Selasa, September 30, 2008

Tewas Dalam Kemenangan

Terbit fajar 1 Syawal 1429 Hijrah esok, umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri. Hari ‘kemenangan’ mengharung pelbagai cabaran di sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Bagaimanapun ada golongan ‘tewas’ pagi tadi.

12 wanita warga Indonesia terkorban, mati lemas akibat tongkang kayu dinaiki pecah lalu karam dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia. Lokasi tragedi, perairan Pintu Gedung, 15 kilometer dari Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor. Tongkang dengan muatan maksima 80 orang disumbat 137 penumpang, semuanya tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Dilaporkan, setiap penumpang membayar tambang antara RM300 dan RM800. Antara mangsa berjaya diselamatkan kapal dagang melintasi laluan sama, bayi berusia 7 bulan.

6 lelaki dipercayai tekong tongkang ditahan pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Profil

Nama: Chai

Warga: Thailand

Usia: 35 tahun

Ugama: Buddha

Pekerjaan: Pengemis sepenuh masa

Bilangan anak: 4

Bilangan isteri: 2 ( 1 di Malaysia, 1 di Thailand )

Pendapatah harian: RM120

Status: Pendatang tanpa izin

Isnin, September 29, 2008

Diberi Betis Hendak Paha

Di Malaysia lelaki Melayu beristeri 4 kerap mendapat liputan. Seringkali mereka diajukan persoalan ..

‘Adilkah dia?’,’Mampukah dia?’

Malah dalam kes di Terengganu, ada lelaki pemandu lori terpaksa turun naik mahkamah syariah bagi membuktikan kemampuan menyara semua isteri dan isteri ke 4 bakal dinikahinya. Akhirnya kebenaran diberikan mahkamah. Maka dalam tersipu, tersenyum dia.

Di Nigeria, Afrika, ulama, Muhammad Bello Abu Bakar beristeri 86 ditahan kemudian dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Persekutuan pada 27 September lalu bagi membatalkan fatwa membunuhnya kerana melanggar undang-undang Islam, berkahwin lebih daripada empat.

Bello mempunyai 170 anak hasil perkongsian hidup bersama isteri.

Sudah diberi betis hendak paha, padah diundang jawabannya.

Budaya kita?

Dulu, pemberian duit raya bukan kemestian.

“Pergi beraya rumah orang, makan saja apa ada. Jangan minta duit, malulah sikit,” kata orang tua.

Barangkali waktu itu, era awal tahun 70 an, kehidupan orang kampung susah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kebanyakan mereka bekerja sebagai petani, pesawah padi atau penoreh getah meraih pendapatan harian tidak seberapa.

Kini ..

“Assalamualaikum! Kami datang nak beraya,” kata sekumpulan anak kecil lengkap berbaju Melayu dan kurung.

Mereka dijemput masuk ke rumah.

“Makanlah,” pelawa tuan rumah.

“Tak apa lah mak cik, kami datang ni nak duit raya,” ujar mereka terus-terang sambil tersenyum simpul tanpa menyentuh hidangan.

Jarang paket duit raya berisi seringgit, sekurang-kurangnya berjumlah dua ringgit ke atas.

Menghulurkan duit raya kini sudah jadi budaya kita?

Ahad, September 28, 2008

Petua Elak Mengantuk

“Mengantuknya mata, macamana nak bawa kereta ni?,” antara keluhan pemandu sewaktu pulang berhari raya.

Justeru, majoriti mereka mengambil keputusan berhenti di kawasan rehat, tidur buat seketika sebelum menyambung kembali perjalanan.

Sewaktu membuat liputan gempa bumi di Muko Muko, Sumatera Barat, Indonesia saya terpegun melihat kebolehan lelaki berusia 37 tahun memandu kereta tanpa henti dalam jarak 400 kilometer.

“Kamu tidak mengantuk?,” soal saya.

“Ngak Pak. Saya bisa saja memandu mobil ini,” balasnya.

“Apa formulanya?”

“Oh! Bapak tahu bawang merah, kecil?,” tanyanya.

Saya menganggukkan kepala.

“Masukkan ke dalam mulut. Kemam saja Pak, pasti tidak mengantuk,” jelasnya.

Cubalah ..

Sabtu, September 27, 2008

Zalim Jika Tidak Dibantu

Saya jarang berasa sebak dalam menempuh pelbagai kejadian dalam kehidupan. Biarpun peristiwa pahit maupun maung. Tetapi saya sering berasa terkilan. Terkilan melihat kedaifan hidup mereka kurang bernasib baik.

Antaranya Norhayati Hassan, 41 tahun saya temui di Sri Cempaka, Kuantan, Pahang 21 September lalu.

Ketika berkunjung ke rumah sewanya layak bergelar pondok, hati saya tercuit dek satu persoalan. Mengapa tiada pihak membantu meringankan bebanan keluarga ini ketika lebaran bakal bertandang?

Norhayati dan suami, Khairudin Yasin, 37 tahun dianugerahkan 9 anak berusia antara 3 dan 17 tahun.

“Kita orang susah, anak ramai. Kadang-kadang ada rezeki kadang-kadang tak ada. Bila tak ada nangislah, hujung tahun selalu susah sikit, nelayan rezeki kurang. Nak bagi anak sekolah, anak makan. Anak-anak dah biasa, kadang-kadang tak makan sampai 4 hari,” ujar Norhayati.

“Mereka tak pernah meminta-minta, mereka faham kami susah,” sambungnya lagi.

Melihat wajahnya, saya dapat membayangkan keperitan dilalui wanita berusia 41 tahun itu. Dinding rumah hampir runtuh dimamah anai-anai, telaga dijadikan sumber air minuman dan membersihkan diri.

“Kalau nak guna air perigi tu kena tunggu dua hari, biar kelodak turun dulu,” katanya.

Air dari perigi sama diguna memandikan anak lelaki kurang upaya berusia 8 tahun.

“Dulu masa kecil dia kena demam panas. Sekarang tak boleh jalan. Bila kita cakap dia faham, senyum. Kalau ada makanan kita kena suapkan dia. Kalau tak ada dia diam, tak menangis,” ujar Norhayati lagi.

Zalim, jika tiada pihak membantu.

Jumaat, September 26, 2008

Selamat Hari Raya

Kita semua pernah melakukan kesilapan samada kecil atau besar.

“Maaf, saya salah”

Ungkapan amat sukar dilafazkan majoriti daripada kita biarpun kita menyedari kesilapan sendiri. Bagaimanapun kehadiran Syawal mampu mengubah sikap itu. Syawal, bulan untuk memohon maaf sekaligus memaafkan kesalahan orang lain.

Selamat hari raya, maaf zahir batin.

Kreatifnya Anak Kita

Dalam ‘Ops Lejang’ 2 pelajar kolej swasta jurusan kejuruteraan ditahan sepasukan polis Cawangan D4 Bukit Aman di Petaling Jaya, Selangor kerana didapati terbabit menyeludup 29 kereta mewah ke negara jiran dianggarkan bernilai 3 juta ringgit. Pelajar berusia 19 tahun berperanan sebagai joki itu dikatakan menerima upah RM500 bagi setiap kenderaan berjaya dibawa keluar sejak februari lalu.

“Bayaran RM500 itu kemudian dibahagi dua. Wang digunakan untuk berfoya-foya di pusat hiburan,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin.

Sebelum ini pelajar sekolah menengah pernah ditahan kerana terbabit dalam sindiket mencuri motosikal. Mereka didapati ‘kreatif’ menggunakan besi berbentuk ‘T’ untuk menghidupkan enjin motosikal dicuri. Suspek didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Usia mentah menyebabkan mereka begitu mudah diperalatkan.

[ Kata Mazidul: Kecil dulu hanya pandai mandi sungai ]

Khamis, September 25, 2008

Besar Untung Besar Denda

Mahkamah Majestrit Jalan Duta, Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda antara 5 dan 15 ribu ringgit ke atas 3 ‘ulat’ mengikut Seksyen 110A Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mereka ditahan dalam ‘Ops Ulat’ Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ pada 6 September lalu.

Setakat ini 13 ulat berjaya ditahan, 5 minta dibicarakan.

“Majoriti ulat ni Melayu, Cina ada satu, India satu,” ujar sumber menghubungi saya.

“Sebab apa seorang tu kena denda sampai 15 ribu?,” soal saya pada jam 2.15 petang tadi.

“Oh! Sebab masa sesi rayuan dibuat, katanya tanggunggan dia dua orang sebab tu jadi ulat. Majestrit tak terima alasan dia,” jelasnya.

Dalam hati terdetak, besar untung maka besar dendanya.

Sugar Mummy

Wanita dulu sering dicabar ..

“Alah! Perempuan tetap perempuan. Nak setanding lelaki macamana? Cuba suruh dia orang panjat pokok kelapa tengok, mesti gagal. Suruh kencing berdiri, mesti tak boleh!”

Segelintir wanita sekarang berbeza cara menyahut cabaran ..

“I bukan apa. Dulu I biarkan semua, malas nak kecoh. I dengar Datuk ada girlfriend, I diam. Ada kawan kata Datuk siap bawa girlfriend pergi vacation ke Europe. Walhal dengan I dia cakap pergi business trip. I diam. Budak tu dia support from head to toe. I diam juga. Sekarang time I plak. I baru 48,” kata Datin Izah.

“Betul tin, you pun steady lagi apa. Body langsing, masih manis. Ramai lagi lelaki terliur tengok you. Percayalah,” ujar rakannya memberikan perangsang.

“‘Anak ikan’ ramai. I boleh pilih mana nak. Bertenaga bukan longlai macam Datuk. Ikut cakap dan memenuhi citarasa kita. Kalau Datuk boleh buat I pun boleh buat” sambung Datin bangga.

‘Anak ikan’, phrasa menarik perhatian siapa mengetahui maksudnya. Lelaki muda menjadi ‘peneman’ wanita tua berada. ‘Toy Boy’ dalam bahasa Inggerisnya.

Semakin hebat persaingan antara dua jantina, itu hakikat.

Rabu, September 24, 2008

Sugar Daddy Sugar Baby

Surat khabar tempatan melaporkan segelintir pelajar perempuan kolej kejururawatan di Lembah Klang didakwa memiliki ‘sugar daddy’. Sugar daddy, lelaki selalunya berusia tetapi kaya. Pelajar, ‘sugar baby’ ingin menikmati hidup mewah secara mudah pada usia muda. Sesetengah sugar baby ‘dijaga’ lebih daripada seorang sugar daddy, meraih purata wang poket lebih seribu sebulan. Justeru membolehkan mereka bergaya membeli pakaian baru. Malah ada sugar daddy dipercayai sanggup menyediakan pelbagai kemudahan lain, antaranya kenderaan dan rumah untuk sugar baby.

Saya percaya sugar daddy tidak sekadar memberi begitu sahaja, mereka juga ‘menerima’, ada give and take.

Apa mereka terima sebenarnya?

