Rabu, Mei 29, 2013

TNB TRANSMISSION GAGAL MENGESAN KOLAM MEMANCING IKAN BEROPERASI SECARA HARAM SEJAK 8 TAHUN LALU?

Petang  semalam, saya, rakan,  Mohd Farid Hamzah  dan Juru  Teknik  Kanan  Tenaga Nasional Berhad, TNB, P. Sivaraj  ke kolam memancing  ikan di PJU 8/7 Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor.

Kolam itu   terletak  berhampiran   penempatan  Orang Asli,  Desa Temuan.  Berkibar  megah bendera   PAS  dan  PKR  di struktur  diperbuat  daripada  kayu  terpakai itu.


Kolam   ikan  dikorek  di bawah  talian  bervoltan  tinggi TNB.  Banyak  gambar  saya rakamkan  sewaktu  berkunjung  ke lokasi  sama  pada 17 Mac lalu,  klik  di sini.


Dua  hari  lalu  saya  memaklumkan  kes ini   kepada  Ketua  Meja  Jenayah/Mahkamah  akhbar   Sinar Harian,  Izwan  Rozlin

Saya  kemudian  membawa   Izwan  ke  kolam  memancing  berkedudukan  tersorok  itu dan dia  memperolehi  beberapa informasi penting.

Semalam sewaktu bersama Sivaraj dan  Farid,   saya merekodkan gambar   dua paip  PVC  dalam   keadaan   mencurigakan  di dalam  kawasan  berpagar  kolam memancing  ikan itu.


"Saya  syaki,   satu paip  untuk  menyalurkan  bekalan  elektrik dan satu  lagi untuk bekalan air," bisik   Sivaraj.

Kami  dapati,  jalan  tar di luar premis  seperti  telah  dipecahkan dan  kemudian ditampal semula.


Gambar  sambungan  paip di bawah  saya rekodkan  di longkang  di tepi  sebuah  daripada rumah  Orang  Asli  terletak kira-kira  50  meter dari  kaunter  bayaran  untuk  memancing.  


Saya perhatikan,  tiga bendera PAS dan PKR  dikibarkan  semalam sudah  diturunkan.

Barangkali  pemimpin  Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat  sudi  mencungkil maklumat sekaligus  mengenal  pasti  siapakah  pemilik kolam  itu?

"Taukeh ada empat orang, tiga Cina, satu Melayu," kata pekerja Bangladesh saya temu bual tadi.


Sebagai   bekas   wartawan  membuat  liputan kes jenayah,  tentunya  pelbagai soalan bermain  di minda saya  tatkala  itu.

1. Adakah  kolam   terbabit   dilesenkan  oleh  Majlis  Bandaraya  Petaling  Jaya,  MBPJ? 

2. Adalah  bekalan  air  dan  elektrik  diperolehi secara sah?

3. Apakah status  dokumen  pekerja warga  Bangladesh  bertugas lebih 4 tahun di kolam memancing  ikan itu?

4. Adakah  TNB  membenarkan  struktur  dibina dan  pengusaha  kolam  memancing dibenar  menjalankan perniagaan  di bawah  kabel   bervoltan  tinggi?


"Berapa  lamakah  kolan memancing  ikan ini sudah dibuka?," soal saya kepada pekerja Bangladesh berusia 38 tahun.

"Saya  sini  kerja   sudah   empat  tahun. Ini  tempat  sudah  buka  lapan tahun," balasnya sambil  diperhatikan  oleh  Farid.


Pesakit  kencing  manis itu  mendakwa,  dia memiliki  permit  kerja  sah. 

Tengahari  tadi, saya,  Sivaraj,  Izwan dan  wartawannya,  minum di restoran mamak di Seksyen 11,  Kota  Damansara.


Kakitangan  TNB  dan  syarikat  pembekal  air di  Selangor, SYABAS,  bersetuju  untuk melakukan   pemeriksaan   di  kolam memancing  ikan  itu  berdasarkan  maklumat  awal disalurkan  kepada  pihak   terbabit.

