Isnin, November 07, 2011

JIKA MEREKA ANAK KITA ... (KISAH JARANG DIPAPARKAN)

Jam 11.51 malam tadi, saya dan kru Penyingkap Fakta, Mohd Suhaimi Salim melintasi Pudu Sentral, Kuala Lumpur.

"Tengok itu," celah Suhaimi sambil memandu.

Sebaik kereta diberhentikan, saya pantas meluru keluar manakala Suhaimi mencari tempat memakir kenderaan.


Siapakah mempedulikan dia? Apatah lagi mengambil pusing samada dia tidur berbantal atau tidak kerana lelaki warga emas itu bukan ayah kita.


Saya percaya sepanjang malam puluhan kereta mewah berharga ratusan ribu mahupun jutaan ringgit melintasi kawasan sama. Sebilangan pemandu pulang dari berhibur di puluhan pusat hiburan elit di Bukit Bintang dengan senyuman juga barangkali terlihat lelaki tua tidur bergelimpangan itu tetapi perlukan mereka berhenti dan melihat apa terjadi?

Tidak.

Apakah kepentingan orang tua itu kepada mereka? Biarkan sahaja dia lena di tepi jalan, mungkin telinganya sudah lama tuli dek disumbat deruman enjin kereta berkuasa kuda tinggi selama ini.

Tidak jauh dari lokasi gambar itu dirakamkan, kami terserempak lelaki berusia 28 tahun, berasal dari Kapit, Sarawak, mendakwa baru tiba di ibu kota 4 hari lalu.


"Sekarang aku kerja di Sungai Wang Plaza, gaji RM1.50 sejam, hujung bulan dapat RM400 tetapi kena bayar sama ejen bawa aku datang ke sini, RM280. Jadi aku punya gaji hanya tinggal RM120 sahaja," kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Dia mendakwa pernah bekerja sebagai buruh binaan di negeri kelahirannya sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur.


"Kenapa tidak kerja di Kapit?," soal saya.

"Di sana kerja tidak banyak," ujar lelaki berketurunan Iban itu. 

Dia mendakwa tinggal di Paya Jaras, Selangor, tetapi terlewat untuk pulang bersama rakan sekerja lain.

"Lepas dapat gaji mahu beli apa?," tanya saya.

"Beli beras," jawabnya ringkas.

Kami dimaklumkan, makanan dihantar sekumpulan NGO kepada kelompok gelandangan pada jam 10 setiap malam.


Di sebelahnya kelihatan lelaki warga emas berbangsa Cina sedang tidur lena sehinggakan langsung tidak terganggu dek bunyi perbualan kami.


Kami kemudian bergerak perlahan ke hadapan Menara Maybank.


Mereka berbangsa Melayu, India dan Cina, bergelandangan, tanpa bantal dan selimut tidur di atas simen sejuk. Barangkali kerana kepenatan serta tidak mempunyai pilihan lokasi lain untuk melelapkan mata, mereka tidur nyenyak.

Alah bisa tegal biasa.

Jika kita fikirkan, lantai simen itu untuk dipijak orang ramai lalu-lalang di siang hari, bukan tilam dan bantal tempat berbaring.

"Ingatkan ada kes apa tadi bila ternampak Mazidul ada di sini," ujar pemandu teksi datang menghampiri kami.

"Minggu lalu, kami ke Lebuh Ampang. Di mana lagi lokasi orang bergelandangan?," soal saya.

"Di sana, di bawah pokok besar dekat bangunan Cahaya Suria. Selalunya makanan diagihkan oleh NGO di situ jadi dia orang berkumpul di tempat sama," jelasnya.

Pantas saya dan Suhaimi menyeberang jalan dan melangkah menuju ke lokasi dimaksudkan.


Saya perhatikan kawasan sekitar, terlihat tandas awam. Spontan bau hamis dan hancing menusuk ke dalam hidung, bau kencing.


Beberapa lelaki pada awalnya kelihatan mundar-mandir di kawasan sama datang menghampiri saya dan Suhaimi.

Saya berikan salam, mereka menjawab.


"Saya bersama kru 666 bercadang hendak mengagihkan bantal kepada semua orang di sini dan di beberapa lokasi lain. Tengok orang tua di sana itu, kalau ada bantal, mungkin dia boleh tidur lebih selesa, kepala berlapik lembut. Kami tidak mampu untuk memberikan rumah, jauh sekali berkeupayaan membekalkan makanan kepada semua orang setiap hari. Hanya bantal sumbangan orang ramai, pembaca blog, mampu kami kumpulkan dan InsyaAllah bakal kami serahkan nanti," jelas saya.