Selasa, September 23, 2008

Hutang Darah Dibayar Darah

Dua hari lalu 2 warga asing dibunuh. Pendawai warga Vietnam berusia 25 tahun ditemui mati dengan tangan terikat dan kesan kelar di pipi. Mayat ditemui di rumahnya di Taman Taming Jaya, kajang, Selangor. Manakala pengarah urusan syarikat pembinaan wanita berusia 48 tahun di temui mati di tingkat 17 kondominium Puncak Mont Kiara, Kuala Lumpur. Mangsa cedera di kepala dan leher dipercayai diserang menggunakan objek tumpul.

16 September lalu, mayat pelajar mangsa culik, bunuh dan bakar, Lai Ying Xin, 16 tahun ditemui di Kulaijaya, Johor Bahru, Johor.

Pembunuh tidak mengenal jantina, usia maupun bangsa. Masing-masing mempunyai motif tersendiri. Antaranya dendam dan cemburu.

Jika pihak polis berjaya menangkap suspek dan didakwa di mahkamah, majoriti tidak mengaku bersalah sehinggan dibuktikan sebaliknya dalam perbicaraan.

21 September 2008, lelaki Melayu berusia 48 tahun dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di Alor Star, Kedah kelihatan tenang menerima keputusan dibacakan hakim. Manakala ibunya melutut menyembah kaki Timbalan Pendakwa Raya merayu anaknya dibebaskan. Lelaki itu terbabit membunuh dan kemudian mengerat lapan mayat mangsa dalam kejadian berlaku pagi 4 Jun 2001 di Taman Datuk Kumbar.

Teringat pesalah didapati membunuh dan membakar wanita Cina, Kenny Ong beberapa tahun lalu. Dia sentiasa memakai kopiah putih setiap kali menghadirkan diri ke sesi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.

Dia juga menemui ajal di tali gantung.

Hutang darah dibayar darah, itu hukum dunia.

Dah Boleh Makan Dah

Elaun 587 Tok Batin orang asli di seluruh negara akan dinaikkan 100 persen mulai Oktober ini. Mereka akan menerima elaun bulanan antara RM200 dan RM400 bergantung kepada bilangan penduduk kawasan masing-masing.

Sewaktu kecil saya berpeluang tinggal sekampung bersama orang asli. Nama mereka ganjil. Antaranya Titoi, Ulat dan kenik. Mereka kaum pribumi istimewa, sikap merendah diri dan hormat sentiasa tertanam dalam diri.

Dulu mereka hidup secara nomad dan berpindah setiap kali ada kematian. Kini tidak. Mereka lebih selesa menetap di rumah ‘merpati’ bantuan kerajaan di kawasan kampung sendiri. Majoriti daripada mereka tidak ke sekolah menengah, lebih gemar menghabiskan masa di dalam hutan mencari rotan.

“Jom lah kita lastik burung punai,” pelawa Amran suatu petang.

Ketika itu saya berusia 12 tahun, dia anak lelaki Titoi, rakan sepermainan. Lastiknya tepat. Satu batu, satu burung pasti menjunam ke bumi.

“Amran, saya tak boleh makan burung ni sebab tak sembelih,” jelas saya kepadanya.

Pantas dia mematahkan leher burung, sekaligus menceraikan kepala dan badan unggas itu.

“Dah boleh makan dah,” katanya menyakinkan saya.

Saya tersenyum.

“Masih tak boleh makan,” kata saya lagi.

Amran tidak marah. Dia faham anutan agama dan budaya kami berbeza biarpun keturunannya dianggap mundur.

Isnin, September 22, 2008

Anak Mancis Menyala

“Semalam aku terpijak mancis api masih menyala,” keluh rakan berkerut dahi.

“Tengok ni, terbakar tu. Siap ada kesan hitam lagi. Sakit gila,” sambungnya.

Saya percaya ada orang lain pernah melalui peristiwa sama, terpijak anak mancis masih menyala. Cuma kadar keluhan mungkin berbeza. Ada berkata ..

“Sakit memang sakit tetapi taklah sesakit berbanding masa aku terpijak bara api dulu. Satu tapak kaki terbakar. Kulit mengelupas tukar color macam udang kena bakar. Masuk hospital 3 hari, lepas tu tak boleh nak berjalan dekat sebulan”

Itu lumrah manusia. Otak anugerah Allah memampukan kita melakukan perbandingan. Jika pernah berhadapan masalah lebih besar sebelumnya, masalah kecil kita rasakan tidak menjadi kudis.

Malang bagi mereka sebelum ini hanya berhadapan masalah kecil. Sekali dugaan lebih besar menjengah, pasti dirasakan berat untuk ditangani.

Berita Biar Melegakan

Awal Julai lalu harga minyak dunia berada pada tahap US148 (RM482) setong berbanding di bawah US100 (RM340) kini.

Kabinet bersidang rabu ini, 24 September bakal menentukan harga petrol dan diesel tempatan. Jika diturunkan pasti ramai menganggap tindakan itu sebagai ‘hadiah’ hari raya.

Ketika ini masyarakat terus merungut. Kenaikan harga minyak tempoh hari sekaligus melonjakkan harga barang keperluan harian. Harga barangan sama tidak berkurangan biarpun pihak kerajaan membuat keputusan menurunkan sedikit harga bahan api sebelum ini.

Sedang kemelut politik melanda, penurunan harga minyak pasti sedikit sebanyak melegakan masyarakat pelbilang kaum di negara kita.

Ahad, September 21, 2008

Hanya Berbumbungkan Langit

[ Dari kiri: Mazidul, Teh, Datuk Johnny, Datin Lily, Harris, Liza dan Iskandar ]

Semalam saya dan semua wartawan 360 berada di Kuantan, Pahang menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Pahang, Datuk Johnny dan keluarga. Turut diundang 70 anak yatim dari Rumah Penyayang Tun Abdul Razak.

“Lebih 20 ribu ringgit Datuk spent buat majlis ni,” bisik wartawan 360, Liza kepada saya.

Apapun majlis itu meriah, dihadiri tetamu disajikan pelbagai juadah.

“Tukang masak kueh tiow ni saya panggil khas dari Kuala Lumpur. Bayar seribu termasuk kos pengangkutan, hotel dan makanan dia sediakan. Tapi dia masak memang sedap. Saiz udang kita tentukan sendiri. Mazidul dah cuba?,” soal Datuk Johnny.

Saya mengangguk dan tersenyum. Dua kali saya membuat pesanan hidangan sama.

“Udang extra, boleh uncle?,” pinta saya setiap kali.

"Boleh! You punya fasal, apa ada hal," balas tukang masak berusia 45 tahun itu.

Di dalam majlis sama, selain anak yatim, sepasang suami isteri Melayu hidup daif menerima sumbangan kewangan.

“Tidur mereka hanya berbumbungkan langit. Bekerja menanam sayur dan menternak ayam telur. Jadi kalau ada nak pesan telur ayam, boleh bagi tahu,” ujar pengacara majlis, rakan baik berketurunan baba Melaka, Jerry.

Dalam gurauan Jerry, saya terpandang air mata bergenang dan menitis malam itu. Air mata mereka memahami, dalam mengecapi kemewahan hidup, ada insan hidup terbiar perlu dibantu.

Itulah dilakukan penganjur biarpun mereka berbeza agama dan bangsa.

[ Kata Mazidul: Happy Birthday Datin Lily. Iskandar, terima kasih menjalani latihan praktikal bersama 360 ]

Asam Boi Mengundang Maut

Lelaki berusia 20 tahun maut ditikam abangnya sendiri gara-gara mempertahankan tindakan adik berusia 3 tahun memakan asam boi kepunyaan kakaknya berusia 14 tahun.

Mangsa cedera parah di rusuk kiri dikejarkan ke klinik namun meninggal dalam perjalanan.

Kejadian berlaku di Kampung Paya, Layang Layang, Kluang, Johor 9 pagi semalam.

Suspek berusia 24 tahun ditahan polis dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sukar saya membayangkan kesedihan merundung keluarga terbabit kehilangan anak 9 hari sebelum umat Islam merayakan Aidilfitri.

Tangan Gatal

Majoriti daripada kita memiliki dua tangan sempurna. Malangnya tidak digunakan sebaik mungkin. Papan tanda ‘Jalan Sehala’ ini saya rakamkan di Kuantan, Pahang. Pemikiran cetek mendorong tangan gatal mengikis tulisan tercacat di papan tanda disediakan pihak berkuasa untuk kemudahan pengguna jalanraya. Itu telahan saya.

Saya percaya vandalisme bukan sahaja berlaku di Pahang malah di pelbagai lokasi berbeza di negara kita. Ada pihak tidak senang melihat papan tanda dalam keadaan sempurna.

Barangkali mereka gembira dan tertawa melihat hasil tindakan tidak berfaedah itu. Siapakah pelakunya? Kanak-kanak? Remaja?

Banyak kali melihat kejadian sama, terfikir, apakah tujuan sebenar pihak terbabit?

Anda ada jawabannya?

Jumaat, September 19, 2008

Bagi Free Aku Tolak

“Badan gemuk macam tu siapa hendak? Tak selera aku. Bagi free pun aku tolak”

Komen jarang dilontarkan secara terbuka di kalangan masyarakat kita tetapi kerap diperkatakan. Jelas, lelaki atau wanita mengalami masalah berlebihan berat badan, obesiti jarang dipilih menjadi kekasih maupun pasangan hidup, suami atau isteri. Apapun, kaum hawa obes dipandang lebih malang berbanding kaum adam.

“Lelaki lain, kalau gemukpun ada lagi orang nak. Masih sedap dipeluk,” antara pandangan biasa kita dengar.

Mungkin sebab itulah wanita bertubuh besar seringkali runsing. Terhimpit dek keadaan sekaligus mengakibatkan tekanan dalam kehidupan seharian. Majoriti daripada wanita obes sanggup berhabisan wang demi mencapai berat badan ideal. Maka slimming centers tumbuh bak cendawan selepas hujan. Setiap satu menawarkan formula bertujuan sama, membuang lebihan lemak di badan.

Dalam soal ini, jangan sesekali berlaku hipokrit ..

“Itu kekurangan dia, hati mungkin baik”

Jika benar hati baik menjadi pilihan, kenapa masih ramai wanita gemuk tidak mendapat pasangan? Majoriti mereka sekadar sudi diangkat menjadi kawan maupun sahabat sahaja.

Masalah obesiti bukan berbentuk domestik malah global tetapi tidak di Afrika. Wanita gemuk di benua terbesar itu dianggap berstatus tinggi menjadi rebutan kerana dikatakan cukup makan berbanding wanita ‘lidi’ terdedah kepada kebuluran. Maksudnya, jika anda wanita mempunyai berat badan lingkungan 50 kilogram, tinggal di Afrika, pasti kedengaran komen ..

“No way man. She’s too skinny. That’s not my taste!’

Peliknya dunia ..



Khamis, September 18, 2008

Period 7 Bulan

“Hih! Kamu ni pasang telinga ya? Itu hal orang perempuan, tak payah menyibuk nak dengar,” itu kata orang tua perempuan dulu kepada anak lelaki mereka.

