Rabu, September 08, 2010

Bunga Api Cap Kucing

Hari lebaran menjelang tiba, teringat kenangan lalu sewaktu berusia 7 tahun.

Setiap kali menjelang hari raya, rumah di kampung dipenuhi kain baju. Kebanyakkan sudah siap dijahit emak dan arwah abah, bersedia untuk diambil. Upah menjahit sepasang baju kurung berjahit kolar tulang belut pada ketika itu hanya RM18. Itu pun bukan senang penduduk kampung, majoriti penoreh getah menjelaskan bayaran.

"Ambil dahulu, kesian budak-budak nak raya, bila ada duit nanti, bayar," itu kata emak.

Pastinya emak tidak tergamak mencuri kemeriahan Aidilfitri anak kecil kampung hanya kerana keluarga tidak mampu membayar upah jahitan baju.

Apapun, paling penting, kemeriahan Hari Raya tidak tercetus kemuncakknya tanpa nyalaan pelita minyak tanah menerangi halaman rumah bermula pada malam 27 puasa. Setiap halaman rumah samada milik penduduk miskin atau berpendapatan sederhana, biarpun tanpa bekalan elektrik tetap diterangi pelita diletakkan di atas tiang buluh sehingga subuh menjelang tiba.

Pada malam Hari Raya, kanak-kanak pada kebiasannya tidur awal berpeluang bermain bunga api cap Kucing sambil berlarian di halaman rumah bersama rakan sebaya. Ketika itu, jika tidak silap saya, sebungkus, 10 batang bunga api terbabit berharga 20 sen.

"Baik-baik nanti bunga api terkena baju, berlubang," pesan orang tua memerhati.

Pesanan selalunya hanya tinggal pesanan, baju dan seluar tetap berlubang terkena percikan bunga api cap Kucing hitam bermata bulat.

Manakala sebilangan remaja dan warga dewasa pula sibuk bermain meriam buluh di hujung kampung.  Tiada siapa melarang, tiada siapa menegah. Campuran carbide dan air dimasukkan ke dalam buluh tebal kemudian dinyalakan menggunakan batang buluh panjang dengan sumbu di hujung.

"Jangan kuat sangat, nanti polis datang," diingatkan orang tua.

Namun, itu dianggap hanya sekadar keindahan bahasa. Antara peranan orang tua, mengingatkan orang lebih muda agar behati-hati dalam setiap tindakan dan perlakuan.

Pada tahun 1974 tiada 'gangguan' pihak berkuasa. Balai Polis terdekat di Slim Village, Perak, 4 kilometer dari kampung Sungai Bill.  Barangkali pegawai dan anggota juga sibuk memantau anak kecil bermain bunga api cap Kucing dan mercun di kawasan balai.

Uniknya masyarakat kampung, masih tetap wujud rasa bersalah di sanubari sekalipun melakukan kesalahan. Sekarang jauh berbeza, sebilangan warga langsung tidak berasa bersalah biarpun melakukan kegiatan melanggar undang-undang sivil negara.

Tahun demi tahun, majoriti penduduk kampung dikategorikan sebagai expert sewaktu bermain meriam buluh. Jarang benar kedengaran kes putus jari tangan, terbakar muka mahupun buta mata di kalangan pemain meriam atau mercun. Cuma kekadang,  anak kecil mengeluh kesakitan kerana jari melecur sedikit, kulit menggelembung akibat terkena besi panas bunga api cap Kucing.

"Hisap jari tu, tak lama lagi, hilanglah sakitnya," saran orang tua.

Dalam erti kata lain, akhbar tidak berpeluang memuatkan berita kes kemalangan buruk membabitkan meriam buluh, mercun atau bunga api.

Apapun, hanya setelah mula bertugas sebagai wartawan di TV3 pada tahun 1995, saya menyedari fakta, bunga api dan mercun selama ini diimpot dari China secara haram. Maksudnya kegiatan penyeludupan sudah lama berlaku di negara kita. Barangkali dahulu akhbar terlalu jarang memainkan isu terbabit berbanding sekarang.

Pada malam raya, semua ahli keluarga lazimnya berada di rumah termasuk anak rantau bekerja di Kuala Lumpur. Jika masih tidak pulang, ketibaan mereka dinantikan sanak-saudara.

Awal tahun 70 an tidak semua mampu berkereta, anak kampung pulang menggunakan perkhidmatan bas Len Seng dan Mogah Omni Bus Sdn, Bhd. Kebanyakkan mereka pekerja kilang di Petaling Jaya, Selangor dan mampu membeli pelbagai mercun besar, letupan mampu menerangai dan menggegarkan seluruh kampung. Kepada ahli keluarga masih kecil mereka hadiahkan bunga api cap Kucing sebagai buah tangan dari bandar.

"Itu mesti mercun anak Pak Majid kerja kilang Colgate," bisik orang tua.

