Sabtu, November 30, 2013

USAH MENJADI HERO KECUNDANG

Kereta berjenama Honda Civic dilaporkan dicuri di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor dan kemudian dilihat oleh rakan pemilik kenderaan di susur masuk Lebuhraya DUKE, berhampiran Jalan Sentul Pasar, Kuala Lumpur.

Lalu dia bersama 3 rakan menahan kenderaan dipandu lelaki dinaiki oleh 2 penumpang. Pada jam 7.30 malam, ketika kereta terbabit terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas. Dua penumpang kereta kemudian melarikan diri manakala pemandu berusia 32 tahun dibelasah teruk oleh 4 lelaki berusia di antara 22 dan 37 tahun di lokasi.

Serangan itu dileraikan anggota polis. Sebaik pemandu dipukul tiba di pekarangan Balai Polis Sentul, dia dilaporkan tidak sedar diri sebelum disahkan meninggal dunia. Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa, mangsa mengalami kederaan serius di kepala, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

Berikutan itu polis menahan 4 lelaki untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Jika sabit kesalahan, pesalah akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Kes ini menarik perhatian saya.

Jika disahkan suspek memandu kenderaan curi, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan di atas tuduhan memiliki harta (kenderaan) curi. Berbeza, jika dia diberkas tatkala mencuri kenderaan, seksyen berbeza digunakan untuk pertuduhan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan, mencuri kenderaan. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara di antara 1 dan 7 tahun serta didenda.

Apapun, nasi sudah menjadi bubur sekaligus mengubah status pemandu kenderaan dilaporkan dicuri itu, daripada suspek kepada mangsa bunuh dan 4 lelaki ditahan polis berdepan dengan tali gantung. 

Hero bakal kecundang. 

Niat mereka untuk membantu kenalan kehilangan kereta, tidak menghalalkan cara (memukul pemandu sehingga maut). Apapun saya percaya polis akan menyiasat kes ini secara terperinci dan mengenal pasti suspek sebenar melakukan the final blow, pukulan terakhir mengakibatkan kematian mangsa.

Pengajaran daripada kejadian itu mudah. Jika berjaya menahan suspek terbabit dalam kes jenayah, usah bertindak terlalu emosi sehingga memakan diri sendiri. Ingat, Malaysia negara berdaulat, mempunyai sistem perundangan dan pihak berkuasa. Serahkan penjenayah diberkas kepada polis dan mahkamah akan membuat keputusan samada mereka bersalah atau sebaliknya.

"Kalau kita berjaya menangkap penjenayah memecah masuk ke rumah kita, bagaimana?," soalan dikemukakan oleh rakan saya.


"Ikat tangan dia sementara menunggu polis tiba. Masukkan segenggam cili padi ke dalam plastik, tumbuk sehingga lumat dan lumurkan ke seluruh badan dia, mesti terseksa kepanasan. Tentunya dia tidak cedera atau mati," balas saya bergurau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.