Kata remaja sekarang ..

“Period tak kisah! Kotex kan ada”

Zaman berubah, begitu juga sikap dan penerimaan manusia. Dulu topik ‘haid’, ‘datang bulan’, ‘datang kotor’, ‘lampu merah’ dianggap taboo, tidak dibicarakan secara terbuka apatah lagi diiklankan di kaca televisyen. Kini jauh berbeza.

Bagaimanapun saya percaya, tidak ramai lelaki berminat dengan isu ini, barangkali. Isu membabitkan darah, isu turut dianggap remeh sesetengah wanita. Majoriti lelaki enggan ambil tahu tetapi menyedari kesan lumrah pusingan biologi kehidupan setiap wanita itu kepada diri mereka.

“Huh! Kerja dia asyik nak marah, mengamuk, angin satu badan, emosi. Macam period dah 7 tahun dia tu,” antara komen sinis mereka lontarkan.

“Alamak! Tolonglah you. Tak boleh pergi sendiri ke?,” keluh suami apabila didesak isteri membelikan tuala wanita di kedai.

“Risau gila ni, period girfriend aku dah lewat 2 minggu, silap-silap jadi ayah instant pulak,” komen diiringi seribu kebimbangan.

Period, antara keistimewaan wanita. Mengajar mereka berurusan dengan kejadian remeh sekaligus dianggap simbol kedewasaan dan kematangan. Perempuan tidak kecoh, period ditangani secara tenang setiap bulan. Jarang terdengar keluhan kecuali segelintir wanita mengalami senggugut atau ‘period pain’.

Bayangkan kalau lelaki period ..

Haaa!

[ Murah senyuman ..]

“Sebab apa lari?,” tanya saya kepada lelaki kudung kaki kanan menyorok di belakang kereta diletak di tepi jalan berhampiran Bazar Ramadan Kelana Jaya.

Dia hanya tersenyum.

“Orang mana ni?,” soal saya.

“Thailand,” jawabnya ringkas.

Menurut pengemis berusia 35 tahun itu, dia berhijrah ke Malaysia sejak 3 tahun lalu. Kini menetap di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Bertandang ke Bazar Ramadan mengemis, dakwanya datang menaiki bas.

“Kaki tu kena apa?”

“Saya dulu askar, kena tembak, cedera teruk, lepas tu potong,” jelasnya fasih berbahasa tempatan.

“Berapa boleh dapat sehari mengemis di sini?”

“Lapan puluh ringgit, seratus pun boleh,” katanya.

Pengemis itu berkata dia berkahwin sejak 12 tahun lalu dan keluarganya menetap bersamanya.

“Anak berapa orang?,” saya sekadar ingin tahu.

“Enam orang, umur 2 tahun paling kecil, 11 tahun paling besar,” jawabnya sambil tersenyum.

“Haaa?”

Dihantar 'Taukeh'

[ Meraih simpati ]

Saya ke bazar Ramadan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor. Di celah-celah orang ramai terpandang pengemis wanita kerdil bertudung. Menampung raga plastik menagih simpati orang ramai. Lalu dia saya hampiri.

“Orang mana ni?,” soal saya berbisik.

Dia mendongak memandang tanpa respon.

“Dia orang Mynmar. Boleh cakap Melayu tu. Tapi bila ditanya pura-pura tak tahu. Saya pernah tengok kereta Mercedes hantar dia bang. Ada 6 orang dalam kereta tu, semua cacat. Kereta tu drop dia orang kat sini minta sedekah,” celah peniaga popia berdiri tidak jauh dari kami.

Kenyataan sama pernah dimaklumkan kepada saya sebelum ini.

“Siapa hantar datang sini?,” soal saya lagi.

“Taukeh,” jawabnya.

Setiap kali saya cuba merakamkan wajahnya, dia pantas memusingkan tubuh kenit membelakangkan saya. Raga biru di tangannya dipenuhi wang derma orang ramai. Maklumlah, Ramadan bulan bersedekah, berpusu-pusu orang ramai menghulurkan sumbangan.

Berasa tidak selesa gambarnya dirakam, pengemis itu mengesut melarikan diri. Saya mengikutnya perlahan. Tiada niat bertindak zalim sekadar ingin tahu berhubung identitinya.

“Ini sindiket la bang. Nanti tengok dalam pukul 8, bila bazar tutup ada kereta ambil dia,” ujar peniaga air tebu sambil mata mengekori kelibat pengemis itu.

Saya tersenyum.

“Dah 18 hari saya perhatikan, dia minta sedekah dari jam 4 petang sampai 8 malam, cikai-cikai pun saya anggarkan dia boleh dapat dalam dua ratus ringgit. Mungkin dia dapat sikit saja, selebihnya taukeh dia ambil,” sambungnya lagi.

Ini pesan bijak pandai agama ..

“Jika ingin bersedekah carilah sasaran tertentu, rumah anak yatim, rumah orang tua, ibu tunggal, bukan diberi secara rambang kepada mereka datang meminta. Islam tidak menggalakkan penganutnya menjadi pengemis”

Geli dan Geli Hati


Gambar ini dikirimkan kepada saya melalui emel bertajuk '16 mati, 5 cedera dan 5 merayau'

Rumah Kata Pergi, Kubur Kata Mari

[ Pengemis tua ]

“Jomlah. Kita masuk kejap. Kalau you boring kita keluar, janji,” ajak rakan.

“Alamak bang! Maaf banyak-banyak, saya tak berapa minat dangdut ni,” balas saya.

“Kalau nak tengok perangai orang veteran jomlah. Orang tua tak sedar diripun ramai kat dalam, jom,” desaknya lagi dalam nada bergurau.

Pelawaan itu membuka hati saya melangkah masuk ke pusat dangdut di Melaka Tengah, Melaka.

“Ini Ina, girl kerja kat sini,” rakan memperkenalkan saya kepada wanita berusia 34 tahun, berstatus janda.

‘Girl’, pelayan pelanggan atau gro.

Dalam suasana kelam dihiasi lampu neon biru berputar saya terpandang lelaki tua ligat berdansa diiringi lagu kopi dangdut. Rambutnya putih beruban, bertubuh rendah kelihatan segak berbaju kemeja. Pasangannya gadis muda seksi berbaju low cut menampakkan pangkal dada, saya anggarkan berusia dalam lingkungan awal 20 an.

“Siapa tu?,” tanya saya kepada Ina.

“Orang tua tu bang, sejak kebelakangan ni memang selalu ke sini. Dengar kata dia baru jual tanah pusaka di Tangga Batu. Dapat 120 ribu. Dia tu hebat, kalau booking girl bukan satu, tiga sekali, selagi tak habis duit tak balik. Buka saja tempat ni, adalah muka dia,” jawab ibu kepada dua anak itu.

“Berapa umurnya tu?,” soal saya.

“58,” balas Ina.

Terfikir, ayah dan suami siapakah dia? Usia lebih separuh abad masih tidak penat. Tenaganya bak orang muda. Letih berdansa dia meneguk air dari botol Chivas, arak berharga ratusan ringgit sambil memeluk anak gadis barangkali seusia anaknya.

“Lelaki, macam tulah selalunya. Umur tak jadi masalah. Pokok pangkalnya, kalau duit banyak, ramai perempuan suka. Cuba poket kosong, tak ada siapa nak. Tapi perempuan kat sinipun sama. Langsung tak berkisah, semua fikir duit. Dapat tips seratus dua, suka. Walhal orang tua tu sebaya ayah dia orang, dipeluk sepanjang malam. Rumah kata pergi, kubur kata mari. Kalau Tuhan cabut nyawa tengah terkinja-kinja tu, baru dia tahu, sia-sia hidup selama ni.” bisik rakan terdengar perbualan kami.

Saya harap tidak semua lelaki berduit di usia tua begitu.

Rabu, September 17, 2008

Wajarkah Dia Mati?

Dua rantai leher disamun mengakibatkan penjenayah berusia 30 an ditembak mati.

Suspek dilaporkan memasuki kedai emas di Pasaraya Giant, Bukit Tinggi, Klang, Selangor pada jam 7.45 malam tadi. Menyamar pelanggan, dia kemudian meminta jurujual mengeluarkan 2 rantai leher dan tangan, memakainya sebelum melarikan diri keluar dari premis terbabit.

Jeritan jurujual wanita itu kemudian didengari pengawal keselamatan lalu mengejar suspek dan menembaknya menggunakan pump gun. Semasa melarikan diri, suspek berbangsa India sempat mecampakkan seutas daripada rantai disamun.

Pegawai dan anggota Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor membuat pemeriksaan mayat menemui seutas lagi rantai di dalam mulut suspek. Tiada senjata ditemui pada mayat terdampar kira-kira 100 meter dari kedai emas terkenal itu. Isteri dan anak penjenayah itu dilapor berada di sekitar premis disamun, mereka dipercayai tidak mengetahui tindakan suspek.

Wajarkah penjenayah terbabit ditembak mati? Itu persoalannya. Memandangkan dia tidak bersenjata.

Selasa, September 16, 2008

Hanya Kerana Tupai?

[ Penumpang kecoh, MAS membisu ]

Penerbangan Malaysia Airlines System, MAS MH 1397 dari Kota Bharu, Kelantan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA pada 15 September dijadualkan pada jam 4.50 petang.

“Delayed?,” soal Fred, warga Switzerland duduk di sebelah gadis Vietnam, teman wanitanya.

Ketika itu jam di tangan menunjukkan hampir jam 6 petang. Fred barangkali hairan kerana tiada sebarang pengumuman dibuat kakitangan MAS bertugas berhubung kelewatan penerbangan petang itu.

“Let me check,” balas saya.

Kaunter di tingkat satu berhampiran pintu masuk ke pesawat dikerumuni penumpang, warga tempatan dan asing. Semua memegang boarding pass dan mengajukan pelbagai soalan kepada kakitangan MAS kelihatan sibuk bercakap di telefon. Sebahagian penumpang ternyata bimbang terlepas connecting flight pulang ke negara asal.

“Apa pun, buat la announcement, pakai mikrofon tu. Dah lebih sejam flight delay ni. Kita nak tau apa jadi,” ujar lelaki tempatan.

Atas desakan, tersekat-sekat pengumuman dibuat kakitangan bertugas. Jelas, penerbangan ditunda ke jam 8 malam. Terpinga-pinga penumpang warga asing tidak memahami pengumuman hanya dibuat dalam Bahasa Melayu itu.

“Sila ke kaunter tiket di bawah untuk mendapatkan boarding pass, dan dapatkan baucer KFC”

Di hadapan kaunter pertengkaran terjadi berikutan beberapa penumpang meluahkan ketidakpuasan hati berhubung layanan diterima.

“Profesional la sikit. Kalau flight delay, announce awal. Jadi kita boleh tengok alternatif lain, balik ke, naik flight esok ke,” teriak penumpang.