Maka berlarian anak kampung mencari lokasi sumber letupan untuk menyaksikan suasana gilang gemilang seterusnya. Namun menjelang jam 2 pagi, kampung kembali sunyi, semua tidur kepenatan menanti ketibaan hari lebaran dan berkumandangnya takbir raya.

36 tahun lalu budaya memberikan duit raya di dalam sampul berwarna-warni belum lagi dipraktikkan. Duit raya diberikan ke tapak tangan dalam bentuk syiling 10, 20 atau 50 sen. RM1 terlalu besar nilainya, hanya dihulurkan sebilangan kakak, abang, ibu atau bapa saudara, pekerja kilang di Kuala Lumpur. Jika duit raya diterima mencecah M5 atau RM10, pasti lebih banyak bunga api cap Kucing dibeli.

Mereka mempunyai banyak wang di tangan, selain membeli bunga api dan gula-gula, majoriti  akan main 'tikam'. Bukan kes tikam membabitkan pembunuhan boleh dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kopek kertas digam dan berlipat kecil dari 'papan tikam', di dalamnya tercatat jumlah wang dimenangi, jika ada. Lazimnya pemilik papan tikam mesti meraih keuntungan. Apa tidaknya, papan tikam dibeli dengan harga RM6 sahaja manakala semua pemain secara kolektif akan membayar lebih daripada jumlah itu  kerana sekeping kertas tikam berharga 5 sen. Pada ketika itu saya tidak pernah mendengar perihal Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan hukuman kepada pesalah sabit kesalahan berjudi.

Semua peristiwa telah lama berlalu, cuma kenangan terpahat di ingatan. Abah meninggal dunia 7 Ogos lalu, suasana hari raya kali ini pasti tidak semeriah sebelumnya. Hari Raya pertama,  InsyaAllah saya akan membawa emak ke kubur abah, menyedekahkan bacaan Yasin dan berdoa agar roh ketua keluarga kami selama 43 tahun itu ditempatkan di kalangan roh orang beriman.

Sesungguhnya Hari Raya, saat kita berkongsi kesedihan dan kegembiraan. Sedih mengenangkan mereka pergi mendahului kita dan gembira memerhati telatah anak kecil bergembira di hari lebaran.

Apapun, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca sekaligus penyokong setia blog ini. Andai ada bahan catatan saya menyinggung perasaan, sepuluh jari saya susun, maaf zahir batin.

22 ulasan:

  1. me first..
    selamat hari raya mazidul..thanks sudi kongsi keindahan hari raya..zaman sy kecik2 masih sonok lg raya walau x semeriah mazidul punye cite.

    BalasPadam
  2. slmt hari raya aidilfitri. maaf zahir & batin. x sangka jd Org plg awal yg wish.

    BalasPadam
  3. Bro> apa yang U coretkan tentang suasana hari raya dimasa dahulu menyentuh perasaan saya. Terkenang dimasa memasang panjut, bermain mercun dan meriam. Budak sekarang hanya mengadap TV saja menyambut hari raya
    Apa-apa pun bro SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN

    BalasPadam
  4. Selamat hari raya Bro.. Terkadang ingin semula kembali ke waktu dahulu, betapa meriahnya walaupun dalam serba kedaifan....Apa pun ampun dan maaf jua yang dipinta. Semoga Allah memberi rahmat ke atas roh-roh orang tersayang yang telah pergi terlebih dahulu....

    BalasPadam
  5. Salam semua
    Saya pun sempat main bunga api cap kucen tu..hihihi..paket kaler biru putih kan..?

    BalasPadam
  6. Selamat Hari Raya & Maaf Zahir Batin buat Mazidul sekeluarga..

    BalasPadam
  7. Bercakap tentang dahulu dan sekarang, anak-anak dahulu disusukan dengan susu ibu tetapi anak-anak sekarang banyak yang disusukan dengan susu lembu. Jadi, banyak yang perangai macam lembu, tak dengar kata orang. Payah nak jadi 'orang'.

    Ibu dan bapa, didiklah anak-anak mu dengan kasih sayang dan akhlak sebagai manusia. Bukan dengan wang ringgit walaupun kita amat memerlukan wang ringgit untuk meneruskan kesinambungan hidup. Luangkan masa dengan kemesraan dan pantaulah mereka dengan keimanan.

    Kepada Mazidul dan semua diucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri dan ampun maaf dipinta atas segala kesalahan.

    BalasPadam
  8. Sama la kita bro.. Maaf zahir dan batin juga. Hati2 pulang ke Tg Malim... kim salam raya dan maaf zahir batin buat isteri..

    BalasPadam
  9. Nicely written, bro.

    Terbaca catitan Abang Dol, teringat suasana bulan Ramadhan, menjelang Raya sampailah habis Syawal kat kampung arwah ayah angkat saya.

