Sabtu, Mei 28, 2011

Kencingkan Kenderaan Sambil Berjalan

Hakikat harus ditelan dan diterima dengan hati terbuka biarpun pahit mengalahkan rasa hempedu.

Majoriti rakyat negara ini mengeluh bosan dan muak melihat kehadiran dan gelagat pendatang tanpa izin. Lebih 10 tahun membuat liputan kes jenayah, pelbagai aduan saya terima.

Lebih menarik, saya dapati, sebilangan daripada aduan, dikemukakan warga asing sendiri. Warga asing berhijrah dari pelbagai negara dan bermastautin di Malaysia secara sah. 

Warga Indonesia contohnya, harus menjelaskan bayaran permit kerja sektor pembinaan dan passport (untuk tempoh 5 tahun) berjumlah RM3,900 ketika kali pertama menjejakkan kaki di Malaysia.

Setiap tahun permit kerja terpaksa diperbaharui dengan bayaran RM2,200 andai mereka ingin terus bermastautin dan bekerja di Malaysia secara sah.

Sedangkan kelompok menetap dan bekerja secara haram tidak perlu menjelaskan sebarang bayaran. Cuma mereka berhadapan risiko diberkas penguatkuasa Jabatan Imigresen dan terpaksa meringkuk di penjara sebelum dihantar pulang ke Indonesia.

Adakah itu membimbangkan mereka? Barangkali tidak. Kos keperluan asas di penjara atau di depo tahanan dibiayai sepenuhnya kerajaan negara kita. Mungkin kehidupan tidak begitu selesa tetapi bagi mereka sudah mencukupi kerana dibekalkan makanan dan tempat perlindungan secara percuma menggunakan antaranya wang cukai dibayar warganegara kita sebelum dihantar pulang.

Mengikut masa dan keadaan bersesuaian, sebilangan besar akan kembali menyelinap masuk ke Malaysia menggunakan tongkang, membolosi sempadan perairan negara. Sebahagian mereka mati lemas dalam perjalanan ke sini.

Masih segar di ingatan, peristiwa pada penghujung tahun 90 an, melihat mayat warga Indonesia, tertanggal kulit dan kembong, mati akibat dipaksa tekong terjun di kawasan laut dalam akibat bimbang kehadiran pihak berkuasa Malaysia berhampiran Pelabuhan Klang, Selangor. Wanita tidak mampu berenang, lemas lalu terkorban dan kemudian mayat mereka didapati terapung di laut sebelum dicangkuk dan ditarik menggunakan bot Pasukan Bomba dan Penyelamat.

Lebih trajis lagi, sebilangan pendatang tanpa izin Indonesia menetap di negara ini, maut dalam perjalanan pulang ke negara asal pada tahun 2008, baca tampalan Tewas Dalam Kemenangan.

Begitu antara nasib menimpa mereka berdagang di negara orang. 

Jika diteliti, warga asing kini menakluki pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia. Mereka berkhidmat di kilang, tapak pembinaan, ladang, restoran serta bertugas mencuci bangunan dan rumah.

Fakta tidak mampu disangkal, mereka rajin membanting tulang empat kerat dan sebilangan terkorban ketika menjalankan tugas berisiko tinggi.

Pendapatan bersih majoriti mereka dianggarkan RM1,000 sebulan. Berbekalkan gaji  diraih, mereka mampu menyewa rumah secara berkumpulan dan menyara keluarga. Bertujuan menambah pendapatan, di hari cuti, sebilangan mereka sanggup melakukan kerja tambahan seperti mengurut, bertukang dan melakukan kerja pendawaian elektrik di rumah pelanggan mereka kenali.

Malangnya, sebahagian warga asing juga bertindak di luar batasan undang-undang, menjebakkan diri dalam kancah jenayah. 

Statistik dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan, warga Indonesia paling ramai terbabit dalam kes jenayah, diikuti warga Filipina dan Bangladesh.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung mendedahkan, tahun lalu, 652 kes bunuh membabitkan warga asing. Mereka juga didapati terbabit dalam kes pecah rumah, samun dan rogol.

