Selasa, April 08, 2014

KELAHIRAN PAHLAWAN PAPAN KEKUNCI

Keadaan amat jauh berbeza tatkala dunia belum lagi ditawarkan kemudahan telefon bimbit pintar.

Teng teng, permainan tradisional lelaki dan perempuan Melayu, tanpa modal. Hanya menagih kudrat dan ketelitian.

Di kampung, anak kecil berkumpul di halaman rumah bersama ramai rakan untuk bermain teng teng. Kanak-kanak tertawa, melompat sebelah kaki keriagan sambil diperhatikan oleh setiap mata.

"Mati! Mati!"

Teriak mereka sekiranya kaki pemain terpijak garisan dilakarkan di atas tanah. Pakaian berhabuk, wajah comot dan tubuh dibasahi peluh. Kekadang sebilangan pemain bertekak akibat tidak berpuas hati mengenai dakwaan perlanggaran peraturan, ditafsirkan mengikut hemat sendiri atau secara berkumpulan.

Pemain perempuan selalunya lebih dihormati. Jika lelaki bergaduh sesama lelaki, amat sukar mendengar carutan dilontarkan, bimbang didengari dek orang tua. Orang tua gemar melibas tali pinggang kulit ke badan untuk mengajar anak menjaga adab. Maki hamun dianggap taboo, khuatir dikerat lidah oleh ibu ayah sekiranya aduan dikemukakan oleh rakan berkredibiliti.

Ketika matahari hampir berlabuh di ufuk barat, anak kecil terjun ke parit atau sungai untuk membersihkan tubuh, biarpun tanpa sabun. Anak lelaki kemudian pantas pulang ke rumah untuk mengikut ayah solat di surau sebelum ke rumah tok guru untuk mengaji.  

Itu antara bingkisan indah ditempuh kebanyakan daripada kita, golongan dewasa.

Kini, majoriti anak kecil tidak lagi perlu berkumpul di halaman rumah. Jauh sekali membasahkan tubuh dengan titisan peluh. Mereka berpeluang bermain bowling, golf malah berperang menggunakan senjata canggih di dalam bilik. Telefon pintar menjadi peneman setia, siang dan malam. Tatkala dipanggil makan, bunyi tembakan menyekat pendengaran. Sehari suntuk mengasingkan diri di dalam bilik, lebih meriah andai ditemankan oleh rakan bertandang.

Mereka jarang bercakap sesama sendiri, hanya reaksi wajah menjadi bahasa perantara. Ketika bersendirian, pintu bilik acapkali dikunci. Sesekali diterjah, dalam senyap rupanya anak berkomunikasi. Tidak secara lisan tetapi melalui penggunaan aplikasi. 

WhatsApp, facebook, wechat.

Tidak boleh disangkal, di situlah terbuka ruang untuk mereka mempelajari penggunaan bahasa kesat. Dikongsikan dek rakan nakal tinggal jauh dan dekat. Ibu ayah pula tidak berpeluang menegur kerana anak senyap tetapi bercakap. Jika episod itu dibiarkan berterusan, mereka bakal bertukar menjadi bom jangka.

Tatkala meningkat remaja, memaki-hamun dan mencerca, perbuatan sebati dalam jiwa. Mereka mengecam dan memberontak tanpa suara. Justeru tidak ketara di telinga orang tua. Tidak berpuas hati dengan pandangan dikongsikan oleh individu lain di laman sosial, mereka bersuara lantang bersenjatakan gabungan aksara ditaip di papan kekunci. Perkataan kesat sekian lama bersarang di minda dizahirkan secara terbuka tanpa teguran. Ibu ayah mungkin tidak memantau kerana kekangan masa dan kurang keprihatinan.

Maka lahirlah keyboard warrior, pahlawan papan kekunci ke dunia realiti. 


'Pahlawan' sentiasa berfikir, setiap perkataan ditulis dianggap bak bom jangka. Meletup di sini dan di sana. Ketika hati dan perasaan individu lain tercedera, mereka tertawa gembira. Taksub mengecam dan menghina, sehingga tidak menyedari batasan undang-undang dilanggar tanpa diduga.  Pahlawan kemudian tersungkur pada saat pegawai polis mengetuk pintu rumah dan memanggil nama. Seksyen dalam Kanun Keseksaan  kemudian menggari tangan mereka. 

