Isnin, Mac 18, 2013

TEMPAT KAMU BUKAN DI ...


Usianya didakwa 15 tahun, berasal dari Yan, Kedah dan kelihatan tanpa jemu menghampiri hampir setiap pelanggan stesyen minyak di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.


Tangannya menggenggam erat, herba 'tonite', dicetak gambar pasangan tersenyum gembira dan juga resit Pusat Tahfiz Amal, PTA. 

Sebotol herba itu dijual dengan harga RM10.


Resit di atas, bilangan ke 19,494. Maksudnya, jika setiap item dijual berharga RM10, pihak pengurusan PTA telah meraih RM194, 940 untuk buku resit itu sahaja.


Rakan saya, Mohd Farid Hamzah, berkebetulan berada di lokasi sama kemudian mendekati remaja itu.


"Adik-beradik saya 11 orang, saya anak ke empat," kata remaja terbabit.

Tambahnya, dia berada di Lembah Klang selama 3 hari, ditugaskan untuk menjual barang dibekalkan oleh PTA.

"Dari pukul berapa berada  di sini?," soal Farid.

"Sampai tadi pukul 5 petang, balik, ustaz ambil jam 8 malam," balasnya tenang.


"Orang belajar di sekolah tahfiz, jangan menipu. Paling lewat pukul berapa ustaz datang ambil balik?," soal saya.

"Dua belas, satu, macam itu," katanya.

Selama itulah dia terpaksa berjalan dan berdiri tanpa diberikan makanan dan minuman kerana  ustaz tidak berada di kawasan sama.

Dari reaksi dan jawabannya, ternyata dia tidak mengenali saya. 


"Sebenarnya kawan pak cik di utara Semenanjung telah pergi ke sekolah anak dan merakamkan banyak gambar PTA di kedah itu. Sekian lama derma dikutip, pelajar seperti anak diperhambakan tetapi cermin sekolah banyak pecah, pagar runtuh, tidak berganti. Kamu tahukan kemana wang berjuta selama ini dikutip oleh pelajar disalurkan?," soal saya.

Soalan itu sebenarnya tidak wajar diajukan kerana dia baru setahun belajar di PTA.

"Pagi kami belajar, petang kami keluar membuat jualan amal," katanya.


"Pak cik sudah lebih 10 tahun mengikuti perkembangan PTA, tempat anak belajar. Pak cik  juga tahu, anak terpaksa melakukan jualan ini, biarpun anak penat, lapar dan dahaga. Mungkin kerana keluarga anak susah dan tiada jalan lain untuk memberikan anak peluang untuk belajar. Bagaimanapun menempatkan anak di PTA bukan satu penyelesaian. Jiwa anak terseksa kerana tempat nak bukan di jalanan, di stesyen minyak, di kawasan Rawat dan Rehat atau di hadapan bank. Itu bukan tempat anak. Tempat anak di rumah atau di asrama, belajar. Anak berdiri banyak jam untuk menjual barang. Hasilnya dikaut oleh orang lain," ujar saya.

Dia hanya mendiamkan diri namun airmata jernih kelihatan bergenang dikelopak matanya. Menurut remaja itu, ayahnya bekerja sebagai tukang urut di Kedah.


Anak lelaki saya, sebaya usianya, mungkin dia berasa gementar.

"Anak tidak salah. Jadi usah anak berasa takut. Mungkin juga anak terpaksa melakukan pekerjaan seperti ini. Pak cik faham keadaan anak," tambah saya.

Klik di sini untuk melihat sendiri keadaan PTA dirakamkan kira-kira 3 minggu lalu.

"Biar pak cik hubungi ustaz," kata Halim Che Endut.


Halim, peniaga makanan di Shah Alam, Selangor dan berasal dari Terengganu. Dia pelanggan stesyen minyak terbabit.

"Beberapa hari lalu, pak cik jumpa kamu di Bukit Beruntung. Pak cik sudah nasihatkan?," celah lelaki memberhentikan kenderaannya di kawasan berhampiran.


Besarnya dugaan didepani remaja terbabit pada usia mentah.

Namun mereka tidak memarahi dia, cuma meluahkan rasa terkilan berikutan tindakan pihak  pengurusan PTA, tanpa peri kemanusiaan memperhambakan remaja seawal usia 12 tahun untuk menjual pelbagai barangan. Wang kutipan jutaan ringgit tidak tahu disalurkan kemana.

Halim dan Farid kemudian cuba menghubungi lelaki digelar 'ustaz' agar mengambil gadis itu dan membawanya pulang.

"Saya tinggal bersama dua lagi rakan perempuan Sungai Buloh, di rumah milik pasangan suami isteri. Anak mereka juga membuat jualan amal," jelasnya.