Barangkali sebilangan kita terfikir berhubung kebarangkalian mereka mampu bertindak agresif. Tanggapan itu tidak salah.

"Aku kenal engkau! Engkau hendak masukkan gambar kami di dalam surat khabar atau TV?," jerit wanita saya anggarkan berusia lewat 30 an.

"Keduanya tidak," balas saya ringkas.

"Engkau ambil gambar aku, aku saman engkau! Engkau ingat aku tidak tahu undang-undang?," jeritnya lagi.

"Macam inilah, bagus sangat jika awak tahu mengenai undang-undang tetapi awak tidak mengetahui tujuan saya ke sini apatah lagi mampu membaca niat di hati saya. Kalau awak hendak menyaman saya, samanlah," kata saya kepadanya.

Untuk rekod sebilangan warga gelandangan, penagih dadah dan bekerja sebagai pencari dan pengumpul barangan lusuh.

Saya terpaksa memekakkan telinga daripada terus mendengar bebelan tanpa henti wanita kelihatan tidak terurus itu lalu menumpukan sepenuh perhatian kepada kumpulan lelaki gelandangan berdiri di hadapan saya. 

"Ini mesti ada kena mengena dengan TV3," celah remaja berusia 23 tahun berasal dari Sabah.

"Tidak, usaha ini tidak ada hubungkait dengan TV3," terang saya.


"Mesti ada kena mengena punya. Jika tidak mengapa kamu datang ke sini?," soalnya. 

Ketika itu saya terpaksa menahan bau arak kuat datang dari lelaki warga emas berdiri di sebelah remaja itu. Dia memakai anting-anting kelihatan seperti butang baju Melayu di telingan kiri. Pada masa sama Suhaimi mengambil peluang merakamkan beberapa gambar.

"Tadi kamu bertanya lalu saya berikan jawaban. Andai kata kamu tidak percaya, saya tidak berhak memaksa kamu untuk percaya. Tujuan kami kemari untuk mendapatkan maklumat lebih jelas dan tepat berhubung keadaan kelompok gelandangan di lokasi ini, itu sahaja," terang saya.

Jawaban kedua itu sekaligus mengunci mulutnya.

Barangkali sekian lama dia dimomokkan dengan tanggapan, majoriti bantuan akan dihulurkan oleh pihak tertentu sekiranya usaha terbabit mendapat liputan media cetak dan elektronik. Walhal saya hanya berkongsi fakta tinjauan bersama pembaca budiman di blog ini sahaja.

Alhamdulillah, setelah diberikan penerangan ringkas, majoriti mereka ditemui memahami tujuan sebenar kami meninjau lokasi terbabit, bukan untuk mencetuskan ancaman mahupun mengundang kesusahan. Hati kecil saya terusik sebaik terpandang sebilangan lelaki gelandangan tidur berhampiran pintu tandas awam di tengah ibu kota kemegahan negara.


Majoriti mereka didapati tidur bergelimpangan di kawasan lapang, lelaki dan perempuan, tua dan muda pelbagai bangsa dan agama.


"I have seen the worst scenario in Manila, Fhilippines and if I am not mistaken there are about eleven million homeless people in the US so this is not that bad," pandangan dilontarkan oleh pelancong warga Jerman berdiri di sebelah saya.


"Aren't you feel afraid standing here with me in the middle of the night?," soalan saya ajukan kepadanya.

"Not at all, this is my sixth visit to Malaysia. Actually, I am a photographer and I send my pictures for competition to Natioanal Geographic while my girlfriend is a journalist, a great combination. We travel around the world together for six to eight months a year. We always feel safe here in Malaysia but if you want to be scared, we could go to Bolivia, South America or Papua New Guinea," gurau lelaki berusia 38 tahun itu sebelum beredar.


Di ruang ini saya kongsikan bersama pembaca beberapa gambar berpeluang saya rekodkan menjelang waktu tengah malam tadi.


Menurut dua anggota polis bertugas di Pondok Polis Bergerak di kawasan berhampiran, dianggarkan lebih 40 individu bergelandangan di lokasi terbabit pada setiap malam.

"Setakat ini tiada kejadian jenayah berlaku, kami bertugas lapan jam, di antara pukul 12 dan 8 pagi. Bila pagi mereka semua beredar dari sini," tambahnya.


