Jumaat, Disember 04, 2009

Bak Gadis Pusat Terdedah

Media cetak dan elektronik berulangkali memaparkan usaha pelbagai pihak berkuasa mengekang kemasukan pendatang tanpa izin, PATI, ke Semenanjung Malaysia.

Persisiran pantai negara antaranya dipantau dan dikawal rapi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan pasukan marin Polis Diraja Malaysia, PDRM.

Setiap hari mereka berhadapan taktik licik tekong laut dan darat, berada 'one step ahead' mencari peluang keemasan cuba menyeludup masuk PATI berikutan ganjaran lumayan diraih. Saya difahamkan hanya dengan bayaran RM500 warga negara jiran mampu diseludup ke negara ini dengan bantuan gabungan tekong laut dan darat.

Di darat, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat, RELA giat melaksanakan operasi membanteras PATI di lokasi berbeza. Kongsi, rumah flat, penempatan setinggan, rumah urut dan pusat hiburan dari Johor sehingga ke Perlis, semua diserbu. Menurut maklumat dipetik daripada laman web Kementerian Dalam Negeri, di antara 1 Mac 2005 dan 14 November tahun ini, RELA berjaya memberkas 181, 168 PATI. Untuk rekod, bermula 1 Februari 2005, RELA diberikan kuasa mengikut Peraturan Peraturan Perlu (Pindaan 2005) untuk memeriksa dan menangkap PATI. Statistik itu jelas membuktikan kegigihan pihak berkuasa terbabit mengurangkan bilangan PATI bermastautin di negara ini.

Apapun itu senario di Semenanjung Malaysia, di Sarawak berbeza kisahnya.

Sempadan negeri sepanjang 2,110 kilometer begitu sinonim dengan laluan haram buatan manusia atau ‘jalan tikus’. Jalan tikus digunakan warga Indonesia untuk menyusup masuk secara senyap ke negara ini tanpa dipantau pihak berkuasa tempatan.

"Kalau jalan illegal (jalan tikus), kita tidak mempunyai peraturan, bergantung kita mahu berapa lama di sini (Sarawak), kalau kita mahu pulang, kita terus pulang. Kalau kita mengikuti jalan rasmi, kita kena patuhi peraturan, kita akan diberi cop dan agreement sebulan, sudah cukup sebulan, kita mesti pulang ," ujar PATI warga Indonesia, Mardan Rahim, ditemubual wartawan '360', Fadly Khamis, di Kampung Biawak, Lundu, 2 minggu lalu.

Sebelum melakukan tinjauan menggunakan helikopter bersama Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontingen Sarawak di Lubok Antu suatu ketika dahulu, saya sangka sempadan di antara Sarawak dan Kalimantan, Indonesia, dipisahkan tembok tinggi dilengkapi kawat berduri. Telahan itu ternyata amat meleset, hakikatnya sebahagian besar sempadan hanya dibatasi ladang kelapa sawit sahaja. Tiada tembok, tiada pagar berduri. Ertinya, penduduk kedua negara terutama mereka tinggal berhampiran sempadan, bebas keluar masuk tanpa dokumen perjalanan diperiksa pihak berkuasa.

Masih segar di ingatan, saya memacakkan ranting kayu setinggi paras pinggang berhampiran ladang kelapa sawit di kawasan terbabit dan berkata ...

“Kini saya di Indonesia, selangkah melintasi pancang kayu ini, saya berada di Malaysia”

Di negeri sama saya pernah mengikuti ‘Tiger Squad’, kumpulan elit Pasukan Gerakan Am, PDRM, melakukan rondaan di sempadan. Namun berikutan bilangan anggota terhad mereka ternyata tidak mampu memantau keseluruhan garisan sempadan. Hemat saya, masalah sama didepani pegawai dan anggota Angkatan Tentera Darat Malaysia bertugas di sempadan negeri sama.

Manakala kakitangan pihak berkuasa lain (Jabatan Kastam dan Imigresen) ditugaskan mengawal 13 pintu keluar masuk diwartakan, Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin, CIQ, bukan jalan tikus. Lebih malang, hanya CIQ Tebedu dilengkapi alat pengimbas digunakan untuk mengekang kegiatan penyeludupan barangan terlarang. Maksudnya, di 12 CIQ lain, penguatkuasa Kastam sukar memeriksa barangan dibawa masuk secara teliti dan terperinci.

