanun Acara Jenayah itu sambil disaksikan kedua ibu bapa pesalah.

Bagaimanapun, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesawan berkata Zainal tidak wajar bertindak sebagai hakim dan penghukum kerana mencabul doktrin pemisahan kuasa di antara eksekutif dan badan kehakiman.

Manakala, presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang melihat tindakan terbabit sebagai satu pembaharuan dalam sistem kehakiman negara sekaligus menjadi teladan mengelak golongan muda terjerumus ke kancah jenayah.

Apapun, setiap pesalah harus dihukum, kaedahnya kita serahkan kepada golongan bijak pandai undang-undang menentukannya.

*144 kes H1N1, Selsema Babi disahkan setakat ini

Ahad, Jun 28, 2009

Biarlah Diberhentikan

Kerajaan Indonesia nekad membuat keputusan memberhentikan penghantaran pembantu rumah mereka ke Malaysia berikutan kes penderaan berlaku. Pada masa sama, kita tidak mampu menafikan beberapa laporan polis dan tindakan undang-undang diambil terhadap majikan terbabit dalam kes penderaan sebelum ini.

Bagaimanapun, hemat saya, kerajaan Indonesia tidak dapat menolak fakta sebilangan majikan juga didera pembantu rumah di negara mereka sendiri. Berikut petikan laporan media Indonesia pada 17 Februari 2007, saya terjemahkan ke Bahasa Malaysia.

20 Januari 2007, Bandung, Indonesia - Pembantu rumah, Uniyawati Alias Uun membunuh majikannya, Marsiah di Jalan Cibadak, Bandung, Jawa Barat, Indonesia. Mangsa berusia 70 tahun, diikat dan didera sehingga mati. Beberapa barangan berharga antaranya telefon bimbit milik Marsiah dilaporkan hilang. Uun juga dikatakan sering membawa teman lelakinya masuk ke rumah majikan. Polis Indonesia mengesahkan, pembunuhan terbabit berunsurkan dendam kerana Marsiah tidak memenuhi tuntutan pembantu rumahnya selama 20 tahun itu untuk meminjam wang. Selain Uun, teman lelakinya dilapor turut terbabit dalam kes pembunuhan itu.

Justeru, rakyat Malaysia tidak harus berasa hairan apabila kes berikut berlaku di negara kita.

Tahun 2007, lebih 1200 PRA melarikan diri, setiap majikan kerugian di antara RM3000 dan RM5000, kos menguruskan kemasukan mereka secara sah ke negara kita.

November 2008, PRA Indonesia dikesan menggunakan seluar dalam berzip, tempat menyembunyikan barangan berharga majikan dicuri. Pensyarah universiri berusia 50 tahun mendakwa kerugian RM50,000.

November 2008, warga emas, Miati Bakri, 69 tahun mati ditikam PRA Indonesia di Taman Perumahan Karang Maju, Kuantan, Pahang. Selepas menikam mangsa, PRA Indonesia, berusia 16 tahun terbabit melarikan diri, meninggalkan Miati berlumuran darah.

13 Januari 2009, PRA Indonesia ditahan di Selangor mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menghantar SMS palsu berbentuk ugutan jenayah kepada ayah mangsa culik, Syarlinie Mohd Nashar.

Februari 2009, PRA Indonesia, Hanni, 20 tahun dilapor memukul kepala majikannya, Phang Kian Huang, 42 menggunakan kerusi kayu di Flat Sri Mahsuri, Jalan Padang Tembak, George Town, Pulau Pinang. Phang dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Kini 320,000 pembantu rumah asing, PRA berkhidmat di Malaysia. Lebih 270,000 daripada statistik itu, warga Indonesia. Menurut presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia, Datuk Raja Zulkepley, 150,000 PRA masuk ke negara ini secara haram.

Selain Indonesia, PRA dibekalkan Filipina, Kemboja, Sri Langka, Thailand, Vietnam, India dan Nepal.

Justeru, mengapa perlu bergantung kepada Indonesia sahaja?

* Rakyat Malaysia menyambut dingin kerja pembantu rumah - Datuk Dr S. Subramaniam, Menteri Kesihatan.

Perempuan Jarang Serik

Sebilangan perempuan mendakwa pernah disumpah seranah teman lelaki. Malah tidak kurang dikasari, disepak terajang dan dicederakan. Sejumlah mereka tampil membuat laporan polis berikutan perlakuan jenayah berlaku. Bagaimanapun majoriti perempuan sukar memutuskan perhubungan terjalin biarpun hakikatnya sudah tiada perasaan sayang di antara keduanya.

Jelaskan mengapa?

* Soalan di atas TIDAK pernah ditanya dalam karangan Sijil Pelajaran Malaysia :)

Sabtu, Jun 27, 2009

MJ?


Kisah 'Bo' Dan 'Gel'

Saya bertemu dua jurugambar, nama gelaran mereka ‘Bo’ dan ‘Gel’. Kerja mereka merakamkan gambar bogel gadis atas nama seni.

“Latest, kami rakam gambar show girl, 26 tahun. Actually, fokus kami lebih kepada facial expression bukan body. Tapi this girl ni pelik sikit, dia memang nak muka dia nampak full, kita shoot 7 jam non stop. Dia baharu ‘buat’ boobs, dulu kecil. Tapi saya tak puas hati, facial expression dia kurang sangat,” ujar Bo.

Sesi fotografi dibuat di bilik hotel dengan 2 saksi.

“Both sides kena sign agreement to ensure gambar diambil tidak jatuh ke tangan pihak lain. Kalau terlepas, tindakan undang-undang boleh diambil,” jelas Gel.

“Gambar tu semua nak buat apa?,” soal saya.

“Buat profile dia. Lepas tu kita orang nak buat exibition,” jawab Bo.

Selambanya gadis sekarang.

* 102 kes H1N1 disahkan setakat ini.

* Sila add saya jika pembaca mempunyai Facebook.

Jumaat, Jun 26, 2009

'May Allah Be With You' - Jermaine Jackson

Saya tertarik dengan kenyataan abang Michael Jackson, Jermaine Friday semasa rakaman temubualnya bersama CNN disiarkan berulangkali. Jermaine memeluk Islam sejak tahun 1989.

“May Allah be with you Michael,” katanya.

Sebelum ini Michael dilaporkan memeluk Islam dengan menggunakan nama ‘Mikaeel’. Beliau dikata melafazkan syahadah di rumah temannya, David Wharnsby di hadapan iman di Los Angeles, California. Setakat ini, belum kedengaran laporan media barat membangkitkan isu berhubung status ugama dianuti bintang pop lagenda terbabit.

Saya percaya bedah siasat mayat akan dijalankan dalam tempoh terdekat dan kemudian upacara pengkebumian akan disempurnakan. Jika dakwaan Michael memeluk Islam sebelum kematiannya benar, pelbagai soalan harus dijawab masyarakat dunia.

Rakaman temubual Jermaine bersama CNN pada jam 2.37 petang tadi TIDAK lagi menyiarkan kenyataan penuh Jermaine. Barangkali, di satu sudut dunia ada kelompok sedang membincangkan status pengkebumian penyanyi berusia 50 tahun itu.

Kita ikuti perkembangannya bersama

Michael Jackson Meninggal Dunia

Dunia hiburan antarabangsan kehilangan aktres dan artis terkemuka.

Aktres terkenal menerusi siri Charlie’s Angels, Farrah Fawcett meninggal dunia pada usia 62 tahun akibat barah. Wanita berambut emas, 'The golden hair girl' itu menghembuskan nafas terakhir di Pusat Kesihatan St John’s, Santa Monica, California pada 9.28 pagi waktu tempatan.

Manakala Michael Jackson meninggal dunia pada 2.26 pagi Jumaat, waktu Malaysia akibat jantung gagal berfungsi.

Beliau berusia 50 tahun, mati dalam perjalanan ke Pusat Perubatan UCLA di Los Angeles, California terletak kira-kira 6 minit dari rumahnya. Michael diingati dengan lagu evergreen, antaranya, Beat It, Billie Jean Thriller.

Lahir berkulit hitam pada tahun 1958 dan merekodkan album pertama bersama Jackson Five ketika berusia 10 tahun pada tahun 1968. Dia menjalani pelbagai pembedahan pembentukan semula wajah dan memutihkan kulitnya. Michael pernah dilanda pelbagai kontrovesi, antaranya, mencabul kanak-kanak. Bagaimanapun, dunia terus menganggap beliau raja, ‘Raja Pop’.

Di CNN, abangnya, Jermaine Jackson berkata ..

"May Allah be with you Michael"

Apa Jaminan INDONESIA?

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Mohd Zinin, 1,984 warga INDONESIA tebabit dalam kes jenayah pada tahun 2007.

