Sabtu, Mac 23, 2013

APAKAH TINDAKAN TERBAIK JIKA TERSEREMPAK DENGAN PELAJAR PUSAT TAHFIZ AMAL?

27 Februari lalu, 2 remaja, pelajar Pusat Tahfiz Amal, PTA, Yan, Kedah berusia 12 dan 13 tahun diserahkan oleh orang awam kepada anggota Balai Polis Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Pelajar di bawah umur, berasal dari Negeri Sembilan dan Kedah terbabit didapati merayau-rayau mengutip derma, menjual herba 'tonite'  di restoran terletak di Damansara Utama pada jam 11 malam. Pihak polis kemudian bertindak menghubungi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM Cawangan Petaling Jaya, Puan Norafdzan Mohd Sandri Ghani.

Buat sementara waktu, dua anak kecil itu berehat dan tidur di balai selepas diberikan makan malam.


Barangkali kepenatan akibat  berjalan kaki jauh kerana dikerah mengutip derma, mereka tidur lena dalam keadaan cukup selesa di balai polis.

'Ustaz' atau penjaga, menghantar mereka ke lokasi, tampil di balai polis menjelang  waktu tengah malam. Dia mendakwa kegiatan mengutip derma itu kononnya antara program  kokurikulum PTA.  Alasan basi selama ini dikongsikan bersama masyarakat.  Penjaga berusia 26 tahun  terbabit dikatakan merayu berulangkali agar pelajar diperhambakan itu tidak diserahkan kepada JKM. 

"Beberapa pelajar PTA pernah diserahkan kepada JKM sebelum ini," katanya gusar.

Bagaimanapun pihak polis bertegas menyerahkan 2 remaja itu kepada Puan Norafdzan, Beliau dihubungi melalui tetefon bimbit pada kira-kira jam 5 pagi dan tiba di balai lalu  membawa kedua pelajar PTA ke JKM pada jam 9 pagi sama.


Remaja diselamatkan JKM itu dilapor menetap buat sementara waktu di rumah transit di Sri Damansara hanya untuk dikerah mengutip derma sebelum dihantar pulang ke Yan.

Tabik kepada polis dan Puan Norafdzan!

Jika siasatan dilaksanakan dengan lebih teliti, pasti ada dalang boleh didakwa mengikut Akta Kanak-Kanak 2001. Kanak-kanak seperti mereka sepatutnya dilindungi, bukan dibenarkan  merayau di lorong gelap, kekadang sehingga jam 1 pagi hanya untuk mengumpulkan dana tanpa akaun.

Ratusan pelajar PTA dikerah mengutip derma, berselindung di sebalik aktiviti 'jualan amal' sejak lebih 10 tahun lalu.

Klik di sini untuk melihat keadaan sebenar 'pusat tahfiz' mereka. 

Logikkah,  selepas jutaan ringgit diraih, pusat tahfiz itu masih uzur? Kemanakah wang derma orang ramai dikutip oleh pelajar siang dan malam disalurkan? 

Andai pembaca tidak pernah mengetahui mengenai kegiatan perhambaan kanak-kanak PTA, sila google 'bersama mazidul pusat tahfiz amal'. Hasil carian juga memberikan pembaca peluang untuk meneliti catatan  blogger dan penulis lain berhubung kegiatan PTA.

Akhbar Harian Metro menyiarkan artikel berikut.

Melalui kisah di atas, kita ketahui fakta berguna. JKM berkuasa untuk melaksanakan tindakan membanteras kegiatan memperhambakan kanak-kanak oleh pihak pengurusan PTA. Manakala pihak polis berfungsi membantu memudahkan tugasan murni mereka.

Kira-kira jam 10 malam semalam, saya terlihat kelibat dua pelajar berjalan beriringan dan masuk untuk mengutip derma daripada pelanggan restoran di PJU 5/21, The Strand, Kota Damansara.

Pantas saya merakamkan gambar seorang daripada mereka.


Melihatkan saiz tubuh remaja di atas, kita semua mampu menjangkakan usianya baru setahun jagung. 


"Kami semua sepatutnya berkumpul di hadapan restoran mamak, tidak jauh dari sini. Ustaz akan menjemput kami pada jam 10.30 malam. Kami mengutip derma bermula pada pukul 3 petang,"  kata remaja berusia 13 tahun.

Saya kemudian meminta kerjasama pelajar terbabit dan rakannya untuk duduk di meja.

"Pak cik mula menulis mengenai kegiatan PTA ini sejak anak berusia 3 tahun," kata saya.


Mereka kemudian dihidangkan minuman sejuk oleh taukeh restoran. Saya sempat merakamkan barang dijual oleh remaja berusia 13 dan 15 tahun,  berasal dari Perak dan Pulau Pinang itu. 

Minuman kecergasan 'tonite' ...


Anak sulung daripada 7 beradik di bawah kelihatan tenang dan tersenyum.

