Ahad, Januari 31, 2010

Roulette Papakan Melayu

Ribuan premis bercermin gelap menawarkan perjudian elektronik beroperasi hampir 24 jam di seluruh negara.

Di Kota Kinabalu, Sabah, pusat sama menjalankan perniagaan di antara jam 12 tengahari dan 8 pagi, 20 jam sehari seperti diaporkan wartawan 999, Mohd Raziff Zulkafli kepada saya, kini berada di Negeri Di Bawah Bayu terbabit.

Sebelum tahun 2009 majoriti pelanggan gemar berjudi menggunakan ‘mesin kuda’, pertaruhan meneka urutan kuda pertama dan kedua sampai di garisan penamat dalam setiap perlumbaan. Semua 6 kuda bernombor dan berlari hanya illustrasi grafik di atas skrin komputer. Apapun, keuntungan diraih sekiranya menang dikatakan tidak begitu lumayan.

Citarasa berubah, begitu juga teknologi. Kini perjudian ‘online’ pilihan ramai pelanggan, majoriti Melayu.

‘Roulette’.

Sila Goggle untuk mengetahui kaedah perjudian ditawarkan kasino di dunia ini.

Dahulu di negara kita, roulette hanya untuk tahi judi di tanah tinggi Genting Highland, Pahang. Kini kaedah perjudian sama ditawarkan kepada kelompok gemar berjudi di tanah datar. Maksudnya, untuk berjudi roulette pelanggan tidak perlu lagi berasa sejuk, mendaki bukit, berbaju batik dan berasa bersalah membaca notis ‘Orang Islam Tidak Dibenarkan Berjudi’ di pintu kasino.

Gadis Filipina membaling bola di atas roda roulette berputar dipaparkan di skrin komputer secara ‘live’ di lokasi tersembunyi berbanding di hadapan mata jika di kasino sebenar. Pelanggan menukar wang tunai ke bentuk kredit dijadikan modal perjudian ‘online’ terbabit.

"Perempuan baling bola tu dipaparkan secara langsung dari Filipina, kerja gangstar sana," sambung kenalan saya hubungi.

Jika menang pertaruhan, pelanggan mampu gelap mata berikutan hasil kemenangan mencecah ratusan ribu ringgit.

Malangnya, kejadian itu dilaporkan amat jarang berlaku. Majoriti pelanggan kecundang sekaligus kehilangan wang tunai. Bagaimanapun ‘tarikan’ roulette terlalu kuat, pelanggan ketagih. Biarpun kalah setiap kali berjudi, kebanyakkan mereka akan kembali berjuang di roda berputar sama. Diberitakan, sebilangan mereka terpaksa menjual pelbagai aset dimiliki, antaranya kereta dan rumah untuk membiayai tabiat ternyata merugikan itu. Lebih teruk, kekadang wang untuk membeli susu anak kecil di rumah disalahgunakan mereka bergelar suamai dan bapa untuk memenuhi nafsu berjudi.

Acapkali, lot kedai ditukar kepada premis perjudian dan penuh dikunjungi pelanggan. Ramai mengajukan soalan, adakah pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa tempatan, PBT tidak mengetahui berhubung operasi premis terbabit? Mustahil.

Sebelum ini di SS2, Petaling Jaya, Selangor, premis perjudian didapati beroperasi hampir dengan Balai Polis Sea Park. Berikutan laporan media, Ketua Polis Balai sama ditukar ke tempat lain dalam tempoh 24 jam. Kes terbabit menarik perhatian ramai.

Saya difahamkan, unit kosong mesin judi dijual dengan harga RM700.

"Selalunya kalau ada kedai, taukeh besar akan masukkan mesin. Keuntungan 50%-50%. Kalau dia baik dengan kita, mungkin dia beri 60%-40%," ujar pemilik pusat perjudian saya hubungi.

Kes samun premis perjudian tanpa lesen berlaku tetapi pemilik tidak melaporkan jenayah berlaku. Penjenayah memakai topi keledar 'full face' bersenjatakan parang, masuk ke pusat perjudian, menyamun wang kutipan harian berserta barangan berharga milik pelanggan, antaranya wang tunai dan telefon bimbit. Jika itu berlaku, masakan pemilik premis berani tampil membuat laporan polis kerana kegiatan dijalankannya sendiri bercanggah dengan undang-undang. Justeru itu, kisah premis judi disamun tidak pernah dimuatkan di akhbar atau dipaparkan di televisyen.

