Ahad, Jun 16, 2013

PEGUAM MENDAKWA DITIPU OLEH SYARIKAT PENGELOLA UMRAH


13 Jun lalu,  saya dihubungi oleh kenalan dan bertemu beliau dan ahli keluarganya di  sebuah restoran di The Strand, Kota Damansara,  Petaling Jaya, Selangor. 



"Hujung  minggu lalu  kami telah membuat kenduri  doa selamat, solat hajad dan tahlil  di Taman Sri Manja, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dan di  Kampung Melayu  Subang, Selangor. Kami dimaklumkan oleh  kakitangan syarikat  pengelola  pakej  umrah dan haji,  semua  8 orang, berusia di antara  26 dan 64  tahun,  termasuk  suami, ayah, ibu  dan  keluarga mertua  saya  akan  terbang ke Mekah pada hari Isnin lalu,"  ujar  Azmahanim Azman.

Azmahanim,  29 tahun,  peguam dan baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada 24 Mei 2013.

Menurut Hanim, bayaran  mengerjakan umrah,   wang tunai RM32,800 telah diserahkan kepada syarikat  terbabit  secara berperingkat,  bermula awal Januari lalu.

"Kami kemudian dimaklumkan,   visa gagal  diperolehi dan diyakinkan  akan terbang  pada hari Rabu,  12 Jun, semalam.  Pemilik  syarikat  berjanji  untuk  bertemu  kami pada jam  6.30 petang  tadi tetapi sampai sekarang  tidak muncul,"  tambah Hanim lagi.

Jam di tangan saya  ketika itu  menunjukkan pukul  8  malam.

Kami  kemudian  didatangi dua  wakil  syarikat  terbabit.

"Saya dapat maklumat  syarkat awak bekerja tidak mempunyai lesen untuk mengendalikan urusan umrah,  betul ke?," soal Hanim.

Lelaki muda berperwatakan warak itu menganggukkan  kepala. Saya difahamkan dia juga bekerja sebagai longkai, penunda kereta ditimpa kemalangan.

"Kalau begitu,  kami mahu  semua wang kami serta paspot dikembalikan,"  tuntut Datuk Azman Shah  Abdullah,  ayah Hanim.

Lelaki itu berjanji mengembalikan semua wang dibayar dua hari lalu  tetapi saya difahamkan setakat  petang semalam,  hanya  RM10,000  sahaja  didepositkan ke dalam akaun  Hanim. 

"Baki  RM22,800 lagi, tidak tahu bila hendak dipulangkan kembali. Pemilik syarikat didapati bijak berdolak-dalik setiap kali dihubungi. Paspot kami pula dihantarkan ke rumah oleh lelaki tidak kami kenali dan dia juga mendakwa tidak mengetahui langsung mengenai kes ini. Dia hanya disuruh menghantar  paspot ke rumah saya," celah Hanim.

Hanim  kemudian  menunjukkan  kepada saya,  laporan tiga muka  majalah  Mingguan Wanita.



Sumber : Petikan Majalah Mingguan Wanita (Bil 1452, Muka Surat 114)

Petang tadi  Hanim  ditemu   bual  oleh wartawan Buletin Utama TV3,   Muhammad Arashy Mohd Azim.



"Saya  ingin  mendedahkan  kes  ini agar orang  lain  ingin  menunaikan  umrah  dan  haji  tidak akan  tertipu  dengan  harga murah pakej  ditawarkan oleh syarikat  terbabit.  Bukan senang untuk  majalah  menulis  nama syarikat itu  secara jelas  jika dakwaan  mangsa tidak benar," kata Hanim lagi.


Setelah Hanim ditemu bual,  lelaki warga Bangladesh,  43 tahun,  bekas pekerja mencuci pejabat syarikat  itu tiba-tiba melintas  berhampiran kami. 

Lalu saya memanggilnya.

"Saya  sini kerja tiga  bulan. Selepas dua bulan,  ramai  orang  mari office,  marah marah sebab tarak boleh  fly pergi umrah.  Saya Melayu tarak berapa faham," katanya.

Tangan ayah kepada 3 anak itu  menggeletar  sewaktu kenyataannya  dirakamkan.




Lelaki  sama juga mendakwa syarikat pengelola umrah itu tidak membayar gajinya. Saya mengingatkan,   agar dia tidak menabur fitnah dan hanya  berkongsi  kenyataan benar sewaktu kenyataan dirakamkan. 

Alhamdulillah, dia akur. 

Apapun saya berasa amat  hairan, bagaimanakah pekerja warga asing menyalahgunakan permit  kerja itu  mampu  bergerak bebas  di negara kita.

"Saya itu  kerja cuci itu office  tetapi  parmit  (permit)  plantation (perladangan)," katanya.






"Sudah dua hari dia (pemilik syarikat)  suruh  saya sini mari,  mahu  bayar gaji RM1, 200 tetapi dia tarak mari," katanya.



In Sha Allah,  Arashy  akan membentangkan fakta kes ini kelak. 


Awal malam tadi, Hanim telah membuat laporan di Balai  Polis Kota Damansara,  bertujuan untuk  mengambil  tindakan undang-undang  terhadap  pemilik syarikat itu,  wanita berusia dalam  lingkungan 50 an, jika kes ini tidak diselesaikan. 

Laporan telah  disahkan  oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya,  ACP Arjunaidi Mohamed



Pemilik  syarikat itu dikenali dengan pelbagai nama berbeza. Antara nama digunakan,  Mummy Zie,  Mama Rock dan  Atie. Syarikat sama juga dilaporkan pernah membawa artis terkenal melancong ke luar negara.

Kepada pembaca, kaum  keluarga  atau kenalan menjadi mangsa penipuan syarikat terbabit, sila  emel saya di mazidulakmal@yahoo.com.

Klik di sini.

2 ulasan:

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.