Selasa, Jun 18, 2013

KES UMRAH KELENTONG ( PEKIDA TIDAK TERBABIT )

Syarikat  pengelola  umrah  berpejabat  di The Strand,  Kota Damansara,  Petaling Jaya, Selangor,  akhirnya  membayar kembali RM32,800  kepada  peguam,  Azmahanim Azman Shah.

Alhamdulillah.

Ramai  pembaca  bertanya,   syarikat   manakah  yang  terbabit dalam kes ini?  Nama syarikat itu  dicetak  oleh  majalah  Mingguan  Wanita  dipaparkan di sini.

Carilah,  pembaca pasti jumpa.  

Setakat ini  banyak emel  aduan  berhubung  syarikat sama  dihantarkan kepada saya membabitkan  puluhan mangsa.  Mereka masih  menunggu  bayaran balik wang kerana niat mereka untuk menunaikan  umrah  tidak  dizahirkan  dengan  pelbagai alasan.

"Kami diminta  menunggu bayaran di antara 1 dan 3 bulan,"  kata pengadu. 

Azmahanim turut berkongsi fakta kejadian bersama saya dan rakan, Ketua Meja Jenayah/Mahkamah  akhbar Sinar Harian,  Izwan Roslin.

"Wanita pemilik  syarikat itu  enggan bertemu kami sekeluarga biarpun beberapa kali membuat  janji temu dan  setiap kali,  kami hadir di lokasi ditentukan.  Saya terpaksa mengambil cuti  tanpa gaji untuk menyelesaikan masalah ini,  berasa amat  tertekan,  jatuh sakit  dan  sampaikan kehilangan suara,"  ujar Azmahanim serak serak basah.

Terkini,  untuk melangsaikan  bayaran balik  kepada peguam terbabit,  pemilik syarikat menggunakan  khidmat  abangnya,  bergelar  Ayahanda Paduka Dato'.    Bayaran dijelaskan  secara berperingkat,  membabitkan  5  transaksi melalui akaun bank,  dilunaskan awal  malam tadi.



Saya  kemudian  menghubungi  Presiden  PEKIDA   Malaysia,  Haji  Jamaludin Yusof  di Kedah  kerana  gelaran  'ayahanda'   begitu  sinonim dengan  pertubuhan itu.

'Terima kasih di atas maklumat yang  telah disampaikan. In Sha Allah  saya akan selidiki dan akan  memaklumkan  kepada tuan  nanti'

Itu  pesanan  ringkas  pertama  dihantar oleh Haji Jamaludin.   Sejak dahulu  sewaktu menerajui porgram 360, saya mengkagumi sikap profesional beliau sewaktu berkomunikasi bersama    pengamal media.

'Di dalam PEKIDA  tidak  ada gelaran Ayahanda Paduka',  catat Haji Jamaludin lagi.

Saya kemudian  melakukan sedikit penyelidikan  menggunakan internet,   Ayahanda  Paduka Dato'  itu  ternyata  BUKAN  ahli  PEKIDA  tetapi  pengasas  satu pertubuhan lain.  Biarlah saya rahsiakan  terlebih dahulu  nama  pertubuhan itu untuk memastikan  samada pertubuhan  menggunakan logo berwarna hijau, kuning dan merah  itu  berdaftar  secara  sah atau  tidak.

Tindakan pemilik  syarikat  meminta  bantuan pengasas  pertubuhan itu untuk berurusan  dengan penuntut  bayaran  dilihat  sebagai  satu  tindakan  kurang wajar.

Kepada  mereka  masih  belum  mendapat bayaran  balik  wang daripada syarikat  terbabit,  sila emel  saya di mazidulakmal@yahoo.com.  Nyatakan berapakah bilangan ahli kumpulan dan  jumlah pembayaran dituntut.  

Jika semua pengadu dikumpulkan, In Sha Allah,  pihak media lain tidak akan teragak-agak untuk membuat  liputan sekaligus membongkar fakta tersurat dan tersirat di sebalik operasi syarikat itu.

Saya  hanya  blogger,  BUKAN  Datuk Michael Chong.  

Justeru saya  tidak  berupaya  mendesak  pihak berkuasa  untuk  membuka mata dan mengambil  tindakan.  Apapun,  saya  jarang   berputus asa tatkala melaksanakan misi  pendedahan.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.