"Polis memandang serius penglibatan warga asing termasuk rakyat INDONESIA dalam kes jenayah di negara ini. Kita tidak akan berkompromi dengan warga asing terbabit dalam kes jenayah tanpa mengira negara asal mereka," ujar beliau.

Statistik Pasukan Polis Diraja Malaysia mencatatkan 1,849 kes jenayah sepanjang tahun 2008. Warga INDONESIA mencatatkan penglibatan tertinggi. 1,073 atau 58% daripada jumlah kes terbabit.

8 September 2008, polis menembak mati 2 penjenayah INDONESIA dilapor menculik wanita berusia 41 tahun di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor. Wanita terbabit meninggal dunia akibat parah dikelar menggunakan senjata tajam.

Dalam kejadian berasingan, 2 penjenayah INDONESIA ditembak mati selepas mereka menculik pemandu lori membawa gelung tembaga di Shah Alam pada awal tahun 2008. Tembakan polis tepat mengena kepala dan dada penjenayah terbabit sewaktu mereka cuba menyerang pihak berkuasa menggunakan parang. Saya kongsikan gambar mayat seorang daripada mereka bersama anda. Mereka dilapor memiliki 15 rekod jenayah lampau.

Semalam kerajaan INDONESIA memberhentikan penghantaran pembantu rumah mereka ke Malaysia buat sementara waktu. Negara jiran itu menuntut kerajaan Malaysia menjamin keselamatan dan melindungi pembantu rumah warga INDONESIA berkerja di negara kita berikutan beberapa kes penderaan berlaku sebelum ini.

Persoalannya, adakah kerajaan INDONESIA mampu menjamin keselamatan rakyat Malaysia bermaustautin di negara sendiri daripada kekejaman penjenayah warga negara mereka?

Setakat ini, jawabannya TIDAK.

Khamis, Jun 25, 2009

Babi Bukan H1N1

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyarankan terma Influenza A, H1N1 kini ditukar kembali ke selsema babi. Sebelum ini semua media diarah menggunakan terma H1N1 sahaja.

“Orang kita lebih kenal babi daripada khinzir atau H satu, N satu atau H one N one,” kata beliau dalam Buletin Utama jam 8.08 malam tadi.

Teringat catatan pembaca blog ini, Alidyangon dalam post saya sebelum ini. Beliau bergurau, katanya, jika kanak-kanak terlihat babi di masa akan datang, komen mereka, "Tengok tu, H1N1".

Justeru, bersama kita izinkan anak kita berkata, "Tengok tu, babi!".

Permit Mengemis

Saya lihat wanita berusia lingkungan 40 an ini mengemis di pasar malam. Dia kelihatan cacat dengan kaki dilipat.

“Awak orang mana?,” soal saya.

Dia membisu sambil menundukkan kepala.

“Kemboja tu, setiap kali pasar malam, dia ada sini, orang nak berjalan pun susah,” celah peniaga apam balik berdiri berhampiran.

“Cacat ke?,” tanya saya kepadanya.

“Entah,” balas peniaga.

Saya kemudian memerhatikannya dari jarak dekat. Sejak bila Jabatan Imigresen mengeluarkan permit mengemis kepada warga Kemboja? Soalan itu bermain di minda. Mereka bergerak bebas bagai negara ini milik mereka. Barangkali kerana rakyat kita pemurah dan penyayang, enggan mengganggu warga asing biarpun mereka tidak layak bermaustautain di negara ini.

Kurang 2 minit, dia bangun dan berjalan meninggalkan saya terpinga. Kakinya tidak cacat, gambar di bawah buktinya.

*91 kes H1N1 disahkan setakat ini

Bukti Nyata


Bukan 100% Salah Lelaki

Sebilangan lelaki ingin berpoligami tetapi mereka takut.

“Masa nak kahwin isteri kedua, susah. Tak tahu macam mana nak bagi tahu isteri pertama. Cakap salah, tak cakap salah. Kalau cakap, silap-silap periuk belanga melayang, kalau tak cakap, nanti bila dia tahu, meletup juga,” kata lelaki beristeri dua.

“Betul. Tapi kalau dah beristeri dua, kahwin isteri ketiga dan keempat, tak banyak masalah!,” ujar lelaki beristeri empat, tersenyum bangga.

Apapun, majoriti perempuan tidak gemar dimadukan. Tetapi pada masa sama ada sebilangan perempuan sanggup berkahwin dengan suami orang, menjadi madu dan memadukan perempuan lain.

Jadi, usah salahkan lelaki 100% andai mereka berkahwin lebih daripada satu.

Bagaimana?

Syarikat Durjana

Saya menerima dan membaca lebih 500 SMS setakat jam 1 pagi tadi berhubung kes penipuan syarikat menawarkan kerja sambilan di rumah. Saya yakin lebih banyak SMS bakal saya terima esok dan lusa.

Mangsa bukan sahaja kononnya ditawarkan kerja memasukkan data ke komputer, data entry, malah diumpan kerjaya glamor, model dan pelakon tambahan. Modus operandi majoriti syarikat sama, memancing orang ramai melalui iklan di siarkan di akhbar dan majalah, kemudian meminta mereka datang ke pejabat untuk sesi temuduga. Pemohon kerja kemudian diminta membuat pembayaran, consultation fee, berjumlah antara RM30 dan RM200, pada masa sama menandatangani perjanjian.

Barangkali akibat terlalu teruja dimaklumkan kononnya mendapatkan kerja, pemohon tidak mengendahkan kandungan perjanjian ditandatangani. Antara klausa termaktub, wang dibayar tidak dikembalikan semula dan tiada tempoh spesifik syarikat perlu memberikan pekerjaan kepada pemohon. Syarikat durjana kemudian berdolak-dalik menggunakan pelbagai alasan setiap kali pemohon menuntut kerja dijanjikan.

Beberapa SMS saya terima bernada marah, mempersoalkan mengapa nama syarikat saya kunjungi mahu pun wajah pekerja dikaburkan? Jawabannya mudah, syarikat dan pekerja dikatakan menipu belum dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman. Justeru, pihak terbabit boleh mengambil tindakan undang-undang menyaman saya dan TV3 jutaan ringgit, risiko terlalu tinggi untuk ditanggung.

Berikut rumusan saya.

Media cetak harus menapis syarikat mengiklankan perkhidmatan mereka, bukan membuta tuli menyiarkan iklan akhirnya memerangkap dan merugikan ribuan warga.

Orang ramai harus bersikap proaktif, menyelidik latar belakang syarikat sebelum memohon kerja. Gunakan kemudahan internet untuk memeriksa komplen atau status syarikat terbabit samada telah disenaraihitamkan atau sebaliknya.

Mereka tertipu wajib membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan agar tindakan undang-undang boleh diambil terhadap syarikat mengikut Akta Perihal Dagangan.

360 hakikatnya berusaha mendedahkan maklumat agar masyarakat tidak tertipu. Begitupun masih ramai akan mengulangi kesilapan sama kerana enggan mengambil tahu perkembangan berita semasa.

Rabu, Jun 24, 2009

Kisah Malang Tingkat Empat

Pelakon, Ida Nerina dilaporkan terjatuh di tingkat 4 apartmen di Persiaran Syed Putra, Kuala Lumpur dua hari lalu. Kini dia berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya, Selangor selepas menjalani pembedahan tulang belakang.

Manakala jam 7 pagi semalam, siswi sarjana sains kimia Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, Wan Siti Farihah Mohamed Hassan, 23 tahun ditemui mati di parkir dilapor akibat terjatuh dari tingkat 4 Kolej Kediaman Pendeta Za’ba. Kes dikategorikan polis mati mengejut.

Pelbagai spekulasi timbul dalam kedua kes.

Ida didakwa dipukul tetapi dinafikan pengurusnya. Wan pula dikatakan dikejar lembaga hitam sebelum kejadian mengorbankan nyawanya.

Saya percaya bakal ada kisah rentetan 2 kes ini.

* 80 kes H1N1 disahkan setakat ini.

Diacu Keris Kecil

Saya menerima mesej berikut di Facebook.

“Salam, aku sebenarnya dah lama nak contact hang. Aku tak tahu la samada kau ingat ke tak masa kat KPP (Kolej Pengajian Persediaan) dulu, aku gaduh dengan hang. Masa tu budak-budak lagi, so kepala pun keras semacam dan seingat aku, aku ada acukan keris (kecil) kat hang. Akupun dah tak ingat apa puncanya.

Pastu aku jumpa hang kat St. Louis, aku ingat dalam tahun 1988 atau 1989 la kot dan aku buat-buat tak kenal hang dan mungkin ada malukan hang depan orang ramai masa tu. Tu lah. Aku ingat tu je lah.

