Ahad, November 15, 2009

Glamor Bukan Buruan

Saya pernah menonton program ‘Penyampai Ikon’ disiarkan RTM sebelum ini. Peserta, muda, kacak, manis dan bertenaga. Apapun, bakat sebenar mereka hanya akan terbukti kemudian sewaktu bertugas di stesyen televisyen itu kelak. Bersama kita lihat. Apapun, sekalung tahniah buat juara Penyampai ikon, Aina Suzaily.

15 tahun lalu, segelintir manusia mempertikaikan kredibiliti saya dalam bidang penyiaran. Mungkin mereka tahu saya tidak mempunyai pendidikan asas dalam bidang sama, itu fakta. Cuma minat dan sedikit bakat menjadi bekalan ketika itu.

Izinkan saya berkongsi sekelumit pengalaman lalu tidak pernah dicatatkan sebelum ini.

Sewaktu mula menceburkan diri di dalam bidang penyiaran sebagai wartawan kadet, tidak terlintas langsung di fikiran saya untuk muncul di kaca TV. Berat saya pada ketika itu, 115 kilogram, masakan layak ditampilkan di TV jika mematuhi ‘standard’ pengacara di Malaysia, selalunya terdiri daripada lelaki kacak dan kelihatan bijak. Bukan sahaja gemuk, kulit saya juga gelap manakala suara tidak selunak suara emas pengacara sedia ada.

Pernah pada jam 5 pagi sewaktu menjadi wartawan program Malaysia Hari Ini, MHI, pengacara bertugas datang lewat. Kurang sejam sebelum siaran langsung, krew penerbitan berhadapan masalah, satu daripada paparan masih tidak diadunkan suara, ‘voice over’. Berikutan itu rakan setugas membuat keputusan menggunakan suara saya.

“Ish! Suara dia tak sesuailah. Kita guna story tu esoklah, guna suara compere (pengacara),” komen penerbit wanita, kini tidak lagi bertugas di TV3.

Saya tidak berkecil hati, pokoknya saya cuba membantu.

Penghujung tahun 1995 saya diberikan peluang membuat lintas langsung selama 30 minit kejadian gerhana matahari di Kudat, Sabah. Mungkin pihak pengurusan berpuas hati dengan 'live' terbabit, saya diarahkan menjalani ‘mock run’ untuk menjadi pengacara MHI. Lebih 10 kali menjalani latihan di dalam studio, berjam masa diperuntukkan, sesi dirakam tetapi tidak disiarkan (mock run), ada pula melontarkan komen, kulit saya gelap, tidak sesuai untuk ditampilkan di TV.

Sekali lagi saya tidak langsung berkecil hati kerana sejak dari awal bukan hasrat saya untuk menjadi pengacara TV, jawatan menjadi rebutan ramai terutama remaja masa kini. Cuma hati kecil saya berbisik, saya bukan penentu kepada warna kulit, cerah atau gelap, itu semua ciptaan Allah.

Apapun, rezeki kita bukan di tangan manusia. Awal tahun 1996, saya diberikan peluang mengacarakan MHI bersama perantara lebih berpengalaman, Aziz Desa, Omar Abdullah, Ahmad Nor Sulaiman, Ridwan Abu Hassan, Halim Din dan Cristine Ling. Saya menghormati mereka semua biarpun kini majoriti tidak lagi bertugas di TV3.

“Bagilah dia buat, dia boleh”

Itu antara kenyataan Aziz Desa, kini pengacara program Nasi Lemak Kopi ‘O’ terbitan TV9, masih terngiang ngiang di telinga. Aziz, terima kasih di atas kepercayaan diberikan.

Bermula dengan MHI, saya kemudian ditugaskan sebagai wartawan program Remaja dan Majalah 3 sebelum dipindahkan ke Bilik Berita TV3. Selepas setahun berkerja sebagai wartawan di jabatan baharu itu, saya diberikan tanggungjawab menjadi wartawan program ‘Analisis’ sebelum mengacarakan program bual bicara, ‘Bincang Petang’ bersama Zakiah Anas dan beberapa pengacara wanita lain.

