Itulah permintaan wakil sembilan individu masih menunggu wang bayaran balik kerana syarikat pengelola umrah gagal menzahirkan niat mereka untuk ke Mekah. Sila baca petikan daripada majalah Mingguan Wanita di bawah.
Saya bertemu mereka di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor.
"Kami sembilan orang membayar tunai kepada ejen syarikat, Haji Samsu Awang. Pada mulanya, saya bertanya, bila kita hendak pergi? Dia kata 10 Mei. Jadi kami sempat menghadiri kursus bersama 700 orang di Hotel Armada, Petaling Jaya. Tarikh itu kemudian ditunda ke 25 Mei. Selepas itu Haji Samsu memaklumkan tarikh untuk ke tanah suci dipercepatkan ke 14 Mei. Kami membuat kenduri kesyukuran sebelum tarikh itu," jelas bekas iman masjid, Mohd Nawawi Haron, 64 tahun.
"Pada masa itu saya sembelih kambing di Selama, Perak, kenduri doa selamat, sembahyang hajat," celah Haji Johari Saad, 62 tahun.
Mereka kemudian dimaklumkan semua akan mendapat visa dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi.
"Saya kata, ini pelik, dia sepatutnya memberikan visa dan tiket kapal terbang pergi balik, menggunakan pesawat syarikat apa. Saya berpengalaman mengerjakan umrah lima kali. Dari tengah malam 13 Mei sampai pukul 10 hari sepatutnya kami terbang ke Mekah, tiada berita daripada ejen. Semua beg telah disiapkan. Menitis airmata saya mengenangkan, inilah kali pertama saya hendak membawa isteri saya untuk menunaikan umrah. Abang dan kakak saya pun pertama kali, begitu juga rakan baik saya, Abu Nawas. Sehingga hari ini, beg kami masih tidak dibuka. Kami kemudian diberitahu, tarikh ditunda ke 13 Jun, mesti boleh pergi. Alasan diberi, tidak dapat visa," tambah Nawawi, anak kelahiran Kelantan.
"Saya bertanya kepada Haji Samsu, syarikat manakah menguruskan visa? Dia menjawab, saya tidak boleh beritahu, nanti syarikat pengelola marah. Rupanya, mereka cuba mendapatkan visa melalui syarikat di Taman Putra, Ampang, Selangor. Pemilik syarikat kami temui berkata, syarikat di Kota Damansara itu, masih berhutang dengan syarikatnya. Pada satu malam sebelum 13 Jun, kami pergi berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengelola umrah di Kota Damansara. Saya meminta dia bercakap dengan syarikat untuk menguruskan umrah itu menggunakan pembesar suara telefon, dia menangis dan terus berlari keluar dari bilik," kata Johari.
Peserta kumpulan mereka berusia di antara 15 dan 67 tahun.
"Saya telah menghubungi Haji Samsu dan meminta dia membayar kembali wang saya seminggu selepas 13 Jun. Saya berasa amat simpati dengan adik saya, Noryah Sa'at di Selama. Anak dia sembilan orang. Lama dia bertungkus-lumus, menoreh getah biarpun hujan mengumpulkan duit RM12,000 untuk pergi umrah bersama suami dan anak mereka. Dari kampung mereka tiga beranak diiringi 10 buah kereta untuk menghantar mereka ke lapangan terbang. Apabila tidak jadi pergi, saya tawarkan kepada dia suami isteri untuk saya menampung perbelanjaan mereka ke Mekah pada masa lebih sesuai, dia kata duit abang saya tidak akan ambil, dia hendak berusaha sendiri, duit titik peluh dia," jelas peniaga, Johari.
Difahamkan, wang kira-kira 1500 orang sepatutnya menunaikan umrah, bernilai RM6 juta masih tidak dipulangkan kembali oleh syarikat pengelola umrah terbabit.
Mengapakah bekas 'Mafia' Paya Jaras, Abu Nawas menitiskan airmata? Kisah menyentuh hati ditempuhnya akan saya kongsikan kelak.
Saya, Johari dan Nawawi kemudian bergerak ke Segambut, Kuala Lumpur untuk bertemu Haji Samsu dan mendapatkan penjelasan beliau.
Tunggu kisah selanjutnya.
Apapun, semua mangsa kes ini diminta menghadiri perjumpaan anjuran sebuah badan bukan kerajaan pada jam 9 pagi, Sabtu, 22 Jun di No 37 Jalan PPH 2/12 Taman Pelangi 2, Semenyih, Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.