Selasa, November 29, 2011

BUSUK ITU LALI BAGI MEREKA

"Aku kenal engkau! Engkau hendak masukkan gambar kami di dalam surat khabar atau TV?," jerit wanita saya anggarkan berusia lewat 30 an.

"Keduanya tidak," balas saya ringkas.

"Engkau ambil gambar aku, aku saman engkau! Engkau ingat aku tidak tahu undang-undang?," jeritnya lagi.

"Macam inilah, bagus sangat jika awak tahu mengenai undang-undang tetapi awak tidak mengetahui tujuan saya ke sini apatah lagi mampu membaca niat di hati saya. Kalau awak hendak menyaman saya, samanlah," kata saya kepadanya.

Kejadian di atas berlaku pada 7 November lalu di hadapan Bangunan Cahaya Suria, Kuala Lumpur ketika saya dan kru Penyingkap Fakta 666, Suhaimi Salim melakukan tinjauan awal untuk Projek Bantal.


Baca kisah lengkap di sini.

Biarpun berhadapan dengan karenah manusia sebegitu, impian kami sebulan lalu kini hampir menjadi kenyataan. Banyak bantal berjaya dikumpulkan hasil sumbangan pembaca blog ini.

Klik di sini untuk melihat sebilangan daripada 41 bantal sedia untuk diagihkan. 

Awal malam tadi, saya dan kru 666, Razali Harun ke Carrefour, Seksyen 11, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.


"Sekarang ini, stok tidak cukup kalau hendak seratus. Bagi saya tempoh sampai tengah hari esok untuk cuba mendapatkan stok, kemudian saya akan call encik Razali," ujar pengurus bertugas.

Harga satu sleeping bag, RM29.

Selain daripada bantal, kru 666 bertekad untuk mengagihkan sleeping bag kepada kelompok gelandangan pelbagai bangsa dan usia di ibu kota bermula jam 11 malam, 3 Disember 2011.

Harga 100 sleeping bag, RM2,900.


Berikutan kekurangan ruang di rumah untuk menempatkan semua bantal dan sleeping bag, kami memohon bantuan pengurus terbabit.

"Hari Sabtu, Carrefour tutup pukul 12 malam," ujarnya.

"Kalau begitu dalam pukul 10 malam, 3 Disember, kami akan ambil semua barang. Itulah kalau boleh encik maklumkan kepada pihak pengurusan, kami bercadang untuk berkumpul di ruang parkir Carrefour. Jadi kepada pembaca blog ingin menyumbangkan bantal atau sleeping bag beberapa jam sebelum diagihkan, mereka boleh datang ke sini," jelas Razali.

Pengurus terbabit bersetuju untuk mengutarakan permintaan kami kepada pihak pengurusan hypermarket itu.

Saudara dan saudari pembaca dihormati, ide saya cetuskan pada awal November lalu tidak mungkin dapat dizahirkan tanpa sokongan padu kru 666 lain dan sekalian pembaca budiman.


Untuk rekod, jumlah wang disumbangkan oleh pembaca blog ini berbeza, di antara RM1 dan RM3,000 tetapi niat mereka tetap sama. Mereka berhasrat membantu kelompok kurang bernasib baik berbanding kehidupan kita semua.


Saya mewakili kru 666, dengan rasa rendah diri berasa amat bangga dengan jasa semua pembaca. Allah telah membuka hati kita semua untuk tunduk ke bumi lalu menghulurkan bantuan kepada mereka memerlukan. 

Kita akur, ramai antara 28 juta penduduk Malaysia kaya raya sekaligus hidup mewah tetapi barangkali belum tiba waktunya Allah membukakan hati mereka untuk menyumbang untuk projek ini.

Barangkali segelintir pembaca melihat usaha kami bak menggalakkan sebilangan warga Malaysia terus hidup bergelandangan.

Saya melihat usaha ini dari aspek berbeza. 

7 April 2011, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Yayasan Kebajikan Negara telah menyediakan Anjung Singgah. Pusat Sehenti sementara itu dilaporkan berupaya menampung 76 warga gelandangan pada satu masa.

Baca butiran berhubung Anjung Singgah di sini.

Saya percaya Anjung Singgah mampu membela nasib mereka bergelandangan tetapi tidak semua.

Justeru, kita harus menelan fakta biarpun pahit.