Tamat program terbabit saya kembali ke Jabatan Majalah, Dokumentari dan Famili, bertugas di MHI semula. 6 bulan kemudian, saya diberikan tugasan baharu, wartawan program liputan jenayah ‘999’. Penerbit pertama Aliza Aziz (arwah) dan diikuti Omar Abdullah. Kemudiannya saya digandingkan sebagai pengacara bersama Zakiah buat kali kedua.

Syukur selepas itu saya dinaikkan pangkat ke Penerbit Eksekutif '999' dan program terbaharu terbitan TV3 ketika itu, ‘360’. Selama bersiaran saya berpuas hati dengan prestasi kedua program terbabit biarpun saya akur tidak mampu memuaskan hati setiap penonton. Ada suka, ada mencerca tetapi itu semua fitrah manusia. Terima kasih kepada semua kakitangan selama ini berkerja bersama saya menjayakan program terbabit, tidak lupa kepada pemilik blog 'Bapak Gula-Gula', wartawan dan jurukamera, Hazrey di Johor.

Januari 2010, InsyaAllah, TV3 akan menerbitkan satu lagi program terbaharu tetapi biarlah perinciannya saya kongsikan kemudian.

Mungkin tempelan ini lebih panjang berbanding biasa tetapi mesej ingin saya kongsikan, mudah. Ramai antara remaja sekarang bercita-cita besar ingin muncul di kaca TV, barangkali mereka fikir kerjaya itu glamor. Hemat saya mereka tersilap. Kerjaya di bidang penyiaran menuntut komitmen, minat dan bakat. Pemburu glamor selalunya kecundang dan mengundurkan diri lebih awal.

Jika diimbas kerjaya saya bersama ‘999’, apa glamornya bangun di tengah malam bergegas ke lokasi kejadian kes bunuh? Indah sungguhkah melihat mayat berdarah bergelimpangan? Apa glamornya bermalam di ladang kelapa sawit menyertai operasi membanteras penyalahgunaan dadah di Jengka, Pahang? Apa glamornya menunggu 4 jam, pihak berkuasa ‘menyelongkar’ setiap inci pusat hiburan memburu pegawai perhubungan pelanggan bersembunyi di ruang kosong di antara dinding?

Bersama 360, apa glamornya dikejar dan diancam gengster sewaktu membuat liputan lambakan warga asing berniaga tanpa lesen berhampiran Hentian Pudu Raya di Kuala Lumpur? Apa glamornya merancang temubual bersama lelaki gay di hotel secara tersembunyi? Apa glamornya melihat anak Melayu tersungkur akibat ketagihan gam?

Jawabannya, itu semua tidak glamor. Mujurlah kehidupan glamor bukan buruan saya, apa saya lakukan selama ini hanya satu kerjaya, sumber rezeki menyara diri dan keluarga. Mungkin kerana itu saya masih selesa memakai seluar jeans, t-shirt berharga RM10 dan berselipar kemana sahaja.

“Kenapa awak serius sangat?”

Soalan itu biasa diajukan kepada saya. Jawabannya, masakan saya mampu tersenyum membuat liputan kes anak kecil, 7 tahun, mati ditikam, dada dirobek pisau rambo di Klang, Selangor. Masakan saya mampu tersenyum sewaktu menemubual pengkid berdada leper memburu kasih sayang insan sejenis. Masakan saya mampu tersenyum sewaktu menemubual warga Afrika bertubuh sasa majoriti menjadi ‘nuisance’ di kalangan masyarakat setempat.

Program bakal diterbitkan TV3 Januari 2010 ini juga tidak memungkinkan saya tersenyum, percayalah.

Kesimpulannya, selama bertugas di stesyen TV, saya tidak pernah merasai kehidupan dunia glamor. Mungkin kerana itulah sukar melihat wajah saya terpampang di majalah mahupun akhbar kecuali jika terbit berita kurang menyenangkan berhubung diri saya. Apapun, tidak semua bahan dipaparkan media cetak itu benar. Terdahulu, heboh berita saya bercerai, malah Harian Metro mencetak berita kononnya saya disahkan berpisah dengan isteri sedangkan pada ketika itu Mahkamah Syariah Petaling Jaya, Selangor, belum membuat sebarang keputusan. 'Kehebatan' wartawan pelapor melebihi kuasa hakim.