Sebilangan kita mungkin terfikir, mereka semua diklasifikasikan dewasa justeru pastinya mampu mengawal kehidupan sendiri. Hemat saya, jika berkemampuan memiliki rumah seperti orang lain, masakan mereka sanggup tidur beratapkan langit, berselimutkan baju serta kain pelikat dan berbantalkan tangan, akhbar atau beg galas.

Sewaktu beredar dari kawasan lapang berhampiran Pudu Sentral itu, saya terpandang tong sampah dengan bahan buangan melimpah.


Bau busuk bukan kepalang mengakibatkan saya hampir termuntah namun perasaan itu segera lenyap sebaik saya terlihat ...


Dua anak kecil tidur lena hanya kira-kira 5 meter dari tong sampah berbau busuk bak bangkai  itu.


Perhatikan, betapa nyenyaknya mereka tidur tetapi mungkin tidak pernah dijenguk dek mimpi indah.


Mereka juga tidur tanpa tilam empuk, selimut tebal dan bantal, memejamkan mata hanya beralaskan kertas kertas. 

Siapapun sekali dua anak kecil itu, tidakkah wajar untuk kita bersama sekurang-kurangnya berusaha memberikan mereka peluang untuk tidur berlapik kepala?

Jika anak kita, sanggupkah ayah dan ibu melihat mereka dalam keadaan terbiar sebegitu? 

Sekiranya sebilangan pembaca mempunyai wang berlebihan dan berhasrat unutk menyumbangkan bantal (bersaiz kecil) atau wang tunai, sila klik di sini.

Setakat ini, kami memerlukan lebih 100 bantal untuk diagihkan, kini hanya ada 4 dan wang tunai RM50 sahaja.

Pembaca budiman, barangkali kita tidak berupaya untuk mengubah semua bentuk kedaifan di atas muka bumi ini tetapi jika Allah membukakan hati dan mengizinkan, kita berupaya membuka peluang sebilangan daripada kelompok gelandangan terbabit tidur lebih selesa.

Di atas jasa itu, kru 666 mendoakan semoga Allah lebih memurahkan rezeki semua. 

InsyaAllah.

BANTU KAMI UNTUK MEMBANTU GELANDANGAN, SEBARKAN KANDUNGAN TAMPALAN INI MELALUI BLOG, EMEL DAN FACEBOOK

21 ulasan:

  1. Sedih bila negara luar dibantu bak "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan"

    BalasPadam
  2. SMTI

    Saya ada terfikir ada tak kes penjenayah yg mengambil kesempatan mengambil barang2 berharga yg mungkin ada dikalangan orang bergelandangan yg tengah tidur tu...

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum,
    SMTI.

    Semoga lebih ramai membantu untuk jayakan projek ini. Mereka bukan sengaja untuk memilih hidup sebegitu, namun ada masa tak punya peluang untuk ubah.

    BalasPadam
  4. smti,

    sedih tengok gambar terakhir.. kesian.. :)

    BalasPadam
  5. Mgkn itu takdir mereka tp kita yg berkemampuan apa lah sgt menghulurkan sedikit bantuan, tak luak apapun....

    BalasPadam
  6. Ya Allah, Subhanallah...sebak!
    hanya doa mampu dihulurkan...

    BalasPadam
  7. Pihak jabatan kebajikan masyarakat sendiri perlu turun padang mencari kanak-kenak gelandangan ini diwaku malam seperti pihak saudara Mazidul buat ni.Tempatkan mereka di tempat yang sepatutnya, bukan dibiarkan sebegini.Sedih sangat saya melihat gambar terakhir tu.

    zurina

    BalasPadam
  8. smti...insyAllah...usaha murni abg akan dipermudahkan oleh ALLAH...aminn...

    BalasPadam
  9. Bang, saya cukup sedih tengok gambar2 yang dirakam. Paling saya rasa pilu tengok gambar dua anak2 yang tengah tidur tu. Kenapa JKM tidak bertindak? Ye betul memang banyak homeless people in U.S tapi tengok benefit yang diterima by those people. They have proper food centres and in U.K they were taken care by fund for unemployed (up to certain time of unemployment only). Saya tidak menyalahkan these gelandangan to resort to crimes sebabnya, mereka terdesak untuk hidup. Even kita yang berupaya ni pun kadang kala putus asa and berhenti untuk mencuba, apa lagi mereka yang tidak berupaya dari banyak segi seperti kemahiran dan kelulusan. Kenapa Malaysia instead of giving pardons and "citizenship" to immigrants and create job opportunities for them, rakyat sendiri tidak diberi keutamaan dalam mencari pekerjaan? Kenapa Malaysia cepat menghulurkan bantuan kepada negara-negara luar bila ada bencana, tetapi di negara sendiri masih ada yang tidak berbumbung dan tidak ada yang tampil menolong?
    Usaha abang dan rakan-rakan lain is very moving despite slow respond of donations. I'm very confident that your readers will come forward with many forms of help. InsyaAllah.