"Saya mula belajar di PTA sejak berusia 7 tahun. Ayah saya bekerja di sebuah pasaraya di Ipoh, Perak," katanya sewaktu ditemubual.


Manakala, rakannya di bawah, anak ke 5 daripada 9 beradik.


"Keluarga saya berada di Sarawak kerana ayah bertugas sebagai tukang urut di sana. Saya masuk ke PTA sejak berusia 7 tahun. Mula mengutip derma sewaktu darjah empat," katanya.

Dia mungkin tidak menyedari telah diperhambakan oleh pihak pengurusan PTA lebih 5 tahun.

"Pak cik telah melihat keadaan sekolah kamu. Tidak adil jika pak cik tanya anak berdua, kemanakah wang dikutip oleh ratusan pelajar disalurkan? Kerana anak mungkin tidak tahu," celah saya.

Melalui pengalaman menemubual puluhan pelajar PTA, saya dimaklumkan purata kutipan harian mereka mencecah lebih RM100 sehari. Jika seratus pelajar diperhambakan sehari, nilai kutipan bulanan dijangkakan mencecah RM300,000 sebulan.

Lima hari lalu, remaja perempuan berusia 15 tahun, berasal dari Yan juga diserahkan kepada pihak polis. Dia menjual herba 'tonite', produk keluaran syarikat sama.  


Klik di sini untuk membaca liputan terdahulu.

Seperti kes sebelumnya, setelah mendapatkan alamat tepat lokasi kejadian, saya pantas menghubungi talian '999' dan kemudian disambungkan kepada Bilik Gerakan  Ibu Pejabat Polis Daerah, Petaling Jaya.

"Saya bersama dua remaja di bawah umur. Mereka didapati merayau-rayau di Jalan PJU 5/21, The Strand. Kota Damansara untuk mengutip derma. Mohon bantuan kereta peronda untuk membawa mereka ke balai dan menyerahkan kedua remaja ini kepada JKM Petaling Jaya," kata saya.

Kira-kira 5 minit,  dua kereta peronda polis tiba dan bersedia untuk membawa remaja terbabit ke balai.


Tanpa berlengah, saya memberikan anggota polis itu nombor telefon bimbit Puan Norafdzan dan memohon bantuan mereka untuk menghubungi beliau.

"Kalau diserahkan kepada ustaz, mereka akan datang balik ke sini," kata anggota polis.

Alhamdulillah, mereka faham objektif sebenar tindakan saya.

"Ya. Lagipun mereka terdedah kepada kejadian jenahyah andai dibiarkan berkeliaran tanpa pemantauan orang dewasa. Biarlah mereka dituntut oleh 'ustaz' di JKM. Barangkali tindakan lebih tegas berpeluang dilaksanakan kepada 'ustaz' mereka dan dalang meraih keuntngan di sebalik kegiatan ini," balas saya.


Saya akur, pegawai dan anggota polis di seluruh negara mempunyai tugas lebih penting berbanding membantu orang ramai untuk menyerahkan remaja diperhambakan kepada kakitangan JKM.

Namun bahana muncul tanpa diduga. 

Jika remaja merayau dalam samar malam diculik atau dibunuh oleh penjenayah, tugas polis bakal menjadi lebih berat berbanding menyelamatkan mereka sebelum terlambat.

MOHON SEBARKAN MAKLUMAT DI ENTRI INI AGAR BERSAMA KITA BERUSAHA MEMBANTERAS PERHAMBAAN KANAK-KANAK. 

12 ulasan:

  1. Saya x sanggup lihat lebih ramai org dipergunakan dan ditipu.Gambar lelaki di produk tonite tu namanya S.M Amin.Mungkin ada kaitan dgn PTA dll. Address:Lot2.21, Wisma S.M AMIN,Lion Industrial Park, Persiaran Tengku Ampuan,Shah Alam.Cubalah check background beliau.Wallahu'alam

    BalasPadam
  2. TANGKAP S.M AMIN (AZHAR BIN WAHAB) AJARAN SESAT http://ms.wikipedia.org/wiki/Ajaran_sesat_Azhar_bin_Wahab

    BalasPadam
  3. https://ms-my.facebook.com/sm.amin.productions

    BalasPadam
  4. Tahniah kepada akmal akan tetapi jika kita yang sedaya upaya banteras semua ini, cam mana ngan orang JKM,Pejabat Agama yang masih bersekongkol dengan "USTAZ" yang tiada tauliah itu...

    budak itu akan kuar jika mereka bebas dijamin oleh USTAZ tiada tauliah , mereka akan dihantar ketempat lain..

    Pengelaman saya semasa di Stesen Minyak PLUS dekat PAGOH arah selatan jam 2 pagi ada budak mai kat saya jual minyak buah pala dengan tunjuk resit amal, bila ditanya mai dari kedah , blah mana tetapi walhal saya orang kedah tau kat mana sekolah mereka itu...selang 3 hari saya pulang dari JOHOR terserempak lak mereka ini di mana wajah mereka masih saya ingat di Stesen Minyak PLUS seremban arah utara...