So, kat sini aku nak minta maaf banyak-banyak la atas benda-benda tu semua. Ya lah, mana tahu, benda tak settle kan? Aku tak nak la benda-benda terbuku dan terpendam, tak syok lah. Lagipun kita bukan muda lagi dan benda tu jadi masa kita budak-budak lagi.

So sekali lagi, aku minta maaf la dari hujung rambut ke hujung kaki, apa terkasar perbuatan atau terlepas cakap dan halalkan apa-apa termakan dan terminum. “

Saya balas …

"Terima kasih. Aku sejak masuk usia 40 an, setiap kali sebelum tidur, aku maafkan semua kesalahan dan kesilapan semua manusia pernah aku kenali samada disedari atau sebaliknya.

Semoga hidup hang dan keluarga bahagia di dunia dan akhirat."

Kejadian itu berlaku 21 tahun lalu sewaktu kami berusia 17 tahun.

Selasa, Jun 23, 2009

H1N1: Anti-Viral Mencukupi

Jam 8 pagi tadi, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai ditemubual Malaysia Hari Ini. Menurut beliau bekalan anti-viral mencukupi untuk 10 peratus rakyat Malaysia, 27,000 orang.

“Setakat ini 7 kes jangkitan berlaku melalui penularan tempatan mankala 52 lagi kes impot. Elakkan daripada berkunjung ke negara seperti Amerika Syarikat, Filipina dan Australia”

Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan CPRC Kebangsaan bertujuan memantau situasi wabak Selsema A, H1N1. Sebarang pertanyaan, hubungi 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 atau emel kepada cprc@moh.gov.my.

“Kementerian Kesihatan sentiasa mengawal situasi, orang ramai bertanggungjawab memberikan kerjasama dan melakukan respon tepat untuk memastikan H1N1 tidak menular di negara kita. Pastikan selalu membasuh tangan dan menutup mulut apabila batuk,” tambah beliau lagi.

1 Billion Kebuluran

Menurut Pegawai Pemakanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB, Jacques Diou, berikutan kemarau, ketidakstabilan politik, kenaikan harga makanan dan kemiskinan, bilangan manusia kebuluran di dunia mencecah 1 billion berbanding tahun lalu 915 juta.

"Dunia menghadapi krisis kelaparan, dunia berbahaya. Tanpa makanan, manusia hanya mempunyai tiga pilihan, merusuh, berhijrah atau mati. Kesemua pilihan tidak boleh diterima," kata JosetteSheeran daripada Program Makanan Sedunia.

Akibat kebuluran rusuhan tercetus di 30 negara di dunia tahun lalu.

Isnin, Jun 22, 2009

Hakikat: H1N1 Semakin Serius

50 kes H1N1 dicatatkan setakat ini di negara kita. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Davidson, Kuala Lumpur diarah tutup seminggu atau lebih. Dua lagi sekolah, Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2, Petaling Jaya dan Sekolah Menengah Seksyen 9, Shah Alam sedang dipantau secara terperinci pihak kementerian.

Jika pelajar sah dijangkiti H1N1, adakah keluarga berani mengambil risiko membenarkan anak mereka ke sekolah sama?

Justeru, saya percaya dalam jangka waktu terdekat, sekolah terbabit akan turut ditutup.

Kita tunggu dan lihat samada jangkaan saya benar atau sebaliknya.

Ahad, Jun 21, 2009

Apa Masalah Dia?

Peliknya manusia.

Beberapa hari ini, seorang pengguna talian Maxis kerap menghantar SMS kepada saya.

Berikut antara SMS dihantar.

“Wa ingat lu dapat jadi Penerbit Eksekuif kat 360 pun pasal lu ni kaki hisap boss TV3 gamaknya”

“Badan besar, kepala botak tapi penakut. Orang nak jumpa pun buat tak layan, pigi da”

“Woi Botak, tak malu ke dok menyibuk kat tempat Maxis, sedar la sikit lu tu pakai CELCOM”

Nombor telefon bimbitnya 017 3900115.

Saya tidak faham, apa masalah dia sebenarnya. Ada sesiapa boleh tolong tanya?

Belajar Berbahasa Malaysia

Wanita berketurunan India, 37 tahun kelahiran Negeri Sembilan terpaksa merengkuk di penjara selama 2 bulan kerana dituduh menggunakan kad pengenalan palsu. Selain daripada kekeliruan berhubung dokumen pengenalan diri, dia didapati gagal bertutur dalam Bahasa Malaysia.

Teringat saya kepada Namewee, 26 tahun, warga Malaysia berketurunan Cina pernah mengubahsuai lagu Negara Ku ke bentuk rap sewaktu menuntut dalam jurusan Komunikasi Media di Taiwan beberapa tahun lalu.

Lagu Negarakuku, ciptaannya dimuatkan ke You Tube, mengakibatkan kontroversi tercetus di negara kita.

“I can’t speak in Malay,” katanya sebelum ditemubual secara langsung.

“If I were you, definitely, I would try my best,” nasihat saya.

“Saya cakap Melayu, serupa cakap dalam kopitiam,” guraunya.

“Saya pun tak minta awak bercakap macam orang Melayu,” tegas saya.

Dalam bual bicara program Malaysia Hari Ini terbabit, saya bercakap dalam Bahasa Malaysia manakala Namewee bertutur dalam Bahasa Inggeris tidak begitu teratur.

Masalah sama juga didepani ramai warga berketurunan Melayu pernah saya temui dan temubual.

“I am not fluent in Malay,” alasan mereka.

Walhal saya percaya mereka makan budu, tempoyak dan cencaluk. Terus terang, saya muak mendengar alasan terpancul dari mulut mereka.

Bahasa Malaysia, bahasa kebangsaan, termaktub di dalam perlembagaan negara.

Jika warga Malaysia gagal berbahasa Malaysia, apakah tafsiran kita?

Bionic Man

Saya bertemu pelakon, Kamal Adli, sebelum bermula Konsert Inspirasi TV3 di Dataran Merdeka malam tadi.

Melihat saya, anak muda kelahiran Pahang, berusia 22 tahun itu datang menghulurkan tangan bersalaman.

“Anak saya peminat awak,” ujar saya jujur.

“Cakap dengan dia orang, Bionik musim ke dua lebih banyak action. Musim pertama ini, kira bahagian pengenalan,” jawabnya mesra.

Semoga Kamal lebih berjaya dalam kerjayanya sebagai pelakon biarpun baharu berlakon sejak 9 bulan lalu.

“Dulu saya menonton Six Million Dollar Man, sekarang anak suka tengok Bionik,” kata saya menamatkan perbualan.

Saya dimaklumkan hanya 17 peratus daripada program TV3 berbentuk hiburan, bukan lebih daripada 70 peratus seperti tanggapan sesetengah pihak.

Apa pun 25 tahun bukan jangka waktu singkat. Pelbagai cabaran dan saat getir didepani TV3 sepanjang tempoh terbabit.

Sabtu, Jun 20, 2009

Saya Bukan Pelakon

Benci Dan Dendam

Krisis ekonomi dunia dirasai di negara kita. Banyak syarikat terpaksa gulung tikar, berhenti berniaga. Kesannya, ramai warga berkelayakan, menganggur sentiasa mencari peluang pekerjaan.

Pada masa sama ramai warga kita mencari peluang berkerja sambilan di rumah bertujuan meraih pendapatan tambahan menampung perbelanjaan keluarga. Membelek akhbar tempatan, mereka terjumpa iklan syarikat menjanjikan pekerjaan sambilan menjanjikan bayaran lumayan sehingga mencecah RM3000 atau lebih sebulan. Antara kerja ditawarkan, memasukkan data komputer, data entry, melipat kotak atau memasang aksesori barangan hiasan wanita di rumah.

Semua syarikat mengenakan bayaran juru runding, consultation fee antara RM180 dan RM200. Tanpa disedari, kontrak secara jelas mencatatkan, wang dibayar tidak akan dikembalikan. Maka, bermulalah mimpi ngeri. Pemohon terpengaruh janji manis bersetuju membuat bayaran kemudian berulangkali menghubungi syarikat bertanyakan soalan mengapa pekerjaan dijanjikan tiada? Setiap kali, kakitangan syarikat, memberikan seribu satu alasan sehingga pemohon bosan.

Kes penipuan saya catatkan di atas berulang, cuma mangsa berbeza. Apabila terlalu banyak aduan dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, syarikat akan memberhentikan operasi dan berpindah lokasi.

Siaran 360, 24 Jun bakal membongkar kes penipuan sekian lama berlaku, semoga menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Pemilik dan kakitangan syarikat diserbu kelak pasti akan membenci saya malah mungkin berdendam. Apa pun, itu antara risiko kerjaya saya pilih sejak 14 tahun lalu, justeru saya redha.

Bagi saya, perjuangan tanpa risiko tidak layak digelar perjuangan.