Justeru, sekaligus kehadiran mereka dirasakan mengancam keselamatan warga tempatan. 

Majoriti warga asing tanpa izin, berkelakuan seperti Belanda mendapat tanah. Jika dahulu mereka tinggal dikongsi tersorok, diperbuat daripada kayu dan bahan buangan dari tapak pembinaan, kini mereka tanpa segan silu menyewa pangsapuri dan kondominium.

Premis terbabit lebih sukar untuk digempur penguatkuasa tempatan berbanding rumah kongsi. Rumah kongsi mampu dikepung secara lebih mudah sewaktu mereka sedang nyenyak tidur. Bayangkan betapa penat penguatkuasa untuk memeriksa setiap unit penempatan di bangunan 4 tingkat tidak dilengkapi lif.

Pelbagai laporan juga diterima berhubung sikap penghuni, pemabuk, gemar membuat bising pada malam hari dan berfoya-foya bersama wanita senegara secara terbuka. Sebilangan warga Myanmar contohnya didapati gemar mengencingkan kenderaan diparkir warga tempatan sambil berjalan ketika berada di bawah pengaruh alkohol murah. 

Setiap pembaca pasti berpengalaman menjadi saksi kepada sikap buruk warga asing tidak selari dengan budaya tempatan.

Kongsikan pengalaman dilalui di sini, jika sudi.

14 ulasan:

  1. Kebanjiran warga asing berkerja di malaysia menjadi penyebab utama gaji perkerja rakyat malaysia "kecik". Mana tak nya,kalau kita tak nak berkerja menurut gj yang di offerkan maka syarikat berkenaan akan menggaji rakyat asing. kalau korang nak tahu gj pekerja ladang sawit di sarawak hanya rm14 sehari ..cukupkah itu???
    Terbaru di blog Aku "Ketahui Rahsia Buah Dada Wanita "

    BalasPadam
  2. Saya tiada pengalaman buruk dengan warga asing.

    Bagi yang ada permit, bekerjalah dengan sebaiknya dgn mengikut peraturan dan mematuhi perundangan serta belajar norma-norma kehidupan tempatan - masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak.

    Untuk penguatkuasa pula, perhebatkan rutin tugasan anda - jangan pejam sebelah mata - Sifarkan jumlah warga asing yang tiada permit di bumi Malaysia ini.

    Saya dengar berita 2 hari lepas bahawa MOU Malaysia-Indonesia berkaitan kemasukan pekerja warga Indonesia terutamanya Pembantu Rumah yang sebelum ini sudah dibekukan akan dimeterai. Oleh itu, wahai pihak yg berkuasa & badan2 yg berkaitan, rangkalah segala pelan tindakan anda. Jangan sudah terhantuk baru hendak terngadah.

    ---> En. Mazidul, saya terbaca di akhbar Harian Metro semalam kisah saudara ditumbuk & ditendang oleh peniaga DVD serta dakwaan saudara mengugut supaya dibayar wang sogokan - Pendapat saya TIDAK MUNGKIN sikap saudara begitu. Ujian-ujian kecil sentiasa ada buat menguji kekentalan & jati diri setiap insan.

    Buktikan dgn kebenaran.
    Jawablah dengan ketegasan.
    Nyatakan pendirian.
    Semoga berjaya.

    BalasPadam
  3. abg mazidul..dulu saya nak mintak kerja part time hotel(banquet) senang2 je boleh dapat kalau ada function..sekarang diorang dah tak nak dah..sbb org asing dah monopoli bidang tu jugak..mana taknya keringat diorang boleh perah gila2..pastu senang diarah(takkan nak melawan kot..nak kena penampar?)pastu bayar murah giler..mmg tak sihat la senario warga asing sekarang

    apalah masalhnya dgn kerajaan sampai tak boleh buat apa2..isk.

    yg bengang,
    mokhtar
    (bukan nama sebenar)

    BalasPadam
  4. Sdr Mazidul.