    BalasPadam
  10. Charlie's Belle, it is quite hard for me to answer your questions.

    Anyway, dari pengamatan saya memang ada sebilangan NGO berusaha untuk membantu kelompok gelandangan namun bilangan agak terhad.

    Makanan masih dibekalkan kepada mereka.

    Beberapa fakta lain harus juga diketahui. Sebilangan daripada these homeless people, penagih dadah, pengutip barangan lusuh dan berpendapatan rendah. Mereka tidak selesa untuk menetap di rumah kebajikan kerana mempunyai kekangan tertentu.

    Penagih dadah tegar contohnya, tidak akan terpanggil untuk duduk di rumah disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM.

    Kru 666 cuba untuk mengumpul maklumat, at least to figure out how many of those people, estimatedly still living in the streets.

    Latar belakang mereka juga tidak diketahui. Bangsa terbabit, pelbagai, termasuk mereka dari Sabah dan Sarawak, begitu juga dengan usia. Sebilangan mereka perempuan dan pasangan suami isteri.

    So sad to see them sleeping in the open.

    We are trying our best to get the correct information, God willing, it will be shared here.

    BalasPadam
  11. Tersentuh...

    Betapa beruntungnya kita & anak2 kita.

    Wahai pembaca budiman, walau di atas segala apa pun alasan, segala permasalahan, segala kebejatan laku para gelandangan tersebut, mereka adalah manusia. Mari kita sama-sama menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada manusia-manusia tersebut. Ya, bantuan kita tidak dapat mengubah kehidupan mereka 100% tetapi percayalah sedikit ihsan yg kita hulurkan amat bermakna buat mereka.

    Lupakan siapa yg wajib membantu mereka, lupakan kenapa mereka jadi sedemikian rupa - yang penting kita tidak lupa menghulurkan secebis kasih, sayang & ihsan buat mereka. Kini, kita sedang berada di atas, esok lusa entah di ceruk mana untung & nasib kita.

    Kalau ada bantal baru, hulurkanlah.
    Kalau ada bantal terpakai tetapi elok bersarung bantal, hulurkanlah.
    Kalau anda ada wang walaupun 10sen, hulurkanlah. 10 sen seorang jika dikumpulkan, InsyaAllah... Don't talk about the amount, let's talk about the volume : 10 sen X 10,000 orang = RM1,000.00 (lebih baik mengumpul 10 sen drp menunggu RM10.00 yg agak berat utk dihulurkan).

    Carilah jalan...

    BalasPadam
  12. hi Sdr Mazidul.

    tahniah atas usaha anda walaupun tidak mendapat respon yg memberangsangkan... sekadar berkongsi..
    sy pernah join sbg sukarelawan bersama NGO yg mengagihkan makanan.. kumpulan sukarelawan yg berlainan akan memberi makanan ikut hari2 yg di tetapkan. mereka akn memberikan makanan di masjid jamek setiap khamis n jumaat jam 10pm. di masjid shj mereka sediakan sebanyak lbh kurang untuk 100pax.. then dlm 100-150 pek bungkus dan di agihkan di sekitar pudu..central mkt. bgunan cahaya suria dan sebagainya..
    di bgnan cahaya suria tu ada satu family yg tidor di situ.. suami, isteri san seorang bayi dlm usia 5-7 bulan.. kesian sy tgk baby tu..
    bila ada function atau perhimpunan HARAM spt BERSIH dulu.. ramai kawan2 mereka yg kene angkut oleh pihak berkuasa...sebelum perhimpunan BERSIH tu berlaku..berlori2.. apa yg mereka buat..bila d tya..mereka kata duduk lokap semalam dua.. then lepaskan balik.. nampak mcm diorang ni di jadikan mangsa keadaan.. bila dah masuk lokap semalam dua..punca pendaptan mereka hilang untuk dua hari yg teruk lagi bila bos berhentikan mereka..
    ada juga yg mengadu keje penat2 tapi gaji tak dpat...seolah mereka ni di permainkan pulak... NGo yg beri makan tu ada juga tolong mereka mencari pekerjaan dgn beberapa agensi...antara syarat ditetapkan ialah mereka di sediakan asrama/tmpat tinggal..
    tidak dinafikan ada yg bermasalah..tp rata2 yg sy jumpa hanya 2 - 3 org yg bermasalah semasa mengagihkan mknan spt mabuk dan hidu gam,
    apa pun saya salute usaha sdr mazidul dan dermawan yg prihatin..semoga usaha kita yg kecil ini akan membuka mata byk pihak di luar sana dan semoga nasib mereka ini lbh terbela.
    sdr mazidul..jika berkesempatan untuk berjumpa dgn askar atau sukarelawan UNESCO yg pernah terlibat dgn pghantaran bantuan makanan ke Acheh semasa Tsunami lalu.. tyalah pada mereka bgaimakan mkanan spt beras..mineral ..maggi di agih2kan.. bila dgr sy rasa spt usaha rakyat m'sia tidak dihargai...(mungkin sy hanya dgr dr seorang dua..tp cukup menyedihkan..lbh baiklah kita bantu negara kebuluran atau org m'sia sendiri...)