Berdiri berhampiran, kakitangan MAS mula meninggikan suara. Saya menjangka dia tertekan akibat pelbagai soalan dilontarkan penumpang. Kakitangan itu berang dan terus bertikam lidah bersama pelanggannya.

“Apa hal ni? Nak marah, menjerit,” saya mencelah.

“Ya lah dia pun tinggi suara, awak pun sama,” balasnya.

Tidak disangka saya turut menjadi ‘mangsa’ barannya. Melihat ‘latah’ kakitangan MAS terbabit mula memasang kuda-kuda, spontan saya mengajak penumpang lain bertepuk tangan.

“Takutnya .. Best! Best! Inilah sikap kakitangan syarikat national carrier,” ujar saya.

Dia berundur dan kemudian mendiamkan diri, kembali ke kaunter.

“Ada tupai penumpang bawa terlepas dalam kapalterbang kat bahagian kargo. Pilot tak berani nak terbang, safety prosedure,” terdengar bisikan kakitangan lain di kaunter.

Ha? Tupai?

Hemat saya, jika benar dakwaan itu penumpang tidak perlu tahu. Cukup sekiranya mereka dimaklumkan lebih awal, pesawat mengalami masalah teknikal. Bukan mengambil keputusan membisu.

Di lantai bawah, jam 7.14 malam penumpang sibuk mendapatkan boarding pass ketika umat Islam lain berbuka puasa. Beratur panjang mengejar masa, baucer KFC tidak berguna. Penumpang berbuka sekadar meneguk air mineral dan makan buah tamar dibeli di kedai berhampiran kaunter tiket.

Jam 8 malam majoriti penumpang kemudian diarah menaiki penerbangan gantian, MH 1405 ke KLIA manakala sebahagian lagi terpaksa menunggu penerbangan berikutnya pada jam 10 malam.

“Dia orang ni ada banyak manual, manual penerbangan, manual prosedur kecemasan tetapi tak ada manual menangani masalah bila penerbangan delay,” keluh penumpang berdiri bersama anak dan isteri.

Ini bukan kali pertama, bisik hati.

Saya tiba di KLIA pada jam 9.30 malam dan terus ke tempat pengambilan bagasi. Satu lagi berita buruk dimaklumkan kakitangan MAS di lokasi terbabit.

“Beg semua dah keluar. Ada 10 beg hilang. Berita kami terima, beg tu ada dalam kapal touch down jam 11.45 malam. Encik nak tunggu ke atau nak buat repot hilang?”

“Saya tunggu”

Di sudut berhampiran, lelaki berusia warga Jepun gelisah, marah.

“I have all my documents in that bag. I have asked the MAS staff in Kota Bharu to double check to ensure my bag will arrive here. They promised it’s going to be ok. But it’s not! You people are wasting my time”

Jam 12 malam saya melangkah keluar dari pintu ketibaan KLIA, penat.

Terfikir, inikah MALAYSIA Airlines System?

Isnin, September 15, 2008

Gagak Naik Tocang

Malam tadi 3 krew bilik berita TV3 diserang warga kulit hitam di Taman Cornaugh, Cheras, Kuala Lumpur sewaktu membuat liputan di restoran dikunjungi majoriti pelanggan berkulit hitam.

Menurut wartawan, Puspavathy Ramaloo, jurukamera dan pembantu mengalami cedera ringan akibat bergelut sewaktu cuba menyelamatkan kamera dianggarkan bernilai lebih 100 ribu ringgit. Semasa merakamkan kecederaan dialami pembantu jurukamera, kamera kedua turut dirampas.

Mereka kemudian membuat laporan di Balai Polis Taman Maluri. Polis kemudian bertindak menahan 4 suspek termasuk wanita tempatan, pemilik premis menjual makanan sama.

Saya harapkan mereka melalui saat getir itu penuh kesabaran.

Sikap terlampau sesetengah warga asing berkulit hitam itu melambangkan mereka sudah mula naik tocang. Justeru, pihak berkuasa harus mengambil tindakan lebih tegas bagi memastikan tocang mereka tidak terus tegak.

Don't Know What You Got Till It's Gone

[ Tak sibuk, terlelap di bazar Ramadan ..]

“Sebelum ni I ada boyfriend, lelaki senegeri, sama umur tetapi putus sebab dia ‘gedebe’. Tau tak gedebe tu apa?,” soalnya.

“Samseng?,” jawab saya.

“Lebih kurang la,” ujarnya.

“Betul ke putus sebab gedebe?,” soal saya.

Dia terdiam seketika.

“Eh! Sebab I sibuk sangat kerja kut, jarang ada boyfriend boleh tahan lama,” aku nya.

Dia kerja hampir 7 hari seminggu. Usianya baru mencecah 24 tahun, berkulit cerah dan dikurniakan wajah manis biarpun agak pemalu.

Sibuk dilihat antara alasan ramai samada lelaki atau perempuan secara sedar atau tidak menjauhkan diri daripada insan menyanyangi. Sibuk kerana tugas, sibuk kerana urusan seharian malah ada antara kita buat-buat sibuk.

“I pun tak faham. Dulu masa baru kahwin, suami I selalu duduk rumah. Spent time dengan keluarga. Tapi sejak kebelakangan ni, dia kerja siang malam, macam dah lupa rumah. Kekadang hairan dibuatnya sebab kami dah ada semua, kereta, rumah, tanah, you name it. Kalau difikirkan, dulu engineer, sekarangpun dia engineer juga. Tak berubahpun,” keluh isteri kerap ditinggalkan suami.

Isteri itu kesunyian barangkali. Mungkin tidak terlintas di benak suami apa bakal berlaku andai isteri mencari teman mengisi ruang kesunyian. Apatah lagi kalau teman dipilih itu berlainan jantinanya.

“Bini aku sejak buat bisnes ni memang jarang lekat kat rumah. Kejap meeting sini, kejap meeting sana. Kalau tak meeting dia keluar dengan kawan-kawan, nak cari contact katanya. Maid Indonesia aku tu lah jaga anak-anak, tengok makan minum, pakai aku dan anak-anak. Dah banyak kali nasihat tapi tak berubah, macam mencurah air ke daun keladi. Aku dah bosan sampai tahap cicak-cicak di dinding ni. Kang kalau aku buat gila kahwin dengan maid tu, baru padan muka dia,” keluh suami beristeri sibuk.

Sifat manusia, kita kerap terlepas pandang. Memburu kesenangan dan kemewahan antara alasan sehingga tanpa disedari mengabaikan kekasih, isteri maupun suami. Bila mereka hilang, barulah kita mungkin akan tercari-cari dan kesal atas kesilapan sendiri. Tetapi ketika itu mungkin segalanya sudah terlewat.

Teringat serangkap lirik lagu Inggeris popular dalam tahun 1988, ‘you don’t know what you got till it’s gone’. Semuanya boleh ‘gone’ hanya kerana kita gagal memahami atau mempraktikkan pengurusan masa betul.

Ahad, September 14, 2008

Berani Ke Tengok Darah?

[ Nurafera dan Nurafina ]

Hari ini saya diundang melawat Kolej Islam Sains dan Teknologi, KIST di Mukim Telong, Bachok, Kelantan. Kolej berusia 3 tahun menempatkan lebih 2 ribu pelajar menawarkan 12 kursus berbeza. Antaranya kejururawatan dan pembantu perubatan. Tamat ceramah ringkas kepada lebih 100 pelajar saya bertemu sepasangan remaja kembar berasal dari Jalan Rentap, Sarikei, Sarawak.

“Siapa kakak, siapa adik?,” soal saya.

“Saya Dayang Nurafera Awang Omar, kakak. Adik saya Dayang Nurafina,” balas remaja berusia 19 tahun itu sambil tersenyum.

Nurafera ditaja MARA, adiknya PTPTN.

“Sebab apa ambil jurusan pembantu perubatan?,” soal saya lagi.

“Oh! Emak kami kerja hospital, ketua jururawat, sister,” balas Nurafina.

Kerjaya turun-temurun rupanya, bisik hati saya.

“Awak tau kan nanti bila dah kerja kena rawat orang accident, kaki terkulai, cedera berlubang sana sini. Berani ke tengok darah?”

Mereka terdiam seketika sebelum Nurafera bersuara.

“Takut juga. Tapi kita akan biasakan diri, cuba, InsyaAllah”

Saya tersenyum. Percaya mereka akan mencuba sedaya upaya berhadapan situasi mencabar sepanjang kerjaya sama dipilih dua hati berbeza.

Sewaktu tiba di KIST, saya dan wartawan Harris Farok Alex dibawa meninjau pelajar sedang menjalani peperiksaan amali. Mereka memberikan rawatan kepada ‘pesakit’ asma, menyambut kelahiran ‘bayi’ dan melakukan pelbagai kegiatah lain. Teruja saya melihat gadis remaja bersemangat tinggi berhadapan ‘pesakit’ memerlukan bantuan.

Suatu hari kita juga akan sakit, dimasukkan ke hospital. Waktu itu kita akan bertemu mereka berkerjaya sama, biarpun mungkin bukan dari KIST. Dalam ceramah saya nyatakan ..

“Saya ingin berpesan, orang mendapat rawatan di hospital bukan golongan gembira. Mereka pesakit. Perlukan rawatan. Pasti majoriti mereka tidak mampu tersenyum, ramai mengeluh, banyak kerenah. Justeru, kamu semua harus ada jiwa. Jiwa bekerja dengan tulus dan ikhlas. Kamu senyumlah. Senyuman kamu mungkin dapat mengurangkan kesakitan”

Terima kasih kepada Pengurus Komunikasi Korporat KIST, Puan Noor Haslina Abdullah sudi memberi ruang dan peluang saya meninjau kolej perubatan terbabit.

Hubungi beliau sekiranya berminat menuntut di KIST. Emel, haslina@kist.edu.my atau talian 019 985 7423.

Hati Itu Ada Banyak Pintu

“Saya dengan dia dah 4 tahun bang Tapi kami ni asyik bergaduh. Bila gaduh dia mesti tinggikan suara, tengking-tengking saya. Saya selalu cakap, dalam perhubungan ni mesti ada masalah. Tapi kita boleh bincang baik-baik, bincang cara dewasa. Bila saya cakap macam tu dia letakkan telefon. Lepas tu saya akan call dia balik. Biarpun bukan salah saya jadi punca pergaduhan, everytime saya pula kena minta maaf dengan dia,” keluh rakan lelaki berusia 28 tahun.

Adat orang muda bercinta, bisik hati saya.

“Macam ni la. Awak masih ada banyak masa. So, cuba tengok balik, analisa, selama bercinta tu banyak bahagia ke atau banyak derita. Orang bercinta ni tujuan sebenarnya nak mencari kebahagian tapi kalau asyik bergaduh, itu mengundang derita namanya,” komen saya.

Dia mendiamkan diri, mungkin berfikir.