"Jom Farid! Kita ajak dia makan di Mc Donald, mungkin dia lapar atau kehausan," celah saya.


Tanpa banyak soal, dia mengikut kami untuk membeli makanan di restoran makanan segera terletak kira-kira 20 meter dari lokasi kami berdiri. 


Sebelum masuk ke restoran, Farid sempat menunjukkan kepada remaja itu, gambar bangunan PTA dirakamkan.

"Menagapakah tingkap banyak pecah?," soal saya.

"Pelajar ganas," balasnya bak bergurau.


"Ada kes apa bang?," sapa lelaki berdiri di luar.

"Remaja pengutip derma itu kami pelawa makan, lama dia berdiri di stesyen minyak di sebelah itu tadi. Pelajar Pusat Tahfiz Amal di Yan, Kedah. Pelajar mengutip derma lebih 10 tahun tapi keadaan bangunan  sekolah amat uzur. Kalau ada masa google 'Berama Mazidul Pusat Tahfiz Amal," jelas saya.

"Akta kita pun tidak begitu cukup untuk membuat pendakwaan," responnya.

"Kerja di mana?," tanya saya.

"Saya DPP (Timbalan Pendakwa Raya) di Shah Alam," balasnya tenang.

Beliau datang ke restaoran itu bersama ibunya dan ahli keluarga.

"Dia berusia 15 tahun, dilindungi oleh Akta Kanak-Kanak, kan tuan?," soal saya kepadanya.

"Ya. Tapi kalau ada laporan, Pegawai Penyiasat kena membuat seperti mana encik Mazidul lakukan. Ikut mereka, siasat dan dapatkan maklumat tepat untuk memperkukuhkan pendakwaan," jelasnya.

Sebelum beredar, beliau berkata ...

"Good luck"

Remaja terbabit memilih burger untuk makan malam tetapi hanya makan sedikit sahaja. Saya percaya dia berasa bimbang kerana ustaz dihubungi sebelum ini, pasti mencari dia.


"Saya hendak ke toilet," katanya perlahan kepada kami.

Farid menunggu di luar tandas berhampiran pintu masuk ke restoran. Hajat kami hanya ingin memastikan dia selamat dibawa pulang oleh ustaz bersama beberapa rakan lain.


Lama remaja itu berada di dalam tandas. 

Beberapa minit kemudian muncul kenderaan Proton hitam dan diparkir di ruang berhampiran. Pantas saya mendekati kenderaan terbabit untuk bertemu ustaz remaja itu. Di dalam kenderaan sama, kelihatan kelibat dua remaja perempuan bertudung duduk di belakang.

Sebaik didekati, kereta terbabit dipandu laju melalui lorong pandu-laju restoran terbabit. Saya dan Farid kemudian berusaha mencari kenderaan sama tetapi gagal. Lalu kami kembali berdiri di luar tandas.

"Kata wanita bekerja sebagai cleaner, dia menangis di dalam bang," ujar Farid.

Pantas saya menghubungi Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Fadil Marsus. Fadil di sebelah kanan di dalam gambar di bawah.


"Saya di Lahad Datu, sudah dua minggu bang," kata beliau.

Saya menerangkan kejadian berlaku.

"Tidak mengapa, nanti saya arahkan anggota polis peronda untuk mengambil remaja itu," ujar beliau lagi.

Kira-kira jam 9 malam, kenderaan peronda tiba di lokasi.


"Remaja itu tahu nombor telefon ustaz dia. Setiba di balai, dia akan menghubungi ustaz dan biar ustaz mengambil dia di balai polis. Sekurang-kurangnya kita tahu dia berada dalam keadaan selamat," ujar saya kepada Farid melaui telefon.

Saya beredar lebih awal kerana ada tugasan perlu dibereskan.


Farid kemudian menghubungi saya kembali, beberapa minit kemudian.

"Masa saya hendak balik, ikut belakang kereta peronda, tiba-tiba ternampak dua kereta Proton, hitam dan putih dengan nombor pendaftaran Melaka. Satu daripada kereta itu, yang hilang tadi masa abang dekati," kata Farid.

"Ikut dan rakamkan gambar," balas saya.

"Ustaz sedang mencari dia di Mc Donald bang," katanya lagi.

Berikut gambar dirakamkan oleh Farid.


Tentunya lelaki digelar ustaz itu berasa gementar apabila mendapati remaja dihantar ke lokasi pada waktu petang tidak berada di tempat asal. 

Apakah barangkali sedang difikirkannya sewaktu berdiri tercegat berhampiran resoran KFC, tidak jauh dari Mc Donald?

Bagaimanakah jika gadis sunti itu diculik?  Mungkinkah pada waktu itu barulah pihak pengurusan PTA tersedar, kejadian jenayah tidak memilih mangsa? Mungkin juga pada ketika itu mereka tersentak sekaligus menginsafi, memperhambakan remaja bercanggah dengan Akta Kanak-Kanak 2001.