“Saya bukan kaya tetapi kalau bro tidak membuat pembetulan berhubung fitnah disiarkan, saya mungkin akan menjadi jutawan segera,” saya mengusik editor Harian Metro bertugas ketika itu melaui panggilan telefon.

Mereka kemudian mencetak ralat berhubung kes itu. Alhamdulillah, kini saya lebih bahagia hidup bersama isteri dan dua anak kesayangan, nyawa saya. Terima kasih kepada mereka, banyak berkorban untuk suami dan ayah.

Berat saya kini, 105 kilogram, kulit saya masih gelap dan suara saya masih sama seperti 15 tahun lalu, tidak selunak mana. Cuma tanggapan manusia sahaja berbeza mengikut keadaan.

Rumusannya, dalam apa kerjaya sekalipun, jika kita yakin dengan bakat dan kebolehan dimiliki, kita harus mencuba, usah sesekali menoleh kebelakang dan buktikan kepada masyarakat secara jujur dan ikhlas bukan kerana hanya mengejar glamor tidak bersifat kekal. Tanggapan orang lain tidak penting sekaligus tidak seharusnya menjadi kudis, penghalang kita melaksanakan tanggungjawab dipikul.

Itu antara kisah kehidupan saya, maaf sekiranya membosankan anda membaca.

39 ulasan:

  1. teringin mau jadi seperti abg...
    saya merupakan student media...
    saya merupakan silent reader blog ni..
    semoga abg success dalam kerjaya abg

    BalasPadam
  2. Bulan, rezeki manusia Allah tentukan. Belajar, kerana awak mempunyai peluang.

    Saya percaya dunia penyiaran di Malaysia akan terus berkembang. Bilangan station radio dan TV akan bertambah. Justeru, peluang luas terbuka di hadapan awak. Pesan saya, lakukan kerja dengan ikhlas, pedulikan apa orang lain kata sekiranya dakwaan mereka tidak benar.

    BalasPadam
  3. Sejak 15 tahun dulu, 10kg je hilang??? hehehe... jangan marah aaaaaa.....

    BalasPadam
  4. Mazidul...
    Semoga anda jumpa Al-Ghazali dan As-Syafie...

    BalasPadam
  5. Salam BRO MAZ...

    turut rasa sedih terharu dan kagum dengan segala rentetan perjalanan seorang wartawan penyiaran..Benar, cabang yg ini tidak banyak glamornya, tapi saya tahu BRO cukup puas, kerana cabaran dihadapi dengan gigih..

    Saya tidak langsung ingat (malah mungkin saya tidak tahu) pasal fitnah bercerai, tapi yg saya tidak lupa adalah kisah BRO dan seorang rakan wartawan lain didakwa miliki dadah (ganja ker aperr...ntah) dalam suatu kes yg mendapat liputan suatu masa dulu..

    Dan bila disebut, dikejar dan diancam, saya teringat wartawan Karam Singh Walia yang juga menhadapi lebihkurang sebegitu bilamana keluarga turut terkena tempias di sudut keselamatan..

    Semoga BRO sekeluarga dilindungi. Selagi yakin apa yang dibuat demi tugas, demi rezeki tiada apa yang perlu dirisaukan.. >> pun saya yakin BRO lebih maklum dan sudah lama bersedia..

    All the best to U, Sdr MAZ...

    BalasPadam
  6. Seroja, banyak juga wakil syarikat datang bertanya, "Mahu kurus badan?".

    Saya jawab, "Saya punya badan, saya punya identiti" :)

    Khalil, menjadi penguatkuasa Jabatan Agama juga punyai cabaran tersendiri, pastinya.

    Aziezah, terima kasih.

    BalasPadam
  7. serius ini tidak bosan. Dengan tulisan ini dpt mengenal anda dari sisi lain. Dari sisi yg jujur.

