Jumaat, November 11, 2011

DI ANTARA KEDAIFAN DAN NAMA

Tangan menggeletar, tubuh berpeluh dan mata saya menjadi kabur. Namun semalam saya berusaha berjalan kira-kira 100 meter dari Pusat Penyiaran Antarabangsa, IBC di Jakabaring, Palembang, pada jam 7.30 malan waktu tempatan untuk mencari kenderaan pulang ke hotel.

Apapun terjadi, saya tetap cuba merakamkan gambar menggunakan kamera digital di tangan.


Kali terakhir saya menyuntik insulin ke tubuh lebih 12 jam sebelum itu. Untuk rekod, akibat diabetis, saya terpaksa mengambil purata 4 suntikan sehari sejak 16 tahun lalu. Malangnya, berikutan hotel diperuntukkan kepada kakitangan media antarabangsa tidak dilengkapi peti sejuk untuk tujuan penyimpanan sesuai. Justeru bekalan insulin jenis actrapid dan insulatard terpaksa saya tumpangkan di peti dingin kedai beroperasi 24 jam di bawah Zuri Express Hotel.


"Pak, saya harus pulang ke hotel dengan segera kerana amat memerlukan ubat. Ada teksi di sini?," soal saya.

"Tiada pak," jawab anggota polis menjaga aliran trafik di simpang empat berharmpiran IBC.


Biarpun mata saya menjadi semakin kabur dan peluh tanpa henti mengalir di dahi, saya tetap mencuba.

"Jadi kalau berlaku kes kecemasan, bagaimanakah untuk membawa pesakit keluar dari kawasan ini?," soal saya.

Berikutan penganjuran Sukan Sea ke 26, dilaporkan semua pengangkutan awam dilarang melalui jalan utama berhampiran IBC.

"Di sini memang tiada teksi," tegas polis sama.

Mata saya berair dan kepala terasa pening, saya tidak dapat bertahan lagi lalu termuntah di tepi jalan. Pantas lelaki berdiri di sebelah saya menghulurkan tisu.

Gambar tetap saya rakamkan. Jika pengsan atau koma, saya ingin semua mengetahui keadaan sebenar saya tempuh ketika itu.


"Bapak lihat, Palembang sememangnya tidak bersedia menganjurkan acara sukan ini tetapi bak dipaksa supaya bersetuju. Saya tinggal di daerah ini, jalan menjadi kelam-kabut. Pihak pemerintah hanya sekadar inginkan acara ini berlangsung sukses tanpa mempunyai perancangan terbaik agar tidak menyusahkan penduduk tempatan," ujarnya.

Saya tidak mampu menumpukan sepenuh perhatian terhadap luahan hatinya tetapi tetap cuba mendengar. Waktu itu, saya amat memerlukan insulin untuk memecahkan gula dalam di darah agar bertukar menjadi tenaga.

Setelah menunggu lebih 15 minit, akhirnya saya tertewas dan tidak mampu untuk berdiri lagi. Lutut dan paha terasa lemah, lalu saya ingin duduk di atas tanah merah di tepi jalan.

"Pak, mohon maaf. Teksi atau kereta sewa tiada. Hanya bas boleh membawa bapak ke hotel, bisa?" soal  anggota polis menghampiri saya.

Saya menganggukkan kepala.

Pantas dia dan lelaki tadi membantu saya berjalan ke arah bas diberhentikan oleh pasukan polis trafik bertugas manakala jari saya terus memicit punat rakaman di kamera.


Sebaik naik dan duduk di kerusi berhamnpiran pintu bas, saya memejamkan mata dan berehat buat seketika. 

Perjalanan waktu puncak dari IBC ke hotel mengambil masa kira-kira 40 minit. Sesekali saya membuka mata dan terlihat betapa sesaknya jalanraya. Di dalam bas, hanya kelihatan 2 remaja lelaki dan perempuan tetapi saya masih tidak beruapaya untuk bersuara.

Sepuluh minat kemudian, saya gagahkan diri untuk tidak bersandar di kerusi bas.

"Bapa dari Jakarta?," tanya remaja berusia 18 tahun.

"Tidak, Kuala Lumpur," balas saya ringkas.


"Tolong hantarkan saya ke Zuri Express Hotel, saya perlukan ubat," kata saya.

Saya hulurkan 300,000 rupiah kepadanya.

"Kami tahu pak, tadi pak polisi itu sudah memaklumkan. Pantas sedikit dong!," arah remaja terbabit kepada rakannya, pemandu berusia 20 tahun.


Saya terus merakamkan aksi mereka biarpun jari telunjuk terasa kebas. Bas terbabit bersaiz besar itu dipandu bak kenderaan Formula 1, pemandu menciluk selamba.

Mungkin kerana bas itu kosong, tiada penumpang lain, kecuali saya.


Berikut gambar terakhir saya rakamkan sebelum memejamkan mata.


"Sudah sampai ke Zuki Hotel," kata gadis duduk di belakang pemandu.