Apapun, dalam tempoh terdekat, saya percaya ustaz itu akan menuntut pelajar PTA terbabit di balai polis berhampiran. Pastinya, dia akan terlebih dahulu terpaksa mendengar 'khutbah'  pihak berkuasa sebelum remaja itu dibenarkan untuk dibawa pulang.

Ramai bertanya, bagaimanakah kaedah untuk kita bersama membanteras kegiatan memperhambakan remaja ini?

Saranan saya, setiap kali melihat mereka di pelbagai lokasi, dial '999' dan minta pihak polis peronda datang dan membawa remaja terbabit ke balai berdekatan. Tujuannya, untuk memastikan mereka berada di tempat selamat. 

Biarkan ustaz mereka ke balai untuk mendengar 'khutbah'. Sekurang-kurangnya,  ustaz mereka mempunyai kerja 'extra' selain daripada duduk di lokasi tersembunyi sementara menunggu ramaja diperhambakan berpanas dan  berhujan, kononnya melakukan jualan amal.

18 ulasan:

  1. Saya dah banyak kali terserempak dengan budak2 nie... Tapi tak tahu macam mana nak ambil tindakkan keatas mereka... Persoalannya, apa tindakkan pihak berkuasa keatas orang2 yg bergelar ustaz nie? Takkan nak dibiarkan saja?

    BalasPadam
  2. Salam En Mazidul, baru malam tadi saya nampak ada remaja macam ini di stesen minyak Nilai. Memang kesian. Lepas saya cuba call polis.

    BalasPadam
  3. Ibu bapa menghantar anak ke tahfiz dengan harapan anak2 akan dijaga makan pakai keperluan juga keselamatan. Perbuatan seperti ini sangat membahayakan keselamatan mereka apatah lagi dgn byk kes jenayah penculikan dan human trafficking. Kalau saya jadi ibu bapa di sekolah tahfiz tersebut saya akan keluarkan anak saya dari persekitaran yang seperti itu kerana keselamatan anak saya paling penting dan utama. Itu saudara yang menemubual dia, takder motif jahat, tapi mcm ner kalu org tu ader niat jahat? Betapa mudah gadis itu didekati dan keadaannya tanpa pantauan seperti adalah berisiko bahaya setiap masa.

    Mohon nyawa/keselamatan anak2 mereka ini diutamakan oleh sekolah tersebut. Ada byk jalan lain untuk mendapatkan duit, tapi bukan memperjudikan keselamatan mereka spt ini.

    BalasPadam
  4. Pada pendapat saya, boleh saja ambil tindakan ke atas Pusat Tahfiz Amal terbabit.

    Oleh sebab sekolah ini di Kedah, tugas terletak pada Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik). Majlis dibawah istana, jabatan dibawah kerajaan negeri.

    Akta tak ada buat Akta. Bak kata pepatah nak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

    Ibu bapa nak sangat anak mereka menghafal Quran, malangnya ibu bapa tak usul periksa kegiatan "sekolah" ini. Pihak bertangungjawab pula lepas tangan.

    BalasPadam
  5. Mengikut Dr Asri, sesiapa saja sekarang ini boleh jadi "ustaz".

    Abang Mazidul pun boleh jadi ustaz. Cuma ubah penampilan. Pakai serban, pakai jubah, ada janggut, rajin pergi masjid solat waktu nanti orang akan panggil Ustaz Mazidul.

    BalasPadam
  6. Perempuan????kenapa di biar kan brsndirian menjual brngan tnoa di awasi...muda dan masih tdk matang....cuba lah jika penjenayah menyamar sbgai penguat kuasa dan membawa pergi budak perempuan tu....ape akan jadi??mula lah masyarakat menuding jari kpd phk keselamatan yang konon nya pihak keselamatan gagal mengawal jenayah terutama nya rogol...dari sini kita boleh lihat punca nya..sbnar nya rmai lg saya lihat remaja menjual brg atau pun meminta derma di daerah kota damansara...jgn sampai remaja perempuan ini mrnjadi mangsa jenayah sudahhh...

    BalasPadam
  7. hari tu kat langkawi pun ada...dok depan bank2...remaja perempuan juga...berpakaian baju kurung....saya tak pasti apa yang dia nak jual tapi mmg ada sebut juga utk derma ke pusat tahfiz...keesokan harinya jumpa lagi budak yang sama di kedai mamak...pagi2 buta lagi...pakai baju yang sama...tak bertukar...saya dok pk sorang2 kesian budak ni pakai baju semalam dan pagi2 dah kena p minta derma...hmmm

    BalasPadam
  8. Saya mohon kepada rakyat Malaysia supaya jangan cepat berasa kasihan dengan menderma kepada apa juga badan atau individu yang menagih simpati.

