"Saya ada 100 pekerja Indonesia tanpa dokumen, PATI, bekerja di kilang di Selangor dan Pulau Pinang. Saya bimbang kalau mereka ditangkap. Sebab itu saya menelefon cik," ujar wartawan akhbar Sinar Harian, Izwan Roslin.
Izwan menyamar menjadi majikan pekerja asing sewaktu menghubungi kakitangan pertubuhan menggunakan nama Islam di Kajang, Selangor.
"Kalau pekerja PATI encik memiliki kad oren, jika ditahan oleh polis di tepi jalan, bayar kami RM100, andai dia dibawa ke balai polis, RM250 dan jika mendepani kes mahkamah, RM500. Hubungi nombor telefon tertera di belakang jad, wakil kami akan berurusan dengan pihak berkuasa terbabit," dakwa gadis menjawab panggilan Izwan.
Saya dan Izwan kemudian bersama meneliti informasi tercatat di risalah diserahkan oleh bekas pekerja pertubuhan bukan kerajaan, NGO, sambil minum di restoran mamak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Antara 5 misi utama NGO itu seperti tercatat di risalah, mendapatkan akuan kerakyatan, paspot dan permit kerja untuk warga asing.
"Semalam dua bekas kakitangan pertubuhan itu telah membuat laporan polis mengatakan mereka ditipu," celah Izwan.
Kami bergerak ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Kuala Lumpur dan berbincang bersama pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan berhubung kes ini. Namun beliau memerlukan sedikit masa untuk menjalankan siasatan lebih terperinci.
Sedangkan kami menjangka, masa itu tidak panjang.
"Bukan apa tuan, laporan polis telah dibuat, kakitangan NGO itu mungkin tahu," kata Izwan.
Kami juga difahamkan oleh pengadu, bekas majikan mereka menyimpan ribuan paspot milik warga asing secara tidak sah di pejabat pertubuhan. Jika maklumat bocor, dokumen terbabit pasti ghaib sebelum sempat diserbu.
Tidak berputus asa, kami kemudian mencari jalan untuk tindakan undang-undang dilaksanakan. Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Imigresen Putrajaya, Abdul Haidir Mohd Sukor, saya hubungi. Biarpun beliau sedang bercuti dan kurang sihat, panggilan saya tetap dijawab. Alhamdulillah, saya kemudian dihubungkan dengan pasukan risik jabatan terbabit.
"Kita ke Kajang," ujar saya.
Izwan bersetuju. Bagaimanapun kami terpaksa berhenti beberapa kali, untuk rakan saya itu turun dan bertanya kepada orang ramai mengenai kedudukan lokasi sasaran.
Mujur tiba-tiba pengadu menghubungi Izwan tepat pada waktunya, lalu kami bertemu mereka berhampiran Courts Mammoth di pekan Kajang.
"Di tingkat dua bangunan itu, pejabat pertubuhan. Mengikut maklumat orang dalam, masih banyak paspot dilaporkan masih disimpan di situ," ujar pengadu, Firdaus, 25 tahun.
Tepat jam 3.15 petang, kami bersama pengadu bertemu sepasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen di kawasan berhampiran sasaran.
"Di bahagian belakang bangunan berwarna biru, tempat mencetak kad oren. Untuk memperoleh kad itu, warga asing tanpa dokumen membayar di antara RM270 dan RM1,000 kepada NGO. Mereka diyakinkan kononnya akan menikmati semua kelebihan dicatatkan di risalah dicetak ," ujar Elieus Warre.
Elieus, bekas ketua Perhimpunan Sukarelawan Kemanusiaan Indonesia, PERKINDO.