Perlahan saya turun dari bas dan mengucapkan terima kasih kepada mereka bertiga. Sewaktu menyeberang jalan, saya disapa dua wartawan akhbar Berita Harian dan Harian Metro.

"Abang duduk hotel mana?"

Di papan tanda terpampang 'Grand Zuri'.

"Zuri Express. Mata saya kabur tadi, tidak berapa nampak," jelas saya.

"Hotel boleh panggilkan teksi," ujar mereka.

Sementara menunggu teksi tiba, saya duduk bersama mereka di lobi hotel buat seketika.


Saya menceritakan kepada mereka kejadian berlaku.

"Biasanya tambang 80,000 rupiah, dia orang naikkan ke 100,000," kata mereka.

Ketika itu, wang soal kedua.

Kira-kira jam 8.30 malam, saya tiba di hotel sebenar dan dan pantas mendapatkan suntikan diperlukan. Terima kasih kepada mereka kerana sudi mendapatkan teksi melalui perkhidmatan kaunter di lobi hotel.

Sewaktu berada di dalam teksi, pemandu, lelaki saya anggarkan berusia awal 50 an berkata ...

"Seluruh Palembang menjadi macet (sesak) ini hari. Teksi dan bas memang tidak dilarang melalui kawasan berhampiran pusat media itu. Sore tadi, 3 kakitangan TV ingin keluar dari kawasan sama tetapi tidak bisa. Saya dihubungi oleh rakan untuk membawa mereka tetapi gagal untuk mengambil mereka untuk pulang ke hotel"

Hemat saya, pihak penganjur Sukan Sea terbabit kurang bersedia. Pelbagai kelemahan perlu mereka tangani sebelum semua pertandingan dimulakan hari ini sehingga 22 November akan datang.

Petang semalam, sewaktu meninjau kawasan di sekitar IBC, saya perhatikan ...


... dan terus memerhatikan lagi ...


Sambil berfikir, mengapa dia harus berjalan begitu?


Akhirnya dia dan 2 anak tiba di rumah ini.


Rumah lebih layak digelar teratak usang itu terletak di tepi sungai kelihatan tercemar.


Ironinya, rumah kecil di sebelah kandang kambing itu bukan terletak di desa terceruk di Palembang, Indonesia tetapi di ...


... hadapan Pusat Penyiaran Antarabangsa, IBC, premis menempatkan ratusan kakitangan media dari 10 negara Asia Tenggara. membuat liputan Sukan Sea ke 26.


Rumah terbabit mampu dilihat jelas oleh semua petugas media antarabangsa dari IBC.


Barangkali penghuni rumah itu berhasrat untuk menunjukkan kepada semua petugas media antarabangsa dan pemimpin negara betapa daif kehidupan mereka sedang negara dihuni cuba meraih nama di mata dunia.

10 ulasan:

  1. Dikira bro bernasib baik tidak dirompak semasa longlai tu. .

    BalasPadam
  2. Mungkin itulah yang dikata 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan'. :(


    Syukur Alhamdulillah, Sdr akhirnya berjaya mendapat ubat yang diperlukan tanpa berlaku sesuatu yang di luar kemahuan.

    BalasPadam
  3. Wow, Mahalnya pengalaman ini. Baru saya tahu yang insulin sentiasa perlukan peti sejuk. Mungkin lepas ni saudara perlukan pek ais bergerak untuk menyimpan insulin sekiranya perlu bertugas di luar kawasan / kawasan sesak. Bertambah satu item yang perlu dikendong selain beg berisi kamera & pelbagai aksesori yng terlibat untuk penggambaran.

    BalasPadam
  4. saya tak termampu mengulas.. namun penghayatan sampai... jaga keshatan tn, ada umur panjang kita jumpa..

    BalasPadam
  5. Pasal you punya sakit kencing manis tu, nak bagi pandangan sikit, dah cuba mesin terapi bios 9000? bukan nak promote tapi testimoni tempat saya buat terapi percuma tu amat memberangsangkan. Kalau ada kelapangan cuba-cuba lah produk ni.

    BalasPadam
  6. berdebar saya baca ntry nih... alahai kalu sampai camtu mmg lah menyusahkan,mcmnelah diaorang still gk nk bt sukan sea sedangkan diaorang blum bersedia lg sepenuhnyer sampai menyusahkan rakyat...

    yg pasal rumah tu lak... mmg tak tau nk ckp apa lah.... alahai

    BalasPadam
  7. abg...jaga kesihatan...tugas itu tanggungjwb, tapi kesihatan itu amanah....jaga baik2 ya... :)

    BalasPadam
  8. bro, saya org tg. malim skrg tinggal di kemaman. nasihat sayalah bro, kalau nak ambil la, berhentila minum dan makan kat kedai2 mamak bro. tinggi gula tu bro.

    BalasPadam
  9. nasib baik juga bro jumpa orang baik2 yang tidak mengambil kesempatan ketika bro lemah ..

    hurm realitinya

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.