    Pada hemah saya antara pengacara tv yg sy kagum adalah anda dan Karam Sigh Walia. sb ketulusan dan keberanian. dan lari dari imej tegar pengacara lain.

    BalasPadam
  8. sedih pun ada bila baca bab kulit gelap tu sbb kita se warna dan satu kategori "HEAVYWEIGHT" tapi warna kulit dan berat badan bukan penyebab kita boleh gagal dalam kehidupan.

    BalasPadam
  9. Pengalaman yang mahal, orang baru perlu menimba apa yang patut.
    Semangat berkibar-kibar sambil bersaing dunia pekerjaan yang makin sedikit berbanding graduan yang keluar.
    setiap cerita tetap memberi pelajaran kepada pembaca.

    BalasPadam
  10. Suxx
    sokong Suxx, antara Pengacara Tv Sdr Mazidul dan Karam sign imej telus dan berani.

    BalasPadam
  11. Terus terang cakap..saya mengenali 'Mazidul akmal' nih semasa program 'bincang petang' bersama zakiah anas..memang tak miss tengok semenjak kali pertama menonton..tapi bila pengacara bertukar,mood 'bincang petang' tu rasa dah lari..dah tengok pun kadang2 jer..dan saya tak tahu bagaimana program tu berakhir..
    Apa2pun,terima kasih sebab sanggup menaip panjang2 untuk berkongsi pengalaman itu..tak satu ayat pun sy tinggal!
    *kagum tengok mazidul 'berpanas' amik sedutan tepi jalan kat mukah semasa kes pelajar buli dulu.anak sy mesti nak tengok KM 21 tu setiap kali melintas."kat sana laa mazidul hari tu kat tv"(sori mmg dia sebut nama terus,xde uncle2 ke encik2 dah sebab wartawan sebut nama masa kat tv kan) u rock man!kipidap!!

    BalasPadam
  12. YB Siber Mazidul,
    Masyarakat sekarang pandai 'menilai'. Pada pendapat saya, YB dalam kelas yang tersendiri..lebih-lebih lagi, intonasi suara awak.Cerita pasal compere ni,teringat saya Sdr. Hisyam Salleh( compere RTM 1 )berceritakepada saya tentang mentaliti masyarakat Malaysia berkaitan sampah -masih lagi 3rd class katanya tak kira masyarakat desa atau bandar.

    BalasPadam
  13. En. Mazidul,
    Saya tdk hairan mengapa ramai yg berfikiran negatif kerana mereka tdk memahami peribahasa Inggeris "Don't judge a book by its cover".
    Ya, Hanya Jauhari yang mengenal Maknikam.

    Terimalah ucapan Terima Kasih dari saya sekeluarga Khas buat En. Mazidul dan pihak penerbitan serta krew2 360 amnya. Walaupun pd dasarnya tujuan utama mencari rezeki, menyara keluarga namun dari sisi yg lain En. Mazidul tlh memberikan satu nuansa baru di dunia penyiaran yg sedari dahulu terlalu statik dgn hiburan, pengantara "glamour" & penyampaian yg bergaya sedangkan pengisiannya biasa2 shj (entah apa2).

    Saya percaya, salah satu cabang fardhu kifayah telahpun terlaksana kerana pd hemat saya 360 sbg satu wadah 'memaklum' (perkara2 yg tdk sepatutnya berlaku) & 'mendidik' (sudah tahu, maka cari jalan penyelesaian atau sdh tau perkara yg memudaratkan maka jgn dilakukan). Pengisiannya cukup berbaloi!

    Saya amat berharap program Jan 2010 itu nanti diisi dgn sesuatu yg benar-benar berfaedah & haruslah setaraf malah sepatutnya lebih baik drp 360 - buatlah satu lagi anjakan paradigma yg memberi impak maksima kpd masyarakat.

    Bentangkan 'SEJADAH'mu (beriman, berpegang pd tali Allah, amal maaruf nahi mungkar) walau di mana kau berada. Tetapkan VISI & MISI serta NILAI yg sempurna, InsyaAllah kejayaan pasti akan mendekati kita (ilmu drp ESQ Training).