Orang Gila Bertambah

Stastistik Kementerian Kesihatan menunjukkan kini 379,010 mendapat rawatan pesakit luar psikiatri di hospital kerajaan berbanding 324,344 tahun 2007.

Menurut Pengarah Pembangunan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Azmi Shapie, semakin ramai remaja menderita masalah kesihatan mental.

Terfikir, statistik itu tidak termasuk mereka gila judi, gila betina dan gila talak.

Banyak jenis gila, gila apa paling teruk?

Jumaat, Jun 19, 2009

Komuter KTMB: Apa Jadi?

Majoriti daripada kita berkereta dan menaiki motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja. Sebahagian lagi menggunakan sistem perkhidmatan awam, bas, teksi, LRT dan komuter.

Akhbar melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menaiki komuter dari Serdang ke Kuala Lumpur. Beliau terpaksa menunggu 15 minit untuk ke ibu negara berikutan komuter penuh sesak. Kesimpulannya, Tun Abdullah tidak berpuas hati terhadap servis disedia dan diselenggarakan Keretapi Tanah Melayu Berhad, KTMB itu dan menyarankankan sistem pengangkutan awam itu diperbaiki.

Malangnya, sehingga kini, saya masih menerima pelbagai komplen berhubung perkhidmatan sama. Jadual kerap kali tidak ditepati dan sentiasa sesak.

“Saya dari Pelabuhan Klang, berdiri sampai Kuala Lumpur, penumpang terlalu ramai. Lewat antara 40 minit dan 1 jam. Kalau hendak balik, lagi teruk,” komplen penumpang saya hubungi.

Saya kemudian menghubungi KTMB.

“Bila masalah komuter akan selesai? Banyak komplen saya terima,” soal saya.

“Saya tidak ada perinciannya dan kena menghubungi bahagian engineering,” jawab Pegawai Perhubungan Awam KTMB.

Apa sudah jadi?

Warna Cincin Sama


Khamis, Jun 18, 2009

Ayat Lapan Perkataan

Kita harus belajar daripada kejadian sepanjang kehidupan lalu. Ringkasnya, apabila dalam kesusahan dan bermasalah, hakikatnya, tidak ramai kawan bertanya khabar. Ketika itu, kawan pernah ditolong sekalipun umpama tidak kisah. Mungkin mereka segan menghubungi, bimbang kita berada dalam keadaan tertekan.

Rumusannya, jika terdengar kawan kita berhadapan masalah, hubungi dia.

Katakan …

“Kalau ada apa perlu saya bantu, bagi tahu”

Ayat 8 perkataan itu mampu menenangkan kawan terbabit, percayalah.

Bukan Mudah

Seperti biasa sejurus tamat siaran 360, hotline akan dihujani pelbagai komen. Tidak terkecuali komen berhubung episod ‘Penagih Simpati’ disiarkan malam tadi. Kepada anda tidak berpeluang menonton, sila saksikan rakamannya di tv3.com.my.

Berikut sebahagian daripada SMS dihantar penonton.

Minta pihak penguatkuasa MAIK sita pusat Tahfiz Amal dan serapkan murid ke Pusat Tahfiz kerajaan – Hj Kamarudin Mahmod, Kangar, Perlis

Tahniah di atas coverage Sekolah Tahfiz Amal. Sudah lama kegiatan semacam ini tidak didedahkan – Hj Hakim Amir, Petaling Jaya, Selangor

Tq Mazidul di atas pendedahan aktiviti Sekolah Tahfiz Amal di Kedah. Sangat menyeluruh coverage dibuat. Saya akan buat laporan polis hari sabtu ini – Azli, Alor Star, Kedah

Minta guru tahfiz ditemubual, jika ada anak, suruh anaknya turut sama menjual ke sana kemari. Pihak berwajib patut selamatkan anak-anak ini sebelum sesuatu buruk berlaku – Azmi, Kuantan, Pahang

Saya rasa lebih baik cikgu sekolah tahfiz di Kedah dipaksa keluar minta sedekah!! – Cikgu Zul, Johor Bahru

Selamat sejahtera. Program 360 lebih banyak memalukan banyak pihak. Bukankah bagus mencari penyelesaian bagaimana cara membantu sekolah ugama daif. Kesusahan insan lain tidak perlulah diperbesarkan. Bersyukurlah dengan nikmat kita ada – Tiada identiti

Tuan, sedih saya melihat paparan Sekolah Tahfiz Kedah. Tuan mendedahkan masalah tapi tidak mencadangkan penyelesaian. Tuan nak jadi hero tapi tuan telah memusnahkan program menghasilkan hafiz. Tindakan tuan sama dengan Yahudi – Tiada identiti

Cerita mual. Cerita lama buat rancangan baharu – Tiada identiti

Aku suka tengok 360. Tapi aku menyampah tengok Mazidul Akmal Sidik. Tolong tukarkan dia dan ganti dengan orang lain. Lepas tu baru aku akan tengok 360 – Tiada identiti

Kesimpulan saya, bukan mudah menyenangkan hati semua orang.

Rabu, Jun 17, 2009

Paling Dibenci

Sesungguhnya kita tidak digalakkan membenci sesama manusia. Namun kerana kita bergelar manusia, ‘to err is human’, sebilangan kita tetap membenci.

Anda tidak perlu mencatatkan nama sebenar insan itu. Semoga sebarang sikap buruk tidak digemari dapat memberikan pengajaran kepada semua.

Siapa insan paling dibenci dan mengapa?

Buruk Bunyinya

Sebelum ini saya paparkan post berhubung kegiatan jualan amal di kalangan pelajar Sekolah Tahfiz Amal di Alor Star, Kedah. Mereka berada di pelbagai lokasi antaranya menjual minyak sapu panas, balm berharga RM10 sebotol. Wartawan 360 berkunjung ke sekolah terbabit dan merumuskan beberapa fakta.

23 Disember 2006, 5 pelajar sekolah sama maut dalam kemalangan jalanaraya berhampiran Sungkai, Perak. Mereka dalam perjalanan pulang ke Kedah selepas membuat jualan amal di ibu negara.

Berikut petikan pandangan guru sekolah dirakamkan.

“Kes besar pun kes kemalangan tu lah tapi dia mati selepas dia buat kebajikan sebab dia buat jualan amal, daripada dia berzina ke, balik minum arak ke lagi teruk”

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pelajaran Majlis Agama Islam Kedah, MAIK, Sheikh Ismi Anuar sekolah Tahfiz Amal tidak berdaftar dengan Bahagian Pelajaran MAIK.

Pelajar sekolah majoriti datang daripada keluarga miskin dan anak yatim diwajibkan menjual barangan sebagai aktiviti kokurikulum. Kegiatan itu dilihat tidak sesuai. Justeru, permohonan pendaftaran sekolah terbabit tidak dapat diluluskan.

Bagaimanapun sekolah terbabit masih beroperasi. MAIK setakat in barangkali berada dalam keadaan serba salah untuk memberhentikan operasi sekolah serta merta. Mungkin bimbang pandangan negatif orang ramai. Bayangkan kenyataan 'MAIK menutup sekolah tahfiz', buruk bunyinya.

Saksikan liputan berhubung 'Penagih Simpati' dalam episod 360, malam ini jam 9 malam.

Selasa, Jun 16, 2009

Pekerja Cemerlang Celcom

Jika talian broadband Celcom sibuk bermakna bilangan pelanggan syarikat telekomunikasi terawal negara itu bertambah ramai. Pelanggan setia menagih perkhidmatan ditawarkan dan sedia membayar kos perkhidmatan terbabit. Saya percaya Celcom mahukan pelanggan berterusan bukan pelanggan jangka pendek.

Justeru, tidak hairan mengapa Celcom menghantar jurutera berpengalaman, Karim Mohamed, Shahidan Nordin dan pelatih mereka berkunjung ke rumah saya buat kali ketiga. Speed 7.2 Mbps, Signal Strenght : Excellent, maklumat itu tercatat di atas skrin komputer riba saya. Bagaimanapun saya masih mengalami kesukaran connection sejak seminggu lalu.

Saya teruja melihat kesungguhan mereka bekerja, tidak jemu mencuba pelbagai alternatif bertujuan sama, menyelesaikan masalah dihadapi pelanggan seperti saya.

Trouble shooting bermula.

“Modem ni abang beli bila, setahun lebih dah?,” tanya Karim.

“Huih! Tak sangka, modem macam perempuan rupanya, bila dah tua banyak tak kena. Asyik searching for network sahaja, tapi tak jumpa,” gurau saya.

“Aku rasa, aku tahu. Tengok ni, anti-virus Kapersky enables anti-dialer, sebab itu modem tak boleh dial,” ujar Shahidan.

Karim kemudian mengubah setting Kapersky membenarkan connection berlaku.