Saya datang ke Malaysia pada tanggal 9 Januari 2013, selepas itu saya berulang-alik di antara Indonesia dan Malaysia. Saya diberitakan mengenai anak bangsa Indonesia di sini tidak mendapat perlindungan, ditipu orang dan sebagainya. Saya berasa tertarik, lalu bergabung bersama NGO itu sejak lima bulan lalu. Cukup ramai PATI Indonesia mendaftar untuk memiliki kad oren kononnya untuk dibantu sekiranya mereka bermasalah di lapangan, seperti ditangkap oleh pihak berkuasa, dianiaya atau diperas ugut. Namun selama ini belum pernah saya melihat ketua pertubuhan itu membantu pemegang kad oren. Saya kemudian meletakkan jawatan sebagai Ketua PERKINDO dan tindakan itu telah dimaklumkan kepada Duta Indonesia di Malaysia," jelas Elieus.
Elieus mendakwa telah berkunjung ke lebih 25 kilang di Perak, Selangor dan Kelantan untuk membantu meyakinkan PATI menjadi pemegang kad oren.
"Berapa ramaikah telah mendaftar menjadi pemegang kad oren melalui bapak?," soal saya.
"Sekitar 2,500 orang. Mereka tinggal di hutan dan bekerja di kilang kayu, kebun kelapa sawit dan sayur. Wang dikutip di lokasi biarpun tidak semua mampu menjelaskan RM270 kemudian diserahkan kepada Ketua NGO. Mereka dijanjikan, sekiranya sakit atau bersalin di hospital, rawatan gratis (percuma), jika tiba-tiba meninggal, mayat dihantar ke Indonesia secara gratis juga. Kenyataannya ada mangsa dilanggar kereta, dihantar ke hospital tetapi bayaran rawatan tidak dijelaskan oleh NGO itu," sambung Elieus.
Kira-kira jam 3.30 petang, sepasukan penguatkuasa diketua oleh Ketua Unit Tindakan Jabatan Imigresen, Abd. Malek Bujang menyerbu pejabat pertubuhan dimaksudkan.
Beberapa lelaki warga asing berdiri dan duduk di luar kaunter pejabat terbabit.
Di dalam pejabat, saya terserempak dengan warga Bangladesh, Azmal Shakdar, 28 tahun, bekas pekerja kilang pengeluar sarung tangan.
"Saya sekarang kerja construction dan membayar RM5, 200 untuk dapat ini permit," ujarnya.
Setelah diperiksa oleh penguatkuasa bertugas, pelekat permit kerja Azmal didapati milik warga Indonesia bernama Kong.
Biarpun ruang pejabat sedang digeledah oleh pihak berkuasa, tiga pekerja kaunter wanita masih selamba menjalankan tugas mereka.
Setelah diperiksa secara teliti, wanita Indonesia di bawah didapati hanya menggunakan kad oren sebagai dokumen perjalanan.
Di dalam bilik, penyelia kewangan pertubuhan itu sedang disiasat oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Abd Halim Ismail.
Sebelum penyelia terbabit tiba di pejabat, saya merakamkan gambar dua helai baju seragam milik pegawai RELA digantung di dinding.
Ratusan paspot warga asing dan borang Jabatan Imigresen diletakkan di atas meja berasingan.
Seorang daripada warga Bangladesh, Imanol Haq menangis teresak-esak sewaktu digari.
Sudah jatuh ditimpa tangga, begitu nasibnya. Dia mendakwa ayahnya berusia 82 tahun sedang sakit di negara asal dan pada masa sama Imanol diberkas kerana berstatus PATI akibat diaperdaya oleh pertubuhan itu sebanyak lebih RM4,000.
Bekas pekerja di Pasar Borong Selayang, Md Azizul Md Sani, 32 tahun, telah membayar RM4,100 untuk mendapatkan permit kerja namun turut ditipu.
"Kami merampas kira-kira dua ribu paspot Bangladesh dan Indonesia. Pertubuhan terbabit sebelum ini memang dibenar menguruskan 6P tetapi kini beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Dalam Negeri. Program 6P telah ditamatkan dua tahun lalu namun pertubuhan ini didapati masih menerima dan menguruskan permohonan dokumen PATI. Walhal semua permohonan harus dibuat di pejabat Jabatan Imigresen, bukan di sini. 6P kini dalam peringkat penguatkuasaan, pendaftaran dan pemutihan untuk 6P telah lama berakhir," jelas Abd. Malik lagi.