    Kalau nak banteras harus batal kan pendaftaran sekolah itu...kerana surat kelulusan sekarang ini banyak pihak orang "DALAM" jabatan tertentu kuar tanpa kelulusan yang sebenarnya...

    MOHON PIHAK SPRM, PEJABAT AGAMA, JAKIM, JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT...JANGAN DOK LENA SAJA...ANAK BANGSA CINA DOK KAT UMAH BACA BUKU , ANAK MELAYU JAM DUA PAGI MASIH MELILAU JUAL BUM, NIE BUKAN CARA NAK AJAR BUDAK SEKOLAH DALAM BIDANH USAHAWAN...USTAZ TU DOK KAT UMAH MAKAN SERBA LENGKAP...BUDAK2 INI KELAPARAN...INI LAH USTAZ TANPA TAULIAH YANG BODOH

    BalasPadam
  5. Suami saya suka juga belanja budak2 ni makan, sbb nampak kasihan. Nampak sgt lapar dan dahaga. Ada satu kali tu, saya tak ikut sama, dia keluar dgn kawan baik dia, mcm biasa dia akan ajak budak2 join dia makan. Hari tu yang datang budak perempuan, tingkatan 1@2 agaknya. Lepas makan, dia boleh cakap dgn suami suruh bawak saja dia kemana2, dia sanggup ikut..mcm mana tuh? Ternganga kawan dengar..Lepas tu, suami langsung xberani dah ajak budak2 ni makan, paling tidak akan dibelikan roti & air aje..

    BalasPadam
  6. Tuan Mazidul..sudah lama saya berharap kegiatan ini dihentikan selepas kejadian kemalangan yang meragut nyawa pelajar PTA beberapa tahun lalu.Sebelum ini saya bertemu kanak kanak ini di RnR..perempuan berumur belasan tahun merayau sambail mengutip derma..bila disoal..pandai mereka memberi alasan...kini makin giat di Kl terutama Danau Kota...Wajah di gambar kalau tak silap SM Amin bekas pengasas Al Mansur yang diharamkan..wallahualam

    BalasPadam
  7. PENDEDAHAN PENIPUAN S.M AMIN DIBONGKARKAN!

    http://www.saripadul.com/2010/02/tertipu.html?m=1

    http://nuriman.wordpress.com/2007/11/21/murid-tahfiz-disuruh-kumpul-dana/

    http://studiokini.blogspot.com/2010/02/awas-album-sesat-lagi-menyesatkan.html?m=1

    http://www.catzer.com/kelirunya-aku.html

    http://www.pati-minda-sakti.com/site/aboutus.html

    BalasPadam
  8. i SALUTE u, abg mazidul!! tapi setiap kali jumpe budak2 ni, saya + husband pun tak tau nk buat apa. takkan nk bawa mereka ke balai pulak kan. hmm

    BalasPadam
  9. Saya pernah membuat rawatan bekam di Tingkat 1 di dalam Ampang Park. Harganya RM20 satu cup. Sangat mahal! Pada mulanya saya hanya ingin buat dalam 5 cup sahaja. Menurut jurubekam, boleh tapi kena tengok bahagian belakang saya dulu. Setelah saya menunjukkan bahagian belakang saya, kata perawat (perempuan), saya kena berbekam dengan kuantiti yang banyak (30 cup) sebab sakit saya sangat teruk. Saya menolak tapi dipujuk dan cup terus ditekap di belakang saya. Selepas berbekam, saya dia membuat promosi pati herba 'Tonite' keluaran SM Amin berharga lebih RM500.00.

    Saya terpaksa bayar RM1,150.00 termasuk kos bekam. Katanya sebahagian kos ini akan didermakan kepada anak2 yatim.Mungkin disebabkan saya lemah dan sakit ketika itu, saya membayar saja kos itu. Dan setelah saya pergi berbekam di tempat lain, jurubekam ada beritahu; perempuan kalau nak berbekam kena tanya dulu jurubekam berapa harga, jika berharga sampai RM20.00 bermakna orang hanya fikirkan duit anda, bukannya merawat. Dan ada lagi syarat sebenar berbekam bercanggah dengan apa jurubekam wanita itu beritahu. Contohnya wanita dilarang berbekam ketika 'period', tapi kata perempuan itu dibolehkan berbekam.

    Hari ni, saya mencari entri berkenaan SM Amin, barulah saya tahu yang saya ditipu. Harap dapat dijadikan iktibar buat semua. Dan saya semua kegiatan penipuan produk SM Amin dapat dibanteras.Wassalam.

    BalasPadam
  10. salam En Mazidul... Tahniah!!!!! kat Taman seri Gombak hari2 ada.. petang di Petronas Taman Seri Gombak, malam di kedai-kedai makan Gombak Prima...Adakah Polis di sini akan bertindak seperti di PJ? harap dapat membantu...

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.