    Kerana saya melihat tidak bagus untuk negara dan diri kita sendiri jika kita bersikap terlalu cepat kasihan dan serba salah tanpa memikirkan akibat dan disebalik tindakan kita orang senang mengambil kesempatan atas kelemahan kita.

    Tolong fikir lain-lain impak selain memikirkan soal pahala bersedekah atau tak luak pun duit aku bagi.

    BalasPadam
  9. Remaja-remaja ini memamg ramai berjalan-jalan meminta derma di sekitar Sungai Petani, setiap ceruk especially bank akan ternampak dan terjumpa mereka.Kesian mereka...kanak-kanak lain yang sebaya siang bersekolah, dan malam ke pusat tuition..tapi mereka berdiri tercegat dihadapan pusat tuition untuk meminta derma..Dahulu saya selalu menghulurkan RM2 sebagai sumbangan tapi lama kelamaan saya rasa tak perlu lagi sebab ini akan menggalakkan üstaz-ustaz"..(Ustaz ke???)...tersbt mempergunakan mereka...Kereta yg digunakan juga kereta iswara...Mazidul blh round pekan sg petani...mmg mereka sentiasa ada dimana-mana...terutama didepan bank...Kesian mereka bila hak mereka sebagai kanak-kanak dipergunakan oleh org tertentu..

    BalasPadam
  10. Assalamualaikum

    sy terpanggil nak menulis berkenaan PTA. Sy rasa ada kaitan antara PTA, AL-MANSUR HOLDING SDN. BHD, masing2 mempunyai keyword yang sama iaitu Azhar Wahab (Yang Mulia Raja Azhar ibni Raja Wahab, Presiden Persatuan Kerabat Raja Sakti Kedah). Sila link dibawah

    http://my.opera.com/elbi/blog/show.dml/439475

    http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/2/11/mstar_berita/20100211181727&sec=mstar_berita

    http://thethirdstonefromthesun.blogspot.com/2010/02/rilis-review-sm-amin-amanat.html

    http://www.pati-minda-sakti.com/aboutus.htm

    BalasPadam
  11. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  12. Saya mohon pihak berwajib ambil tindakan pada pihak terbabit kerana modus operandinya sama macam al-mansor yang suatu ketika dulu menghambakan kanak-kanak dari utara hingga ke selatan. Mungkinkah ini juga dari pihak yang sama?

    BalasPadam
  13. saya pun kira beberapa bulan yang lepas tersermpak perkara yang sama di sebuah restoran di Taiping, bila ditanya, dia bercakap petugas sukarela.. then saya kata kalau petugas sukarela, saya tak mahu menderma,kalau pelajar tahfiz ok. kemudian dia pun mengeluarkan kata2 seperti mcm keluh kesah... yang heran dah larut malam kira2 pukul 11 mlm lebih pun sanggup kutip derma. Apa nak jadi... :-(

    BalasPadam
  14. Tahniah Bro Mazidul,

    Mulai hari ini saya pun akan call Polis bila nampak "budak budak AMAL ini"
    Sebelum ini saya beli saja apa yang dorang bawa.
    Bila Mazidul tulis bab keselamatan terutama budak budak perempuan, baru saya terfikir, saya pun ada anak perempuan sebaya mereka.

    BalasPadam
  15. malam tadi datang seorang budak lelaki Pusat Tahfiz AMAL ni semasa sedang makan di Bandar BAru BAngi.. sudah tahu cerita melalui blog mazidul tp tak sampai hati saya beri juga RM2 dgn harapan tak perlu dia beri pada 'ustaz'.. berbincang dgn isteri, memang negara kita tidak ada akta yang kuat dan agensi yang boleh mengambil tindakan tegas.. bukan dalam perkara ini sahaja, dlam banyak perkara.. tengoklah isu penipuan di Mudah.my.. tiada agensi yang boleh mengambil tindakan.. kita masih jauh dari menjadi negara maju..

    BalasPadam
  16. ini bukan ustaz tapi setan...patut disula jer

    BalasPadam
  17. Pada 3 feb 2013 saya jumpa di R&R Seremban

    BalasPadam
  18. Tuan Mazidul, adakah perkara tersembunyi disebalik kejadian ini? daripada catatan tuan ada mengatakan remaja wanita itu menangis di dalam tandas. seperti takut pada sesuatu. dia sepatut nya tidak takut kerana tuan dan rakan2 hendak membantu. saya kuatir mereka takut dengan ustaz atau pengasuh mereka. ada kemungkinan mereka akan di dera atau tidak diberi makan dan mungkin juga didenda. saya mengharapkan tuan dapat membongkarkan hal ini lebih cepat kerana remaja2 ini perlu di bantu.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.