    BalasPadam
  13. kasihannya anak kecil tu..di mana ibu dan bapa..kecil2 sudah hidup gelandangan..risaunya kot2 org jahat sprt abang kucing dan perogol buat perkara xbaik pd dorang....semoga Allah Melindungi mereka drpd segala mara bahaya dan malapetaka.

    BalasPadam
  14. istana negara harga 900juta..
    tp ade rakyat yg still tdo tepi jalan ek?? fikir2 lah..

    BalasPadam
  15. Encik mazidul ada tak account bank selain maybank?

    BalasPadam
  16. Assalam Bro Mazidul !

    Syabas dah tahniah di ucapkan atas usaha kru 666 ! saya tergerak hati untuk bersama-sama dalam membantu ! tapi tak tahu bagaimana, untuk menghulurkan wang ringgit saya bukanlah orang yang mampu ! tetapi saya punyai idea dan tenaga.. bolehkah ?

    satu lagi mohon keizinan nak share 2 3 keping gambar untuk di gunakan di blog saya !

    terima kasih

    BalasPadam
  17. memang betul , saya anak sarawak pun berhirjah ke seremban . di Sarawak tidak banyak peluang pekerjaan , di kopitiam 300 sbln sedangkan di kl 800-1000 sebulan. politik2..


    Mr J
    http://www.pengeRindu.com

    BalasPadam
  18. Adik ipar saya di kampong ada 5 orang pekerja dari Indonesia,mengusahakan kebun sawit dan sayuran gaji antara RM700 - RM1200, Rumah disediakan, kerja siang sahaja, malam rehat. Ramai pekebun memerlukan pekerja, harapkan anak, semua dah berhijrah ke bandar,Jadi daripada gelandangan initerus berada di bandar, baik mereka berhijrah ke luar bandar. Cuma yang perlua hebahan maklumat mengenai pekerjaan khususnya disektor perladangan ini perlu ada, Saya kira Saudara Mazidul boleh usahakan. Selain itu para gelandangan ini perlu menerima hakikat bahawa bandar tidak menjanjikan sejuta kesenangan dan kemewahan, berikan motovasi bahawa keluusan tinggi tidak menjanjikan kerja yang kita inginkan apatalh lagi tiada kelulusan. Semua orang ada peranan masing-masing, kalau semua orang nak jadi menteri susahlah hilang keseimbangan dunia. Sekiranya ada yang berminat, bersedia dan benar-benar ingin merobah kehidupan daripada mengumpul barangan lusah dengan gaji yang tidak menentu, kami berhajat untuk mencari seorang pekerja tambahan kepada yang sedia ada untuk kerja-kerja perkebunan seperti membaja, mercun, mengutip hasil dan sebagainya. hubungi email saya Zahrull e-mail taguh_wagas@yahoo.com.sg

    BalasPadam
  19. Salam abang Mazidul,

    tak boleh ke kita hantar anak2 dalam gambar terakhir tu kat Jabatan Kebajikan Masyarakat.. Berlinang air mata saya tengok gambar mereka bang.. Saya rasa bantak tidak memadai untuk mereka.. Harap JKM mengambil tindakan dengan mencari dan menempatkan anak2 ini di rumah2 kebajikan..

    BalasPadam
  20. ternyata rakyat di negara kita ada yang lebih memrlukan bantuan...tetapi hanya dipandang sepi....negara luar dibantu,sedangkan ramai lagi rakyat dinegara kita yang lebih memerlukan bantuan..ini diibaratkan "kera di hutan disusukan,anak di rumah,mati kelaparan"....tak snggup tengok keadaan dorng..seharusnya kebajikan rakyat dinegara ini diutamakn terlebih dahulu....

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.