“Pada usia 42 tahun saya cuma inginkan kehidupan lebih tenang. Tak nak fikir banyak tentang anti-virus. Ada anti-virus jenis mudah guna?,” celah saya.

Sepantas kilat Karim menggantikan Kapersky dengan Avast. Masalah selesai dalam sekelip mata biarpun mereka bertiga ‘bermaustautin’ di rumah saya lebih 2 jam.

Bagaimanapun, Kapersky saya gunakan kurang 2 bulan lalu manakala masalah connection bermula sejak Mac 2008.

“Kami dari Kuala Selangor tadi, terlepas peluang makan durian sebab datang sini,” sambung Shahidan sebelum pulang jam 5 petang tadi.

“Tak apa. Nanti pergi dekat Balai Polis Sea Park, RM9, makan durian, all you can eat,” balas saya.

Apapun, kepada mereka bertiga, jika berkunjung sekali lagi ke Petaling Jaya, hubungi saya, lunch will be on me.

Rumusan saya, jika majoriti tenaga kerja Celcom seperti mereka, saya percaya syarikat terbabit akan terus cemerlang menerajui perkhidmatan broadband negara.

Careline Celcom Robot

Tercatat komen di dalam entry sebelum ini. Diringkaskan, kata pembaca, saya dianggap selebriti lalu pantas dibantu Celcom. Saya berharap kenyataan itu tidak benar. Saya percaya, melalui saluran tepat, majoriti pelanggan mampu dibantu kerana menikmati servis dijanjikan, hak mereka.

Bagaimanapun, saya ingin menegur keberkesanan Careline Celcom, talian 1111 dalam membantu pelanggan. Kakitangan bertugas tidak ubah umpama robot apabila berhubung dengan pelanggan. Lebih malang, bukan mudah untuk bercakap dengan pegawai perkhidmatan pelanggan Careline. Pelanggan terpaksa menekan pelbagai butang telefon diarah rakaman suara sebelum mereka berpeluang bercakap dengan manusia sebenar.

“Aduan encik akan saya laporkan kepada bahagian teknikal. Dalam tempoh 48 jam mereka akan menghubungi encik dan tindakan akan diambil,” ayat berpuluh kali saya dengar sebelum ini.

Jika tiada tindakan diambil dalam tempoh dijanjikan, pelanggan terpaksa menghubungi talian sama berulang kali, membosankan. Jika Careline tidak banyak membantu pelanggan berhubung masalah broadband, kepada pihak mana mereka harus mengutarakan masalah didepani?

Pilih Seorang Sahaja

Ramai insan kita sayangi di dunia ini. Bagaimanapun jika WAJIB memilih hanya SEORANG individu paling disayangi, siapakah dia dan mengapa?

Usah pening dan jawab secara jujur.

Ahad, Jun 14, 2009

Adilkah Celcom?

Saya pelanggan setia Celcom sejak syarikat telekomunikasi terbabit menawarkan perkhidmatan di negara ini. Tidak pernah saya menggunakan servis operator lain selain Celcom. Semua bil saya jelaskan tanpa masalah, 3 bil berlainan nombor kesemuanya, purata RM400 sebulan.

24 Mac 2008 saya mula melanggan jalur lebar, broadband Celcom, RM98 sebulan. Sembilan bulan signal tidak stabil, fluctuated. Maksudnya, sukar untuk saya melayari internet ketika itu. Lapan komplen saya ajukan kepada Celcom Careline namun bagai mencurah air di daun keladi. Tiada perubahan dan tindakan diambil mengatasi masalah didepani, pelanggan setia Celcom. Bersabar, saya kemukakan masalah terbabit di dalam Malaysia Hari Ini, 6 bulan lalu, jam 7.50 pagi.

“Kerja saya banyak melayari internet. Saya melanggan broadband Celcom sejak 9 bulan lalu tapi cuma dapat melayari internet 3 hari sebulan. Jadi, kepada pegawai Celcom mendengar rintihan saya pagi ini, tolonglah,” antara ayat saya ungkapkan.

Jam 11 pagi, 11 kakitangan Celcom, jurutera dan kontraktor berkunjung ke rumah saya di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Hampir 5 jam mereka memasang repeater dan menebuk dinding rumah, memasang wayar besar ke antena sehingga tingkap saya tidak boleh ditutup sempurna. Namun, saya tidak kisah, asalkan mendapat perkhidmatan lebih baik. Syukur, selepas itu saya mampu melayari internet secara sempurna. Malah, Celcom memberikan rebet 8 bulan sebagai ganti rugi. Terima kasih saya ucapkan.

Belum genap tempoh rebet, kini masalah sama berulang kembali. Signal kembali terganggu. Jurutera Celcom berkunjung ke rumah melaporkan masalah ‘line congestion’ dan sehingga entry ini ditulis status tidak berubah.

Setiap bulan, saya membayar RM98. Adilkah tindakan syarikat terbabit mengenakan caj penuh sedangkan pelanggan tidak mendapat servis selama sebulan?

Atau ada syarikat lain menawarkan pakej lebih baik tetapi membenarkan saya berkerja secara mobile?

Nyawa Semurah Besi Buruk

Majoriti premis membeli barang lusuh, kotor, berbau busuk dan bersepah. Kebanyakkannya tidak berlesen tetapi beroperasi secara terbuka di tepi jalan mahupun di kawasan perumahan.

Kerajaan menggalakkan kitar semula barangan terpakai melalui pelbagai kempen dilaksanakan bertujuan memelihara alam sekitar. Tetapi jika diperhatikan secara teliti, kebanyakkan barangan plastik, kaca dan kertas kemudian dijual ke premis membeli barang lusuh tanpa diketahui status lesen.

Setiap pengusaha premis wajib memohon permit besi buruk daripada polis untuk mendapatkan lesen. Manakala pihak berkuasa tempatan mengeluarkan lesen premis barang lusuh dengan sokongan permit polis terbabit. Jusreru, premis barang lusuh turut dikenali sebagai premis besi buruk.

Jam 5.30 pagi semalam 2 pengawal keselamatan kilang, warga tempatan, Supil Rasban, 75 dan warga Nepal, Gangga Bahadur, 32 tahun maut dibunuh sekumpulan penyamun. Batang besi seberat 20 tan bernilai antara 3 dan 4 ribu ringgit dilarikan dari kilang di Batu 6, Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 34, Shah Alam, Selangor. Pihak polis meminta pengusaha premis besi buruk menghubungi pihak berkuasa sekiranya ada pihak ingin menjual batang besi.

Sekilogram besi buruk dianggarkan berharga 20 sen sahaja. Itu harga nyawa manusia.

Gigitan Cinta Remaja

Zaman sekarang, ramai lelaki dan perempuan bujang kelihatan bangga mempamerkan gigitan cinta, lovebite di khalayak ramai tanpa perasaan segan silu. Mungkin lovebite dianggap lambang kasih sejati di kalangan pasangan bercinta.

Gadis Melayu ini saya anggarkan berusia dalam lingkungan 17 tahun. Gambarnya saya rakamkan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Kesan seperti lovebite jelas kelihatan di lehernya. Bagaimanapun, saya bukan pakar. Jika telahan saya salah, barangkali dia digigit nyamuk malam sebelumnya.

Atau mungkin lensa kamera saya kotor ...

Sabtu, Jun 13, 2009

Penjual Minyak Cilik

Saya pernah membuat liputan berhubung kegiatan pelajar sekolah tahfiz menjual kalendar bertujuan mengumpul dana membiayai pembelajaran mereka dalam satu daripada episod terawal 360. Sejurus selepas siaran saya menerima pelbagai respon daripada penonton. Berikut satu daripada khidmat pesanan ringkas dihantar ke hotline 360.

‘Mazidul, kamu tak ada kerja lain? Budak-budak tu pelajar tahfiz, sekolah agama, buat kerja amal, biarlah. Kamu nak sangat masuk neraka ke?’

Saya tidak berhajat ke neraka dan saya mendoakan semua umat Islam beriman dimasukkan ke syurga. Bagaimanapun program terbitan saya sekali lagi akan membongkar secara lebih terperinci kisah sebenar di sebalik kegiatan menjual barangan di kalangan pelajar Sekolah Tahfiz Amal di Alor Star, Kedah.

Saya dedahkan beberapa fakta berhubung kegiatan pengurusan sekolah dan pelajar terbabit, mungkin tidak diketahui umum.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan Ketua Bahagian Pendaftaran Sekolah Agama, Jabatan Agama Islam Kedah, JAIK, Syed Naim Ahmad, mengarahkan Tahfiz Amal terbabit memberhentikan operasi serta-merta. Kegiatan mewajibkan pelajar melakukan jualan amal bercanggah dengan Seksyen 12(1) Enakmen Pengawasan Sekolah Agama Negeri Kedah 1988. Pada masa sama Syed Naim turut mengesahkan sekolah itu tidak berdaftar. Malangnya arahan Syed Naim tidak diendahkan pengurusan sekolah hingga ke hari ini.