Sewaktu Datuk Chor Chee Heung menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri, cadangan pembinaan tembok di sempadan Mangsasan, Lingsawan dan Wongpanjang di Lubuk Antu dan Batu Lintang di Sri Aman diusulkan. Namun sehingga kini cadangan terbabit dan masih tidak dilaksanakan.

Sebelum ini 62 jalan tikus dikenal pasti di sempadan Sarawak-Indonesia, kini bilangan itu mungkin bertambah. Majoriti jalan tikus dikesan di Daerah Serian (12), Lubok Antu (9), Baram (6), Lundu (6), Belaga (5), Sri Aman (4), Bau (4), Kuching (4), Lawas (3), Kapit (3), Song (3), Limbang (2) dan Simunjan (1).

Lebih mengejutkan, sebilangan besar jalan tikus dahulu sempit kini dilapor bertukar ke ‘jalan gajah’, laluan lebih luas, sesuai digunakan kenderaan berat, pacuan empat roda dan lori. Kenyataan itu disokong catatan berbentuk dakwaan dipetik daripada Indonesia FLEGT Support Project.

‘Memanfaatkan ‘jalan tikus’ banyak terdapat di daerah perbatasan, kayu-kayan tersebut dengan menggunakan truk besar selanjutnya dibawa ke Malaysia. Tidak peduli kayu tersebut hasil tebangan legal atau illegal, petugas di Malaysia akan meneriamanya dengan tangan terbuka. Kayu akan dikenakan cukai dan selanjutnya dinyatakan sebagai kayu resmi. Kayu itu kemudian dianggap sebagai kayu produk Malaysia dan dieskpor ke berbagai negara’

Cuba fikirkan secara logik akal, jika kayu balak mampu diseludup melalui sempadan, apatah lagi manusia dan barangan. Bagaimana dengan senjata api?

Terkini, November lalu, kerajaan Sarawak melalui Timbalan Ketua Menterinya, Tan Sri Dr. George Chan, memohon lebih banyak peruntukan daripada kerajaan pusat untuk menampung kos penambahan bilangan CIQ di sempadan negeri.

Permohonan terbabit mengingatkan saya kepada gurauan teman di Negeri Bumi Kenyalang.

"Jika dibariskan setiap pegawai dan anggota pelbagai pihak berkuasa terbabit sambil tangan mereka didepakan, tidak mungkin mampu mereka mengawal setiap inci sempadan Sarawak-Indonesia (Kalimantan)," katanya.

Menyentuh usaha membendung kemasukan PATI ke Malaysia, hemat saya, negara kita tidak ubah bak gadis berbaju singkat. Ditarik ke atas cuba menutup dada, pusat pula terdedah. Maka, kini saya tidak berasa hairan sedang di Semenanjung kita sibuk melaksanakan program pemutihan dan pengampunan, menghantar PATI pulang secara sukarela atau tidak ke negara asal, Bumi Kenyalang terus dibanjiri warga asing bebas keluar masuk sesuka hati mereka.

Jalan tikus, jalan ke 'syurga' bagi PATI berhasrat mengubah nasib kehidupan mereka, tinggal sengsara di negara asal kemudian mengecapi nikmat kemewahan menetap dan memburu rezeki melimpah ruah di bumi bertuah ini, Malaysia.

11 ulasan:

  1. Salam,
    Saya setuju dengan Abg. Mazidul. Kedatangan warga Indonesia di Sarawak tidak pernah terhenti walau sehari pun. Ada saja wajah baru yang datang. Dan mereka juga mula bermastautin terutamanya segelintir yang ada keluarga di sini. Menyampahnya rakyat Malaysia sendiri lebih mengutamakan mereka dek kerana isterinya berasal dari Indonesia. Tanah diberikan rumah tersergam. Pada hemat saya, bukan mudah untuk mengawal kedatangan PATI apatah lagi ada pihak yang sepatutnya menghalang kehadiran mereka tetapi sebaliknya.
    Terima kasih.

    BalasPadam
  2. Salam buat semua ,
    nampak gayanya kerajaan terpaksa memperuntukan juataan ringgit untuk membenteras dan mengahntar pulang "PATI" KE tempat asal.

    BalasPadam
  3. Kalau nak dikira banyak juga KOS untuk jaga sempadan yer..kalau beli itu beli ini tambah itu tambah ini..huhu..

    BalasPadam
  4. Jadi kalau kerajaan berhasrat mahu memajukan dan memodenkan Sabah Sarawak seperti memajukan Kuala Lumpur atau Putrajaya, kita harus fikirkan semula, kemungkinan Rakyat Indonesia yang bakal lebih menikmati kemajuan dan kemodenan itu berbanding rakyat Sabah Sarawak itu sendiri.