    En. Mazidul Akmal Sidik,
    "Pisang emas dibawa belayar
    Masak sebiji di atas peti
    Hutang emas boleh dibayar
    Hutang budi dibawa mati"

    Wassalam,
    Liza sekeluarga

    BalasPadam
  14. en maz

    harap2....
    selagi hayat dikadung badan
    selagi kita berada di atas

    selagi itu terus berjuang untuk tidak melupakan yang bawah

    keep it up

    BalasPadam
  15. Saya bangga dengan keihlasan en mazidul dalam bekerja.
    Saya harap generasi saya, dan diri saya sendiri, dapat mencontohi apa yang encik buat.

    Tahniah!

    BalasPadam
  16. Pn Liza, saya juga tidak pernah mendengar atau membaca kenyataan seperti dicatatkan, terima kasih.

    Ha Sue, salam untuk keluarga.

    BalasPadam
  17. Tahniah saudara mazidul,anda telah membuatkan saya kagum dengan awak.Awak bekerja dengan ihklas dan setiap kata2 yang dituturkan mencermin kan kejujuran awak.
    Seperti kata bijak pandai- Apabila perkataan itu keluar dari hati maka ia pun bila didengar masuk pula ke hati,sebaliknya bila ia keluar dari lidah maka dia tidak akan melampaui telinga.Kalau anda mendengar jangan dipandang kepada orang yang berkata telitilah kebenaran katanya.

    BalasPadam
  18. Saya melihat kehebatan saudara di MHI mengupas topik berceloteh dan menyoal tetamu. Ada banyak perkara yang kerap menyentap benak pemikiran penonton. Walaupun begitu saya jarang fokus pada 999 atau 360 terbitan saudara. Selamat Maju Jaya

    BalasPadam
  19. Bro Mazidul,
    Tersentuh hati membaca entry bro kali ni. Tapi apa yang boleh saya katakan, Orang yang paling bahagia dan berjaya di dunia ni tidak semestinya dianugerahkan perkara yang terbaik dalam hidupnya, tapi dia selalu menjadikan setiap anugerah dan pemberian Allah itu sebagai sesuatu yang terbaik.

    Kerana tak pernah mengeluh dan sentiasa bersyukur dengan setiap pemberian, maka Allah telah merahmati Bro Mazidul sehingga hari ni. Tak salah kalau kita asyik mendongak memandang bulan, cuma jangan lupa di mana rumput kita pijak. Bagi sy bro ada karisma yang tersendiri yang tak ada pada pengacara lelaki lain dan kelebihan itu membuat bro 'melekat' dalam hati peminat 999, 360 dan MHI. Keep it up, kami akan sentiasa menyokong Bro.

    BalasPadam
  20. Kalu nak dikira, pengacara Sdr Aziz Desa pun besar juga saiznya.. malah cakapnya pun ada sikit pelat..

    tetapi mereka sebegini berjaya mengalih perhatian penonton kepada perkara yg lebih menarik, lebih berjaya, dan kelebihan yg ada pada mereka dari orang memerhatikan kekurangan diri mereka.. itu bukan penghalang pun..

    BalasPadam
  21. Pertamanya, AM tidak percaya kalau ada orang mempertikaikan atau 'menangguhkan' memberi peranan penting kepada Mazidul hanya kerana size badan.

    Ada dua tiga orang pengulas lain termasuk Mahathir Lokman, Aziz Desa, Aziz Kota semuanya montel-montel belaka.

    Itu tidak termasuk dua tiga orang dalam station TV milik kerajaan, yang bukan sahaja bersize besar, tetapi cara pengulasannya mungkin lebih baik sedikit dari pengulas di ekspo perabut atau pengulas hari keluarga Rukun Tetangga.

    Bukan menghina mereka, tetapi sebenarnya bakat dan keberanian yang penting (tanya penerbit, bagaimana mereka menilai bakat seseorang) dan bukannya size badan. Karam Singh juga gemuk dan tak handsome :)

    AM pernah diminta menjadi penulis pojok dalam akhabar tabloid, sedangkan AM tidak mempunyai ijazah dalam bidang penulisan. Nasib baik tulisan AM pernah keluar dalam tiga atau empat keluaran akhbar tersebut dan tidak ada sesiapa kutuk. Dan nasib tidak baiknya, AM tidak dapat satu sen pun bayaran dari penulisan itu :).