Puluhan pelajar berusia antara 10 dan 17 tahun saya temui di stesyen minyak, di pintu masuk institusi perbankan, di sekitar pusat membeli-belah, di gerai menjual makanan dan di kawasan rehat lebuhraya. Ditanya, mereka semua mendakwa tidak dipaksa melakukan aktiviti jualan dinaungi Kelab Usahawan Muda sekolah terbabit malah kegiatan sama direstui keluarga. Kata mereka, kegiatan kokurikulum itu hanya bermula selepas sesi pengajian di waktu petang. Bagaimanapun pada masa sama mereka mengaku berada di pelbagai lokasi di luar negeri Kedah 3 kali seminggu antara hari Isnin dan Jumaat. Laporan saya terima, kini, sekolah terbabit menghantar ratusan pelajar menjual minyak angin berharga RM10 antaranya ke Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor Jika disingkap, perjalanan ulang-alik antara Alor Star dan lokasi jualan amal pernah mengundang tragedi hampir 3 tahun lalu.

Jam 2.50 pagi, 29 Disember 2006, 5 pelajar sekolah sama berusia antara 12 dan 13 tahun terkorban dalam kemalangan membabitkan van dan lori kontena di Kilometer 355.7 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Sungkai, Perak. Dilaporkan, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang membuat jualan amal di Kuala Lumpur..

Dua hari lalu saya menerima panggilan dari Alor Star.

“Sekolah ni ambil budak-budak miskin, anak yatim semua. Rasanya, depa tak belajarpun, sekolah cuma suruh jual barang,” kata pemanggil.

Saya tidak mengetahui sejauhmana kebenaran kenyataan itu, harapan saya, dakwaan itu salah.

Pelajar lelaki dan perempuan ditinggalkan di pelbagai lokasi, sekaligus keselamatan mereka dipersoalkan pelbagai pihak.

“Ustaz bagi sepuluh ringgit beli makanan. Saya di sini dari pukul satu tadi, balik lapan malam,” kata pelajar saya temui di stesyen minyak Petronas di Alor Gajah, Melaka.

Di kertas bersalut plastik dipegangnya, tercatat nama Sekolah Tahfiz Amal, beralamat di KM 17 Jalan Yan Kuala Kedah Kangkong, Kuala Kedah, Alor Star, Kedah berserta nombor telefon 04-764 7640.

“Ustaz mana?,” soal saya.

“Tak tahu. Tapi kalau nak call ustaz, ini nombor handphone dia,” balasnya.

Hairan, semasa dihubungi, ustaz mendakwa tidak menghantar pelajar terbabit ke lokasi saya temui.

“Pelajar tu bagi saya nombor you, macam mana tak tahu? Dia di bawah umur, 12 tahun. Saya hantar dia ke Kebajikan Masyarakat, boleh?,” usik saya.

“Boleh. Kalau encik nak buat macam itu,” ujarnya selamba.

Rakan saya menyamar ibu tunggal beranak 5, berasal dari Baling, Kedah kemudian menghubungi sekolah, berpura-pura bertanya prosedur menghantar anak berusia 11 tahun ke sekolah terbabit.

“Kawan bagi tahu sekolah ni pernah diarah tutup Jabatan Agama ke sebelum ini. Betul ke?,” tanya rakan.

“Tak pernah, cuma dulu ada masalah sedikit, perselisihan faham, sekolah ni masih beroperasi,” jawab kakitangan sekolah.

Menurutnya lagi, keluarga tidak perlu menjelaskan bayaran membiayai pelajaran anak, semuanya ditanggung pihak sekolah, percuma.

“Duit datang mana?,” soal rakan.

Kakitangan itu hanya mendiamkan diri.

“Bukan apa, saya ada jumpa pelajar sekolah ni berniaga jual buku agama. Anak saya penakut, kalau dia masuk sekolah ni, dia kena pergi berniaga berapa kali seminggu?,” tanya rakan.

“Dia orang tak ada jual buku agama, jual minyak angin. Pelajar keluar berniaga masa cuti sekolah sahaja, hari sekolah tak berniaga, kalau ada pun, petang lepas waktu sekolah, ikut jadual”

“Berapa kali seminggu?,” soal rakan lagi.

“Sekali, dua kali, tiga kali pun ada,” balas kakitangan terbabit gagap.

Minggu depan, untuk siaran 17 Jun, ‘Penagih Simpati’, bagi memaparkan laporan seimbang, saya meminta wartawan 360 berkunjung ke sekolah terbabit untuk menemubual pengetuanya.

Saya berharap pengetua Sekolah Tahfiz Amal sudi memenuhi permintaan kami bagi menjelaskan perkara sebenar. Jelasnya, ramai tidak merestui sekiranya kanak-kanak dieksploitasi.

Khamis, Jun 11, 2009

Cinta Terkelar

Jam 12.30 malam semalam, di Kuala Terengganu, Terengganu, pelajar lelaki sekolah menengah berusia 17 tahun dilapor nekad mengelar pergelangan tangannya menggunakan pisau kerana putus cinta. Teman wanitanya dikatakan meminta hubungan mereka diputuskan.

Pernah, 5 tahun lalu saya sendiri menyaksikan gadis berusia 22 tahun memotong pergelangan tangannya menggunakan serpihan kaca cermin kerana teman lelaki disyaki bakal meninggalkannya.

Jika dilihat, lelaki dan perempuan pernah terbabit kes mengelar pergelangan tangan. Majoriti mereka sekadar ingin menimbulkan unsur ugutan manakala sebilangan lagi kepingin membuktikan betapa agungnya cinta mereka terhadap pasangan sehingga sanggup mencederakan diri sendiri.

Hairan.

Rabu, Jun 10, 2009

Nasi Berlauk Babi

Tahun 2004, Nirmala Bonat, amah warga Indonesia pernah didera sehingga cedera parah. Saya wartawan pertama dihubungi Kedutaan Indonesia menyaksikan keadaan Nirmala sehari selepas mangsa berjaya melarikan diri. Saya lihat, bahagian dada dan belakang badan mangsa penuh kesan seterika panas dan jirusan air panas.

November 2008, majikannya, Yim Pek Ha, 40 tahun disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun. Nirmala menyatakan hukuman itu setimpal kesalahan dilakukan Yim.

Semalam, pembantu rumah berasal dari Jawa Barat, Indonesia, Siti Hajar, 33 tahun mendakwa dipukul, dijirus air panas dan tidak pernah dibayar gaji berjumlah 17 ribu ringgit sejak bekerja 3 tahun lalu.

Majikannya, ibu tunggal berusia 42 tahun memberi keterangan kepada polis mengaku melakukan penderaan terbabit.

Dilaporkan majikannya berulangkali berkata …

“Sorry Siti”

Akhbar melaporkan, mangsa hanya diberikan makan nasi berlaukkan daging babi.

Fakta, warga Indonesia berhijrah ke negara ini dilaporkan terbabit dalam pelbagai jenayah kekerasan, menculik, menyamun dan merompak warga tempatan. Sebilangan mereka turut mencederakan mangsa menggunakan senjata.

Bagaimanapun, memaksa Siti Hajar makan nasi berlaukkan babi dianggap tindakan melampau sekaligus tidak menghormati penganut agama Islam biarpun mangsa bukan warga Malaysia.

Saya sering menerima aduan, amah dipaksa majikan bukan Islam memandikan anjing dan menyiang daging babi.

Bagaimanapun, wujud laporan jika amah Indonesia bekerja dengan majikan Melayu, mereka seringkali menampilkan pelbagai kerenah di luar jangkaan. Ramai melarikan diri, menyeludup teman lelaki ke rumah, mencuri harta benda berharga dan mendera anak majikan.

Selasa, Jun 09, 2009

Pelajar Menyamun

Cuti sekolah masuk minggu kedua. Majoriti keluarga membawa anak bercuti di pelbagai lokasi, di dalam dan di luar negara. Manakala sebilangan pelajar menggunakan masa terluang mengulangkaji pelajaran di rumah.

Bagaimanapun 3 pelajar berusia 17 tahun dan seorang lagi berumur 18 tahun berasal dari Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor ditahan di Kinrara, kerana terbabit dalam 15 kes samun bersenjata di tepi jalan.
Wang hasil samun digunakan mereka untuk berfoya-foya pada musim cuti sekolah.

Wajib Lulus Bahasa Inggeris

Terbaru, cadangan calon Sijil Pelajaran Malaysia diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi melayakkan mereka menerima sijil penuh.

Timbalan Perdana Menteri juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta orang ramai melontarkan komen.

Apa kata anda?

