Sabtu, Mac 13, 2010

Angkara Buluh Betong

Sejurus tiba di Kampung Sungai Tinggi, Trong, Perak pada jam 6.15 petang semalam, saya mudah menghidu masalah dihadapi penduduk tempatan.

Nelayan dan pemilik kedai makan, Abu bakar Osman, 54 tahun kelihatan tidak sabar ingin berkongsi kisah duka. Menurutnya, lebih 700 nelayan Melayu mencari rezeki di Sungai Jarum Mas, menangkap hasil laut menggunakan bot kayu dan fiberglass kini terhimpit.

“Masalah dia di sini lebih 70 orang Myanmar dok kerja dengan taukeh Cina guna pukat rawa sorong atau ada panggil pukat sodok. Pukat sorong ni dok musnahkan semua, anak ikan, udang dan ketam. Guna buluh panjang 42 kaki lebih, depa sodok abih semua khazanah laut kita,” ujar Bakar dengan nada kesal.


Gambar: Bot Sorong

Saya mendengar khusyuk perjelasan bekas tentera itu.

“Dulu nelayan kawasan ni guna bot pukat hanyut dan bila dah tak pakai sepatutnya Jabatan Perikanan lupuskan, kena musnahlah. Tapi taukeh ‘tukar kulit’ jadi bot sorong. Bot ni haram, tak boleh guna,” celah rakannya, Hasni Salleh, 42 tahun.


Gambar: Hasni (kiri) dan Abu Bakar (kanan)

Jam 6.30 petang semalam saya dan krew 999 menyusuri Sungai Jarum Mas bersama Bakar, Hasni dan beberpa nelayan tempatan. Sepanjang perjalanan menuju ke laut kami saksikan lebih 50 bot sorong di tepi sungai.

“Itu kongsi nelayan Indonesia, hak tu pulak Myanmar. Hari ni saya dapat maklumat kata banyak bot keluar ke laut. Kurang-kurang pun 50 ada. 80 persen nelayan ni semua orang asing, Myanmar, Thailand, nanti kita tengok sata lagi. Depa ni, bukan kata laut, sungai pun depa sodok, bukan depa kisah,”  terang Bakar.

Beberapa kali bot sorong dipandu laju nelayan Myanmar memintas sampan kecil kami naiki. Terasa riak air menggoncangkan sampan fiberglass berharga lebih RM20,000 kami naiki.

“Cuba you bayangkan, kawasan paya bakau ni, tempat pembiakan ikan dan hidupan laut lain. Kalau anak ikan, udang, depa sodok, musnah, apa lagi kami nak tinggalkan untuk anak cucu kami nanti di kemudian hari?,” soal Hasni.


Gambar: Puluhan bot sorong

Saya terdiam dan tidak mampu menjawab soalan itu.

Hampir 30 minit menyusuri sungai di kiri kanan ditumbuhi pokok hutan paya bakau, jam 7.45 malam kami tiba di Pulau Pasir Hitam. Penerbit 999, Shahnun Hanif, menaiki bot berasingan dan tiba lebih awal menghampiri saya di jeti simen.

“Saya dah kira, at least ada 15 bot tengah ‘tolak’ pukat sekarang ni,” ujar penerbit berusia 43 tahun terbabit.

Kenyataan Shahnun sekaligus menyakinkan saya, kehadiran kami belum dapat dikesan tonto dan 4 taukeh bot terkenal di kawasan sama.

Dalam gelap malam kami kemudian menghampiri bot sorong milik nelayan tempatan, turun ke laut bersama anak remaja, 17 tahun. Alangkah terkejut saya melihat ‘kehebatan’ bot menggunakan pukat haram bernilai RM15,000 itu. Anak ikan, udang dan obor-obor, semua terperangkap dan sebahagian dibiarkan mati di pelantar bot. Walhal mereka cuma inginkan udang kertas berekor merah berharga RM60 sekilogram di pasaran tempatan.

“Udang kertas taukeh hantar ke Singapura, kualiti dia tinggi sebab sungai dan laut di sini tak ada pencemaran,” jelas Hasni.


Gambar: Khazah laut

Jam 8.30 malam, anggota risik Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, APMM Wilayah Utara bertugas menahan bot sorong dengan 2 awak-awak Thailand berusia 20 dan 25 tahun biarpun wajah mereka kelihatan jauh lebih tua.