Tambah Malik, pihaknya akan menyiasat secara teliti, kebarangkalian pembabitan pertubuhan itu dengan penemuan dua pelekat permit kerja palsu di premis sama. Pertubuhan itu juga telah disenarai hitamkan oleh Jabatan Imigresen.
Pelbagai dokumen, dua komputer riba dan almari dirampas manakala lelaki tempatan berusia 42 tahun turut ditahan untuk disiasat mengikut Akta Paspot 1966.
Tambah Malik, pihaknya akan menyiasat secara teliti, kebarangkalian pembabitan pertubuhan itu dengan penemuan dua pelekat permit kerja palsu di premis sama. Pertubuhan itu juga telah disenarai hitamkan oleh Jabatan Imigresen.
Pelbagai dokumen, dua komputer riba dan almari dirampas manakala lelaki tempatan berusia 42 tahun turut ditahan untuk disiasat mengikut Akta Paspot 1966.
Kepada semua warga asing, jangan terus tertipu dengan kad oren sedang hangat ditawarkan kini. Kad terbabit bukan dokumen perjalanan sah dan tidak mempunyai sebarang keistimewaan.
Penguatkuasa undang-undang Malaysia masih akan terus menahan pendatang tanpa izin, PATI sceara berterusan di negara berdaulat ini.
Pelbagai maklumat lain turut dikongsikan oleh Elieus bersama kami.
Penguatkuasa undang-undang Malaysia masih akan terus menahan pendatang tanpa izin, PATI sceara berterusan di negara berdaulat ini.
Pelbagai maklumat lain turut dikongsikan oleh Elieus bersama kami.
"Empat wanita Indonesia dijanjikan pekerjaan sebagai jururawat di Malaysia tetapi dipaksa dan diperdagangkan oleh pertubuhan terbabit menjadi operator telefon, bertugas untuk menawarkan kad oren kepada PATI. Apabila operasi dijalankan oleh Jabatan Imigresen, mereka telah dilarikan ke Rawang oleh lelaki Indonesia, Angga Busro kini mendakwa Setiausaha Agung PERKINDO," terang Elieus lagi.
Di bawah gambar 3 daripada 4 gadis Indonesia berstatus PATI didakwa diperdagangkan.
Tambah Elieus lagi, pertubuhan terbabit pernah dengan yakin membawa majoriti PATI menaiki bas, pergi bercuti di Port Dickson, Negeri Semblan, dengan menggunakan nama misi kemanusiaan.
Baca laporan Izwan di Sinar Harian, klik di sini.
Salam Tuan,
BalasPadamPerkara sebegini bukanlah perkara baru walaupun ini soal keselamatan negara.Seolah-olah tiada titik noktahnya.
Tangkapan dan pertuduhan dimahkamah dengan undang-undang sedia ada belum berkesan untuk menanggani isu ini kerana proses yang lambat disamping kehilangan waktu dan maklumat untuk bertindak mengambil tindakkan pencegahan.
Isu ini sepatutnya mereka yang terlibat diambil tindakkan dibawah ISA (namun kini SOSMA)bagi mendapatkan maklumat yang lebih halus bagi tindakkan pembersiohan secara total.
Selain itu selain daripada bahagian penguatkuasaan imigresen, bahagian risikkan juga perlu diperkasakan dan bertindaklah diluar kotak kebiasaan umpamanya melantik agen2 yang bersesuaian untuk mengesan dan mendapat maklumat terawal.
Lemas melihat kebanjiran pendatang yang seperti tiada kesudahan. kebanyakkannya tanpa izin dan melakukan kerja2 songsang yang menjurus kepada menggugat keselamatan negara dan rakyat.