Apapun, polis dan PBT berulang kali melakukan serbuan dan menyita mesin judi namun kegiatan pusat terbabit masih berterusan dan tidak bernoktah. Semuanya kerana pihak sindiket mengaut keuntungan, pada masa sama disokong dek pelanggan kononnya kepingin mendapatkan wang terpijak.

Selepas komplen berhubung kehadiran warga asing tanpa izin, kewujudan mesin judi, masalah ke dua terbanyak dikemukakan kepada saya. Saya percaya jika kegiatan itu tidak dibendung, ramai orang Melayu akan papa kedana.

Sewaktu berada di Pulau Batam, Indonesia, saya dimaklumkan sebelum Susilo Bambang Yudoyono mengambil alih tampuk pimpinan negara jiran itu, kegiatan judi berleluasa di pulau dihuni lebih 958,000 orang terbabit. Kini perjudian berjaya dibasmi sepenuhnya.

Polis dan PBT Malaysia harus belajar daripada pemerintah pulau peranginan terbabit.

8 ulasan:

  1. yg sy heranlah bila ada setengah premis tu berulang kali diserbu, dikenakan tindakan tetapi tidak pernah takut dan gerun utk beroperasi kembali. Kenapa ini berlaku? Apakah krn mrk ni "angpau" org tertentu ?? cuma bila angpau tak cukup aje barulah kena serbu? Atau dah ada perjanjian, beroperasi tetapi kena serbu juga utk sekali utk melihat penguatkuasaan bekerja!

    Teringat masa kat Las Vegas..larit memerhati sepasang couple dr Malaysia bermain judi ...

    BalasPadam
  2. haaa...betul..cuba tengok dekat selayang ni je.memang dah jadi negara myanmar.penuh dengan warga myanmar.mereka buat apa saja tanpa taku siapa siapa.
    minggu lepas, mata saya sendiri lihat pegawai dbkl kutip angpau.dari satu premis ke satu premis.bukan yang pusat judi sahaja, malahan yang jual sireh di tepi tepi kaki lima pon bagi angpau.
    setahun saya kerja di situ adala 2,3 kali pihak berkuasa datang dengan lori.itupon rasanya sebab mereka lambat atau tak bagi angpau.entahla.kalau terus macamni, sampai bila bila pon selayang akan terus macam ni.
    kalau boleh, saya ak tahu..apa sejarah yang menyebabkan warga warga myanmar ni bebas tinggal di selayang, beranak pinak.?
    dan mereka bebas berniaga.
    merka bebas lakuakn apa saja.

    BalasPadam
  3. sistem cekap dan sistematik dari mana2 negara kena tauladan.Positif diambil..negatif dibuang.
    kecuali lah ada NIAT nak MASYUK tambah income..(secubit insan)

    BalasPadam
  4. yang mendapat untung dari hasil 'PAU' akan membangkang mana-mana sistem merugikan mereka...

    BalasPadam
  5. berapa pula keuntungan yang diperolehi berbanding denda yang perlu dibayar?

    BalasPadam
  6. bro MAS, harap krew yang sama dapat tengok2 dan tinjau juga kasino dalam daerah Putatan, sebelah Kota Kinabalu

    Kawasan majoriti Islamnya sangat tinggi, tapi sudah ada kasino.

    Ia semakin 'membesar'. Mereka ada bangunan baru lagi.

    saya pernah menulis berkenaannya. http://abunuha.wordpress.com/2010/01/21/kasino-di-putatan/

    BalasPadam
  7. biar pun dirampas itu nilainya ratusan ribu RM tetapi keuntungannya melebihi yang dirampas maka ianya tumbuh lagi.

    saya pernah tenguk mesin kuda tersebut, suka ikut kawan yang ketagih dengan mesin tersebut... sungguh ianya melekakan!.

    jika ada usaha ingin membenteras perjudian ini lambat laun akan berjaya dilenyapkan...

    usaha kena gigih kesedaran kita sebagai orang awam juga kena dipupuk... berjudi itu adalah dosa besar!.

    BalasPadam
  8. Untuk berjaya dan berjasa elakkan khamar, judi dan zina. Kata mudah dikata bukan dikota kerana ada perjanjian azazil dengan Tuhan yang valid hingga dunia kiamat. Maka berwaspadalah setiap jiwa yang mengaku muslim dengan cabaran-cabaran ini.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.