“Saya faham, bukan senang nak tinggalkan girlfriend kalau dah 4 tahun bersama. Memang susah nak melupakan especially semua saat manis dilalui. Tapi fikirkan balik. Awak sebenarnya ada pilihan. Hati manusia ni bagi saya ada banyak pintu. Sekarang ni awak hanya buka satu pintu untuk girlfriend awak dan tutup pintu selebihnya. Sedangkan entah-entah ramai lagi perempuan cuba mengetuk pintu lain, nak menjengah, kalau awak benarkan”

Dia mendengar khusyuk.

“Awak sanggup derita, kena marah, tidak dihormati, tortured, memendam rasa. Saya simpati, sampai muka handsome nampak muram,” usik saya.

“Betul tu bang,” sampuk rakannya lebih muda duduk di sebelah.

“Jujur cakaplah, ada tak perempuan lain, ketuk pintu dalam hati awak tu?,” soal saya.

“Ada,” jawabnya ringkas diikuti hilai tawa gembira.

“Bagus. Kalau macam tu bukalah pintu tu. Izinkan dia menjengah. Bukan nak suruh masuk teruspun. At least kalau ada dua, awak boleh membuat perbandingan, basis of comparison. Tengok mana satu lebih baik dari segi sikap dan peribadi. Mana satu lebih menghormati, boleh diajak berbincang setiap kali timbul masalah, bukan jenis menengking ikut emosi. Tak salahpun sebab awak bukannya dah kahwin, masih bujang, still ada hak memilih”

“Betul kata abang tu,” terukir senyuman di bibirnya.

“Kalau the second one is better, why should you stick to the first one?,” soalan penting saya lontarkan.

“Selama ni dengan the second one tu, saya sekadar kawan. Saya bagi tahu dia, saya ada girlfriend. Tapi asyik bergaduh,” balasnya.

“Ha! Itu tak bagus. Sebab kalau boleh jangan sesekali burukkan girlfriend sendiri dengan perempuan lain awak suka. Nanti nampak awak meraih simpati. What you should do is, kalau dia suka kat awak, nilai keduanya secara berasingan, independently. Biar adil,” respon saya.

“Kita orang dah lama cakap kat dia bang. Tapi ..,” celah rakannya seorang lagi.

“Dia degilkan?,” soal saya.

Mereka bertiga tersenyum.

“Katalah, lepas kenal lebih rapat, awak tengok the second one lebih bagus dan dia ada potensi jadi kekasih, percayalah, time tu kalau girlfriend awak sekarang ni mengamuk, mesti awak tak stress sebab dah ada 'back up' tempat menggantung harapan. So, tak ada hal la sangat nak tinggalkan girlfriend awak tu. Awak takkan frust. She might deserve someone else, not you. Macam tu juga awak. Kalau dah bertunang, kahwin, baru nak buat pilihan, itu dah terlambat sebab nanti babitkan kes putus tunang, cerai berai, payah,” ujar saya.

“Ok bang,” katanya.

Kekadang orang bujang samada lelaki atau perempuan terlupa. Tiada ikatan sah dengan kekasih, tiada tanggungjawab. Maksudnya, mereka masih berhak memilih pasangan terbaik bakal menempuh kehidupan bersama hingga ke akhir hayat dalam alam rumahtangga. Jangan ‘disimpan’ kekasih bagai api dalam sekam, bimbang nanti membakar diri di kemudian hari.

[ Kata Mazidul: Saya di Kota Bharu, Kelantan ]

Sabtu, September 13, 2008

Carilah Sahabat

Sesungguhnya sukar mencari kawan. Kawan sudi bersama sewaktu susah dan senang. Apatah lagi mencari kawan boleh dinaikkan martabatnya kepada ‘sahabat’. Insan susah senang tetap bersama kita.

Ramai insan kita temui dalam perjalanan hidup jarang kekok bersama sewaktu kita senang. Waktu hidup kita mewah, waktu kita tidak bermasalah. Sebaik bahana maupun bala datang menjengah, majoriti insan bergelar kawan itu hilang melarikan diri.

Justeru, berhati-hatilah dalam mencari kawan. Jika ada sahabat, peliharalah perhubungan sehingga ke akhir hayat.

Jumaat, September 12, 2008

Kahwin La ..

“Pak Man muda lagi apa? Baru 68 tahun. Mak cik pun dah lama pergi, anak-anak dah besar.Takkan tak rasa kesunyian? Ada orang jaga. Kahwin la”

Selalunya saranan begitu diterima lelaki bergelar duda.

“Mak cik pun muda lagi apa? Baru 58. Pak cik dah lam pergi, anak-anak dah besar. Takkan tak rasa kesunyian? Ada orang jaga. Kahwin la”

Janda disaran mendirikan rumahtangga selalunya akan berkata ..

“Hih! Awak ni. Buang tabiat ke? Tak apalah. Hidup seorangpun selesa. Dah tua dah umur 58 tu”

Mengapa?

Ditikam Dan Kelar [ Edisi Awal ]

Suami berusia 48 tahun membunuh isteri dan pembantu rumahnya, kejadian berlaku pada 8 pagi tadi di rumah teres dua tingkat di Jalan Wawasan 3/8 Taman Warisan, Puchong, Selangor.

Bermula dengan pertengkaran kecil, suspek kemudian dilapor menikam pembantu rumah dikenali sebagai Shalin berusia 20 tahun. Sebaik melihat kejadian itu, isteri suspek berusia 37 tahun duduk di ruang tamu menjerit meminta ibu mertuanya membawa 3 anak pasangan terbabit berusia antara 4 bulan dan 4 tahun keluar dari rumah. Bagaimanapun, dia dikelar suspek, pekerja kedai menjual barangan logam di Puchong.

Pasukan Forensik menemui pisau digunakan membunuh ke dua mangsa di tempat kejadian. Polis masih menyiasat motif pembunuhan dan menganggap kes selesai berikutan penahanan suspek terbabit.

Rabu, September 10, 2008

Dirogol 5 Lelaki

Sabtu lalu, gadis berusia 17 tahun mengikut teman lelaki baru dikenali pulang ke rumah di Kepong, Selangor.

Dia kemudian dirogol 5 lelaki termasuk teman lelakinya secara bergilir-gilir. Mangsa ditinggalkan di Taman Shamelin, Cheras dan terpaksa berjalan kaki 5 kilometer pulang ke rumahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Terlalu mudah gadis itu diperdaya.

Raja Rimba

Ngauman raja rimba, singa boleh didengari jelas pada jarak 5 kilometer. Ngauman lambang kekuasaan haiwan ditakuti manusia dan binatang lain di hutan belantara. Itu fakta.

Singa bergerak dalam kumpulan, ada ‘komander’ sebagai pemerintah. Justeru kekuatan mereka tidak dapat disanggah secara mudah. Bertempur, haiwan pencabar pasti rebah, berdarah. Itu satu lagi fakta.

Bagaimanapun singa betina dan dubuk jantan mampu berkongsi buruan, makan bersama tanpa masalah. Tidak singa dan dubuk jantan. Biarpun makanan mencukupi dikongsi, dua haiwan berbeza sama jantina itu tetap bertarung. Itu juga fakta.

Terfikir, mungkin itukah sebab di kalangan manusia, lelaki selalunya lebih selesa bersama wanita?

Jangan Kerap Mengeluh

Dalam hidup setiap kita berdepan pelbagai masalah. Masalah besar maupun kecil. Justeru, ramai antara kita acapkali merungut.

“Aduh! Pening kepala dibuatnya. Aku dah demam 4 hari, pergi klinik jumpa doktor. Doktor cakap demam biasa, makan ubat ok katanya tapi badan masih panas ni”

Ada juga mengeluh ..

“I balik dari KL, penat bulan puasa ni, haus, lapar, sampai kat airport Kota Bharu, tengok tengok bumper kereta scratched, ada orang langgar. Nak repair pun sikit”

Malah tidak kurang berkata ..

“Sejak minggu lepas aku macam hilang selera nak makan. Risau juga ni”

Golongan bimbang mengungkapkan ..

“Kerja dah buat tapi payment tak masuk lagi. Susah sangat jadi subcon ni”

Tapi harus kita ingat, sewaktu kita berdepan dengan masalah terbabit ada golongan pada masa sama menghadapi masalah LEBIH besar. Ibu dan ayah baru kehilangan anak tercinta maut akibat kemalangan jalanraya, lebih pilu perasaan mereka. Pesakit kronik barah dirawat menggunakan kaedah kimoterapi lebih terseksa fizikalnya. Ibu tua disisih anak anak sekian lama menjelang hari lebaran, lebih merana jiwanya. Isteri kehilangan suami akibat dibunuh, diburu mimpi ngeri, lebih kecewa.

Maka, bersyukurlah. Elakkan daripada mengeluh. Jika difikirkan secara teliti, masalah kita tidak sebesar mana sebenarnya.

Sukarnya Menjawab

“You pilih, I atau dia?,” kata si gadis.

Termanggu si teruna berfikir. Berpeluh dahinya.

“Cepat. You had better make your decision. I atau dia?,” desak si gadis lagi.

Betapa susah kekadang dalam membuat satu keputusan. Tambahan pula soalan itu jauh lebih sukar dijawab berbanding soalan UPSR bermula semalam.

Benar atau tidak? A atau B? Jadi atau tidak? Soalan berbentuk ‘close question’. Maksudnya, kita tidak dibenarkan memilih keduanya sekali. Manapun jawaban dipilih, pasti ada kesan tersendiri. Kesan kepada jawaban dipilih dan terhadap kita menjadi pemilih.

Soalan berikut mungkin terpaksa kita jawab apabila tiba waktunya. Tapi saya memohon pembaca memberikan jawabannya sekarang. Catatkan di bahagian ULASAN entry ini.

Di antara menyayangi dan disayangi, mana satu pilihan anda?

Pilih SATU jawaban SAHAJA. Jika jawaban a) menyayangi atau b) disayangi, jelaskan mengapa?

Tapi, kalau keberatan menjawab soalan itu, saya sediakan 1 soalan pilihan ..

Di antara mengecewakan dan dikecewakan, mana satu pilihan anda?

Peraturannya sama seperti di atas.

[ Kata Mazidul: Selalu saya tulis, anda baca. Ini sebaliknya .. ]

Jumpa Mayat [ Edisi Awal ]

Lelaki Cina berusia 41 tahun ditemui mati di tempat letak kereta berhampiran Flat Taman Dagang, Ampang, Selangor awal malam tadi. Lokasi kejadian, kira-kira 200 meter dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang.

Mangsa didapati cedera di bahagian belakang kepala. Dipercayai lelaki itu bukan tinggal di kawasan kejadian, datang bertemu isterinya di flat 5 tingkat terbabit.

Sehubungan itu, isterinya dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan. Manakala mayat dibawa ke Hospital Ampang untuk bedah siasat. Pihak polis masih menyiasat samada mengklasifikasikan kes terbabit mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) atau mati mengejut.

Butiran terperinci menyusul ..

4.17 pagi

Jika Manusia Tidak Lupa

“Ala, lupa la nama dia,” kata rakan.

Saya kata ..