Jika diberikan pilihan, mungkin mereka memilih untuk berbicara di kamar mahkamah menggunakan telefon pintar. 

8 ulasan:

  1. Betul tu.. zaman kanak2 dulu memang happening. Walaupun nampak comot dan kolot, anak2 lebih berhemah. Tiada pengaruh internet.

    BalasPadam
  2. Suatu perubahan Budaya. Malaysia seharusnya meneliti budaya ini dan KAWAL untuk elak PARAH.

    BalasPadam
  3. Sangat benar, terima kasih dan ingin dikongsi agar dibaca oleh anak-anak.

    BalasPadam
  4. Tren penulisan caca-marba, membuta-tuli, memaki hamun, menjaja fitnah dengan menggunakan kata-kata kesat, biadab termasuk berbaur lucah ternyata semakin berleluasa di alam penulisan siber. Kegilaaan kepada frasa singkat atau slanga bombastik yang hanya diketahui oleh kelompok tertentu juga turut menjadi tren ikutan penulis siber. Malah sebilangan penulis siber tidak lagi ambil peduli etika, adab dan susila apatah lagi dosa dan pahala. Saya pernah terbaca seorang pengendali blog mencatat – ‘ Ini Blog Gua, Gua Punya Pasal Nak Tulis Apa’. Anihnya, kelompok pengamal tren ini bukan sahaja dikalangan generasi baru yang dipanggil Gen-Y malahan diadaptasi pula oleh generasi yang lebih tua termasuk kelompok Gen- X serta Baby Boomer. Analogi kita, seolah-olah tren penyakit kanak-kanak menjangkiti orang dewasa. Persoalannya kini, siapa mengajar siapa? Tidak dinafikan wujud juga kelompok baru yang bijak menggunakan ruang penulisan siber ini sebagai jalan dakwah, memantap ukhwah serta memperkayakan sahsiah diri. Akhirnya, kita boleh menilai sendiri siapakah pahlawan dunia siber sebenarnya.

    BalasPadam
  5. Bila Saya Tengok Keadaan Sekarang ni,Saya Rasa Budak2 Sekarang Tak Berapa Untung Kerana Tak Dapat Melalui Zaman Pembesaran Tanpa Internet Pasal Time Tu Takde Sangat Unsur Hiburan Lain.Yang Ada
    Cuma Radio Dan Tv Serta Aktiviti Outdoor Yang Lain Mcm Teng-Teng,Mandi Sungai,Sauk Ikan,Polis Sentri Dan Macam2 Lagi Aktiviti Dilakukan Di Sekeliling Rumah.Pendek Kata Lingkungan Umur Tadika Hingga Ke Darjah 5 Adalah Lingkungan Terbaik Untuk Enjoy Cuma Yang Leceh Time Kena Buat Kerja Sekolah,Yang Lain Tu Ruang2 Waktu Yang Paling Best.Banyak Yang Saya Rindu Macam Askar Hijau Tu Antara Permainan Rutin Zaman Kanak-Kanak.Selain Tu DingDang.Tora,Cekedis,Ais kepal,Sagun,Kandos,Thunder cats,Voltron,O-shin,Ninja Sasuke,Cerita Opah,Inspector Gadget,The Mask,Greatest American Heroes Dan Banyak Lagi. Sebenarnya Nak Salahkan Internet 100 Peratus Pun Rasanya Tak Boleh Sebab Internet Dan Gadjet2 Canggih Dicipta Untuk Memudahkan Orang Ramai Untuk Mendapatkan Maklumat Dan Pengetahuan Dengan Lebih Pantas Dan Mudah Serta Sesuai Dengan Tuntutan Zaman Yang Sentiasa Kehadapan.Pengguna Perlu Bijak Memanfaatkan Kebaikan Internet Dan Tujuan Asal Ianya Dicipta.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.