“Berapa gaji sehari?,” soal saya.

“Tak tentu, tengoklah berapa banyak dapat tangkap (baca: udang dan ikan). Ada RM40, ada RM50,” balasnya.

Mereka pendatang haram, tidak kisah berhubung jumlah pendapatan, asalkan mereka dapat terus hidup sudah lebih daripada mencukupi.

“Kalau di negara kamu (baca: Thailand), kamu sanggup ke buat kerja salah macam ini?,” soal anggota APMM.

Kedua mereka menggelengkan kepala.

Setengah jam kemudian bot kedua ditahan selepas berlakunya adengan kejar-mengejar. 3 warga Myanmar dicekup petugas APMM.

“Saya datang kerja restoran di Penang tapi taukeh bilang orang sudah cukup orang, tak ada kerja. Kawan cakap mari sini. Sekarang sudah satu tahun lebih kerja sini,” kata lelaki berbaju putih sambil menghisap rokok.

Di belakang bajunya bertulis ‘Barisan Nasional’.

“Setahun kerja sini, awak pernah kena tangkap?,” soalan susulan saya kemukakan.

“Tak. Saya punya kawan 10 orang dari Myanmar, kerja bawah satu taukeh pun tak ada pasport,” ujar nelayan berusia 35 tahun itu, ringkas.


Gambar: Nelayan Myanmar pemusnah khazanah laut

Barangkali Jabatan Imigresen Perak mamai, polis di balai berhampiran pula terlena manakala wakil rakyat diulit mimpi indah. Justeru, mereka semua langsung tidak mengetahui kehadiran pendatang haram di kawasan itu.

Untuk rekod, purata nilai hasil tangkapan harian mereka, RM1,500.


Gambar: Rumah nelayan asing

Bagaimana pula dengan Jabatan Perikanan? Tidakkah mereka pernah terlihat puluhan bot sorong berulang-alik dengan 2 batang buluh betong dan beting besar dan panjang lebih 50 kaki terpacak keluar dari bot? Dimuatkan beberapa gambar sebagai rujukan kakitangan jabatan terbabit. 

“Buluh ni, kalau nelayan beli daripada tuan tanah, depa bayar di antara RM5 dan RM10 sebatang, pi tebang sendiri. Kalau ambil di tanah kerajaan depa kena bayar cukai 25 setiap satu kepada Jabatan Hutan,” ujar Bakar.


Gambar: Bot dan buluh betong

“Murahnya,” celah saya.

“Tapi kita kena ingat, nak tebang dan angkat buluh, bukan senang Mazidul. Jadi di sini ada taukeh buluh, jual RM150 sebatang kepada nelayan,” jelasnya.

Saya dimaklumkan bekalan buluh terbabit antaranya didapati dari Tapah, Grik dan Cameron Highland, Perak.

“Saya tengok, nak banteras bot sorong tak susah, stop kan bekalan buluh betong, stoplah semua, betul tak?,” soal Hasni.

Betul! Saya amat setuju. Namun mungkin Jabatan Perhutanan tidak sedar berhubung hakikat, 2 batang buluh dengan cukai 50 sen mampu melacurkan  sistem ekologi dan khazanah laut berharga secara berterusan khususnya di Sungai Tinggi.

Diharapkan paparan 999 kelak akan membuka mata sekaligus menyedarkan pelbagai pihak berkuasa agar segera bertindak. Operasi bot sorong harus diberhentikan dan pendatang haram harus diberkas. Tindakan itu, InsyaAllah akan mengukirkan senyuman di wajah ratusan nelayan Melayu.

Melayu selama ini melihat hak mereka dicuri di hadapan mata.

12 ulasan:

  1. beginilah nasib rakyat tempatan..semua peluang telah direbut oleh pendatang...hingga ke kampung2 kecil pun berebut dgn pendatang utk mencari rezeki...sampai bila keadaan ini akan berterusan??? kesiannya nasib rakyat negeraku..terasing terpencil dinegara sendiri!