“Tak apa. Bersyukurlah. Itulah manusia normal. Kita boleh lupa”

Sikap lupa seringkali dilihat sebagai satu kekurangan. Tetapi bayangkan jika kita tidak lupa, otak menyimpan secara kekal maklumat terperinci berhubung setiap peristiwa berlaku sepanjang hayat.

Seorang lelaki di Amerika Syarikat mempunyai ‘kelebihan’ itu. Dia tidak boleh lupa. Malah dalam satu demonstrasi, dia mampu mengingat dan menyebut setiap patah perkataan dalam buku pernah dibaca. Pakar mengesahkan otaknya tidak normal, cacat.

Jika ‘kelebihan’ itu dimiliki semua, pasti dari beberapa sudut, kehidupan manusia menjadi hura-hara.

Hakikatnya, kita semua pernah berdepan pelbagai peristiwa getir. Saat ditinggalkan insan tersayang, saat berhadapan kemalangan, saat ‘dilukakan’, saat sentiasa menghantui pemikiran, cuba kita lupakan tetapi terpahat kekal di fikiran.

Di kalangan wanita barangkali terdengar rungutan berhubung kejadian lampau.

“Aku dah 10 tahun kahwin dengan suami, dia boyfriend ke dua aku. But the problem is aku masih tak boleh lupa malam tu, malam boyfriend pertama pujuk sampai aku serahkankan kegadisan kepada dia, lelaki tak guna. Jiwa tersiksa, ingatkan dia nak kahwin, jadi suami, akhirnya baru tahu dia tipu aku hidup-hidup. Dia ada perempuan lain. Habis manis sepah dibuang. Dia buang aku macam sampah pulak tu. Aaaargh! Tension! Tension!”

Di satu sudut lain ..

“Aku sedih sangat. Tak boleh lupa masa aku accident moto dilanggar lori dengan tunang aku 15 tahun lepas. Aku cedera sikit, boleh berdiri. Dia tercampak jauh. Cedera parah, pinggang, rusuk patah, buah pinggang dia hancur. Banyak sangat darah. Kulit muka dia tersiat kena batu jalan. Aku sempat pangku dia, peluk dia, renung mata dia, airmata dia mengalir tahan sakit tapi suara tak boleh keluar, masa tu dia dah nyawa-nyawa ikan, menggigil. Lepas tu perlahan mata dia terpejam, dia tinggalkan aku,” mengalir airmata si pengucap.

Ini perbualan antara dua sahabat berusia 50 tahun.

“Aduh! Sakit gila ni!,” keluh lelaki gagal memadamkan ingatan sewaktu dikhatankan 43 tahun lalu.

“Aku pun sama, takut, pedih, ngilu, sentiasa rasa macam masa mata pisau tu tengah potong hujung ‘anu’, terasa sakit ni,” balas rakannya dengan dahi berkerut.

Antara seksa terpaksa dilalui sekiranya manusia tidak mampu untuk lupa.

[ Kata Mazidul: Mesti ramai jadi hafiz .. ]

Selasa, September 09, 2008

Tiga Mati [ Edisi Awal ]

Jam 4.45 pagi tadi, 4 penjenayah warga Indonesia memecah masuk rumah di Taman D’Kayangan, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor. Dua daripada mereka mengikat pengawal keselamatan bertugas manakala dua lagi menyerbu masuk dan menjadikan suri rumah, 41 tahun sebagai tebusan.

“Wanita itu tidak sempat melarikan diri, lalu bergelut dengan penjenayah. Suaminya, pesara polis berusia 70 tahun serta dua anak perempuan berusia 18 dan 19 tahun berjaya terjun dari tingkat dua rumah mewah mereka. Anak, patah pinggang dan kaki, ayah cedera ringan. Mereka kemudian menghubungi polis,” kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dalam sidang media pada jam 9 pagi tadi.

Polis tiba di lokasi dilapor berbincang selama 3 jam cuba memujuk penjenayah melepaskan tebusan. Bagaimanapun penjenayah bertindak kejam menikam mangsa di leher, dada dan perut mengakibatkan wanita itu mati di tempat kejadian. Polis dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman kemudian menembak mati dua penjenayah dan menahan dua lagi. Rumah sama dipecah masuk penjenayah 1 September lalu.

Tindakan polis itu amat wajar pada hemat saya.

Ilmu Tidakkan Luak

Mei lalu, sewaktu mula menjadi blogger, tidak terlintas di hati blog ini mampu mencatat hits melebihi 46,000. Biarpun statistik itu terlalu jauh lebih rendah berbanding bilangan hits political blogs, saya tetap berpuas hati.

Saya masih belajar, belajar menulis dari hati. Belajar memahami intipati dan kisah kehidupan buat dicerna bersama anda semua, pembaca bukan sahaja berada di Malaysia malah di luar negara, antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Indonesia, Arab Saudi, Jepun.

Sesetangah pembaca awal kini regulars. Terima kasih atas sokongan itu. Terdapat juga pembaca baru sudi melontarkan pandangan melalui ruangan ulasan. Sekalung penghargaan kepada mereka.

Bagi majoriti blogger, impian mereka ingin meraih 1 juta hits. Itu tidak penting bagi saya. Mungkin tercapai, mungkin tidak. Tujuan lebih penting, agar catatan di blog ini mampu menyematkan sedikit sebanyak ilmu tambahan di dada. Justeru, khabarkan kepada rakan dan taulan berhubung kewujudan blog ini supaya kandungannya dikongsi lebih ramai.

Saya percaya, jika kita memiliki wang seringgit, diberikan 40 sen kepada rakan, maka wang kita berbaki 60 sen, kurang jumlahnya di tangan. Ilmu berbeza, dikongsi bersama orang lain, tidak langsung luak biar sebesar zarah sekalipun.

Benci Dan Sayang Biar Berpada

“I benci dia. Benci! Benci! Benci!”

Ungkapan kerap kita dengar. Benci, perasaan terdorong akibat kita tidak gemar dengan perlakuan maupun perbuatan orang lain. Barangkali orang itu secara sengaja atau tidak menyakitkan hati, mengguris perasaan atau menjatuhkan maruah diri kita. Biarpun suatu ketika dia mungkin pernah kita sayangi sebelum dibenci. Barangkali sebelum dia dibenci kita pernah berkata ..

“I sayang you. Sayang! Sayang! Sayang!”

.. kepadanya.

Kata saya, jangan terlalu mudah membenci seperti juga usah terlalu mudah menyayangi kerana sayang boleh bertukar benci, benci boleh bertukar sayang andai ditakdirkan. Benci dan sayang biar berpada, itu pesanan orang terdahulu.

Kepada gadis, jangan terlepas kata kepada lelaki. Umpamanya ..

“Aku menyampah, meluat dan benci tengok dia tu”

Acap kali berlaku, ‘dia’ itu kemudian ditakdirkan menjadi kekasih dan suami disayangi hingga ke akhir hayat.

Kepada pasangan bercinta, ingat ..

Segalanya bermula dengan detik manis. Jika di penghujung, perhubungan manis bertukar pahit, terimalah dengan hati terbuka. Tamatkan perhubungan itu secara baik sepertimana ia bermula. Cuba jangan membenci bekas kekasih kerana hakikat tidak terpadam dek minda, suatu ketika, dia insan pernah kita sayangi.

Isnin, September 08, 2008

Apa Bezanya?

Kenyataannya ..

“Lin tu girlfriend Azman”

Status Azman, berkahwin.

Komen ..

“Alah! Biasalah, lelaki memang macam tu. Tak cukup satu kat rumah”

Kenyataan lain ..

“Hisham tu boyfriend As”

Status As, isteri orang beranak dua.

Komen ..

“Cis! Dah kahwin pun ada boyfriend? Pelik sungguh aku. Apa tak kena dengan si As tu? Gila ke apa?”

Kenapa?

Payah

Jam 8.06 malam, 7 September saya menerima SMS di talian hotline 360.

Pengirim mendakwa guru wanita mengajar bahasa Inggeris tahun 4 sekolah rendah di Kuala Lumpur mendenda pelajar mengurut kakinya di bawah meja di kelas. Saya kongsikan SMS terbabit sebagai tatapan anda.

‘Lebih teruk lagi, ada murid lelaki mendakwa nampak kemaluan guru terbabit kerana guru itu akan menyelak kainnya sebelum kakinya diurut. Perkara ini telah diadukan kepada guru besar sekolah tetapi perbuatan itu dimaafkan dan tidak diambil serius’

Seksyen 354 Kanun Keseksaan, mencabul selalunya diapplikasikan apabila mangsa, perempuan.

Payah.

Ahad, September 07, 2008

Antara Bujang Dan Laki Orang

[ Gambar hiasan sahaja ]

Terdengar sembang dua gadis manis ..

“Kau masih dengan dia lagi ke?,” tanya Amy.

“Masih,” ringkas jawab rakannya, Lis.

Kedua mereka berusia 22 tahun.

“Kan dia tu laki orang,” ujar Amy.

“Macam la aku tak tahu, dah 4 tahun aku dengan dia, bahagia. Kau pulak? Masih dengan boyfriend 23 tahun tu lagi?,” tanya Lis kepada Amy.

“Masih cam tu juga la. Cuma lately ni dia selalu buat hal. So, kerja kita orang asyik bergaduh. Stess aku, bosan. Umur dia 23 tapi perangai cam budak 18 tahun. Angin, jeles tak menentu, fikiran singkat. Sekarang ni mana aku pergi, dia locate pakai friend finder. Ada waktu kena hantar MMS, nak tau aku dengan siapa dan di mana. Bila marah, dah pandai naik tangan. Dia ingat aku ni apa? Pas tu aku asyik kena ‘ketuk’ jer. Setiap kali keluar makan, aku bayar. Letih lah macam tu,” keluh Amy.

“Aku setakat ni, boleh la. Boyfriend orang tua kan. Slow, gentle dan tak gelojoh. Dia berpengalaman jaga bini lebih 20 tahun, takkan tak pandai nak jaga aku, kan? Kalau tak nak aku cari orang lain. Less cemburu. Fasal belanja, no hal. Memang la dia tak sara aku, tapi kalau setakat shopping tu, tak ada masalah. Dia selalu bayarkan. Ya lah, umurnya pun dah 43 tahun. Fikiran stabil, financially stable,” komen Lis.

“Cari jer la boy lain. Kau kan cantik. Sekali petik, 10 datang,” saran Lis.

“Kalau boy muda lebih kurang sama kisahnya. Terfikir gak nak cari laki orang macam engkau. Tapi fikir balik, kalau boyfriend laki orang, tak kemana juga,” usik Amy.

“Janganlah! Kau sanggup ke kena serang dek isteri dia? He! He! Tapi kalau bujang pun tak tentu, asyik nak ‘kahwin’ jer, nikahnya tak juga. Selalu tak berduit, hampeh!,” balas Lis selamba.

Mereka tertawa. Saya tumpang sekali.

“He! He!”

Mereka menjeling, menyedari perbualan dicuri dengar. Saya katakan ..

“Sorry, payah nak pilih tu, kan?”

