“Abang ada dua,” katanya
Lah, 55 tahun dengan ketinggian kurang 150 sentimeter saya temui kali pertama sewaktu minum petang di Petaling Jaya, Selangor. Lelaki rendah memiliki senyuman manis. Dia diperkenalkan rakan saya kenali sejak 2 tahun lalu, Shah.
“Dua apa bang?,” soal saya.
“Binilah,” celah Shah sambil menjeling Lah duduk di sebelahnya.
“Hebat orang tua ni,” sambungnya lagi.
Saya tersenyum melihat Lah berjeket kemas.
“Ya lah, tengok pen dia dua, cincin dia pun dua. Tak kan bini satu,” sekadar satu kenyataan.
“Macamana boleh jadi dua?,” tanya saya.
“Sebelum kahwin, bini ke dua tu sebenarnya adik angkat saya. Masa tu umur dia 17. Selalulah pergi rumah dia di Keramat, maknya pulak ibu tunggal, beza umurpun 3 tahun dengan saya. Mula tu target maknya. Tapi entah macamana lekat anak pulak,” sambil dia ketawa berdekah-dekah, gembira.
“Macamana boleh betemu jodoh?,” soal saya ringkas.
“Satu hari tu saya cakap kat bini pertama saya ada kursus di Melaka. Tapi tak ada pun. Sebenarnya saya ajak ‘adik angkat’ tu pergi ke Golok, Thailand. Bila sampai sana ‘adik angkat’ kata tak sedap la nak berdua begitu saja. Dia pula warak orangnya. So, sampai sana saya adjust dengan orang masjid semua, nikah. Bayar 3 ribu,” khusyuk saya mendengar penjelasan Lah.
“Memang hebat. Lepas nikah, tak takut ke dengan isteri pertama?,” soal saya.
“Masa tu saya dah tak takut apa dah. Main langgar semua. Saya cakap pada bini pertama saya dah ada part-time job, jadi guard di Wangsa Maju. Bini kedua duduk flat kat situ. Jadi, hari selasa, khamis ..”
“.. dan sabtu abang kerja kan?,” saya mencelah.
“Huih! Mana tau?,” Lah terkejut.
“Laaa .. kan nampak macam ikut urutan jer harinya tu, selang-selang,” sambung saya seakan bijak.
Kami bertiga tertawa serentak.
“Kononnya kerja guard la. Guard kan selalu kerja 12 jam, dari 7 pagi sampai 7 malam. Tapi sebenarnya balik jumpa bini kedua. He! He! Tapi saya memang bagi tahu dengan bini pertama, ‘site’ tempat saya ‘kerja’ tu,” begitu jujur kedengarannya.
“Entah macamana, satu hari nak jadi cerita dia datang tapi tak bagi tahu dulu. Nasib baik guard kat bawah kenal bini pertama. Dia pun call saya. Lah, bini pertama engkau datang ni, katanya”
“Lepas tu, abang buat apa?,” cerita semakin panas biarpun kami minum di restoran berhawa dingin.
“Apa lagi, saya pun terus cepat-cepat pakai uniform guard, memang saya dah prepared awal. Capai cota, turun lif. Terus jumpa bini kat bawah. Hayun cota tu kiri kanan, kiri kanan. Bila dia tengok memang dia percaya saya ni bertugas. Bukan menipu,” jelas Lah sambil menarik nafas lega.
“Betullah kata P.Ramlee, mesti pandai pembohong, mesti pandai temberang,” saya mengusik.
“ Tetapi jangan sampai .. hai pecah tembelang ..!,” Lah menyanyikan rangkap terakhir lagu Madu Tiga itu.
Sekali lagi kami tertawa bersama.
Lah dikurniakan 7 anak berusia antara 9 dan 23 tahun. Seorang dengan isteri pertama, 6 dengan isteri ke dua. Kini kedua isteri tinggal bersama dia di rumah teres 2 tingkat. Isteri tua tinggal di atas, isteri muda di bawah.
“Macamana dia orang boleh jumpa?,” saya ingin tahu.
“Masa anak pertama isteri muda lahir di Hospital Besar Kuala Lumpur. Masa tu panggil GH, boleh hisap rokok kat luar wad. Puh! Puh! Merokok, tiba-tiba saya nampak isteri pertama datang melenggang laju dengan tangan di belakang. Masa tu memang saya berdebar, matilah,” keluhnya.
“Macamana dia tahu?”
“Sebelum tu pun angin dah bertiup kencang kata saya kahwin dua. Mesti ada orang bagi tahu,” Lah yakin dengan kenyataannya.
“Abang Lah dengan isteri pertama kan kerja satu pejabat,” tambah Shah bersahaja.
“Kemudian apa jadi?”
“Saya pun ikut dia dari belakang. Saya ikut rapat. Yang, bawa bertenang, saya cakap kat dia. Bila dia sampai ke katil, saya terkejut. Dia orang berpelukan, menangis,” redup wajah Lah meluahkan perasaannya petang itu.
“Lepas tu?,” soal saya.
“Lepas tu dia orang jadi baik. Sebab sebelum tu pun memang dah kenal. Saya selalu bawa isteri pertama ziarah rumah ‘adik angkat’ tu,” ulasnya.
“Sekarang ni anak dah besar. Bini tua, 48 tahun, bini muda 37 sama-sama jaga. Tapi tak tahan bila dia orang berdua komplot. Hari sabtu pergi pasar, saya bagi RM300. Dia orang kata tak cukup. Mintak lebih. Rupanya beli barang sikit jer, duit lebih dia orang split dua. Mati saya,” kata Lah.
“Padan muka,” celah Shah.
“Tapi Mazidul, kahwin dua bukan mudah. Duit kena cukup, kalau tidak memang payah,” barangkali mengingatkan dirinya sendiri.
Benarkah?
Apa komen anda?