    BalasPadam
  2. Masalah bot pukat sorang ni dah saya dengar sejak kecil..kerana saya dibesarkan di Matang, berhampiran Kuala Sepetang..Memang kesian nelayan-nelayan kecil ( terutamanya orang-orang kampung yang miskin ) yan membawa sampan-sampan kecil, kerana hasil tangkapan habis disorong oleh bot pukat sorong...Malah saya dengar, bot sorong ni bukan saja berhampiran Kuala Sepetang, malah hingga ke Pantai Remis dan Kuala Gula...TErima Kasih Mazidul kerana pendedahan ini..

    BalasPadam
  3. Akibat hanya mementingkan tembolok sendiri, hasil alam dirompak semahunya - kelak yg tinggal hanyalah cerita, tapak & sejarah - Mungkin x sampai 100 tahun lagi cucu cicit kita hanya mengunyah ikan,udang & sotong artificial yg diperbuat drp campuran tepung & bahan kimia.

    Ketika itu kemanisan hasil marin yg kita ceritakan kepada cucu cicit kita ibarat kisah dongeng dahulu kala - Terasa manis hanya di telinga, lidah tidak dapat membeza.

    BalasPadam
  4. Sistem pembahagian kekayaan dan kesenangan di Malaysia sebenarnya telah membuatkan yang kaya bertambaj kaya dan yang miskin bertambah miskin.

    BalasPadam
  5. Towkey cina, pekerja myanmar & thailand....habis khazanah kita dikerjakan pendatang2.

    SPRM ? what u say now..!

    BalasPadam
  6. Masalah nelayan ni sejak tahun 80-an lagi sentiasa ada saja yang tidak selesai...

    Memang kesian golongan ini. Yang kaya adalah pihak yang mengambil keuntungan dari keringat mereka. Nelayan dilihat sebagai golongan miskin? Sampai bila? Sampai bila kita terus memiskinkan mereka sedangkan ikan dimakan tiap hari? Produk yang mereka cari adalah keperluan, tapi kenapa mereka tidak boleh kaya?

    Kes yang dipaparkan adalah antara memiskinkan lagi mereka.
    Bayangkan anak-anak nelayan yang membaca kisah ini...
    sedih mengenangkan keringat ayah yang sejak bertahun dulu tidak pernah berubah..!

    BalasPadam
  7. duit punya pasal, bukan terlepas pandang, tapi MELEPAS pandang..

    BalasPadam
  8. Salam... semoga dengan nasib nelayan kita akan terbela dan lebih selesa...

    BalasPadam
  9. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Mazidul kerana berjaya membongkar permasalahan ini.

    Sekiranya dibiarkan maka suatu hari nanti anak cucu kita tidak berpeluang lagi menikmati khazanah warisan di bumi sendiri. Lebih menyedihkan lagi khazanah ini sedikit demi sedikit kini hilang di depan mata sendiri oleh Orang Asing dan Orang Sendiri yang sempit mata hati, akal dan budi.

    Bangunlah mereka-mereka yang diamanahkan menjaga masyarakat ini. Ingatlah siapa diri anda dan apa kuasa anda. Kalau anda lena dibuai mimpi kepada siapa lagi rakyak ingin minta simpati.

    Syabas Tuan Mazidul Akmal Sidik teruskan usaha anda demi Rakyat Malaysia. Saya Bangga dengan usaha anda ini.TH sentiasa menyokong anda dari belakang sejak dari awal lagi...

    dr..Pencinta Seni Budaya Dan Warisan Melayu...

    Terima Kasih

    BalasPadam
  10. salam tn..

    siapa pihak yg ditakrif PIHAK BERKUASA..biasanya lebih mudah jika kita lihat mereka yg berpakaian seragam.. apakah bila mereka berpakaian begitu telah tersandang kuasa utk dilaksana... atau sebenarnya tunggu tarikh operasi yg akan diumumkan kerana berkait dgn peruntukkan kelayakan penjawat awam... sebab rata-rata tunggu gerakan beramai-ramai kena ada wartawan kalau tidak tak tau mereka buat kerja... setiap kali taklimat berbagai angka dinyatakan atas kejayaan tapi realitinya depan mata bercambah-cambah...

    Anak-anak 1 Malaysia carilah kesedaran realiti yg akan dihadapi...

    BalasPadam
  11. Kurang ajar betol ! patot la ikan habis !

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.