Rabu, Mei 15, 2013

KAD OREN PERDAYA PATI

"Saya ada 100  pekerja Indonesia tanpa dokumen,  PATI,  bekerja di kilang  di Selangor dan Pulau Pinang. Saya bimbang kalau mereka ditangkap. Sebab itu saya menelefon cik,"  ujar wartawan akhbar Sinar Harian,   Izwan Roslin.

Izwan  menyamar menjadi majikan pekerja asing  sewaktu menghubungi kakitangan pertubuhan menggunakan nama Islam di Kajang, Selangor. 



"Kalau  pekerja  PATI  encik  memiliki kad oren,  jika ditahan oleh  polis di tepi jalan,  bayar kami  RM100,  andai dia dibawa ke balai polis,  RM250 dan jika  mendepani kes  mahkamah,  RM500. Hubungi nombor telefon tertera di belakang jad, wakil  kami akan berurusan dengan pihak berkuasa terbabit," dakwa  gadis menjawab panggilan  Izwan. 

Saya dan Izwan kemudian bersama meneliti informasi tercatat di risalah diserahkan oleh bekas pekerja pertubuhan bukan kerajaan, NGO, sambil minum di restoran mamak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.


Antara 5 misi utama NGO itu  seperti tercatat di risalah, mendapatkan akuan kerakyatan, paspot dan permit kerja untuk  warga asing.

"Semalam dua bekas kakitangan  pertubuhan itu telah membuat laporan polis mengatakan mereka ditipu," celah Izwan.


Kami bergerak ke  Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Kuala Lumpur dan   berbincang  bersama pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan berhubung  kes ini. Namun  beliau  memerlukan sedikit  masa  untuk menjalankan siasatan lebih  terperinci. 

Sedangkan  kami menjangka,  masa itu tidak panjang.


"Bukan apa tuan, laporan polis telah dibuat,  kakitangan NGO itu mungkin tahu,"  kata  Izwan.

Kami juga  difahamkan oleh pengadu,  bekas majikan mereka  menyimpan ribuan  paspot  milik warga asing secara tidak sah  di pejabat pertubuhan.  Jika maklumat  bocor,  dokumen terbabit  pasti ghaib sebelum sempat diserbu.

Tidak berputus asa, kami kemudian mencari jalan untuk tindakan undang-undang dilaksanakan. Pegawai Perhubungan Awam Jabatan  Imigresen Putrajaya, Abdul Haidir Mohd Sukor, saya hubungi.  Biarpun beliau sedang bercuti dan kurang sihat,  panggilan saya tetap dijawab. Alhamdulillah, saya kemudian dihubungkan dengan pasukan risik jabatan terbabit.

"Kita ke Kajang," ujar saya.

Izwan bersetuju. Bagaimanapun kami terpaksa berhenti beberapa kali, untuk rakan saya itu turun dan bertanya kepada orang ramai mengenai  kedudukan lokasi sasaran.


Mujur tiba-tiba pengadu menghubungi  Izwan tepat pada waktunya, lalu kami bertemu mereka berhampiran Courts Mammoth di pekan Kajang.

"Di tingkat dua bangunan itu,  pejabat pertubuhan. Mengikut maklumat orang dalam, masih banyak  paspot  dilaporkan masih disimpan di situ," ujar pengadu,   Firdaus, 25 tahun.


Tepat jam 3.15 petang, kami bersama pengadu bertemu sepasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen  di kawasan berhampiran sasaran.

"Di bahagian belakang bangunan berwarna biru, tempat mencetak  kad oren. Untuk memperoleh kad itu,  warga asing tanpa dokumen membayar di antara RM270 dan RM1,000 kepada NGO. Mereka diyakinkan kononnya akan menikmati semua kelebihan dicatatkan di risalah dicetak ," ujar Elieus Warre.


Elieus, bekas ketua Perhimpunan Sukarelawan  Kemanusiaan  Indonesia,  PERKINDO.