    Kebanjiran warga asing macam tak boleh dibendung. Kelihatan macam kerajaan patut istiharkan mereka telah gagal mengawalnya. Memang seronok tengok 999 buat liputan raid sundal tiap-tiap minggu tak pernah habis tetapi perasan tak ada antara China Doll yang kena cekup tu dah tiga empat kali keluar gambarnya kat 999. Mungkin lokasi pengambaran berbeza!

    Apa terjadi lepas raid, wallahualam!

    BalasPadam
  5. Mengancam,partime kerja tada, belum huru hara, jadi kita diam?

    BalasPadam
  6. en mazidul...saya nampak sendiri bagaimana seorang anak kecil berusia linkungan 4 tahun perempuan yg dijaga oleh seorg maid seberang(non muslim)ketika bermain dikawasan perumahan tmpt saya tinggal(dikawasan parkir kereta) dan tetiba budak tu buka seluar dan terus kencing disitu jugak.maid tu pandang jer dgn selamba dan tidak menegur perbuatan budak tersebut.

    adedeh...begitukah cara anak-anak kita dididik tanpa rasa malu kencing ditmpt terbuka.saya jugak selalu nmpk bapak-bapak yg dah kertu pun kencing ditepi jalan walaupun banyak kereta yg lalu lalang.euuuu malu bah.biasa saya akan bunyikan hon dgn kuat.

    susah eh kalau bapak kencing berdiri,anak kencing berlari hok3... :p

    BalasPadam
  7. alhamdulillah.
    pendapatan bersih mereka seribu.
    saya cuma enam ratus ringgit malaysia.
    saya ada degree.
    mereka pun mungkin.

    tapi mereka jauh lagi bertuah.
    ramai kawan saya tak dapat kerja.
    kami rasa kami rakyat malaysia lah.
    sebab kami ada ic.
    tapi macam pepatah cakap, "hujan batu di negeri sendiri...terkena kepala siapa peduli."

    saya tak memilih untuk merungut panjang di sini.
    saya akan terus jujur berkerja.
    saya cuma akan gunakan hak saya sebagai pengundi.
    itu lebih baik.

    abang Mazidul rocks!

    BalasPadam
  8. 20 tahun dulu mak tak kisah saya berbasikal malam kerumah cikgu utk tuisyen selepas waktu mengaji... pulang ke rumah hampir jam 10... balik biasanya abg akan jemput... risau dah hampir lewat mlm...

    tapi skrg ni anak saya pegi mengaji lepas maghrib... selang 5 pintu ke hujung jalan pun saya atau suami akan hantar... takut hilang di tangkap org...

    penjenayah skrg dah makin ramai... sama ramai dgn kemasukan warga asing ke sini... :(

    BalasPadam
  9. Pada pendapat saya,
    sistem di Malaysia yang tidak berkesan.
    Jika ia nya berkesan,masakan mereka boleh terlepas masuk dan buat sesuka hati di negara kita?
    Tidak perlu memaki hamun mereka dan menyalahkan mereka seratus peratus untuk apa yang telah mereka lakukan disini.
    Kita harus ingat,
    orang kita sendiri juga yang membenarkan mereka masuk.
    Kita juga yang bersalah.

    BalasPadam
  10. kadang2 masalahnya org kita sendiri.. yg sembunyikan PATI ni ditempat mereka.. sy berckp melalui pengalaman..

    "family my fren ade bkak perniagaan kecil-kecilan.. pekerja die semua nye PATI dr indon..baik yg tukang layan atau tukang masak.. setiap kali datg penguatkuasa, majikan akan sorokkan pekerja2.."

    ni la susahnya kalu diberi nasihat mereka akan kate pekerja2 mereka ni baik.. xbuat jahat.. xpe la biar la mereka kerja..tp hakikat nye pekerja2 nih ade je yg ambik arak.. then tinggal serumah beramai2 pompuan lelaki.. slah sape skang?? majikan yg sorokkan PATI2 ini atau PATI yg cerdik pandai tunjukkan kebaikan depan majikan?

    BalasPadam
  11. sikap orang kita juga buat ada kalangan PATI naik tocang.. langsung tak takut dengan undang-undang negara kita yang diperlekehkan dorang..

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.