Bukan semua gelandangan memikirkan diri mereka sesuai berteduh di Anjung Singgah berikutan kekangan peribadi. Contohnya, pulang bekerja sebagai pengutip sampah kitar semula pada jam 3 pagi dan terpaksa bangun sebelum ibu kota dibanjiri manusia pada awal pagi, mereka melihat ruang pejalan kaki, lokasi terbaik untuk mereka merebahkan tubuh lesu buat seketika. 


Jika tidak kita bersama membantu mereka, siapa lagi? Sanggupkah kita secara berterusan memejamkan mata sebaik melihat mereka tidur dengan kepala berlapikkan selipar?

Baca nukilan saya di sini.


Melalui hasil tinjauan oleh kru 666, dianggarkan lebih 100 gelandangan di Kuala Lumpur. Mereka tidur di ruang pejalan kaki deretan kedai di Lebuh Ampang, di ruang terbuka berhampiran Menara Maybank, Stesyen Keretapi Tanah Melayu dan berdekatan bangunan Cahaya Suria.

Tanpa segan silu warga emas terpaksa memejamkan mata di tepi jalan utama di tengah bandaraya, barangkali sentiasa mengidamkan mimpi indah tidak kunjung tiba.


Melalui temubual dijalankan sebelum ini, kru 666 mendapati majoriti kelompok gelandangan berkerjaya. Mereka bertugas sebagai buruh kasar dan jurujual di pusat membeli-belah. Majoriti berkeluarga sekaligus menggalas tanggungjawab menyara keluarga di kampung halaman. Dilaporkan, pendapatan bulanan tidak seberapa menjadi kekangan utama untuk mereka menyewa bilik atau rumah di ibu kota.

Lalu mereka memilih untuk tidur beratapkan langit, bertilamkan simen keras dan cuma berbantalkan surat khabar atau apa sahaja lapik tercapai dek tangan.


Sebilangan mereka dirakamkan tidur bersama ahli keluarga, isteri dan anak kecil.


Sebagai bapa, tersentuh benar hati kecil saya sebaik terlihat kelibat dua anak kecil di atas. Kedua mereka kelihatan tidur lena di tepi tong sampah berhampiran jalan utama. 


Barangkali busuk bau sampah berulat itu sudah lali bagi mereka kerana alah bisa tegal biasa.

Sebagai insan hidup sederhana, hakikatnya saya dan kru 666 tidak berkemampuan membelikan rumah apatah lagi banglo gah tersergam indah untuk mereka tetapi kami berbesar hati untuk menyerahkan bantal dan sleeping bag disumbangkan oleh ramai pembaca kepada mereka.

Bersama kita berikan mereka peluang tidur di atas lapik lembut lebih selesa berbanding malam sebelumnya.

Pengagihan bantal dan sleeping bag akan berlangsung dalam tempoh 4 hari lagi. Jika pembaca ingin menghulurkan sumbangan, sila berhubung dengan Razali Harun di talian 016 231 5812 atau melalui emel razarro@yahoo.com.

Tolong sebarkan entri ini, semoga Allah membalas jasa kalian semua.

Terima kasih.

11 ulasan:

  1. SMTI...jauhnya saya di johor..kalau x teringin nak join

    BalasPadam
  2. SMTI - nak joint tapi outstation. Apa pun sedidikit sebanyak RR dah berhubung dengan Encik Razali sebelum ini perihal bantuan.

    BalasPadam
  3. telah berkongsi kempen ni di blog saya. semoga usaha yang baik ini akan berjaya.

    artikel saya projek bantal

    BalasPadam
  4. smti...saya jauh di johor...klu x,mmg teringin utk membantu... :)

    BalasPadam
  5. berkongsi cerita dan sedikit foto dari blog mazidul di blog saya. harap dihalalkan..

    saya memang tidak suka mazidulakmal

    BalasPadam
  6. boleh tahu kat mane yg budak2 kecik tu tido? aduh..meruntun jiwa tgk dorg camni..

    BalasPadam
  7. org2 camni x terpikir pun nk buang anak2 wpun dorg taw dorg x mampu bg tempat tinggal yg sempurna...sgt2 tersentuh tgk anak2 tu...

    BalasPadam
  8. Terima kasih diatas segala sokongan yang diberikan. Amanat yang diberikan akan kami laksanakan dengan baik dan sempurna mungkin, insya Allah.

    Padu!

    BalasPadam
  9. semoga allah merahmati usaha ini. semoga usaha ini menjadi bekalan buat kita disana nanti. sungguh tersentuh. allahu akhbar!

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.