Kami kemudian bergerak ke lokasi.


Turut  mengiringi  pihak berkuasa ke kolam memancing ikan terbabit, 3 anggota polis dari Cawangan  Pencegahan  Jenayah,  CPJ,  Balai Polis Damansara  Utama.


Pemeriksaan  Sivaraj  dan  anak buahnya,  Steven  mendapati  terdapat  sambungan elektrik secara   tidak sah di sebuah  rumah di Jalan   PJU 8/7.


Lalu  bekalan  elektrik  disalurkan secara tersembunyi   ke kolam  memancing  itu  diputuskan  serta-merta.


Saya  difahamkan,  pengusaha  kolam terbabit  menggunakan   bekalan  elektrik  disambung  dari  sumber  rumah   untuk  tujuan  komersil   dan  membayar  pada  kadar  domestik.


Beberapa  penguatkuasa  MBPJ  diketuai  oleh  Muhamad Faizal  Mustafa  kemudian  tiba di lokasi sama.


Tatkala itu  kakitangan  SYABAS  sibuk melakukan  pemeriksaan di dalam  dan  di luar  kawasan berpagar kolam ikan.


Menurut  SYABAS,  jika   pengusaha   kolam   ingin   menggunakan  bekalan air  untuk  tujuan komersil,  tarif  sebenar lebih mahal berbanding kadar domestik.  Pengusaha didapati  melanggar  kontrak  dengan  SYABAS.  

"Hari  ini bersejarah  sebab  saya dapat  berjumpa  dengan abang Mazidul," usik  Nasrul Hashim sambil  menghulurkan tangan  bersalaman.

Rakan setugas  lain,  tersenyum melihat gelagatnya.


Graduan  Universiti  Teknologi  Malaysia, di Skudai, Johor, dalam  bidang  kejuruteraan mekanikal  itu kini bertugas sebagai  penguatkuasa SYABAS.  Nasrul  berusia 28 tahun,  anak kelahiran Shah Alam, Selangor,   mula  bertugas  dengan  SYABAS  sejak  3  tahun lalu.

Apa salahnya menjadikan  anak  muda itu LEBIH dikenali.

:)

Saya  juga  berpeluang  berbual  bersama  Eksekutif  Penyiasatan dan Pendakwaan  SYABAS,   Shahrul  Iman Saharuddin.  

Graduan Universiti  Islam  Antarabangsa di bawah  bersifat  peramah dan  petah berkata-kata. 


Pengusaha   diberikan  notis 14 hari  mengikut  Akta  Industri  Perkhidmatan  Air  2006  untuk   menangani  masalah  didepani.  Jika  tidak  diperbetulkan,  SYABAS  akan  menaikkan  kadar  tarif   bayaran  air  disalurkan   ke kolam  memancing.  

Pada masa sama,  kakitangan  SYABAS Wilayah  Persekutuan  akan  memantau  dan  menyiasat  kes ini  secara  lebih  terperinci  dan  akan  menganggarkan  jumlah  kerugian  sebelum  membuat   tuntutan   bayaran  balik daripada   pengusaha. 


"MBPJ  mengeluarkan  notis  mengikut  Akta 133, Akta Jalan,  Parit dan  Bangunan 1974.  Berikutan itu  pengusaha  diberikan  tempoh 7 hari dan  notis sama  diserahkan  kepada  Pejabat Tanah  untuk   tindakan  lanjut,"  ujar  Mohd  Fauzi  Maarop.

Mohd  Fauzi,  Pengarah  Penguatkuasaan   dan  Keselamatan  MBPJ.

Saya  dimaklumkan,   tanah  di bawah  kabel  bervoltan  tinggi  TNB  hanya  boleh  dibangunkan   sebagai  tapak  semaian  atau  ruang  parkir  sahaja,  itupun  mengikut  dengan kebenaran pihak berkuasa.


Setelah  dokumen diperiksa,  polis  CPJ  menyertai  Ops  Bersepadu  itu mendapati   pekerja asing  terbabit  mempunyai permit  bekerja  sebagai pencuci.