Ahad, Jun 07, 2009

Tragedi PLKN: Apa Lagi?

Misi Program Latihan Khidmat Negara, PLKN antaranya memupuk jati diri, semangat patriotik, integriti dan pemantapan sahsiah diri di kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.
Bagaimanpun, sejak PLKN dimulakan pada tahun 2004 pelbagai kejadian tidak diingini berlaku. Tragedi terburuk, antaranya, pelatih mati lemas, terkorban akibat pergaduhan dan mati kerana masalah kesihatan. Dilaporkan setakat ini 16 pelath PLKN meninggal dunia, 11 kematian ketika menjalani latihan, 5 lagi ketika pelatih bercuti.

Negara juga digemparkan apabila jurulatih PLKN, Zuki Mohd, 30 tahun, anggota tentera berpangkat koperal dituduh merogol pelatih perempuan 19 tahun di dalam keretanya di Setiu, Terengganu pada 28 Februari 2004. Suspek dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan pada 19 Disember 2005, Zuki dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dikenakan 3 sebatan. Bukti jelas, tindakan jurulatih itu bagai haruan makan anak.

1 September 2006, pelatih, Mohd Rafi Ameer meninggal dunia. Kakak arwah, Jubaidah mendakwa pihak PLKN cuai menangani masalah dihadapai adiknya. Mohd Rafi dikatakan berulangkali mengadu demam dan bengkak kaki akibat terjatuh semasa latihan. Dia dipercayai termakan makanan tercemar najis binatang. Jubaidah memfailkan saman 10 juta ringgit melipuiti gantirugi khas, gantirugi am, gantirugi teruk dan gantirugi teladan kepada plaintif.

Terbaru, 11 pelatih di Kem Sommerset Rompin, Pahang diberkas polis kerana terlibat pergaduhan dengan pelatih lain. Mujur mangsa cedera di leher dan tubuh sahaja. Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superintendan Mohd Haris Daud, mangsa dikata cuba meleraikan pergaduhan dipercayai berlaku di antara kumpulan pelatih dari Johor dan Terengganu.

Ini bukan kejadian pertama, sebelum ini pelatih, Haziq Jaafar, 17 tahun meninggal dunia di Hospital Kluang, Johor akibat dibelasah pelatih lain. Suspek berusia sama didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kebelakangan ini, kita mula mendengar bantahan keluarga enggan menghantar anak mereka menjalani latihan 3 bulan PLKN. Memang ajal maut di tangan Allah S.W.T, bagaimanapun ramai bimbang sekaligus mempersoalkan aspek keselamatan di kem anak mereka ditempatkan.

Komen anda?

Jumaat, Jun 05, 2009

Keganasan Chin Peng

Balai Polis Bukit Kepong, di selekoh Sg. Muar, Johor diserang 200 pengganas komunis Kompeni Bebas ke-4 pada jam 4.15 pagi, 23 Februari 1950. Ketua Balai Polis ketika kejadian, Sarjan Jamil Mohd Shah.

Biarpun berulang kali diseru menyerah 22 anggota polis bertugas mengambil keputusan mempertahankan balai diperbuat daripada kayu itu sehingga ke titisan darah terakhir. Dua isteri anggota polis dilaporkan turut mengangkat senjata, bertempur menentang serangan komunis melihatkan satu persatu anggota polis gugur.

Kira-kira jam 7 pagi, komunis menawan isteri Konstabel Mohamad Jaafar, Mariam Ibrahim, dua lagi ahli keluarga Konstabel Abu Bakar Daud, Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditahan. Mereka semua dipaksa menyeru polis menyerah bagaimanapun pasukan keselamatan enggan meletakkan senjata. Berikutan itu, Mariam dicederakan, Fatimah dibunuh.

Hanya selepas 5 jam bertempur, pengganas komunis berjaya menawan Balai Bukit Kepong. Pengganas komunis membakar berek kelamin berhampiran balai, dua wanita dan anak mereka hangus dalam tragedi itu, anggota polis cedera parah dan mayat di lempar ke dalam api.

25 terkorban, 14 anggota polis, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan dan 4 orang awam, terselamat 4 anggota polis dan 9 ahli keluarga.

Marilah bersama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada semua anggota polis dan keluarga gugur dalam peristiwa hitam 59 tahun lalu, 7 tahun sebelum negara meraih kemerdekaan.

Fakta perlu diingat, pangganas komunis terbabit, anggota Parti Komunis Malaya diketuai Chin Peng. Justeru wajarkah Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia?

Nyatakan pendirian anda.

Pendera Darah Daging

Menurut DSP Siasatan Kanak-Kanak D11, Bukit Aman, DSP Norisah Ab. Hamid, setakat ini bagi tahun 2009, 71 kes penderaan fizikal kanak-kanak dilaporkan. Majoriti mangsa berusia antara 1 dan 7 tahun. Tahun ini 20 kes dera dilakukan ibu, 14 bapa manakala 13 kes pengasuh, kebanyakan kes terjadi di rumah. Statistik dicatatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati Selangor, negeri mempunyai kes dera tertinggi.

Jika anda mengesaki berlaku kes dera, hubungi Talian Nur 15999, beroperasi 24 jam.

Menghairankan, masyarakat Malaysia diwar-warkan penyayang, pada masa sama sebilangan warga tidak berhati perut, mendera darah daging sendiri.

Khamis, Jun 04, 2009

Kisah Burung Walid

Saya menerima pesanan ringkas, SMS daripada KH Wong menetap di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor. Dia mengemukakan aduan berhubung jiran memelihara ratusan burung walid di struktur rumah didakwa dibina secara tidak sah. Kesannya, penduduk di kawasan berhampiran hidup tidak selesa akibat bunyi bising dan bau tahi burung. Lalu, mereka mengemukakan 4 komplen kepada Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, MPJBT.

Lapan panggilan telefon, saya gagal menghubungi pegawai penguatkuasa bertugas pada jam 9.30 pagi tadi.

“Pegawai keluar minum, saya bagi nombor handphone dia,” kata kakitangan menyambut panggilan saya.

Saya puji sikap kakitangan wanita terbabit.

Dua kali saya menghubungi nombor diberikan, tidak berjawab. SMS saya hantar menerima nasib sama. Kesimpulan saya, mungkin pegawai itu sibuk. Saya kemudian berjaya bercakap dengan Timbalan Yang Dipertua MPJBT.

“Majlis tidak mempunyai by law untuk mengambil tindakan. Tetapi kita dah keluarkan notis kepada pengusaha terbabit,” kata beliau.

“Penduduk hantar emel kepada saya, kata mereka, premis tu sudah disaman dek majlis,” tambah saya.

Beliau terdiam, mungkin berfikir.

“Tuan, biasanya struktur rumah tidak boleh extended tanpa kebenaran. Jika extended juga, itu dikira struktur haram. Penguatkuasa boleh mengambil tindakan merobohkan struktur terbabit. Kenapa tindakan sama tidak diambil sedangkan empat surat komplen dihantar penduduk? Semua nombor rujukan ada pada saya,” soalan saya kemukakan.

Beliau meminta diberikan masa bagi menyiasat kes terbabit sekaligus merujuk kepada pegawai penguatkuasanya.

“Tuan, empat surat komplen diajukan. Tidak wajar kalau baharu nak disiasat kes ini. Apapun, ok. Khamis minggu hadapan saya akan hubungi tuan kembali. Kesian penduduk hidup dalam keadaan tidak selesa,” ulas saya.

Mengapa begitu jadinya?

SMS Terakhirnya

Seorang ibu mengadu melalui sistem pesanan ringkas, SMS dihantar ke hotline 360, anaknya berusia 13 tahun didakawa siang malam melepak di Café Siber, CC.

‘Balik sekolah dia pergi CC. Maghrib dia balik, lepas makan dia pergi CC balik sampai jam 12 malam. Katanya buat kerja sekolah tetapi dia main orang menari nari atas skrin tu. Saya dah buat macam-macam, sampai jumpa bomoh bagi dia benci dengan benda tu (CC) tetapi tak berkesan’

Ibu itu kemudian mendakwa dia artis, pelakon drama tempatan.

Balas saya menggunakan SMS …

‘Ibu bapa harus mengawal anak, bukan sebaliknya’

Setakat ini pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai peraturan khusus menghadkan masa operasi CC di seluruh negara. Maka, banyak premis beroperasi 24 jam. Pada hemat saya, jika kegiatan CC tidak boleh disekat setakat ini, ibu bapa harus memainkan peranan lebih tegas mengawal pergerakan anak mereka. Mereka ada kuasa.

Secara logik akal, perkhidmatan CC berbayar, bukan percuma. Setiap pelanggan harus mempunyai wang untuk menggunakan servis ditawarkan. Dalam kes ini, siapa memberikan wang untuk dibelanjakan anak itu setiap kali berkunjung ke CC terbabit?