    Menggigil mandi air perigi sebelum sahur, berlatih puasa (macam real; tapi sah!), pakai baju Melayu siap kain samping, mintak maaf & ampun depan orang tua tua pagi Raya, tolong masak bubur nak agih satu kampung, dsbnya...

    Arwah pun dah masuk tahun ke 6 meninggalkan kita.
    Masa arwah menghembuskan nafas terakhir, banyak jugak pesannya.
    Ingat lagi saya, sampai ke hari ni...

    Sekarang, tinggal mak angkat tinggal berseorangan. Takde anak pulak tu. Kesian.

    Most probably will go stay with her for a while this Raya.
    Will try to relive the memories of the past, and fulfil the last words of my late godfather.

    Selamat Hari Raya, bang.
    If there has been any words wrongly spoken or badly written, I deeply & humbly apologize.

    Have a safe celebration with all your loved ones.

    Take good care, we'll catch up soon... :)

    BalasPadam
  10. Salam Lebaran tidak lama lagi..

    Kenangan menaiki bas Mogah memang tidak dapat dilupakan dari Besout menuju ke Sungkai dan dari Sungkai ke Bidor @ Tg Malim.

    Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin untuk Mazidul dan keluarga.

    BalasPadam
  11. Salam Brother Mazidul,

    (first time saya komen, silent reader). walaupon saya agak "benci" dgn gaya penyampaian anda dlm 999, tp dlm blog ni, penyampaian anda begitu class... Tahniah.

    Selamat Hari Raya

    BalasPadam
  12. Selamat Hari Raya En Mazidul! Semoga Gembira Bersama Keluarga di Hari Raya nanti.

    BalasPadam
  13. selamat hari raya kpd bang dul & family :)

    BalasPadam
  14. bunga apa cap kucing...

    hmm... kalau tak silap tu produk dari kilang Bright Sparkles yang meletup di Sungai Buloh dulu...

    BalasPadam
  15. mercun time dulu2 sangat meriah. tapi semenjak masuk abad 21. makin kurang mercun2 nie. dan mungkin tak seberapa meriah dah kott malam raya . ;)

    BalasPadam
  16. Rohani, sebelum saya memejamkan mata setiap malam, saya peruntukkan 3 saat untuk memaafkan semua insan 'membenci', mengumpat atau mengutuk saya dari belakang.

    Kekadang perception dan manusia sukar dipisahkan.

    Terima kasih.

    BalasPadam
  17. salam mazidul

    SELAMAT HARI RAYA
    MAAF ZAHIR BATIN

    AL fatihah buat kaum keluarga kita yang telah pergi dahulu

    AL FATIHAH

    BalasPadam
  18. Assalamualaikum Saudara Mazidul serta sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

    Saya dan keluarga Mengucapkan selamat menyambut HARI RAYA AIDILFITRI dengan ungkapan Maaf Zahir Batin Mohon maaf salah silap andai terkasar bahasa, bicara, dan perlakuan.

    Berhati-hati di jalan raya. Have a Safe journey!

    BalasPadam
  19. Selamat Hari Raya Bro Maz....Dulu time kecik² pown suke jugak maen bunga api cap kucing tuh...tp time saya harga diew 80sen satu bungkus...

    BalasPadam
  20. tak boleh samakan sekarang dan dulu..
    dulu bunga api dan mercun tak haram..
    tetapi sekarang dilarang..
    tetapi..
    mak ayah zaman sekarang sendiri yang mengajar anak-anak melanggar undang-undang..
    sengaja membelikan bunga api dan mercun untuk anak mereka..


    http://cikguaziz.blogspot.com/

    BalasPadam
  21. slam aidil fitri buat saudara sekeluarga. sungguh manis meneroka nostalgia lama saudara beraya pada zaman 70 an. saya juga bersama merasakan kemeriahan beraya zaman 70 an. selain bunga api cap kucing, mercun papan dan mercun lidi juga menjadi pilihan. keghairahan mendapatkan bekalan percuma beberapa jenis mercun juga boleh didapati melalui papan tikam. bermodal 10 sen peluang mendapat mercun pelbagai jenis mungkin agak tipis tetapi tidak mustahil. itu yang menyebabkan kami semua berhabis duit saku sekolah dengan mainan tikam ini. meriam buluh? saya yang beraya di kampong baru tempat kelahiran juga berkesempatan bermain meriam buluh ini. lebih dahsyat buluh digantikan dengan batang besi berjejari 2 inci. hmm... dari kampong paya boleh dengan sampai kg pindah. malah sepupu kat kg cendana sebelah kubur jln ampang jugak mendengarnya.... itu semua nostalgia lama. tetapi tidak kedapatan antara kami yg ditimpa kemalangan ketika bermain mercun, bunga api dan meriam buluh. setakat baju melayu berlubang tu biasa sangat.... percikan bunga api cap kucing...

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.