Saya datang ke Malaysia pada tanggal 9 Januari 2013, selepas itu saya berulang-alik di antara Indonesia dan Malaysia. Saya diberitakan mengenai anak bangsa Indonesia di sini tidak mendapat perlindungan, ditipu orang dan sebagainya. Saya berasa tertarik, lalu bergabung bersama NGO  itu  sejak lima bulan lalu.  Cukup ramai PATI Indonesia mendaftar untuk memiliki  kad oren kononnya untuk dibantu  sekiranya mereka bermasalah di lapangan, seperti ditangkap oleh pihak berkuasa,  dianiaya  atau  diperas ugut.  Namun selama ini belum pernah saya melihat ketua pertubuhan itu membantu pemegang kad oren. Saya kemudian meletakkan jawatan sebagai Ketua PERKINDO dan tindakan itu telah  dimaklumkan kepada Duta Indonesia di Malaysia," jelas Elieus.

Elieus mendakwa  telah berkunjung ke lebih 25  kilang di Perak, Selangor dan Kelantan untuk   membantu  meyakinkan PATI  menjadi pemegang kad oren.


"Berapa ramaikah  telah mendaftar  menjadi pemegang kad oren  melalui bapak?," soal saya.

"Sekitar 2,500 orang. Mereka tinggal di hutan dan bekerja di kilang kayu,  kebun kelapa sawit dan  sayur.  Wang dikutip di lokasi biarpun tidak semua mampu menjelaskan RM270 kemudian diserahkan kepada Ketua  NGO. Mereka dijanjikan, sekiranya sakit atau bersalin di hospital, rawatan gratis (percuma), jika tiba-tiba meninggal, mayat dihantar ke Indonesia secara gratis juga. Kenyataannya ada mangsa dilanggar kereta, dihantar ke hospital tetapi bayaran rawatan tidak dijelaskan oleh NGO itu," sambung Elieus.

Kira-kira jam 3.30 petang,  sepasukan penguatkuasa  diketua oleh  Ketua Unit Tindakan Jabatan Imigresen, Abd.  Malek Bujang menyerbu pejabat pertubuhan dimaksudkan. 


Beberapa lelaki warga asing berdiri dan duduk di luar kaunter pejabat terbabit.


Di dalam pejabat, saya terserempak dengan warga Bangladesh, Azmal Shakdar, 28 tahun, bekas pekerja kilang  pengeluar  sarung tangan.


"Saya sekarang kerja construction dan membayar RM5, 200 untuk dapat ini permit," ujarnya.

Setelah diperiksa oleh  penguatkuasa bertugas, pelekat permit kerja Azmal didapati milik warga  Indonesia bernama Kong.


Biarpun ruang pejabat sedang  digeledah oleh pihak berkuasa, tiga pekerja kaunter wanita masih selamba menjalankan tugas mereka.


Setelah diperiksa secara teliti, wanita Indonesia  di bawah didapati hanya menggunakan kad oren sebagai dokumen perjalanan.


Di dalam bilik,  penyelia kewangan  pertubuhan itu  sedang disiasat oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen,  Abd Halim Ismail.


Sebelum penyelia terbabit tiba di pejabat, saya merakamkan gambar dua helai baju seragam milik pegawai RELA digantung di dinding.


Ratusan paspot  warga asing  dan borang  Jabatan Imigresen   diletakkan di atas meja berasingan. 


Seorang daripada warga Bangladesh,  Imanol  Haq menangis teresak-esak sewaktu digari.


Sudah jatuh ditimpa tangga, begitu nasibnya. Dia mendakwa ayahnya berusia 82 tahun sedang sakit di negara asal dan pada masa  sama Imanol  diberkas kerana berstatus PATI akibat  diaperdaya  oleh pertubuhan itu sebanyak lebih RM4,000.  