Persoalan seterusnya, tidakkah kita sebagai ibu bapa berhak sepenuhnya mengawal pergerakan anak berusia 13 tahun, bukan 23 tahun?

Katanya lagi …

‘Anak orang lain pun ramai pergi ke CC tu dan blah blah blah’

Saya jawab …

‘Ramai juga orang lain mampu mengawal anak tidak ke CC, mengapa tidak kita? Kita sama-sama ada anak, kita jagalah bersama’

Dia marah.

SMS terakhirnya …

‘Kalau macam ini layanan talian, ok, akbar boleh tolong ulaskan cara 360 punya layanan’

Itu cara seorang ibu berhasrat meminta pandangan saya berhubung kegiatan anak sukar dikawal. Setiap hari saya menerima lebih 300 SMS, pelbagai masalah diutarakan. Kekadang kesabaran, satu tuntutan.

Rabu, Jun 03, 2009

Manisnya Madu

Hunny Madu, itu nama gelaran gadis manis, berusia 25 tahun, penyampai radio Fly FM ini. Hunny dilahirkan di Hospital Pantai, Kuala Lumpur dan pernah menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor.

“Tengah bercinta?,” soal saya ketika bertemu di bilik make up.

“His! Susah nak jawab soalan wartawan ni,” katanya sambil tersenyum.

“Tengah bercinta ke?,” soal saya sekali lagi.

“Ya. Mana tau?,” soal saya.

“Saya tengok muka awak saya tahu, sebab lebih manis daripada madu,” saya mengusiknya.

Anak kedua daripada empat adik-beradik ini bersuara garau.

“Dulu di sekolah selalu menjerit ke?,” tanya saya.

“Tak, suka buat lawak,” balasnya selamba.

Saya suka melihat gadis manis, berbakat, mesra dan bijak menghormati orang. Ikuti perkembangan Hunny di blog beliau.

http://hunnymadu.blogspot.com/

Pening Kepala

Pengawal keselamatan warga Indonesia, Aidil, berusia lingkungan 20-an, suspek utama kes pecah rumah di kondominium di Melati Utama, Wangsamaju, Kuala Lumpur diburu polis.

Kes terbabit membabitkan kerugian RM300,000.

Persoalannya, sejak bila warga Indonesia dibenarkan menjadi pengawal keselamatan?

Banyak pihak tidak mengambil endah berhubung undang-undang ditetapkan, langgar selagi boleh. Alasan mereka, warga tempatan tidak berminat menjadi pengawal keselamatan. Bila warga asing terbabit dalam kes jenayah, pelbagai pihak pening kepala.

Selasa, Jun 02, 2009

Manohara Odelia Pinot

Manohara Odelia Pinot, isteri Tengku Temenggong Muhammad Fakry, putera ketiga Sultan Kelantan, kini kembali ke Indonesia.

Model berusia 17 tahun itu dilapor melarikan diri semasa berada di Singapura dengan bantuan polis Singapura dan Kedutaan Amerika Syarikat.

“Manohara dianiaya secara fizikal. Dia telah dicederakan di bahagian dada dengan pisau cukur,” dakwa ibu Manohara, dipetik AFP.

Kes Manohara mendapat liputan meluas di Indonesia, dimuatkan di dalam berita dan program bual bicara stesyen TV tempatan. Dalam sidang media, Manohara mendakwa didera secara seksual, mental dan fizikal.

“I have been treated like an animal,” kata beliau dalam temubual disiarkan di YouTube.

Sejauh manakah kebenaran kenyataan itu belum dapat dipastikan setakat ini kerana tiada bukti dikemukakan. Manakala istana Kelantan setakat ini mengambil pendekatan mendiamkan diri.

Selagi kes ini tidak diselesaikan, jutaan rakyat Indonesia pasti memandang serong terhadap dakwaan layanan buruk diterima warganya itu, sekaligus nama Malaysia menjadi sebutan dalam konotasi negatif.

Sikap Jelek Perempuan Dan Lelaki

Perempuan, insan lemah lembut dan beremosi sensitif berbanding lelaki. Mereka lebih kerap disayangi daripada dibenci. Hakikatnya, mereka, teman, kekasih dan isteri.

Bagaimanapun bukan semua sikap perempuan disenangi, sebilangan menjelekkan. Biarpun jarang dibicarakan secara terbuka, saya kira tidak salah menyentuh isu ini.

Antara sikap jelek perempuan? Ops! Jika perempuan ingin ‘membongkar’ sikap buruk lelaki secara am, silakan.

Biar kita perbetulkan bersama.

Isnin, Jun 01, 2009

Usah Tertipu Lagi

Berikut SMS saya terima pada jam 9.30 malam tadi melalui hotline 360.

‘Assalamualaikum Mazidul, boleh saya tahu, office Power Root buat cabutan bertuah dan saya seorang daripada pemenang. Bila saya ikuti semua diminta, dengan tak disangka duit dalam akaun saya lesap’

Saya tidak membalas SMS terbabit biarpun kos menghantar 1 SMS hanya 8 sen. Bukan kerana saya kedekut tetapi saya mulai bosan dengan sikap sekelompok manusia. Manusia tidak mahu mengambil tahu berhubung perkembangan isu semasa.

Kes sindiket penipuan menggunakan SMS sudah lama berlaku, ramai menjadi mangsa kerana bertindak tanpa usul periksa dan terlalu kepingin meraih wang mudah. Mereka hanya menyedari tertipu setelah wang simpanan bank lesap.

Semoga penghantar SMS terbabit lebih kerap membaca akhbar dan menonton berita agar tidak tertipu lagi buat kesekian kali.

Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor


Lelaki Berbaju Kuning

Mengapa kerajaan tidak mengharamkan penjualan nombor ekor? Jawaban paling mudah, pertama, Malaysia mempunyai masyarakat pelbilang kaum, justeru banyak permintaan perlu dipenuhi, sebilangan kaum gemar berjudi. Kedua, cukai diraih seperti cukai arak dan rokok, lumayan..

Orang Melayu di bandar dan desa sudah lama terjebak mejadi kaki ekor. Mereka kepingin hidup mewah menggunakan jalan pintas. ‘Melabur’ seringgit dua, jika menang, hasilnya ribuan ringgit, andai kalah, mereka akan berjudi kembali tanpa jemu.

“Suami saya bekas askar, sebulan, duit pencen RM200 sahaja bagi saya untuk membeli barang dapur, terserah kepada saya mengatur perbelanjaan samada cukup atau tidak. Kami ada tiga anak, dua bekerja, seorang masih sekolah. Ayah dia hanya bagi RM10 sebulan buat belanja. Bakinya dia beli nombor ekor,” keluh suri rumah dari Sarawak sewaktu menghubungi saya.

Teruknya kesan berjudi.

Sifat ketagihan judi bagai tidak mampu dibendung lagi. Mereka menjadikan judi sebagai ‘a way of life’, itu kesilapan berlaku. Dilaporkan, perjudian nombor ekor kini membabitkan golongan muda, orang tua berkopiah dan perempuan bertudung. Mereka tidak segan silu membeli nombor ekor secara terbuka. Jika timbul perasaan sedikit malu, majoriti membeli nombor ekor di pasaran gelap. Tidak perlu beratur dan bimbang ditahan pihak berkuasa, mereka membeli nombor menggunakan khidmat pesanan ringkas, duit dibayar kemudian. Tidak hairan, kini, kedai runcit dan kedai kopi turut menjual nombor kepada pelanggan tetap dikenali.

Semalam saya menyertai 16 pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor, JAIJ diketui Penolong Pengarah Unit Operasinya, Haji Md Zainizam Hassan menjalankan Ops Nasib, operasi menahan orang Islam membeli nombor ekor di dua lokasi berbeza di Johor Bahru.

Saya dan jurukamera, Zulhazri Abu Bakar merakamkan visual premis dan pelanggan membeli nombor ekor sebelum pegawai JAIJ memperkenalkan diri kepada pelanggan Islam. Ramai cuba melarikan diri, mencetuskan suasana kecoh dan tegang, sehingga ada antara pelanggan terkoyak baju sewaktu meronta. Antara 11 ditahan, lelaki berbaju kuning, berusia 57 tahun. Sewaktu digari, dia tidak bertindak ganas dan hanya menurut arahan pegawai bertugas. Terlintas di hati, sewaktu melihat dia dibawa masuk ke van JAIJ …

“Datuk siapakah dia?”

Sewaktu berada di lock up JAIJ, saya lihat sebilangan mereka sibuk menelefon, mungkin memaklumkan ahli keluarga terdekat berikutan penahanan mereka.

Mereka disabitkan kesalahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah 1997 Negeri Johor boleh didenda RM3000 atau dipenjara 2 tahun atau keduanya.