    BalasPadam
  5. Ya.. benar.. mudahhh sangat mudahh.... seolah-olah seperti menggamit mereka plak..

    Pengalaman pagi tadi dalam bas dalam ujan.. 90% penumpang adalah warga Indonesia. Dan saya rasa macam I'm lost?

    mereka berbual kuat.. seolah-olah negeri mereka, kampung mereka..

    saya? terkedu dan terkaku..

    BalasPadam
  6. Di sebuah hotel di Batang Ai, ada disediakan aktiviti trekking yang dinamakan "Smuggler's Trail". Menurut trekking guide, aktiviti ini memakan masa 8 jam dan menggunakan denai yang digunakan oleh penyeludup zaman dahulu untuk membawa keluar masuk barang-barang dari negara jiran ke Sarawak. Amat menarik, kerana Batang Ai sangat hampir dengan sempadan.

    Adakah ini termasuk dalam jalan tikus? Wallahualam.

    BalasPadam
  7. No wonder la PATI senang nak masuk Sarawak dan Sabah....ingatkan ada tembok tinggi macam kat sempadan Malaysia-Thailand tu....

    BalasPadam
  8. Bro kalau aku la..aku tanam jer anti personal mine banyak-banyak kat sempadan.senang cerita tak payah nak isau nak kejar-kejar lagi. Tapi tuh pendapat bodoh jer.

    Memang susah kita hendak kawal border lebih-lebih lagi dalam hutan khatulistiwa. Tiada cara yang lebih praktikal melainkan rondaan kerap oleh PGA dan Tentera Darat.Tapi dengan sempadan macam tu sukar hendak dipantau sepenuhnya.

    BalasPadam
  9. Saya sebenarnya lebih suka memanggil PATI itu pendatang haram; emmm! bila sebut haram itu macam tak manis pula, sebabnya ramai kalangan mereka seagama dengan kita!.

    Hakikatnya memang masalah ini amat sukar kita kekang tak pasti di mana silap & begitu senggangnya sekatan kita dengan PATI ini.

    Jika masalah tidak timbul memang tidak menjadi persoalan tetapi jika sampai mengancam keselamatan negara bagaimana. Warga kita dibenci di seberang lantaran pernah mengebom bumi mereka; apakah tidak mungkin orang seberang senyap-senyap merancang mengebom bumi ini atas dasar Nahi Mungkar!. (Kononnya)

    Saya masih ingat arwah Pak Mertua saya pernah ke Jawa Barat tanpa pun menggunakan dokumen sah; kira masuk Indon naik tongkang, bukan sekali dua. Saya taklah pula berani merisik bagaimana cara & teringin mahu jadi PATI ke sana. Lagi pun waris saya sebelah arwah Apak kalau ada pun mungkin di daerah Minangkabau sana di Padang. tak sehaluan. Entah-entah telah pupus pun dek! gempa bumi. Jawa Barat ramai lagi waris sebelah mertua berulang alik ke Malaysia. Cari rezeki di sini!.

    Itu kes Indon, bagaimana di Sabah? Siapa pula PATI yang keluar masuk ke negara kita?. Pernah pelancong asing kena culik oleh PATI ini, gempak kejap sahaja kemudian rutinnya berterusan juga. Tak menyelinap masuk ke pulau itu (Pulau Sipadan) masuk ke daratan lain.

    Kerja jangan tak kerja tangkaplah semua PATI ini demi keselamatan negara kita.

    BalasPadam
  10. ....Memang tugas mengawal sempadan yg luas adalah sukar..kita pun faham so pada pandangan saya kekerapan melakukan rondaan hendak djalankan kalau boleh jangan putus2 sentiasa bertali arus kalau kekurangan aggota pengambilan anggota keselamatan yg baru dgn tawaran gaji yg menarik.kalau kita boleh membeli jet2 pejuang dan juga kapal seni selam yg bernilai berbilion2 ringgit untk sekadar menayangkan yg kita ni hebat dan mampu menahan sebarang ancaman pihak musuh tetapi sebenar kita tidak cukup kuat. Mereka dengan senang boleh keluar masuk dan berkeliaran begitu sahaja tanpa rasa takut sebaliknya warga tempatan pula yg takut.

    BalasPadam
  11. Seteruk-teruk Malaysia, tetapi tiada lagi rakyat ini yang menyeludup masuk dan mengikut 'jalan tikus' serta menjadi 'lambakan pendatang' di Indonesia..

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.