Bekas  pekerja di Pasar Borong Selayang,  Md Azizul Md Sani, 32 tahun,  telah membayar RM4,100  untuk mendapatkan permit kerja namun turut ditipu.


4  warga  Bangladesh dan seorang wanita Indonesia ditahan.


"Kami merampas kira-kira dua  ribu paspot Bangladesh dan Indonesia. Pertubuhan terbabit sebelum ini memang  dibenar menguruskan 6P tetapi kini beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Dalam Negeri.  Program 6P telah ditamatkan dua tahun lalu namun pertubuhan ini didapati masih menerima dan  menguruskan permohonan dokumen PATI. Walhal semua permohonan harus dibuat di pejabat Jabatan Imigresen, bukan di sini.  6P kini  dalam peringkat penguatkuasaan, pendaftaran dan pemutihan untuk 6P telah lama berakhir,"  jelas Abd. Malik lagi. 



Tambah Malik, pihaknya akan  menyiasat  secara teliti,  kebarangkalian pembabitan pertubuhan itu  dengan  penemuan dua pelekat  permit  kerja  palsu di premis sama. Pertubuhan itu  juga telah disenarai hitamkan oleh Jabatan Imigresen.



Pelbagai dokumen,  dua  komputer riba dan almari dirampas manakala lelaki tempatan berusia 42 tahun  turut ditahan untuk disiasat mengikut Akta Paspot 1966.

Kepada semua warga asing,  jangan terus tertipu dengan kad oren sedang hangat ditawarkan  kini. Kad terbabit bukan dokumen perjalanan sah dan tidak mempunyai sebarang keistimewaan. 



Penguatkuasa undang-undang Malaysia masih akan terus  menahan pendatang tanpa izin, PATI  sceara berterusan di negara berdaulat ini.



Pelbagai maklumat lain  turut  dikongsikan oleh Elieus bersama kami.


"Empat  wanita Indonesia  dijanjikan pekerjaan  sebagai  jururawat di Malaysia tetapi  dipaksa dan diperdagangkan oleh pertubuhan terbabit menjadi operator telefon, bertugas untuk  menawarkan kad oren kepada PATI.  Apabila operasi dijalankan oleh Jabatan Imigresen,  mereka  telah dilarikan ke Rawang oleh lelaki Indonesia, Angga Busro kini mendakwa Setiausaha Agung PERKINDO,"  terang  Elieus lagi.


Di bawah gambar 3 daripada 4 gadis Indonesia berstatus PATI didakwa diperdagangkan.


Tambah  Elieus lagi,  pertubuhan terbabit  pernah  dengan yakin  membawa  majoriti  PATI  menaiki bas, pergi bercuti di Port Dickson, Negeri Semblan,  dengan menggunakan nama misi kemanusiaan.


Baca laporan   Izwan di Sinar Harian, klik di sini.


1 ulasan:

  1. Salam Tuan,

    Perkara sebegini bukanlah perkara baru walaupun ini soal keselamatan negara.Seolah-olah tiada titik noktahnya.

    Tangkapan dan pertuduhan dimahkamah dengan undang-undang sedia ada belum berkesan untuk menanggani isu ini kerana proses yang lambat disamping kehilangan waktu dan maklumat untuk bertindak mengambil tindakkan pencegahan.

    Isu ini sepatutnya mereka yang terlibat diambil tindakkan dibawah ISA (namun kini SOSMA)bagi mendapatkan maklumat yang lebih halus bagi tindakkan pembersiohan secara total.

    Selain itu selain daripada bahagian penguatkuasaan imigresen, bahagian risikkan juga perlu diperkasakan dan bertindaklah diluar kotak kebiasaan umpamanya melantik agen2 yang bersesuaian untuk mengesan dan mendapat maklumat terawal.

    Lemas melihat kebanjiran pendatang yang seperti tiada kesudahan. kebanyakkannya tanpa izin dan melakukan kerja2 songsang yang menjurus kepada menggugat keselamatan negara dan rakyat.





    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.