Sabtu, September 06, 2008

Melayu Hebat Jual Diri

Kegiatan pelacuran berlaku di seluruh pelusuk dunia. Kegiatan tidak bermodal tetapi menawarkan imbuhan bagi golongan terbabit dalam profesyen tertua di dunia itu.

Di negara kita Melayu, Cina, India melacur. India merangkumi 2% daripada statistik dikeluarkan Bukit Aman, Cina 30% dan Melayu 60%.

Mengapa Melayu 60%?

Jumaat, September 05, 2008

Berlaku Hanya Sekali

Setiap kejadian berlaku dalam kehidupan hanya sekali.

“Eh! Tapi kalau lelaki kahwin boleh 4 kali, berulang,” usik rakan apabila mendengar saya mengeluarkan kenyataan di atas.

“Memang betul. Tapi saat dinikahkan itu unik, tetap sekali. Sekali dinikahkan dengan isteri pertama, sekali dengan isteri kedua, sekali dengan isteri ke tiga dan sekali dengan isteri ke empat. Perbuatan dinikahkan itu tetap sekali,” jelas saya.

“Samalah dengan kelahiran anak. Kalau ada 3 anak. Kelahiran itu berulang. Tapi setiap anak hanya lahir sekali,” sambung saya.

Itu antara keunikan kehidupan kita. Begitu juga kematian, hanya berlaku sekali.

Terus Bersemangat

[ Selamat bertugas .. ]

Saya rakamkan wajah mereka pada jam 1 pagi, 5 September 2008. Mereka bukan orang kenamaan jauh sekali artis dikenali ramai. Berusia antara 18 dan 31 tahun.

“One for the album. Boleh semua pandang sini tak?,” pinta saya sambil bersedia menekan butang kamera.

“Masukkan dalam blog bang,” respon seorang daripada mereka jauh lebih muda berbanding usia saya, 41 tahun.

Saya tersenyum.

“Ok”

Klik!

Mereka, wartawan dan jurugambar meja jenayah pelbagai media cetak dan elektronik bertugas mengikut jadual. Tapi saya tahu ada antara mereka kurang tidur kerana bekerja hampir 24 jam sewaktu gambar ini dirakamkan.

“I was there before,” detak hati saya.

Semoga mereka semua terus bersemangat menjalankan tugas. Tanpa mereka, tiada paparan maupun cerita berhubung kes jenayah di Lembah Klang.


Kata Pak Sako

Antara kenyataan Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigeresen, Datuk Ishak Mohamed dalam sidang media ringkas pada jam 1.30 pagi tadi ..

“Kita kena menerima hakikat bukan semua warga Afrika itu illegal. Kerajaan Malaysia memang menggalakkan pelajar asing menuntut di negara kita”

“Ada 3 kawasan dikenalpasti berdepan dengan kebanjiran warga Afrika di Selangor. Ampang, Kepong dan Puchong. Awak (wartawan) semua standy, nanti kita akan panggil ikut operasi, very soon”

“Bila saya masuk ke dalam restoran Little Afrika tu, ada lelaki berkulit hitam berkopiah putih memberi salam. Bila saya tengok dia pegang tin arak, saya pun tanya dia, are you a muslim? Dia kata, no, I am a Christian”

“Kebanyakkan daripada mereka kita bebaskan selepas diperiksa, pelajar. Petang, waktu ‘happy hours’ dia orang minum arak dan mabuk, buat bising. Bagi dia orang, itu biasa. Bagi masyarakat kita, itu ganjil”

“Lesen Little Afrika tu dikeluarkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Tapi tengok ni ha, lesen kedai kopi”

Khamis, September 04, 2008

Antara Berita Suka dan Duka

Akhirnya pengguna sistem pengangkutan mendapat kemudahan 2 ribu bas tambahan semperna musim perayaan akan datang ini. Itu kata Menteri Pembangunan Usahawan.

Perdana Menteri pula membayangkan dalam satu sidang media harga minyak petrol bakal diturunkan 15 sen sebelum hari lebaran menjelang tiba.

Itu antara berita gembira.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham tokoh wartawan terkemuka dan pejuang kemerdekaan, Tan Sri Samad Ismail, meninggal dunia akibat jangkitan paru paru pada jam 5.58 petang tadi pada usia 84 tahun. Beliau lebih dikenali sebagai Pak Samad pernah berkhidmat di Divisyen Berita TV3 lebih 14 tahun lalu.

Al-Fatihah ..

Potong Kaki

“Sebelum ni aku bukan biasa bangun malam pergi toilet, kencing. Lately ni sampai tiga empat lima kali, kadang-kadang lebih, hairan juga,” ujar rakan.

“Selalu rasa haus tak?,” soal saya.

“Ha! Betul. Rasa macam nak minum especially carbonated drink. Cokes ke, Pepsi ke. Apa sajalah minuman bergas,” jelasnya.

“Kalau macam tu bro, elok la engkau pergi check darah kat klinik. Itu dua simptom utama kencing manis tu. Aku tahu,” kata saya.

15 tahun dahulu tiada siapa mengingatkan saya berhubung perkara sama. Waktu awal organ dalaman saya diserang virus.

Dalam tubuh manusia, ada organ dipanggil pankreas. Pankreas merembeskan insulin, cecair berfungsi memecahkan gula dalam darah sekaligus menukarkan gula terbabit kepada tenaga. Tenaga membenarkan kita berdiri, berjalan dan berlari setiap hari. Tanpa insulin, gula dalam darah akan diproses ginjal dan dikeluarkan sebagai bahan kumuhan, air kencing, badan menjadi lemah tanpa tenaga. Air kencing itu manis. Barangkali itulah sebab mengapa penyakit dihidapi jutaan rakyat Malaysia mendapat nama ‘kencing manis’ atau diabetes dalam bahasa Inggeris.

Saya perasan, pesakit kencing manis seringkali didatangi mereka, golonngan mendakwa mempunyai ‘ubat’ nya.

“Tak apa. Jangan risau. Saya ada ubat, tablets. Ubat botol nombor 3 campur dengan nombor 25. Try la,” bisik pelakon terkenal kepada saya suatu ketika dulu.

‘Try’ itu bukan percuma, ratusan ringgit harganya.

“Macamana ubat 3+25 ni boleh menyembuhkan kencing manis?,” tanya saya.

Dia terdiam. Gagal menjawab soalan. Lalu saya bisikkan terima kasih kepadanya. Jangan silap, saya sama sekali tidak menolak kaedah perubatan tradisional tetapi cuma ingin tahu cara logik ubat itu mampu membantu.

“Try minum air misai kucing. Pahit sikit la. Tapi itu normal sebab Mazidul kan kencing manis,” ujar lelaki saya temui di pusat membeli-belah.

“Macamana air misai kucing boleh membantu?,” saya sekadar ingin tahu.

“Ya lah since you kencing manis. Air tu kan pahit,” jelasnya dalam keraguan.

“Ok,” balas saya ringkas.

Itu logik akal bukan realiti. Saya sertakan analogi membantu penjelasan.

Jika kita masukkan 10 sudu gula ke dalam gelas dan kacau, larutan tepu akan terbentuk. Maksudnya, sebahagian gula larut, hilang dari pandangan, sebahagian kecil mungkin boleh dilihat di dasar gelas. Soalan saya, adakah apabila air di dalam gelas itu dicampur cecair pahit (air misai kucing misalnya), mengakibatkan kandungan gula dalam gelas berkurangan? Jawabannya jelas, TIDAK. Justeru, kepada pengidap kencing manis, mempunyai kandungan tinggi gula dalam darah, saya percaya meminum cecair atau air pahit TIDAK membantu.

Ingin saya ingatkan kepada pesakit kencing manis, berhati-hatilah. Banyak pihak menawarkan pelbagai penawar. Telahan saya, 20 peratus berniat ingin membantu, selebihnya bertujuan sekadar mengaut keuntungan daripada golongan pesakit dianggap kronik.

“Pak cik ni boleh tolong buat air jampi. Sakit awak ni pun dah teruk. Boleh potong kaki, boleh mati,” ujar lelaki tua saya temui sewaktu berusia 28 tahun.

Belum sempat saya membuka mulut, dia berkata ..

“Sebotol RM300. Tapi kalau fikir fikir, apalah sangat duit berbanding seksa penyakit”

“Terima kasih pak cik. Lain kali saya datang,” respon sekadar pemanis kata.

Saya tinggalkan rumah pengamal perubatan tradisional itu.

“Cis! Tu lah awak. Dah sakit teruk baru datang jumpa wak. Masa sihat tak ingat. Minum lagi gula tu banyak-banyak,” ujar wak berketurunan Jawa, bomoh terkenal di Selangor.

Wak itu kelihatan dan dianggap hebat. Setiap pesakit dikenakan bayaran RM65 ringgit di samping wajib membuat reservation sebelum mendapatkan rawatan di rumahnya. Rumah kayu dua tingkat halaman dipenuhi pesakit, lelaki, perempuan, kanak-kanak. Semua menunggu masa dirawat sambil minum di gerai makan milik wak.

“Mari sini,” tinggi suaranya memanggil saya, biarpun usia lebih separuh abad.

Saya diminta duduk berlunjur kaki di hadapan wak berkain pelikat. Pantas dia mencapai pisau cukur Gillette, dipatahkan dua dan kemudian diguna mengikis tapak dan celah jari kaki saya. Dua minit kemudian, tikar getah di bahagian bawah kaki saya basah, melekit.

“Tengok tu! Punya banyak air gula keluar. Nasib baik, kalau tidak mesti kena potong kaki kamu ni,” dia yakin.

“Wak, kalau saya test darah pakai mesin bacaan kandungan gula Ascensia Elite XL, berapa reading ni?,” soal saya cuba berjenaka.

Wak tidak senyum.

“Itu wak tak tahu. Tapi kamu dah kira sembuh la,” katanya.

Sebaik masuk ke dalam kenderaan saya membuat ujian darah.

“Huh! Jangan la datang sini lagi. Kuat kelentong wak tu. Lepas tu cara cakap dia punyalah kasar,” saya memberitahu keluarga.

Berapa bacaannya? 12 mmol/liter, pada ketika itu. Bacaan normal antara 3 dan 6 mmol/liter sahaja.

Saya akui bukan doktor pakar kencing manis hospital swasta tetapi practitioner. Berpengalaman menyuntik insulin ke badan 4 kali sehari sejak 15 tahun lalu. Kini kencing manis saya dalam keadaan terkawal.

Pesanan saya kepada semua pengidap kencing manis, dapatkan rawatan doktor bertauliah. Kencing manis penyakit boleh dikawal biarpun setakat ini dunia sains masih belum menemui penyembuhnya.

[ Kata Mazidul: Wak tu dah jadi jutawan kut ]

Saya Hairan

Saya hairan. Ketika harga minyak naik dan kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam tiba-tiba Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Noh Omar membuat pengumuman mengejutkan masyarakat pengguna.