    Sekurang-kurangnya Bro Mazudul tetap kukuh dan tegap di TV3 selama 15 tahun. Syabas. Kalau ditakdirkan satu ketika Mazudul 'dipaksa' berundur, orang akan tetap kenal siapa Bro Mazudul Akmal Sidik.

    Pokok pangkalnya, kita yakin dengan apa yang kita lakukan.


    www.anak2merdeka.blogspot.com

    BalasPadam
  22. en mazidul jarang tersenyum..tapi sekali senyum mmg manis sbb senyum malu-malu gitu a.k.a senyum kambing :)

    syahdu bila baca kisah perjalanan hidup en mazidul.apapun setiap yg baik akan dibalas baik begitulah sebaliknyer.

    rupa paras,hitam putih hijau,kelabu,oren dan sebagainyer adalah anugerah tuhan.bersyukurlah kerana lahirnyer kita didunia ini memberi kegembiraan yg tidak terhingga kpd kedua org tua kita.

    mereka sentiasa menyayangi kita dan kasih syg mereka tidak pernah padam.kasih saudara masa berada TAPI kasih ibubapa sepanjang hayat.

    semoga en mazidul diberkati selalu.amin :)

    BalasPadam
  23. bro, macam ni punya entry boleh upgrade jadi motivator.bro dah buktikan 'yang mustahil pada pandangan orang lain sebenarnya tidak'......tak semua orang mampu buat macam ni...kemampuan bro untuk 'menterbalikkan' pandangan umum merupakan ciri penting pada seorang pemimpin. so tak mustahil satu hari orang akan kenal bro sbg YB

    BalasPadam
  24. Sdrku Mazidul

    360 lebih bergantung & terikat kepada skrip MHI pula banyak kebebasan & celoteh yang boleh mengikat penonton.

    Jika Sdr Mazidul di MHI saya terasa terikat & tak mahu berganjak dari TV, sebabnya celoteh & usikan Bro Mazidul kita ini nampak jujur, ikhlas serta menghiburkan. Itu dikatakan bakat. Bukan semua pengacara TV punyai bakat begini.

    Samalah jika jiwa kita bukan jiwa sensitif atau cepat simpati dengan masalah orang mana mungkin hati kita boleh tergugah dengan satu-satu liputan tragis. Itu yang membeda kerjaya & komitmen. Itu yang membeda kerja atau amal jariah.

    Tak perlulah rasa rendah diri dengan warna kulit & wajah pemberian Ilahi. Orang kata tak kenal maka tak cinta, bila kita tahu hati budi seseorang; biarpun sejelik mana seseorang itu kita pasti amat merinduinya.

    Sdr Mazidul kini pun jauh lebih handsome pun glamour kini. Saya tenguk Sdr bergambar dengan gadis & artis lawa pun saya naik jelous.

    Lagipun lelaki macho sering lebih meninggi diri; apatah lagi perasan dirinya jadi rebutan. Lebih sukar didekati. Kalau berjalan dengan mereka pun kita rasa dipinggirkan.

    Agar Sdr Mazidul akan terus berjaya dalam bidang penyiaran ini. Saya sentiasa terusan menjadi peminat tegar Sdr.

    BalasPadam
  25. actually kulit n btk badan bukan penghalang.....Oprah lagi gelap n chubby .....but she did welll and also success ....

    "ada pula melontarkan komen, kulit saya gelap, tidak sesuai untuk ditampilkan di TV"

    Kulit org tu putih sangat ke ????....nak kata org ....cermin la diri dulu sebelum nak kata org ....klu putih pun anugerah Tuhan and GOD can take it back ....

    hmmm saya memang berpendapat dunia pengacaraan ni glamour dan memang minat kat bidang ni juga ...tapi x da rezeki saya x berapa berani untuk berucap di khalayak ramai :) ...not everyone can did it ...you are the who are the one ...congrat :)

    i minat tonton 360 and 999, tapi skg tinggal kat hostel ...x de TV ...so x dapat tonton dah ...

