Sabtu, Januari 09, 2010

Minyak! Minyak!

Kes penyeludupan minyak petrol di sempadan Malaysia-Thailand menarik perhatian saya.

2 hari lalu, saya, penerbit 999, Shahnun Hanif dan jurukamera, Hanafi Mat membuat tinjauan ke Sg. Golok di Pengkalan Kubor, Kelantan. Kami menyusuri sungai terbabit lebih sejam bersama pemandu bot, ‘Awang’, 32 tahun dan rakannya berusia 13 tahun, ‘Mat’.

“Minyak! Minyak!,” jerit Mat.

Mata kami tertumpu ke arah ‘bot galah’ dipandu laju dari arah bertentangan.

“Orang itu tadi duduk atas tong minyak 30 liter, dalam bot kurang-kurang ada 20 tong,” jelas Awang.

Jika benar dakwaan terbabit, hemat saya, begitu mudah 600 liter petrol diseludup ke negara jiran. Jika dicongak, 600 liter petrol dibeli di Malaysia dengan harga RM1,080 (RM1.80 seliter), dijual di Thailand dengan harga RM1,500 (RM2.50 seliter), keuntungan diraih penyeludup, RM460. Untuk rekod, harga petrol di stesen minyak di Thailand, RM3.70 seliter.

Kira jumlah jika mereka berjaya melakukan kegiatan sama, 5 kali sehari. RM2,300!

Bagaimana Mat dan Awang tahu bot terbabit menyeludup minyak hanya dengan sekilas pandang? Itu persoalan bermain di fikiran kami. Akhirnya, selepas makan tengahari, mereka berdua mengaku turut membantu operasi sindiket penyeludupan minyak melalui Sg, Golok.

“Kalau petrol dalam tong 30 liter, guna bot saya untuk dibawa ke Takbai (Thailand), saya caj RM2 setiap satu, tong 10 liter, RM1,” terangnya sewaktu ditemubual Shahnun.

Saya tersenyum mendengar penjelasan jujur duda beranak dua itu.

Petang tadi, kami ke Rantau Panjang. Puluhan pemilik kereta dan motosikal kelihatan mengisi minyak di 2 stesen paling hampir dengan sempadan. Menurut pengurus stesen minyak ditemui, setiap kereta bernombor pendaftaran Thailand hanya dibenarkan mengisi minyak maksimum 20 liter. Jika lebih, mereka melanggar peraturan ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, sabit kesalahan pemilik stesen minyak boleh didenda di antara RM5,000 dan RM15,000.

Jam 4.30 petang kami ke kawasan perumahan Pasukan Gerakan Am Batalion 7 bersama Cif Inspektor Zaidi Osman. Pasukannya berjaya menahan 6 kenderaan dipasang tangki minyak tambahan secara tidak sah. Kenderaan pacuan 4 roda, Nissan didaftarkan di Songkhla contohnya, mempunyai tangki asal berkapisiti 65 liter. Bermodalkan RM2,000 kenderaan sama dilengkapkan tangki tambahan berkapisiti 100 liter di negaranya.

“Tetapi hanya boleh bawa minyak (seludup) ke Thailand 2 kali sehari sahaja sebab Imigresen Malaysia bagi kita cop pas sempadan 2 kali sehari. Stesen bagi kita beli 20 liter, saya akan beli minyak di Petronas, Caltex, Esso, kumpul sampai penuh tangki. Di Thailand, saya jual minyak kepada orang kampung tetapi kena bayar polis (Thailand) lebih RM1,000 sebulan, kalau tidak, nanti kena tangkap. Di Malaysia saya pernah ditangkap 3 kali, denda RM300,” jelas warga Thailand, ‘Ismail’, 36 tahun.

Ringkasnya, setiap hari, 2 kali Ismail menyeludup 200 liter petrol ke Thailand, keuntungannya RM280.

Kira keuntungan bulanannya.

Kisah sepenuhnya liputan ‘Penyeludupan minyak’ akan disiarkan di episod 2 musim baharu '999' pada 14 Januari, jam 9 malam.

8 ulasan:

  1. Lihatlah betapa pandainya diaorang mengaut keuntungan. Silap2 kalau setahun berterusan membuat kerja begitu (menyeludup minyak) boleh jadi jutawan.

    BalasPadam
  2. Salam, buat kerja, bayar cukai dapat subsidi, depa kebas senang-senang. Teruskan dengan pendedahan yang berani anda. Terima kasih.

    BalasPadam
  3. Cuba mazidul selam sedalam-dalamnya "dalang" disebalik tabir ini. Kekadang "org dalam" juga terlibat dan kerap pejam mata janji hulur sikit kat mereka.Operasi bermusim dan hangat2 taik ayam pihak berkuasa kita, menyebabkan org seberang tak takut

    BalasPadam
  4. org kalau nak cepat kaya cam gitulah sanggup buat ape saje..betapa senangnya rakyat Thailand nak masuk kenegara kita...semudah A,B,C...

    BalasPadam
  5. Salam,
    ini bagaikan membuktikan ada kelompangan dalam tindakan pihak berkuasa, tambahan jika ada istilah orang kita dalam minda penguatkuasa

    BalasPadam
  6. Salam..
    perkara yg dah didengar dari sejak saya mampu mengingat (kecil lagi) spr tak akan ada formula penyelesaiannya.. peraturan ada tapi tetap diusaha cari cara utk tidak dipatuhi.. kita mulakan begini.. jika benar beriman tak tinggal solat tentu tau mana yg hak utk kita.. tapi kalau itu amalannya tafsirkanlah sendiri pada saya tak teruja utk bertandang kesitu..

    BalasPadam
  7. Duit bukan kulit kerang! semasa saya kecil rajin main jual beli guna kulit kerang sebagai duit.

    Bila kita menilaikan duit teramat berharga & tinggi di hati maka semua boleh jadi.

    Jika orang biasa pun nampak terang-terang perkara seludup ini berlaku pasti ada tak kena terhadap pihak berwajib yang seharusnya mengekang masalah penyeludupan ini.

    Masing-masing mendapat habuan maka payahlah mahu menghentikan jenayah ini.

    Mengurangkan penyeludupan ini mungkin boleh jika pihak berkuasa terusan buat operasi & jujur diri!.

    BalasPadam
  8. no demand no supply. mmg bleh kaya beb, 1 bulan buat duit 10k. MLM pun xleh buat byk ni

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.