"Saya permit  cleaner  tetapi  sini semuapun  bikin juga.  Baru  sahaja renew  itu permit, RM3,000.  Sini gaji RM1,200 sahaja,   kerja 24  jam  mahu  kasi  makan  sama  enam  orang di Bangladesh.  Emak,  ayah,  isteri,  dua anak dan  adik.  Adik stroke, saya sendiri kencing manis, satu  bulan  ubat  angkat dua kali,  RM160,"  katanya.


Fakta ...

Lapan  tahun,   pengusaha  kolam  beroperasi  di tapak  TIDAK  sah.  Tidakkah  kakitangan TNB  Transmission   dapat  mengesan  kegiatan  haram  itu  selama ini? 


Lapan tahun,   pelanggan  kolam  memancing  haram  memperjudikan  nyawa  mereka  setiap kali berkunjung  ke lokasi itu.  

Barangkali  wakil  TNB TRANSMISSION  sudi  memberikan  penjelasan  berhubung kes ini. 

Laporan Sinar  Harian,  klik di sini.

Jika hendak makan SEDAP, klik  di sini.


12 ulasan:

  1. 8 tahun lama tu..kalau budak dah darjah 2...bukan tak nampak mungkin dibuta oleh sesuatu.

    BalasPadam
  2. Ada unsur unsur rasuah di sini, mungkin. Bukan tuduhan tapi tanggapan.

    BalasPadam
  3. 8 tahun...dah siap le bunglow berharga rm250ribu....pekerja asing tu bukan sj menyalah guna permit kerja...tetap..dia juga tidak layak mendapat permit kerja kerana mempunyai penyakit...medical checkup kat mana?FOMEMA atau pakai sendiket..batalkan permit kerja..hantar balik ke bangladesh..

    BalasPadam
  4. PeNAMA pada bil2 juga perlu disiasat & dikenakan tindakan sekiranya terlibat.

    Sambungan HARAM akan merugikan & menyusahkan rakyat & pembekal.

    Ada yang kata biarlah.. x de effect pun.
    Effectnya
    1. Risiko pencemaran electric (fluctuation), pencemaran air (sambungan yg tercemar)
    2. Kebakaran
    3. Tekanan air rendah
    4. Risiko bayar lebih
    5. Risiko penglibatan aktiviti jenayah.

    Warga asing yang rajin, skilled, well trained & mematuhi & menghormati undang2 negara dialu-alukan.

    Warga asing (atau tidak), yg melanggar undang2 tidak perlu wujud dalam negara.

    BalasPadam
  5. nampak...buat2 tak nampak.
    tau...buat2 tak tau.

    BalasPadam
  6. Hisham-250 di Damansara, rumah teres pun tak lepas bro, banglo tauke ni kurang kurang 4juta.

    BalasPadam
  7. bro adriany...sesekali cuba sedara bercuti ke daerah pendalaman..jangan terperanjat jika sedara melihat sebuah rumah papan ala kampong yg cantik dan terletak dlm kawasan dusun buah2an..berharga ratusan ribu..siap ada penjaga nya sekali..milik siapa?maaf..bukan semua pemiliknya org kampong..tpi dimiliki olih mereka yg bekerja dibandar..nk kata dpt wang pencen..umor baru mencecah 40an..rajin2 bertanya milik siapakah dusun dan rumah tersebut..

    BalasPadam
  8. Hisham-maaf, saya bukan 'Bro'. Peace! Faham, tapi apa yang saya maksudkan ialah, tauke tauke ni dah mengaut untung berjuta okay.

    BalasPadam
  9. tahniah tuan mazidul teruskan kerja murni tuan membongkar segala penyelewengan yang melangar undang-undang negara

    BalasPadam
  10. Pemancing yg pergi ke situ pun satu hal, dah tau tempat tu risiko tinggi pergi jugak. Memang la pihak berkuasa ada tanggungjawab tapi keselamatan diri sendiri kena la jaga dan fikir sendiri.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.