    Take care :)

    BalasPadam
  26. ECHAH COMBI... saya sendiri pernah mendapat gelaran 3G -- Gempal Gelap Gebu... hahahahaha

    BalasPadam
  27. ...cik mazidul ...orang sekarang sudah pandai menilai...apa yg penting adalah mesej atau pengajaran yg ingin disampaikan...selamat berjaya juga kepada saudara Karam Sigh Walia...

    BalasPadam
  28. penampilan/ wajah seseorang memang kriteria utama sebagai seseorang. Namun saya mengikuti dan mengenali MAS sejak Matunggong 1995. Perlahan demi perlahan bertatih dari wartawan, pengacara dan seterus penerbit eksekutif.
    Teruskan usaha murni anda untuk terus "mendidik" rakyat Malaysia ke arah ketamadunan yang di pandang mulia dan lebih tinggi martabatnya.

    Selamat Maju Jaya

    BalasPadam
  29. Bro aku tak peduli upa paras pengacara.asalkan berita atau topik yang disampaikan bermutu.

    Pengacara nih aku pentingkan beretika kalau setakat buat salah yang minor tu biarlah semua orang buat silap.

    BalasPadam
  30. pengacara or wartawan tak semestinye perlu hensem atau berkulit cerah.....
    yang penting adalah karisma dan personalitinye yang istimewa di mata penonton..
    kalau hensem tapi tak bijak berbicara, sesiapa pun tak ingin nak tengok or dengar...
    sue kagum dengan kerjaya en.mazidul dalam karier wartawan..
    teringat lagi ketika en.mazidul kena "serang" kat tv yang di selamatkan oleh actor Rosyam Nor...
    tu betul ke lakonan tu? :D

    BalasPadam
  31. Salam bro..
    1st time saya jumpa bro..pun 15 thn lalu..di satu seminar di Uitm Shah Alam..bro jadi MC aritu..saya kagum dr saat itu..sebab bro menjadi kegemaran penceramah2 yg ada..rasanya sebabkan sikap bro yg mudah mesra dgn semua golongan..
    yang paling sy igt..pada hari itu..bro digelar 'DON'..nama manja katanya...
    masih igt lagi?

    BalasPadam
  32. sungguh pun nukilan bro ini agak panjang, tetapi sangat menarik untuk di baca. terima kasih kerana berkongsi pengalaman bersama. 100% menarik...

    BalasPadam
  33. Salam,
    x boring lansung baca blog ni. malah setiap kali sy buka pc. sblm tgk blog saya sndr. blog ini sy akan buka dulu. malah setiap kali dan akan rasa sedikit muram kalau satu hari hanya dapat baca 1 entry terbaru yg saya dapat baca dari blog ni. dan saya paling suka ayat nih..

    "Rumusannya, dalam apa kerjaya sekalipun, jika kita yakin dengan bakat dan kebolehan dimiliki, kita harus mencuba, usah sesekali menoleh kebelakang dan buktikan kepada masyarakat secara jujur dan ikhlas bukan kerana hanya mengejar glamor tidak bersifat kekal. Tanggapan orang lain tidak penting sekaligus tidak seharusnya menjadi kudis, penghalang kita melaksanakan tanggungjawab dipikul"

    bagi saya ayat ni tidak semestinya dituju kepada personaliti terkenal yg suke mengejar glamour tetapi pada semua org. =)

    BalasPadam
  34. dul...

    aku respek kalau ada wartawan kita sanggup masuk afghan, sudan, kawasan red indian, eskimo, untuk banding kehidupan mereka dengan kita..

    tak pon kaji kehidupan rakyat malaysia yang dah merantau ke luar negeri kerana rezeki yang lebih dari di tanah air..

    aku syor kau fikirkan konsep tu...

    BalasPadam
  35. Dapatkan panduan bina otot badan bagi lelaki supaya anda lebih tough dan macho....

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.