Kerajaan menurut beliau membenarkan pengusaha bas mengenakan surcaj 30 peratus ke atas tiket bas ekspres dan henti-henti berkuatkuasa antara 15 September dan 15 Oktober akan datang. Maksudnya pengguna terpaksa menanggung kenaikan harga tiket sebanyak 30 peratus. Jika dulu tambang bas RM10, kini RM13. Harga tambahan itu terpaksa ditelan mereka tidak memiliki kenderaan sendiri jika ingin berhari raya bersama keluarga di kampung

Sudah jatuh pengguna ditimpa tangga.

“Pengusaha bas sekolah dan kilang di seluruh negara enggan menyewakan bas mereka bagi musim perayaan, sukar mendapatkan bas tambahan,” antara kenyataan Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Bas SeMalaysia, Datuk Ashraf Ali.

Tambah beliau biarpun dengan surcaj dipersetujui kerajaan, pengusaha bas mendakwa masih terpaksa berdepan kerugian jika beroperasi.

Menurut teori ekomoni, jika permintaan mengatasi penawaran (jumlah bas sedia ada tidak mampu menampung jumlah penumpang) maka kita boleh menjangka ada pihak bakal menaikkan sendiri harga tiket bas sesuka hati. Kewujudan golongan penangguk di air keruh tidak mampu kita sangkal. Mereka sentiasa mengintai ruang dan peluang meraih keuntungan berlipat ganda membiarkan pengguna papa kedana.

Bagi mereka berhajat pulang ke pantai timur menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu, lupakan sahaja. Tiket habis dijual.

Saya hairan. Kita bukan menyambut hari raya buat kali pertama tetapi masalah bas berulang setiap kali musim perayaan menjelang tiba. Barangkali rungutan pengguna bermusim. Rungutan luput begitu sahaja selepas berakhirnya hari raya.

[ Kata Mazidul: CC 1.8 kereta macam ‘minum’ minyak ]

Selasa, September 02, 2008

Niat Tak Menghalalkan Cara

Ini satu lagi kisah benar. Kisah tiada tokok tambah sebagai penyedap berita.

Sewaktu ke pasar malam di Selangor saya terlihat lelaki berkopiah putih duduk selesa di kerusi plastik berhampiran laluan pejalan kaki. Di hadapannya kotak derma dipenuhi wang ringgit. Tepi kotak sama ditampal nota ‘Pegawai untuk di hubungi’ beserta nombor telefon bimbit. Inginkan kepastian pantas saya mengeluarkan telefon dari beg galas dan mendail nombor tercatat.

“Eh! Encik Mazidul tak payah dail nombor tu sebab nanti handphone saya berbunyi. Nombor saya tu,” kata lelaki itu bersopan sambil tersenyum.

“Ok. So, encik ni pegawai apa ya?,” soal saya keliru.

“’Pegawai’ tu kan ertinya ‘person in charge’. Kalau saya pergi sembahyang, kotak derma ni tinggal sini. Tahulah kan, orang kita ramai pemurah. Jadi kalau ada sesiapa nak derma banyak, bolehlah dia call saya,” jelasnya.

“Tapi kenapa kena tulis perkataan ‘pegawai’? Bukan apa, nanti orang ramai confused, dia orang keliru ingatkan encik ni pegawai jabatan agama collect derma,” saya menjelaskan.

Dia mendiamkan diri, barangkali berasa sedikit terkejut dengan persoalan saya lontarkan.

“Derma ni untuk apa?,” tanya saya lagi.

“Oh! Macam ni. Keluarga saya ada tanah di Tanjung Bidara, Melaka. Nak pecah lot, kecil sangat. Jadi mak saya minta bina rumah anak yatim dan miskin. Modal anggaran dalam lapan puluh ribu ringgit. Mula kutip derma ni sejak 2 bulan lalu. Tak dapat banyak pun. Sehari adalah seratus lebih,” ujarnya tenang.

Spontan saya terlihat nombor akaun bank tempatan ditampal di sisi kotak derma.

“Nombor akaun Maybank tu siapa punya?,” soal saya.

“Akaun mak saya,” pantas balasnya.

“Maksudnya, duit tunai derma orang ramai atau cek semua masuk ke dalam akaun tu?”

Dia menganggukkan kepala.

“Rumah anak yatim dan miskin ni dah di register ke sebelum kutip derma?”

“Belum lagi,” jawabnya.

Di atas penutup kotak derma, buku resit tinggal separuh.

“Orang kita ni kekadang pelik. Bila derma jarang nak ambil resit. Bagi kemudian jalan,” katanya berkongsi pengalaman.

“Resit siapa cetak?,” respon saya.

“Saya cetak sendiri,” katanya.

“Usaha membina rumah anak yatim dan miskin ni bagus. Saya setuju sangat. Tapi kutip derma masuk akaun mak, resit cetak sendiri, lepas tu mengaku pegawai, pelik juga saya”

Saya hanya sekadar berterus terang. Meluahkan keresahan fikiran.

“Alah! Encik Mazidul kalau hari jumaat pergilah ke Masjid Negara tu. Punyalah ramai orang minta derma, berlambak, entah sesiapa. Ada tu hanya bayar ‘duit tong’ lapan puluh ringgit pada taukeh. Duit derma selebihnya masuk poket dia orang. That’s more wrong,” ujarnya selamba.

“More wrong? Ertinya apa encik buat ni ‘wrong’ ke?,” soal saya balik sambil cuba tersenyum.

Dia terdiam.

“Saya bukanlah arif sangat berhubung prosedur kutip derma ni. Tapi saya tahu, kalau encik dari Melaka memang tak boleh cross border, kutip derma di sini tanpa kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor. Itu saya dah check dulu. Kekadang kita ni terlupa, niat tak menghalalkan cara,” sambung saya.

“Fasal ‘pegawai’ tu saya akan ubahlah. Nanti saya tulis nama saya saja,” katanya.

“Banyak lagi kena ubah,” balas saya sebelum beredar meninggalkan pengutip derma itu.

Jangan Sakit Hati

“Aku semalam pagi pagi lagi bos dah angin, mengamuk. Siap hempas fail ke meja. Berleter sampai tengahari, sambung sampai ke petang. Tak tahu apa hal dia tu. Selalu tak macam tu. Sakit hati betul,” antara rungutan pekerja.

Dalam hidup ini kita barangkali pernah mengharungi pelbagai peristiwa pahit mengakibatkan kita berasa sakit hati. Kita marah, murung dan memendam rasa. Walhal itu semua tidak perlu berlaku.

Fahami hakikat ini. Kita sakit hati hanya jika kita memilih untuk berasa sakit hati. Formula saya ingin kongsikan bersama anda mudah dilaksanakan.

Jika bos mengamuk, biarkan dia mengamuk. Kita terima seadanya. Tetapi jangan lupa, belajar sekiranya kita melakukan kesilapan.

Katakan dengan bersopan dan tenang seandainya kita bersalah.

“Bos, that was my mistake. I am sorry. I will improve”

Selaku majikan dia selalunya mempunyai sebab musabab untuk memarahi pekerjanya. Itu hak dia. Jika marah secara semberono dia tidak layak bergelar bos. Bagaimanapun meminta maaf jalan terbaik melembutkan hati bos kerana bos adalah manusia seperti kita. Jika kita tampilkan sikap keegoan, pasti tidak tertanding sikap sama dimilikinya, insan lebih ‘berkuasa’.

Hakikatnya, perasaan sakit hati timbul JIKA kita membuat keputusan disakiti. Tujuan bos jelas, dia ingin kita rasa dimarahi bukan membuat kita berasa sakit hati.

Fikir begini ..

“Aku memilih untuk tidak sakit hati. Bos juga pernah dimarahi bosnya atau setidaknya dimarahi dan dileteri isteri di rumah. Mungkin dia dimarahi lebih dahsyat lagi berbanding marahnya kepada aku. Barangkali dia juga sakit hati. Kalau bos sakit hati, mengapa aku perlu merasainya?”

Maka anda senyumlah kerana itu satu kejayaan sebenarnya.

Lagi pun bos bukan marah sekali, perbuatan itu mungkin berulang. Jika tidak esok, lusa atau hari berikutnya. Jika setiap kali dia berang, kita berasa sakit hati, maka kesakitan kita rasai itu juga berulang.

Jadi mengapa harus sakit hati?

Isnin, September 01, 2008

Pengkid: Luahan Tanpa Imbuhan

Bingkisan berhubung pengkid bakal disiarkan 360 pada jam 9 malam, 3 September akan datang. Promo dipaparkan dari masa ke semasa. Justeru, ada pihak mula melatah.

Saya tersenyum semasa membaca komen dilontarkan ‘sick of it’ pada entry ‘Pengkid’ dalam blog ini. Saya publish kan komen itu tanpa pra sangka.

Pengkid bukan isu baru tetapi menarik perhatian media. Liputan dibuat berulangkali. Mungkin ‘angle’ nya sahaja berbeza. ‘Sick of it’ tidak perlu bimbang, semua informasi dipaparkan nanti hasil temubual dan luahan hati respondan, pengkid. Bukan direka sendiri. Hakikatnya, memang ada golongan kecewa dengan pengkid. Mana tidaknya suami terpaksa berpisah dengan 2 anak akibat isteri dinikahi selama 7 tahun ‘dilarikan’ pengkit sekelip mata. Keluarga di Melaka pula berkongsi pengalaman pedih anak gadis mereka berusia 21 tahun menghilangkan diri bersama pasangannya, pengkit 27 tahun. Suami dan keluarga terbabit pastinya tidak menganggap pengkid golongan mereka sayangi. Biarpun pengkid itu berkerjaya dan berjaya.

“Pengkid ni special bang. Dulu masa saya jadi girlfriend dia, setiap kali pergi shopping, dia ‘took care’ semua. Kalau kata tak cukup duit, dia usaha dapatkan duit. Caring gila. Lelaki jarang jumpa jenis macam tu,” antara komen diperdengarkan kepada saya.

“Bukan ke selalu jika memberi akan 'menerima'?,” itu soalan saya.

Gadis itu hanya tersenyum.

“Tapi saya dah lama berpisah dengan dia. Tak larat la nak layan. Saya ni perempuan, saya suka lelaki. Dari awal saya dah cakap dengan dia tapi dia boleh cakap balik kat saya ‘kalau awak ada boyfriend pun, saya akan rampas awak daripada dia’,” katanya.

Jika anda menonton nanti, dengarilah luahan hati pengkid ditemubual wartawan Teh Syuhaida Sharip. Luahan tanpa imbuhan dan paksaan. Harris dan kumpulan Sahabat cuba mencari gadis Melaka dilaporkan berpeleseran bersama pengkid di Kuala Lumpur. Manakala Liza berkongsi pengakuan suami ‘kehilangan’ isteri. Saya menemubual Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi.

Kepada pembaca beragama Islam, selamat menjalani ibadah puasa di sepanjang Ramadan Al-Mubarak. Semoga bulan mulia ini sedikit sebanyak mampu mengembalikan setiap perkara songsang ke jalan lebih lurus.